Sebak rasa hati saya apabila melihat keganasan yang berlaku di Lahad
Datu. Keganasan, Kecederaan, termasuk kematian yang berlaku pada pandangan saya
tidak harus berlaku dalam dunia yang serba moden dan mementingkan kemajuan
pengetahuan. Namun begitu ianya telah menjadi satu lagi titik hitam dalam
sejarah Malaysia. Kefahaman tentang erti kehidupan yang di dalamnya termasuk
hidup berlandaskan agama seperti hidup secara bersama, harmoni, toleransi,
saling bantu membantu dan memahami seolah-olah tidak wujud sama sekali.
Hasilnya berlakulah tragedi Lahad Datu di mana kematian telah berlaku secara
tidak sepatutnya. Walaupun pelbagai spekulasi dan kenyataan dikemukakan untuk
menjelaskan mengapa tragedi tersebut boleh berlaku tidak banyak yang boleh
dilakukan terutamanya dalam mengelakkan ianya daripada terjadi.
Saya merasa terpanggil untuk menilai tragedi Lahad Datu mengikut
persepektif psikologi. Persoalan-persoalan seperti mengapa ianya boleh terjadi,
bagaimana ianya boleh terjadi, apakah factor-faktor yang mendasari berlakunya
kejadian tersebut, serta apakah pendekatan teori yang boleh dikemukakan mungkin sedikit sebanyak
boleh menjelaskan kejadian tersebut mengikut perspektif yang lebih objektif dan
berlandaskan teori dan sejarah.
Tanpa mengambil sikap menuduh ataupun berpihak mari kita lihat
kejadian menyerang dan mengganas di Lahad Datu mengikut perspektif tingkah
laku. Beberapa persoalan yang boleh dikemukakan adalah seperti mengapa mereka
boleh bertindak sedemikian rupa, bagaimana tingkah laku tersebut boleh
terbentuk, apa pendorong kepada terbentuknya tingkah laku tersebut, dan penjelasan
teori berkaitan berkenaan dengan tingkah laku tersebut.
Asal usul kejadian manusia boleh dilihat dengan mudah seperti yang
dinyatakan dalam Al Quran iaitu "Tidak Aku jadikan
jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu (Allah)" (Surah
az-Zarriyat: 56). Pernyataan Allah membawa maksud bahawa tujuan manusia dicipta
adalah untuk menjadi khalifah di bumi Allah yang sentiasa bertaqwa dan
mengabdikan diri mematuhi perintahNya. Mereka lalu diberi nikmat akal untuk
membezakannya dengan makhluk yang lain.
Dengan akal pula maka diturunkan Islam yang
syumul lagi lengkap sebagai panduan hidup supaya tidak terjadi kesesatan dan
kesukaran semasa hidup di dunia sebagai khalifah. Mengambil iktibar daripada
apa yang dinyatakan oleh Allah SWT boleh dikatakan bahawa tragedi Lahad Datu
tidak seharusnya berlaku jika manusia memahami dengan jelas maksud yang
dinyatakan dalam firmanNya itu. Oleh yang demikian tingkah laku membunuh,
seperti yang dilakukan oleh pengganas Sulu terhadap pasukan keselamatan sebenarnya
tidak termasuk dalam maksud yang dinyatakan oleh Allah SWT.
Kalau ditinjau berdasarkan teori perkembangan
tingkah laku, perlakuan seseorang adalah merupakan suatu proses berterusan yang
dilalui oleh individu secara sedar dan tidak sedar yang dikenali sebagai
“pembelajaran.” Jika dilihat daripada perspektif psikologi abnormal tingkah
laku agresif seperti membunuh ini boleh dikatakan menjurus kepada permasalahan
mental. Kategori berpenyakit mental ini digunakan kerana mengambil kira
perlakuan menembak dan membunuh sebagai abnormal dalam kalangan masyarakat
normal. Ini kerana tindakan membunuh tidak termasuk sebagai salah satu konsep
dalam definisi hidup manusia normal. Atau dengan kata lain manusia yang normal
tidak akan sekali-kali membunuh.
Keadaan ini tidak selari dengan apa yang
dikatakan oleh Allah SWT iaitu “sesungguhnya orang mukmin adalah bersaudara…”
(Surah Al Hujuurat: 13). Malah dalam hadis Rasulullah SAW diperjelaskan lagi di
mana “orang Islam itu adalah saudara kepada seorang Islam yang lain…” (Riwayat
Bukhari & Muslim) dan juga “tidak beriman (dengan iman yang sempurna)
sesiapa di antara kamu sehingga dia menyintai saudaranya sebagaimana dia
menyintai dirinya (Riwayat Bukhari & Muslim).
Mari kita lihat bagaimana sesuatu tingkah
laku boleh terbentuk. Dalam Islam dinyatakan dengan jelas bahawa perkembangan
individu merupakan suatu proses yang panjang dan berterusan. Dengan perkataan
lebih mudah ianya melibatkan tanggungjawab dan amanah. Seperti dinyatakan dalam
ayat Al Quran di atas, untuk menjadi khalifah pelbagai perkara perlu
dipelajari. Inilah yang dinamakan pembelajaran, iaitu suatu proses untuk
menjadi khalifah seperti yang dimaksudkan oleh Allah SWT tersebut.
Dalam proses menentukan perkembangan yang
bersesuaian dan selari dengan matlamat yang ditetapkan pelbagai perkara menjadi
bahan pertimbangan. Komponen-komponen seperti persekitaran, peranan ibubapa,
peranan individu itu sendiri, peranan ahli keluarga, jiran tetangga, rakan,
sekolah dan masyarakat keseluruhannya memberi kesan kepada proses perkembangan
tersebut.
Sebab itu dalam Islam ada disebutkan bahawa “setiap
anak yang dilahirkan telah membawa fitrah beragama…maka kedua orang tuanyalah
yang akan menjadikan anak tersebut beragama Yahudi, Nasrani, ataupun Majusi”
(HR Bukhari). Ini bermakna perkembangan anak-anak adalah dipengaruhi oleh
didikan ibubapanya. Malahan seperti yang dikatakan oleh Imam Al Ghazali bahawa
anak adalah amanah kepada kedua orang tuanya dan hatinya yang suci adalah
permata yang mahal. Dua perkara menurut Imam Al Ghazali yang perlu menjadi
pertimbangan dan kefahaman ibubapa adalah:
i. Anak apabila diajar dan
dibiasakan dengan kebaikan, maka ia akan berkembang kepada kebaikan, dan
ii. Anak apabila dibiasakan untuk
melakukan kejahatan dan dibiarkan maka ia akan sengsara dan binasa.
Kenyataan yang sama juga dikemukakan oleh Uri Bronfenbrenner seorang
pakar psikologi perkembangan barat di mana perkembangan individu perlu
mengambil kira pelbagai pengaruh persekitaran iaitu sistem mikro, sistem meso,
sistem ekso, sistem makro. Senarai di bawah menjelaskan bagaimana perkaitan
antara setiap lapisan sistem yang dicadangkan oleh beliau.
1. Sistem Mikro - keluarga, bilik darjah, rakan, perjiranan, pegangan agama
2. Sistem Meso - sekolah, amalan hidup, masyarakat
3. Sistem Ekso - persekitaran hidup, media, tempat kerja ibubapa, persatuan, dan seumpamanya
4. Sistem Makro - budaya, peraturan, undang-undang, norma, dsb.
Menjelaskan perkaitan antara lapisan-lapisan tersebut Bronfenbrenner
menyatakan bahawa keberkesanan perkembangan individu adalah sangat berkait
dengan keselarian antara setiap lapisan. Sekiranya setiap lapisan mempunyai
ekspektasi dan amalan yang serupa maka proses perkembangan individu akan
menjadi lebih mudah. Dengan lain perkataan setiap lapisan seharusnya
mengamalkan dan mendidik perkara yang serupa dan selari serta mempunyai matlamat
yang sama supaya individu akan memperoleh maklumat yang sama.
Ambil contoh perilaku agresif tadi, sekiranya kanak-kanak telah
dididik dengan tingkah laku agresif yang sedemikian rupa pada peringkat keluarga
maka mereka akan terdidik sedemikian. Tingkah laku akan menjadi lebih kukuh
apabila lapisan berikutnya iaitu apabila kanak-kanak mulai berinteraksi dengan
rakan sebaya, bersekolah, dengan jiran tetangga mengamalkan perkara yang sama
seperti di dalam keluarga. Perkaitan ini akan menjadi semakin kukuh sekiranya
lapisan-lapisan yang lebih besar juga mengamalkan dan mendidik perkara yang
serupa.
Adalah menjadi persoalan apakah pendekatan pendidikan yang diamalkan
dalam kalangan masyarakat Sulu di selatan Filipina sehingga berupaya
menzahirkan perilaku agresif membunuh seperti yang ditunjukkan dalam tragedi
Lahad Datu. Berdasarkan teori Bronfenbrenner ini dijangkakan terdapat perkaitan
yang signifikan antara amalan dan pendidikan yang diamalkan di dalam masyarakat
tersebut. Amalan-amalan dan perlakuan seperti bermain senjata sebenar,
indoktrinasi kefahaman hidup, penyelewengan maklumat dan kebenaran merupakan
antara contoh yang boleh diandaikan menjadi suatu budaya dalam masyarakat Sulu.
Pun begitu kita masih lagi tertanya-tanya mengapa dalam keadaan-keadaan
sedemikian terdapat individu yang sanggup menembak yang saya yakin adalah
dengan niat untuk membunuh. Malahan sebagai seorang anggota keselamatan sendiri
berdasarkan apa yang saya fahami selama ini tembakan bukan dengan begitu mudah
untuk dikategorikan sebagai untuk membunuh. Dan saya yakin jika dinilai dari
perspektif individu sekalipun, keupayaan untuk mencederakan apatah lagi untuk
membunuh hanya akan lahir dalam keadaan-keadaan tertentu. Justeru itu kejadian
menembak yang banyak berlaku lebih menjurus kepada konsep “rangsangan” dan
“tindak balas” seperti yang dinyatakan menurut ahli teori perlakuan. Ini
terutamanya apabila berada dalam keadaan satu sama satu.
Untuk menjelaskan bagaimana proses penzahiran tingkah laku
sedemikian mari kita lihat bagaimana proses sesuatu tingkah laku terbentuk
berdasarkan Model Pembelajaran Pemerhatian Albert Bandura. Saya mengambil model
ini bukan semata-mata untuk menyatakan ianya benar-benar terbukti sebagai
berlaku, tetapi lebih kepada bagaimana memahami sesuatu tingkah laku boleh
terbentuk dan dizahirkan.
Menurut Bandura penzahiran sesuatu tingkah laku sebenarnya merupakan
suatu proses yang melibatkan empat komponen utama yang berkaitan. Proses itu
pula akan dilalui oleh individu secara sedar dan berupaya untuk memahaminya
sebelum ditiru dan
Seperti dinyatakan diawal tadi, tingkah laku tertentu terbentuk
apabila individu didedahkan dengan tingkah laku tersebut oleh orang lain.
Setelah tingkah laku tersebut diperhatikan maka ianya mulai diproses di dalam
mental seseorang sebelum memikirkan apakah ianya sesuai ataupun selari dengan
naluri, kecenderungan, minat, dan norma yang berlaku dalam persekitaran di mana
individu tersebut tinggal. Walaupun begitu, tingkah laku tersebut tidak semudah
itu ditiru dan dizahirkan sebelum individu itu dapat melihat ada
kepentingan-kepentingan tertentu samada daripada aspek kepuasan diri, imbalan
yang akan diperolehi, ekspektasi daripada jika tingkah laku tersebut dilakukan,
serta penilaian secara kendiri berkenaan dengan tingkah laku tersebut.
Sekiranya apa yang diharapkan, ekspektasi yang dibentuk selari
dengan kehendak dan kefahaman maka akhirnya barulah tingkah laku tersebut
dibentuk dan dizahirkan. Proses penzahiran itu pula sebenarnya jika dikaitkan
dengan tempoh masa ianya adalah berkaitan dengan kekuatan dan kualiti tingkah
laku yang dilakukan itu nanti. Konsep yang serupa sebenarnya boleh digunakan
bagaimana menilai sesuatu sikap, pendirian, kefahaman, cara berfikir setiap
individu terbentuk.
Seperkara yang lebih menarik untuk dikemukakan adalah berkaitan
dengan keupayaan individu sebagai seorang manusia yang mempunyai akal dan
kepintaran. Kita boleh andaikan proses pembelajaran tersebut sebenarnya tidak
berlaku sedemikian rupa tanpa ada penambahbaikan, pengubahsuian dan modifikasi.
Melalui kepintaran dan akal yang diberikan oleh Allah SWT maka peniruan tingkah
laku tersebut akan menjadi lebih kompleks dan pelbagai. Justeru kekuatan setiap
komponen dalam mempengaruhi proses peniruan tingkah laku tersebut akan
menentukan sejauh mana tingkah laku tersebut akan ditiru dan dizahirkan.
Sebagai andaian mungkin kita boleh katakan indoktrinasi dan
pembudayaan cara hidup berperang yang diamalkan mungkin sedikit sebanyak
menjadi pembina dan pengukuh kepada tingkah laku membunuh tersebut. Banyak
kemungkinan yang boleh dikemukakan di sini berkaitan dengan imbalan yang
difahami akan diperolehi sekiranya tingkah laku tersebut dizahirkan. Status
mati syahid sebagai contoh merupakan salah satu insentif yang dijangkakan akan
diperolehi selepas perilaku tersebut dilakukan. Selain itu mungkin faktor kepuasan
diri, menyenangkan hati orang lain, takut, atau seumpamanya.
Justeru dalam Islam telah dijelaskan dengan nyata bahawa antara
proses pembelajaran yang sangat berkesan adalah melalui pemerhatian. Dalam
hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, Rasulullah SAW dengan jelas menyebutkan “solatlah
kamu sebagaimana kamu melihat aku bersolat”. Ini menggambarkan bagaimana kita
perlu mengambil kira keberkesanan sesuatu pembelajaran melalui pemerhatian.
Sebagai kesimpulan dapat dikatakan bahawa penzahiran tingkah laku
merupakan sesuatu yang saling berkait. Setiap individu adalah berperanan dalam
mencorakkan sesuatu tingkah laku dizahirkan terutamanya oleh golongan individu
yang lebih muda. Setiap apa yang kita katakan, yang kita sampaikan, yang kita
ajarkan, yang kita contohkan, yang kita tanamkan, merupakan pengajar dan
peneguh yang sangat berkesan kepada pembentukan diri individu, terutamanya
anak-anak kita.
Justeru itu sebagai pendidik kita perlu berhati-hati dan sentiasa memikirkan
impak yang akan kita hasilkan kesan daripada proses pendidikan yang kita
amalkan dalam kalangan anak-anak kita kerana ianya telah digariskan dengan
jelas dalam Islam bahawa “seseorang itu adalah pengembala di dalam rumah
keluarganya dan bertanggungjawab terhadap gembalaannya itu (Hadis riwayat Al
Bukhari dan Muslim).
Dengan berlakunya kejadian bom di Boston Amerika Syarikat
menunjukkan betapa konsep pendidikan dan proses yang mendasarinya perlu disemak
semula. Kadang-kadang kita mudah merasakan apa yang kita amalkan dan ajarkan
telah sesuai seperti yang dinyatakan. Akan tetapi kita juga sering terlupa
bahawa pendekatan yang kita amalkan tersebut adakalanya telah dipengaruhi oleh
prejudis, kepentingan diri, dan lain-lain yang berkaitan. Maka dari itu
pendekatan dan pengajaran yang diamalkan telah mengalami perubahan dan dan
penambahan yang kadang-kadang tidak sesuai sama sekali.
Sehubungan itu, matlamat dan dasar pendidikan negara sebenarnya
telahpun tercatat dengan jelas dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan di mana
kepentingan pendidikan tidak hanya melibatkan pencapaian matlamat tertentu
tetapi pembinaan individu yang lengkap dan berkompetensi dalam semua aspek. Mengambil
iktibar daripada apa yang dinyatakan seharusnya kita lebih bertanggungjawab
semasa menjalankan tugas memberikan didikan kepada anak-anak kita, kepada
generasi kita supaya mereka berkembang dengan baik sesuai dengan apa yang
dinyatakan dalam Islam. Justeru dengan cara memahami dan menyedari apakah
matlamat hidup dikaitkan dengan pendidikan dalam proses kita mendidik generasi
yang akan datang sesuai seperti yang dikehendakkiNya boleh membantu kita
menjadi pendidik yang baik dan berkesan.
Dr Zainudin Abu
Bakar
Pengajar
Psikologi Pendidikan
Fakulti
Pendidikan
Universiti
Teknologi Malaysia
81310 Johor
Bahru, Johor.
075534414
0197558968
No comments:
Post a Comment