Pertama sekali saya dan isteri ingin memanjatkan ucapan terima kasih dan syukur
yang kepada Allah kerana dengan izin dan kasihNya mengizinkan saya melalui
suatu pengalaman yang sangat unik dan berharga yang tidak ada bandingannya di
muka bumi ini. Salawat dan salam kepada Nabi SAW, keluarga dan
sahabat-sahabatnya, mudah-mudahan refleksi yang dihasilkan ini merupakan
sesuatu yang bermanfaat.
Peluang mengerjakan haji merupakan
peluang yang sangat berharga dan tidak patut kami lepaskan begitu sahaja tanpa
alasan atau sebab yang boleh diterima. Pengalaman yang suatu ketika seolah-olah
suatu kesukaran dan kepayahan tetapi secara perlahan-lahan bertukar menjadi
suatu keseronokan dan kenikmatan dalam beribadah. Semakin sukar dan susah
pengalaman itu semakin indah dan nikmat dirasakan semasa melaluinya. Maha Suci
Allah…
Selama 40 hari mengembara haji
memberikan pengalaman dan pengajaran yang cukup berbeza pada diri saya dan
isteri. Kami pasti pengalaman dan pengajaran bagi setiap jemaah yang pergi akan
berbeza antara satu sama lain. Pada saya dan isteri, pengembaraan mengerjakan
ibadah haji memberi suatu dimensi baru dalam hidup. Selain berjaya
menyempurnakan Rukun Islam yang kelima, ia memberi kenikmatan baru dalam hidup
iaitu kepuasan. Selain itu, kami juga berpeluang menyelami ibadah haji samada hanya sebagai suatu kewajipan ataupun peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah - sedekat-dekatnya.
Terlalu banyak pengajaran yang
boleh dikongsikan kerana pengembaraan haji menerangkan makna kehidupan secara
keseluruhan. Namun, di sini kami cuba kongsikan beberapa daripadanya supaya
dapat dijadikan maklumat tambahan dalam memahami kehidupan mengerjakan secara
khususnya, dan kehidupan sehari-hari secara amnya.
Kami melihat pengembaraan
haji memberi pengajaran yang sangat khusus dan spesifik. Ia memberi peluang
kepada kami untuk melihat secara dekat siapa kami, perangai kami, tingkah laku
kami, cara berfikir kami, terutamanya ketika bersama dengan orang lain dan
Allah. Selama ini kami tidak berpeluang untuk meneroka lebih jauh kerana
disibukkan dengan urusan dunia yang tak berkesudahan. Apa yang dilihat setiap
hari seolah-olah cermin kepada kehidupan kami yang sebenarnya.
Mengerjakan haji secara
mudahnya berkaitan dengan pengorbanan. Kesediaan kita untuk menyediakan wang
ringgit, tenaga dan waktu menjadi pengukur kepada kualiti pengorbanan yang kita
berikan. Bermula daripada pendaftaran, menyimpan, menghadiri kursus, belajar
melalui pembacaan, perbincangan dengan rakan-rakan, sehinggalah keberangkatan
merupakan suatu proses yang panjang. Wang ringgit bagi setengah-setengah orang
bukan merupakan suatu masalah. Tetapi kesediaan memperuntukkan tenaga dan masa
biasanya menjadi penghalang kepada kesemua proses tersebut. Kami dapati, salah
satu penghalang utama kepada pengorbanan ini ialah kesediaan kita untuk
berserah dan menghambakan diri secara total kepada Allah. Kesan daripada itu
kita sentiasa merasa tidak mempunyai tenaga dan masa untuk pergi. Wallahuaklam.
Allah menilai martabat
seseorang hambanya berdasarkan ketakwaannya. Kehidupan di sini mengajar kami
bahawa bahawa pangkat, kekayaan, harta, nama, ilmu yang dipinjamkan dan
keturunan tidak memberi makna apa-apa di sisi Allah kalau tidak digunakan di
jalan Allah. Kesungguhan individu dan pengusaha yang sentiasa bersedekah di
sepanjang jalan di Mekah dan Madinah menunjukkan kesedaran tersebut. Kualiti
diri adalah ditentukan dengan melihat bagaimana semua kelebihan yang Allah
berikan digunakan. Adakah untuk kepentingan diri sendiri? Apakah untuk
kepentingan masyarakat? Apakah untuk kepentingan agama Islam? Oleh itu, segala
bentuk kesenangan dan kepandaian yang dipinjamkan oleh Allah seharusnya
digunakan dan dimanfaatkan untuk ke jalan Allah.
Selain itu, ketakwaan seharusnya
dijadikan matlamat utama yang perlu diberi perhatian. Di sini saya melihat
seolah-olah kita kurang memahami apa yang dimaksudkan dengan menggunakan
kepandaian, kekayaan dan kesenangan yang dipinjamkan kepada kita semata-mata ke
jalan Allah. Mencari kekayaan dan kesenangan tidak dilarang tetapi perlu
dipastikan semuanya dengan tujuan kerana Allah. Ini sangat penting kerana
ketika kita berhadapan dengan Allah nanti apa yang akan kita bawa adalah
sesuatu yang diniatkan kepadaNya. Kadang-kadang kita bangga dengan kekayaan,
kesenangan serta kepandaian yang dianugerahkan oleh Allah sehingga menerbitkan
rasa bangga diri, sombong, meninggi diri dan riak. Apa yang perlu difikirkan adalah
apa yang akan kita bawa apabila bertemu dengan Allah nanti.
Allah juga menyebutkan
untuk melakukan sesuatu perubahan individu itu sendiri perlu mengubahnya
terlebih dahulu. Perlu ada usaha sebelum menyerahkan diri kepada Allah untuk
memakbulkan usaha tersebut. Ini merujuk kepada usaha kita memperbaiki kualiti
diri sesuai dengan kehendak agama. Sikap seperti tidak menjaga kebersihan,
berludah di merata-rata tempat, membuang sampah tidak di tempatnya merupakan
antara contoh yang merujuk kepada individu yang tidak mahu berfikir dan tidak berusaha
untuk berubah. Tanah suci Mekah dan Madinah sebenarnya boleh menjadi pemula
kepada perubahan tersebut. Sejauh mana kita bersedia untuk berhijrah daripada
suatu keadaan kepada suatu keadaan yang lain bergantung kepada usaha dan
kesediaan kita sendiri.
Begitu juga dengan sahsiah
diri yang sentiasa menjadi gambaran kepada sejauh mana kita menghayati nilai
keIslaman yang sebenar. Perilaku menolak-nolak, merempuh ataupun memotong
barisan menunjukkan tentang keperibadian yang mementingkan diri sendiri dan
tidak menghormati orang lain, apalagi menyayangi. Perilaku ini sebenarnya
bukanlah karakter perilaku yang diajarkan dalam Islam. Dalam keadaan bersesak
dan berhimpit-himpit seharusnya memberi kesedaran tentang perilaku Islam yang
sebenar yang menekankan erti persaudaraan dan kasih sayang antara sesama
manusia.
Kehidupan di Mekah dan
Madinah mengajarkan kami erti persaudaraan dalam Islam. Perasaan saling
membantu, mengambil berat, bertolak ansur dan bekerjasama atas dasar
persaudaraan sesama agama bukan merupakan sesuatu yang mudah untuk diamalkan
dan dihayati. Rasa saling hormat, rasa sayang, tanggungjawab dan sentiasa
mengambil perhatian sesama saudara atas dasar persaudaraan Islam merupakan
antara contoh kepada kesedaran tersebut.
Begitu pula keadaanya jika kita
melihat kepada konteks lebih kecil iaitu rakan-rakan sejemaah, terutamanya yang
tinggak sebilik. Sikap tolak ansur, saling memahami dan saling membantu amat
diperlukan ketika berada di sini dalam semua keadaan. Kita perlu sentiasa peka
dan prihatin dengan keselesaan, keperluan dan perhatian rakan jemaah kita
supaya sama-sama dipermudahkan. Anggapan bahawa rakan jemaah yang sakit,
perlahan atau sebagainya akan mengganggu atau melambatkan kerja-kerja ibadah
kita perlu dibuang jauh-jauh sebagai tanda kasih sayang dan perasaan ambil
berat.
Namun, ketidaksabaran dan
mementingkan diri sendiri semasa di Mekah dan Madinah yang lebih ketara. Jika
di Mekah dan Madinah kita datang dengan tujuan untuk beribadah, iaitu
menyempurnakan Rukun Islam yang kelima, kita masih sukar untuk mengawal diri,
menolak-nolak, merempuh dan sebagainya, apa akan kita lakukan ketika di Padang
Mahsyar nanti. Suatu tempat di mana seluruh manusia sejak dari Nabi Adam
dikumpulkan dengan satu tujuan iaitu untuk dihisab segala amalan. Ya
Allah…suatu gambaran yang sangat mengerikan.
Arafah, Muzdalifah dan
Mina secara berasingan memberi pengalaman yang berbeza. Paling tidak, kita
dapat merasai kesukaran dan kesusahan ketika mana dalam keadaan terhad dan
terbatas, tetapi dalam masa yang sama perlu menjaga perkara yang asas iaitu
kewajipan. Terutamanya solat lima waktu, dalam keadaan apa sekalipun tetap
perlu dijaga dan tidak boleh dilalaikan. Dengan lain perkataan, kewajipan agama
perlu sentiasa menjadi keutamaan dalam kehidupan.
Selain itu kami dapat
rasakan juga bahawa kita tidak boleh berprasangka dan berkira dengan Allah.
Allah tidak memerlukan apa yang kita ada kecuali ketakwaan kita. Setiap masa kami
diajar berkenaan keikhlasan, sentiasa redha dan yakin bahawa Allah ada, Allah
Maha Mendengar, Allah Maha Penyayang dan segalanya. Setiap apa yang kami lakukan
perlu terus merujuk kepada Allah dan Allah semata-mata. Usaha berdoa, redha dan
ikhlas menjadi tunjang kepada keyakinan bahawa Allah Maha Mendengar dan Maha
Penyayang.
Aktiviti yang dilakukan
semasa di Mekah dan Madinah menunjukkan bahawa manusia tidak boleh lari dari
hiburan dan kesukaan kepada kecantikan dunia. Ketika berada di Masjidil Haram
yang jaraknya hanya ratusan meter sahajapun kami tidak mampu memanfaatkan
sepenuhnya. Walaupun sudah dijanjikan setiap kebaikan diberi ganjaran 100 ribu
kali ganda masih lagi tidak dapat menarik perhatian kami sepenuhnya. Ada ketikanya
kami bersembang-sembang di restoran minum-minum dan makan. Ada ketikanya kami
leka melihat kedai-kedai dan membeli barang. Ada ketikanya pula kami hanya
duduk di dalam bilik. Semua ini memberi gambaran tentang kelemahan kami yang
perlu diperbaiki, serta memanfaatkan peluang yang ada sebaik mungkin.
Salah satu perkara yang
penting dalam melakukan ibadah ialah kesihatan. Hadith Nabi SAW ada menyebutkan
berkenaan tentang rebutlah lima perkara sebelum datang yang lima. Ketika sakit
demam selsema dan batuk-batuk saya benar-benar rasa terganggu untuk memberi
tumpuan beribadah. Apabila mengambil ubat badan pula rasa lemah, mengantuk dan
malas untuk bergerak. Ini mengingatkan kami kepada kealpaan diri untuk sentiasa
menjaga kesihatan, menjaga pemakanan, dan sentiasa bersenam. Tanpa kesihatan
yang baik pergerakan kita untuk beribadah akan terganggu atau terbatas.
Kesihatan yang terganggu
juga mengajar kami erti redha dengan ketentuan Allah. Setiap orang diuji dengan
pelbagai perkara dan pelbagai cara. Apa yang ingin disampaikan adalah bagaimana
kita menghadapi ujian tersebut dalam suasana redha dan ikhlas. Apa tindakan
yang bersesuaian yang perlu diambil, tingkah laku penyesuaian yang perlu
dilakukan, dan kesediaan untuk sentiasa berfikiran positif merupakan antara
indikator kepada perasaan redha dan ikhlas tersebut. Perasaan redha dan ikhlas
itu pula merupakan suatu kefahaman dan kemahiran yang perlu dipelajari
sehinggalah dikuasai.
Seperkara yang juga
penting ialah kerjasama antara suami dan isteri. Ketika beribadah mengerjakan
haji kedua-dua suami dan isteri perlu saling membantu ataupun ingat
mengingatkan. Jika suami atau isteri hanya memberikan fokus kepada ibadah
masing-masing sahaja dikhuatiri kita akan terlepas pandang keperluan-keperluan
khusus yang diperlukan. Malah, melalui kerjasama tersebut dapat menunjukkan
sejauh mana kasih dan sayang kita kepada pasangan masing-masing.
Selama 39 hari berkelana,
membaca ayat-ayat alQuran tanpa henti memberi suatu kenikmatan tersendiri
berkenaan kitab suci Allah itu. Walaupun tidak difahami langsung maknanya
tetapi saya berasa tenang, aman, dan kadang-kadang tersentuh ketika membacanya.
Kalau tidak membacanya setiap hari terasa seperti kehilangan sesuatu.
Mudah-mudahan perasaan tersebut terus wujud dalam diri saya dan isteri
sehinggalah ke akhir hayat kami dan diteruskan oleh anak-anak kami.
Selain itu, pengalaman
selama 39 hari di Mekah dan Madinah itu juga mengajar kami erti kesukaran
melembutkan hati. Kami dapati hati memang terlalu sukar untuk ‘dijinakkan’
daripada perasaan-perasaan keduniaan. Hati sentiasa liar dengan kesombongan,
bangga dengan ilmu yang diberi, tidak hormat dan sentiasa memandang rendah
orang lain, merasa diri lebih tahu daripada orang lain, dan sukar memandang
orang lain dengan pandangan persaudaraan Islam. Namun, saya bersyukur
mempelajari sesuatu yang sangat bermakna bahawa perjuangan ‘menjinakkan’ hati
merupakan suatu perjuangan yang panjang dan merupakan suatu jihad.
Secara peribadi juga kami ingin
mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan tahniah atas kelancaran dan
kecekapan TH menguruskan pergerakan jemaah mengerjakan haji sejak daripada
proses menawarkan tempat, memberikan kursus-kursus, bimbingan akhir,
menguruskan hari keberangkatan, hari-hari semasa di Mekah, Arafah, Muzdalifah,
Mina dan Madinah dan seterusnya keberangkatan balik sehinggalah keluar daripada
KLIA. Suatu proses pengurusan yang bukan mudah, menguruskan puluhan ribu jemaah
Malaysia, di celah-celah jutaan jemaah seluruh dunia memang memerlukan
kesabaran, kecekapan, dan kesungguhan yang tidak sedikit. Syabas TH, syabas
petugas-petugas dan semua jemaah haji yang secara umumnya mendapat manfaat
semasa menyempurnakan pekerjaan haji masing-masing.
Secara mudahnya, apa yang
boleh kami gambarkan daripada pengalaman ini seoalah-olah seperti sebuah buku.
Pekerjaan umrah boleh diibaratkan sebagai kata penghantar, haji pula sebagai
isi kandungan, dan penutupnya sahaja yang berbeza-beza mengikut orang. Semuanya
bergantung kepada bagaimana kita melaluinya dan menjadikannya sebagai suatu
proses pembelajaran meningkatkan kualiti diri ke tahap yang lebih tinggi. Inilah
yang akan dibawa seterusnya dalam kehidupan sehari-hari semasa bekerja, hidup
di dalam rumahtangga, bermasyarakat dan sebagainya.
Mudah-mudahan dengan melalui
pengalaman tersebut menjadikan kita seorang individu yang berakhlak mulia,
seorang pekerja yang jujur dan ikhlas, seorang ahli keluarga yang saling
menyayangi, seorang ahli masyarakat yang saling membina, seorang rakan yang
menyenangkan dan yang terpenting seorang hamba Allah yang sentiasa bertakwa.
Maka bermulalah
episod baru dalam hidup kami iaitu mengekalkan nilai-nilai keIslaman yang
dipelajari daripada pengembaraan haji secara istiqamah. Suatu tugas yang lebih
sukar berbanding mengerjakan haji itu sendiri. Mudah-mudahan dengan sedikit
perkongsian ini dapatlah menerbitkan rasa keterujaan semua untuk turut melalui episod
pengalaman mengerjakan haji secara langsung. Dengan cara itu pula mudah-mudahan
juga dapat mencetuskan idea untuk saling mempertingkatkan lagi kualiti ibadah
kepada Allah.
Mohon maaf atas segala kekurangan dan kesilapan. Sesungguhnya semua
kelemahan dan kekurangan berpunca daripada kami semata-mata dan yang terbaik
adalah daripada Allah.
Mengubah Cabaran Menggapai Keredhaan Allah yang hakiki.
Dari Allah kami datang dan kepadaNya kami kembali.
Insha Allah.
Johor Bahru, Johor, Malaysia
September 2019
1440 Hijrah