Alhamdulillah seperti biasa terjaga sekitar jam 2.30 pagi. Terus kejutkan isteri di
bilik sebelah, tetapi dia hanya bersolat di bilik sahaja dengan rakan-rakan
sebilik dia. Cuma pagi ini agak lebih istimewa kerana terjaga tanpa alarm
telefon. Macam biasa, bilik sibuk kerana semua bersiap untuk solat subuh
berjamaah di Masjidil Haram. Badan pun mula terasa semakin segar dari demam.
Harap-harap semakin segar.
Sekitar jam 3 pagi mula
gerak ke Masjidil Haram untuk bersolat subuh. Masuk masjid terus ke hentian zamzam.
Macam biasa, minum zamzam hilangkan dahaga sambil mengisi 3 botol kecil air
zamzam dan juga botol semburan muka. Lepas itu terus bergerak perlahan-lahan
mengikut arus pergerakan jemaah hinggalah mendapat tempat kosong untuk
beriktikaf dan bersolat.
Pagi ini seperti biasa
sudah ada jemaah yang bersidai di beranda sambil merekodkan aktiviti di dataran
Kaabah di bawah. Dan ada pula yang hanya berselfie dengan berlatar belakangkan
Kaabah. Cuma mereka tak perasan jemaah makin lama makin penuh dan padat dalam
saf. Ada beberapa jemaah yang berselfie tadi terpaksa melangkah saf jemaah
untuk kembali ke tempat duduk asal mereka di belakang.
Terdapat juga jemaah
perempuan yang duduk bersama suami mereka di celah-celah jemaah lelaki yang
lain. Di sini memang dipermudahkan berkenaan saf antara lelaki dan perempuan
sebagai bebas samada di belakang ataupun di depan. Tetapi biasanya tidak
dibenarkan untuk duduk bercampur-campur dalam saf yang sama. Jemaah perempuan
tadi diarahkan untuk berpindah ke kumpulan jemaah perempuan sehingga berlaku
sedikit perbalahan dengan polis masjid.
Banyak cerita saya dengar
berkenaan polis Masjidil Haram yang dikatakan agak kasar dan tidak bertolak
ansur dengan para jemaah. Akan tetapi, melihat kepada gelagat jemaah tadi saya
rasa tindakan polis tersebut adalah betul. Bukan itu sahaja, mana jemaah yang
beriktikaf dan bersolat di laluan jemaah keluar masuk dan laluan tawaf juga
akan diminta untuk berpindah. Kalau tidak diurus sedemikian jemaah akan duduk
di mana-mana mereka suka hingga boleh menyebabkan keadaan menjadi tidak
terkawal. Tambahan pula, menangani ribuan jemaah yang datang daripada pelbagai
negara dengan pelbagai perangai bukanlah sesuatu yang mudah. Mudah-mudahan
untuk seterusnya jemaah-jemaah lebih bijak dan faham supaya memudahkan
kerja-kerja polis masjid.
Pagi ini juga seperti
hidayah kerana hujan turun dengan lebatnya. Sepanjang berada di Mekah ini belum
pernah lagi saya melihat hujan. Akan tetapi hujan tersebut turun hanya ‘sekali
lalu’ dan hanya jemaah yang bersolat di dataran Kaabah, di luar masjid yang
tidak berbumbung dapat merasa titisan hujan berkenaan. Saya yang di tingkat 2
tak dapat merasakan titisan hujan tersebut. Alhamdulillah, terasa nyaman
sedikit cuaca di Mekah.
Saf jemaah semakin padat.
Ada segelintir jemaah yang datang lewat mulai melompat-lompat saf dan menyelit
untuk duduk. Kadang-kadang tindakan menyelit-nyelit menyebabkan jemaah yang
sedia ada duduk terpaksa mengalah. Malah terdapat juga jemaah yang mengalah dan
bangun mencari tempat lain. Bila dah bersempit-sempit sedemikian ibadah solat
menjadi tidak khusyuk dan membaca alQuran juga menjadi tidak selesa. Malah
dalam masa yang sama kita telah menyusahkan jemaah sedia ada duduk di situ,
hingga kadang-kadang ada yang terpaksa mengalah.
Pagi ini ada seorang jemaah
yang menyelit di sebelah saya walaupun sudah sedia sempit. Perlahan-lahan saya
belajar macam mana nak bertolak ansur dengan memberi sedikit ruang kepada
jemaah yang datang menyelit. Akhirnya dapat juga saya memujuk hati untuk ikhlas
bersempit-sempit dan lama-kelamaan bukan berasa geram atau marah , tetapi menjadi
seronok kerana sama-sama bersempit.
Selesai solat subuh dan
jenazah saya terus bergerak keluar untuk balik ke hotel. Hasrat ingin membeli
sarapan tidak tercapai kerana terlupa membawa duit. Di sini memang saya tidak
pernah membawa beg duit kerana pengenalan diri saya sebagai seorang jemaah
telah ada pada gelang rantai TH yang saya pakai. Selain itu beg galas kuning
berlogo Maybank dan TH memang menjadi tanda pengenal yang umum bagi jemaah
daripada Malaysia. Biasanya saya hanya membawa duit jika ingin membeli.
Terus balik ke hotel dan
kad hotel pun tertinggal di dalam bilik. Saya hanya dapat menumpang bilik
berhadapan bilik saya untuk menggunakan bilik air mereka. Setelah itu menunggu
hinggalah rakan sebilik balik dari masjid.
Pagi ini hanya bersarapan
di restoran hotel dengan isteri. Kami makan apam dan dadar gulung untuk
mengalas perut. Selepas itu naik ke bilik untuk membasuh pakaian. Alhamdulillah
selesai membasuh saya terus jemur pakaian di tali penyidai yang saya ikat
sendiri. Tali penyidai yang saya buat sekitar 2 depa dan 2 tali, cukup untuk
saya dan isteri menyidai pakaian kami. Sebab itu, semasa menyidai kami menggunakan
penyangkut baju supaya tidak menggunakan ruang yang besar. Malah dengan
menggunakan penyangkut baju pakaian lebih cepat kering. Cuma semasa menyidai
saya perlu menyepit penyangkut tersebut pada tali supaya tidak diterbangkan
angin.
Pagi ini tak banyak yang
boleh dilakukan selain berwirid dan membaca alQuran di bilik sahaja. Kalau
masih di dalam Masjidil Haram memang banyak boleh dilakukan. Saya dan isteri
pergi ke pejabat TH di hotel sebelah untuk mengeluarkan duit. Proses keluar
duit sangat mudah. Saya hanya perlu menggunakan kad tanda nama TH yang
dibekalkan sebagai bukti untuk pengeluaran. Tak perlu isi borang, tetapi terus
ke kaunter dan tanda tangan pada borang yang telahpun dicetak. Duit yang
dikeluarkan terus dalam nilai Saudi Rial (SR) dan akan ditolak terus daripada
akaun TH kita di Malaysia.
Selepas itu balik ke hotel
semula dan terus ambil pek makan tengahari untuk mengelakkan kesesakan kalau
ambil selepas zohor. Saya dan isteri makan tengahari terlebih dahulu sebelum
zohor supaya dapat datang awal ke surau hotel. Selesai makan tengahari saya
terus ke surau hotel untuk berjamaah. Dapatlah saf depan kerana agak awal dan
terus dengan aktiviti biasa iktikaf seperti solat-solat sunat dan membaca
alQuran.
Solat asar pun masih di
Masjid Bukit kerana tak tahan dengan cuaca panas dan badan pun masih belum
segar sepenuhnya daripada demam. Masjid Bukit pun sekarang ini sudah perlu
datang awal kerana jemaah semakin ramai. Saya datang awal 40 minit, dapatlah
saf depan dan tidak terlalu sempit. Selepas solat asar terus balik hotel dan
berehat sebentar sambil menunggu maghrib dan isyak.
Maghrib dan isyak pun
masih di Masjid Bukit. Sebelum bergerak saya meminta isteri yang mengambil pek
makan malam kerana dia bersolat di dalam bilik. Sepanjang perjalanan ke Masjid
Bukit semakin banyak botol-botol kosong dan sampah dibuang ditepi-tepi jalan.
Mungkin kerana jemaah yang semakin ramai datang maka semakin banyak sampah
dibuang merata-rata. Walaupun ada tong sampah disediakan tetapi masih ada
jemaah yang membuang merata-rata. Pekerja kebersihan sentiasa ada di
jalan-jalan untuk sentiasa membersihkan sampah-sampah yang dibuang.
Perihal pekerja kebersihan
ini pula, kerap saya lihat mereka hanya berdiri dan menyapu sedikit-sedikit
sambil menunggu sedekah daripada jemaah. Ini terutamanya semasa waktu solat
fardhu di mana jumlah kepadatan jemaah lebih tinggi. Perhatian mereka lebih
kepada sedekah yang akan diberi oleh jemaah. Namun, perkara yang perlu
diperhatikan oleh jemaah sentiasa ialah dengan membantu menjaga kebersihan kota
suci ini daripada dikotori dengan sampah.
Selepas solat isyak saya
terus balik ke hotel untuk makan malam. Sebelum naik ke bilik saya singgah di
klinik TH untuk memeriksa kesihatan. Sakit demam belum sembuh sepenuhnya dan
sudah mula rasa tekak perit dan selsema. Doktor mengesahkan ada jangkitan pada
tekak saya dan memberikan panadol untuk demam dan sebotol ubat batuk untuk
batuk dan sakit tekak. Selepas makan malam terus siap-siap untuk tidur. Sebelum
tidur saya mengambil ubat panadol untuk demam dan ubat sakit tekak dan selsema.
Mudah-mudahan esok dapat bangun pagi dan berjamaah subuh di Masjidil Haram.
Alhamdulillah selesai Hari 9 di Mekah al Mukarramah.
Mudah-mudahan hari-hari seterusnya bertambah mudah dan baik, Insha Allah.
6 Ogos 2019
No comments:
Post a Comment