Alhamdulillah masih mampu terjaga sekitar jam 3.30 pagi. Walaupun sedikit lambat tapi
masih sempat untuk bersiap-siap ke masjid. Mudah-mudahan kebiasaan bangun pagi
seperti ini boleh diteruskan di Malaysia nanti. Boleh bersolat-solat sunat
malam, tahajjud dan sebagainya, Insha Allah. Hari ini hari terakhir kami
berkelana di bumi Mekah dan Madinah. Kami dijadualkan bergerak ke lapangan
terbang Madinah sekitar jam 12 tengah malam. Suatu perasaan yang
bercampur-campur antara sedih dan gembira.
Pagi ini dapat tempat
beriktikaf yang biasa. Terus dengan aktiviti rutin sambil menunggu solat subuh.
Sesekali memerhati sekeliling dan jemaah sudah mulai penuh. Saya perhatikan
jemaah di hadapan saya sedang bersolat sunat, tetapi solat 4 rakaat dengan 1
salam. Ada juga yang solat sunat 2 rakaat sangat cepat dengan tidak ada
timakninah, terutamanya semasa rukuk, iktidal, sujud dan duduk antara dua
sujud.
Sama juga seperti bersolat sunat
dengan duduk yang biasa saya perhatikan sejak dari Masjidil Haram hinggalah di
Masjid Nabawi ini yang kelihatan asing dan pelik kepada saya yang masih kurang
pengetahuan. Pelbagai gaya dan cara boleh diperhatikan kerana jemaah berasal
daripada pelbagai negara seluruh dunia. Mudah-mudahan apa yang kami lakukan di
sini diterima Allah hendaknya.
Selesai solat subuh dan
solat jenazah terus balik ke hotel untuk sarapan dan menguruskan beg-beg besar
untuk ditimbang dan dipunggah ke lori. Saya pun memeriksa semula beg-beg saya
dan isteri untuk memastikan semuanya kemas dan tidak ada yang koyak atau pecah.
Selain itu untuk memastikan tidak ada lagi yang tertinggal.
Proses menimbang agak
kelam kabut. Kawasan lobi sesak dengan jemaah dan beg-beg. Lif-lif pula menjadi
sesak dan masa menunggu menjadi lama. Arahan pertama sebenarnya menetapkan
hanya jemaah KT48 sahaja yang akan menimbang beg. Dan proses menimbang pun
mengikut tingkat demi tingkat. Setelah selesai barulah giliran jemaah KT49.
Tetapi semasa proses menimbang dilaksanakan tidak ada kawalan ataupun petugas
yang mengawal arahan tersebut dipatuhi. Oleh itu jemaah berpusu-pusu dengan
beg-beg besar menyebabkan di lobi tempat menimbang menjadi kelam kabut dan lif
menjadi sesak.
Mengharapkan semua jemaah faham
arahan proses menimbang beg mungkin kurang sesuai. Kebanyakan jemaah adalah
jemaah ‘veteran’ yang kadang-kadang sibuk mengemas beg sahaja tanpa
mempedulikan apa arahan yang diberikan. Saya sendiri sekali sekala membantu
jemaah-jemaah yang lebih tua daripada saya untuk menimbang beg-beg mereka.
Mereka kebanyakan sudah uzur dan tidak mempunyai tenaga untuk mengangkat beg
besar. Ketika ini bantuan dan kerjasama jemaah yang lebih bertenaga amat
diperlukan.
Akhirnya, sudah mula ada jemaah
yang marah-marah kepada petugas TH kerana tidak menyusun proses menimbang
dengan sistematik. Itu belum lagi keadaan jemaah yang terpaksa membuka semula
beg mereka kerana terlebih berat. Semuanya dilakukan di lobi hotel yang
sememangnya kecil dan sempit. Alhamdulillah berkat kesabaran petugas TH,
perlahan-lahan proses menimbang beg selesai.
Sekitar jam 11.40 pagi kami dah
mula bergerak ke masjid untuk solat zohor. Kerja-kerja rutin seperti biasa, dan
yang paling utama dilakukan membaca alQuran. Selesai solat zohor dan asar kami
terus balik ke hotel. Cadangan dengan isteri kami untuk makan tengahari di
restoran Bangladesh nasi bariani kambing terpaksa ditunda kerana restoran penuh
dengan jemaah sedang makan. Kami hanya makan pek makan tengahari TH di bilik
masing-masing.
Solat asar macam biasa di masjid
dengan kerja-kerja rutin lengkap setiap kali masuk ke masjid. Selepas solat
asar kami terus bergerak ke pintu Babussalam untuk membuat ziarah perpisahan.
Bila dalam keadaan serentak dengan ribuan jemaah, melalui pintu tersebut
memerlukan masa yang lama. Semasa bergerak dalam keadaan berhimpit-himpit
sedemikian kita hanya perlu mengikut arus pergerakan sahaja dan tidak bolah
mengikut arah kita sendiri. Daripada ingin mengucapkan selamat tinggal kepada
Rasulullah SAW, Abu Bakar dan Umar saya hanya mengikut arus pergerakan jemaah
sambil berdoa supaya dipertemukan semula di masa akan datang. Saya sendiri
memang tidak berpeluang langsung untuk berhenti dan berdoa serta mengucapkan
selamat tinggal. Berdoa sambil berhimpit-himpit hinggalah keluar daripada pintu
berkenaan.
“Ya Allah…pertemukanlah aku lagi dengan kekasihMu ini dan
sahabat-sahabatnya. Jemputlah kami…dan peliharalah kami selepas ini supaya
dapat sentiasa istiqamah dalam melaksanakan apa yang diajarkan oleh
NabiMu…Insha Allah”
Selepas melakukan ucapan selamat
berpisah dengan Rasulullah SAW dan Sahabat-sahabatnya, saya, isteri dan Haji
Sarjan dan isteri, Haji Azhar dan isteri, Haji Wan dan ibu sempat melihat-lihat
sekitar Masjid Nabawi dan mengambil gambar kenang-kenangan.
Selepas itu kami terus ke restoran
tengahari tadi untuk makan nasi bariani kambing. Alhamdulillah, kali ini kami
dapat makan. Selepas makan kami terus balik ke bilik untuk berehat sebentar
sebelum bersiap-siap untuk solat maghrib pula.
Seperti biasa kami bergerak awal ke
masjid. Kami sempat melihat petugas-petugas sedang memunggah beg-beg jemaah ke
dalam treler panjang. Memang banyak beg jemaah-jemaah. Kesemua beg jemaah akan
terus di di bawa ke lapangan terbang Madinah, diperiksa masuk, dan dimasukkan
ke dalam kargo. Jemaah hanya perlu memngambil beg-beg mereka ketika tiba di
KLIA nanti. Semuanya telah diuruskan dengan baik oleh TH.
Kami tiba agak awal ke masjid dan terus
dengan aktiviti rutin kami beriktikaf di dalam masjid sambil menunggu waktu
maghrib. Aktiviti di dalam masjid sentiasa meriah dengan jemaah beriktikaf. Di
mana-mana sudut di dalam masjid ada sahaja aktiviti seperti belajar membaca
alQuran, tahfiz, kumpulan kanak-kanak yang belajar membaca alQuran, aktiviti
mentafsir alQuran, sirah Nabi dan seumpamanya. Aktiviti-aktiviti ini menjadikan
masjid sentiasa hidup dan meriah.
Alhamdulillah saya berjaya
menghabiskan bacaan dan khatam sekali semasa mengerjakan haji. Semasa tiba di
Mekah dahulu saya menyambung bacaan yang bawa daripada Malaysia. Selepas itu
saya mulakan bacaan yang baru hinggalah selesai dan khatam hari ini. Saya
membuka bacaan baru dan akan saya teruskan sehingga balik Malaysia. Inilah
antara amalan yang sentiasa saya ingatkan kepada anak-anak saya sepanjang masa
supaya sentiasa menjadikan ibadah membaca alQuran sebagai aktiviti harian tanpa
henti sehinggalah mati. Dibaca berulang kali tanpa henti. Mudah-mudahan dapat
mereka amalkan, Insha Allah.
Selepas solat isyak dan solat
jenazah saya dan Haji Sarjan terus balik ke hotel untuk makan malam dan
berkemas-kemas untuk balik ke Malaysia. Jemaah dikehendaki berkumpul di lobi
mulai jam 9 malam. Saya telahpun berkomunikasi dengan anak-anak yang akan
mengambil saya di KLIA berkenaan dengan waktu penerbangan daripada Madinah dan
juga waktu ketibaan di KLIA.
Saya juga mengingatkan supaya
anak-anak untuk mempunyai rehat dan tidur yang cukup sebelum mengambil saya dan
isteri kerana kami dijangkakan tiba di KIA sekitar jam 2 petang. Oleh kerana
kami akan terus balik ke JB sebaik sahaja tiba maka rehat dan tidur yang cukup
sangat penting ketika memandu nanti.
Setelah semuanya sedia kami mula
menaiki bas sekitar jam 9.30 malam mengikut bas masing-masing yang telahpun
diberikan nombor. Jemaah telah diingatkan untuk hanya membawa 1 beg kabin dan 1
beg galas semasa menaiki kapal terbang. Namun saya perhatikan ramai jemaah yang
mempunyai lebih daripada 1 beg. Ada yang 2 beg dan ada yang 3 beg. Petugas TH
hanya memerhatikan dengan tersenyum. Masalah akan timbul sekiranya ada jemaah
membawa lebih daripada 1 beg semasa meletakkan barang di ruang menyimpan barang
dalam kapalterbang.
Bas mula bergerak sekitar jam 10.30
malam terus ke lapangan terbang Madinah dan ditempatkan di bangunan transit
yang hanya ada jemaah daripada Malaysia. Sementara menunggu untuk ‘check-in’
ada jemaah mengambil kesempatan untuk bersolat sunat di surau bangunan transit.
Semua gelang besi yang dipakai oleh jemaah diarahkan untuk dibuka dan disimpan
di dalam beg.
Agak lama juga kami menunggu dan
akhirnya sekitar jam 1.15 pagi jemaah mula bergerak ke terminal penerbangan
untuk daftar masuk. Pada ketika itu hanya penerbangan kami sahaja yang daftar
masuk. Setelah masuk kami terus ke balai berlepas pintu no 113 untuk menunggu
waktu penerbangan sekitar jam 4.10 pagi.
Alhamdulillah selesai Hari 39 saya di Madinah Al Munawwarah. Dengan masuk
ke dalam balai berlepas ini juga menandakan berakhirnya pengembaraan haji saya
dan isteri.
Tidak ada apa yang kami harapkan selain daripada Haji yang diterima dan
berupaya untuk menjaganya setelah balik ke Malaysia hinggalah ketika kami
dipanggil oleh Allah nanti.
Isha Allah.
5 September 2019
No comments:
Post a Comment