Tuesday, 21 April 2020

HARI 5 MEKAH AL MUKARRAMAH


Pagi ini alhamdulillah terjaga sekitar jam 2.40 pagi, tetapi masih kalah bangun awal dengan rakan sebilik yang paling senior abang Wan. Setiap pagi bilik kami riuh dengan bunyi ‘alarm’ rakan sebilik yang pelbagai.

Lepas terjaga terus tengok telefon dan kalau isteri belum whatsap saya terus kejutkan dia untuk bersiap. Sekitar jam 3 pagi saya dan isteri mula bergerak ke Masjidil Haram bersama-sama dengan ribuan jemaah yang lain. Sebagai hari-hari sebelumnya kami terus masuk melalui pintu biasa iaitu pintu Ajyad. Dengan lafaz ‘Tawakkal alallah’ saya simpan selipar saya dan isteri di rak yang disediakan di pintu masuk. Kalau tak silap semasa kami mengerjakan umrah pada 2016 belum ada rak kasut di pintu masuk Ajyad. Alhamdulillah, sekarang sudah disediakan.

Pasal menyimpan selipar pelbagai cara kami perhatikan. Seperti biasa, ada jemaah memasukkan selipar ke dalam beg plastik dan membawanya bersama ke dalam masjid. Kami hanya mengikut apa yang disarankan oleh Ustaz untuk tidak membawa kasut bersama ke dalam masjid kerana takut ada najis.

Masuk ruang solat saya mengarah ke kiri dan isteri ke kanan. Alhamdulillah kami dapat tempat bersolat dengan mudah. Ada sahaja jemaah yang memanggil kerana ada ruang kosong. Yang biasa kami lakukan ialah berjalan perlahan-lahan sambil meninjau ruang-ruang kosong. Seperti biasa ramai jemaah yang dah datang awal, malah ada yang berbaring, mungkin kerana penat duduk. Bila dah dapat ruang solat, aktiviti biasa berjalan, solat tahajjud, sunat taubat dan lain-lain, mana-mana yang sempat, termasuk membaca alQuran.

Pelbagai gaya jemaah membaca alQuran. Ada yang mengambil kerusi untuk duduk sambil membaca. Ada yang bersimpuh, dan ada yang berdiri. Mereka mungkin telah merasa penat untuk duduk. Saya sendiripun kadang-kadang membaca dengan memegang alQuran tetapi melunjurkan kaki kerana kepenatan duduk sambil menunggu iqamat.

Di Masjidil Haram azan dilaungkan 2 kali iaitu berselang sejam. Subuh sekitar jam 4 pagi lebih sedikit sekarang. Azan pertama dilaungkan mungkin untuk membangunkan penduduk Mekah untuk bersolat subuh. Ini kerana suara azan kedengaran ke seluruh kota Mekah, kerana sistem pembesar suara dipasang dipelosok jalan kota Mekah.

Pengalaman biasa, sekarang ini saya mulai boleh menerima kebiasaan jemaah yang melangkah barisan saf, lalu di hadapan orang bersolat dan seumpamanya. Memang kena redha keadaan sedemikian kerana kesesakan jemaah yang berlaku. Sebab itu kejadian jemaah melangkah bahu depan dan belakang memang kerap berlaku dan merupakan pandangan biasa.

Selesai bersolat subuh dan jenazah kami bergerak keluar masjid perlahan-lahan mengikut arus pergerakan jemaah. Walapun baru menghampiri jam 6 pagi, suasana sekitar Masjidil Haram telahpun terang benderang dan sibuk. Kami terus singgah di kedai-kedai pusat membeli belah Safwa, di bawah menara jam untuk membeli buah tangan kacang-kacang untuk dipos.

Setelah itu kami terus balik dan singgah di restoran zamzam untuk membeli kari kambing dan roti arab sebagai sarapan. Jemaah penuh makan di restoran berkenaan. Kami hanya bungkus dan makan di restoran hotel. Ramai jugak yang membeli bungkus kerana ruangan yang terhad di restoran berkenaan.  

Selesai sarapan kami terus masuk bilik hotel untuk berehat seketika sambil menunggu zohor. Rakan-rakan lain pun sudah ada di dalam bilik dan telahpun bersarapan sama seperti saya juga. Selepas itu saya mengambil kesempatan untuk membasuh pakaian sedikit supaya tidak banyak pakaian yang kotor. Di sini kami perlu basuh berselang 2 atau 3 hari kerana ruangan yang terhad. Kalau terlalu banyak pakaian yang dibasuh ruangan untuk menyidai tidak mencukupi. Sebab itu saya pastikan setiap 2 hari saya akan basuh pakaian, pakaian saya dan pakaian isteri. Masing-masing membasuh pakaian sendiri dan saya yang menjemur dan mengangkat pakaian di tempat penyidai.

Tempat menyidai dan menjemur pakaian di hotel adalah terhad. Walaupun disediakan perkhidmatan dobi, tetapi kos adalah tinggi. Oleh itu kebanyakan jemaah akan membasuh sendiri. Namun begitu, pihak hotel tidak membenarkan jemaah membuat tempat menyidai dengan mengikat tali. Akan tetapi, atas dasar persefahaman dengan pihak hotel,  pihak TH hanya menasihatkan supaya kalau perlu tali-tali yang diikat sebagai penyidai supaya tidak menghalang atau membahayakan. Maka berseliratlah tali-tali penyidai di bumbung hotel kerana masing-masing menggunakan tali masing-masing.

Pagi ini hari jumaat dan jemaah perlu bergerak awal ke Masjid sekiranya berhasrat untuk bersolat di dalam masjid. Sambil menunggu jam 9 pagi, saya turun ke lobi hotel dahulu untuk mengepos buah tangan yang telah dibeli ke Malaysia. Saya beli 1 set kotak dengan harga SR12 dan kos mengepos SR230 berdasarkan berat timbangan. Agak mudah kerana kos pengeposan semua ada dinyatakan oleh syarikat mengepos melalui poster-poster yang dipaparkan. Ada juga jemaah yang ingin lebih murah tetapi perlu membawa barangan mereka ke hotel bersebelahan. Pilihan masing-masing, dan saya hanya memilih mana-mana yang mudah sahaja.

Saya juga sempat membelikan wakaf alQuran untuk rakan-rakan yang mengirim khusus, iaitu seorang sebuah di Masjidil Haram dan seorang di Masjid Nabawi. Wakaf alQuran saya lakukan melalui mutawif TH yang bertugas kerana mereka lebih faham jenis naskhah mana yang  betul dan sesuai. Ini kerana, jika kita membeli naskhah yang tidak sama dengan naskhah yang diletakkan di dalam Masjidil Haram atau Masjid Nabawi, maka naskhah tersebut akan dikeluarkan daripada kedua-dua masjid berkenaan dan akan diwakafkan di masjid-masjid sekitar.

Sekitar jam 9.15 pagi saya dah mula gerak ke Masjidil Haram untuk solat jumaat. Adalah disarankan untuk bergerak 3 jam awal untuk membolehkan kita masuk dan bersolat di dalam masjid. Sampai di masjid semua pintu-pintu yang mengarah ke dataran kaabah, aras satu, dua dan tiga telah ditutup. Saya dan jemaah lain terpaksa terus naik ke tingkat bumbung. Alhamdulillah masih kosong.

Nasib tak berapa baik pulak hari ini saya terlupa membawa sejadah. Kawasan bumbung ni masih berlantai simen dan berhabuk dan tidak ada jubin. Keadaan sekarang masih awal lagi dan masih terdapat kawasan terlindung kerana ada bangunan tinggi-tingi sekitar masjid. Kebanyakan jemaah berkelompok di kawasan bayang-bayang bangunan sambil beribadah, bersolat dan mengaji alQuran. Jubah yang saya pakai pula berwarna putih. Namun, jam masih awal dan sebentar lagi matahari akan mula kelihatan dan suasana di bumbung akan panas.


Musim haji macam ini memang sudah dijangka, walaupun 3 jam awal keluar dari hotel, saya masih tidak dapat masuk ke tingkat bawah yang ada jubin dan karpet di setengah-setengah tempat. Sedapat mungkin saya cuba mendapatkan tempat yang teduh tetapi tidak terlalu berhabuk kerana jubah putih yang saya pakai. Alhamdulillah saya mendapat satu sudut yang agak teduh dan tidak terlalu berhabuk. Dapatlah saya bersolat-solat sunat dan membaca alQuran.

Agak mudah juga kerana saya sentiasa membawa beg kuning yang dibekalkan oleh TH yang berisi alQuran. Saya memang sengaja membawa beg kuning tersebut ke mana-mana sepanjang masa, selain untuk sebagai pengenalan diri supaya mudah dikenali, alQuran yang saya bawa membolehkan saya membacanya bila-bila masa dan di mana-mana sahaja di dalam masjid. Rak-rak alQuran memang terdapat di mana-mana sahaja di dalam masjid, tetapi kadang-kadang memerlukan kita untuk meminta jemaah lain untuk tolong mengambilkannya atau menyimpan semula. Oleh itu saya mengambil keputusan untuk membawa alQuran saya sendiri supaya lebih mudah.

Jam masih awal lagi. Walaupun baru jam 10 pagi suhu mulai panas, jemaah mulai semakin padat. Kawasan redup sebalik bayang-bayang bangunan tinggi semakin sedikit. Matahari mula kelihatan, maka kawasan yang masih redup menjadi sesak dengan jemaah. TH memang menyarankan supaya sentiasa minum air zamzam dalam setiap keadaan, terutamanya dalam keadaan yang panas macam ini. Saya memang sentiasa membawa 2 botol air zamzam, 1 botol untuk botol semburan muka, dan 1 botol lagi  botol mineral kecil untuk bekalan minuman. Selang beberapa minit saya akan pastikan saya minum air zamzam untuk mengelakkan dehidrasi. Sambil itu jika muka terasa panas saya akan sembur menggunakan botol semburan.

Sambil duduk berwirid saya sekali sekali membuat catatan perjalanan menggunakan telefon bimbit saya sehingga mendapat teguran daripada salah seorang jemaah perempuan yang bersolat betul-betul bersebelahan dengan saya. Dia malah sekali sekala menyemburkan air ke muka saya walaupun tanpa saya minta. Masjidil Haram merupakan satu-satunya masjid di dunia yang membolehkan perempuan untuk bersolat jumaat tanpa menggantikannya dengan solat zohor. Sebab itu ramai jemaah wanita sama-sama bersolat jumaat di sini.

Jemaah wanita tadi terus-terus menegur saya kerana menyangka saya sedang ‘bermain-main’ dengan telefon. Hanya apabila saya katakan saya membuat catatan perjalanan yang akan saya kongsikan kepada jemaah lain selepas ini barulah dia berhenti menegur.

Keadaan di kawasan bumbung Masjidil Haram semakin panas dan kawasan yang masih teduh sudah tiada. Waktu solat masih ada 1 jam lebih lagi. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk melakukan tawaf sunat sambil menunggu masuknya waktu solat. Dengan bertawaf sekurang-kurangnya saya bergerak dan tidak duduk statik, dan dapat mengurangkan kadar kepanasan.

Sangat menarik waktu bertawaf, ramai yang sukarela menghulurkan air zamzam kepada jemaah yang sedang bertawaf. Ada pula yang menyembur kepala jemaah yang bertawaf sebagai usaha mengurangkan kepanasan.  Benarlah janji Allah yang akan menjaga hambanya yang ikhlas. Alhamdulillah semasa bertawaf saya bertemu dengan rakan jemaah daripada Abang Man, geng golf JB yang memang saya kenal. Kami sama-sama bertawaf sehinggalah selesai 7 pusingan. Setelah selesai dia menawarkan saya untuk sama-sama duduk dengan dia. Dia mempunyai sejadah dan kain serban yang dibawanya pula kami gunakan untuk menutup kepala dari kepanasan matahari. Alhamdulillah kurang sedikit pancaran matahari sehinggalah masuknya waktu solat.

Sepanjang mendengar khutbah saya sekali sekala menyembur muka dan kepala dengan botol semburan air zamzam untuk mengurangkan kadar kepanasan yang ketika itu dianggarkan sekitar 45 darjah celcius. Dan inilah juga kali pertama saya gunakan spray air zamzam untuk menyembur selipar yang saya pakai untuk mengurangkan kepanasan. Selesai khutbah kami semua bersolat tanpa banyak masalah. Walaupun panas tetapi kami dapat menyelesaikan solat dengan sempurna.

Seperti mana biasa, pergerakan keluar masjid perlahan kerana kesesakan. Walaupun ada segelintir jemaah yang memotong barisan tetapi pergerakan agak lancar walaupun perlahan. Cuma ketika sampai di tangga escalator keadaan menjadi agak kelam kabut kerana ruangan semakin kecil dan jemaah mulai bertolak-tolak untuk turun dahulu.

Alhamdulillah semasa bersesak turun melalui tangga escalator tersebut saya diberi peluang untuk membantu jemaah perempuan yang sedang ditolak oleh anaknya turun menggunakan kerusi roda. Saya dan rakan saya tadi menawarkan diri untuk membantu turun menggunakan escalator dicelah-celah kesesakan sehinggalah sampai ke pintu keluar masjid.

Perjalanan balik juga lancar walaupun terdapat ribuan jemaah. Sepanjang perjalanan ada sahaja syarikat atau individu yang bersedekah air mineral untuk jemaah menghilangkan dahaga. Cuma agak menyedihkan kerana selepas diminum, botol-botol kosong bersepah-sepah dibuang di atas jalan raya. Alangkah baiknya kalau semua jemaah tahu mengamalkan kebersihan seperti membuang sampah di tempatnya, lebih-lebih lagi di Tanah Suci Mekah ini yang seharusnya dijaga kebersihannya sentiasa.

Sampai di hotel terus ambil pek makan tengah hari dan makan di dalam bilik. Rakan bilik menegur kenapa muka saya seperti ‘kehangusan’. Kami bersembang-sembang tentang pengalaman bersolat jumaat tadi, dan barulah mereka tahu kenapa muka saya kehangusan kerana bersolat di tingkat bumbung Masjidil Haram.

Lepas makan tengah hari saya mandi dan berehat sekejap sambil menunggu waktu asar. Badan dan kaki terasa letih sedikit. Mungkin penat semasa bertawaf dan solat jumaat tadi di bawah terik matahari. Penyudahnya saya cuma bersolat asar di surau hotel. Lepas solat saya duduk terus mendengar ceramah daripada ustaz TH berkenaan dengan perkara-perkara rukun dan wajib haji. Ceramah tersebut penting kerana mengingat semula kefahaman kerja-kerja haji yang akan dilalui tidak lama lagi. Daripada ceramah tersebut saya berpendapat, suatu perkara yang penting ialah untuk memastikan supaya haji yang akan saya lakukan merupakan haji yang sah. Ini kerana mengambil kira suasana musim haji yang penuh sesak dengan jutaan jemaah memungkinkan berlakunya perkara-perkara yang tidak dijangka yang boleh menjejaskan pekerjaan haji. Samada mabrur atau tidak kami serahkan kepada Allah dengan cara memastikan semua rukun dan wajib haji dilaksanakan dengan betul dan sah.

Selesai ceramah saya balik ke bilik sebentar sambil menunggu maghrib. Lepas solat maghrib di surau hotel saya terus mengambil pek makan malam dan makan di bilik sambil menunggu waktu isyak pula. Solat isyak pun masih di surau hotel. Mungkin masih rasa kepenatan ataupun masih ‘malas’ nak berjalan sedikit ke Masjidil Haram. Kaki sayapun sebenarnya masih terasa lenguh-lenguh. Maha Suci Allah yang Maha Mengetahui.

Selepas solat isyak terus balik ke bilik, bersiap-siap untuk tidur awal. Sebelum tidur, kaki yang lenguh-lenguh tadi saya sapukan minyak yokoyoko dengan doa supaya dapat menghilangkan lenguh-penguh tersebut dan dapat bangun bersolat subuh di Masjidil Haram.

Alhamdulillah selesai Hari 5 saya di Masjidil Haram. Setiap kali sebelum tidur saya berdoa supaya hari-hari seterusnya merupakan hari-hari yang lebih baik. Insha Allah…



2 Ogos 2019

No comments:

Post a Comment