Wednesday, 22 April 2020

HARI 23 MEKAH AL MUKARRAMAH


Alhamdulillah selesai umrah sunat sekitar jam 3 pagi. Akan tetapi saya dan isteri belum bergunting lagi kerana terlupa membawa gunting, dan ketika berakhir saei pula kami tidak dapat meminjam jemaah yang lain. Maka kami akan melakukannya sebaik sahaja sampai ke bilik hotel.

Saya dan isteri terus menunggu waktu subuh. Kami teruskan dengan aktiviti membaca alQuran sehinggalah subuh. Agak mengantuk sedikit kerana belum tidur lagi kerana baru habis mengerjakan umrah. Entah berapa kali saya terlelap semasa membaca alQuran sehingga tersasul-sasul.

Alhamdulillah, Islam memudahkan umatnya kerana saya tak perlu mengambil wudhuk semula walaupun tertidur kerana tidak disengajakan dan punggung tidak beralih. Namun seorang jemaah di sebelah saya sempat tidur berbaring, dan apabila azan subuh dia hanya bangun, duduk dan menyapu tapak tangannya berulang kali pada lantai masjid dan menyapukan tangannya ke seluruh anggota wudhuk seolah-olah sedang berwudhuk. Saya hanya memerhatikan dalam kehairanan. Mungkin itu yang difahaminya dan yang diajarkan di negaranya. Wallahuaklam.

Selesai solat subuh dan jenazah saya dan isteri terus ke restoran DSaji di Safwah untuk bersarapan dengan rakan setaman di JB, Haji Din. Oleh kerana Hj Din mempunyai gunting saya juga meminta bantuan dia untuk menyelesaikan kerja tahallul umrah yang belum selesai tadi.

Selesai sarapan terus balik hotel nak berehat sekejap kerana belum tidur dari malam tadi. Alhamdulillah dapatlah tidur sampai jam 10.20 pagi. Bilik saya sudah sibuk macam biasa. Ada yang membasuh pakaian, jalan-jalan di kedai sekitar hotel dan macam-macam. Saya masih lagi berbaring merehatkan badan.

Hampir waktu zohor saya bangun mandi dan bersiap-siap untuk solat. Hari ini solat zohor di surau hotel sahaja. Tidak seperti rakan sebilik saya Haji Mistam yang memang sentiasa bersolat di Masjidil Haram. Hari ini turun agak lambat dan saya terpaksa berjamaah pusingan yang kedua. Selepas solat terus makan tengahari di bilik sahaja denga rakan-rakan sebilik.

Pekerjaan biasa, membasuh pakaian setelah beberapa hari tidak membasuh. Kalau tidak kerap di basuh ia akan berbau dan tidak selesa kepada jemaah lain terutamanya rakan sebilik. Saya membasuh pakaian saya dan isteri membasuh pakaian dia di bilik. Biasanya saya akan menjemur pakaian saya dan isteri sekali supaya mudah. Kadang-kadang kami sengaja pergi menyidai sama-sama untuk mengisi aktiviti.

Sambil menunggu solat asar saya menyambung sedikit aktiviti membaca alQuran. Bila kerap dibaca diam tak diam sudah banyak yang dibaca dan mudah-mudahan saya boleh mengkhatamkan bacaan semua sebelum balik ke Malaysia.

Solat asar pun masih di surau hotel. Lepas solat asar sembang-sembang sekejap dengan rakan bilik sebelah, Haji Sarjan, Haji Azhar, dan Haji Wan sambil minum kopi panas dan biskut. Macam-macam teka teki ditanya, dan yang paling menarik ialah cerita kerani dengan buruh. Selain itu kami berkongsi-kongsi pengalaman sepanjang melaksanakan ibadah di Mekah.

Solat maghrib hari ini hanya di Masjid Bukit sahaja. Saya perhatikan setelah beberapa hari di sini, memang peraturan Saudi yang memastikan semua kenderaan di letak berjauhan dengan masjid. Ini memberi keselesaan kepada jemaah untuk datang dan berurusan di masjid. Kalau tidak diatur menggunakan peraturan mungkin keadaannya berbeza. Setelah meletak kenderaan di tempatnya semua berjalan kaki ke arah masjid. Saya rasa ini suatu pengajaran yang sangat baik. Kota Mekah sendiri merupakan kawasan larangan berkenderaan kecuali kenderaan tertentu seperti bas dan teksi.

Namun bila melihat keadaan di Malaysia, ada jemaah yang tidak peduli berkenaan dengan meletak kenderaan. Lebih-lebih lagi kalau musim hujan. Yang penting mereka boleh meletak kenderaan seberapa dekat yang boleh tanpa memikirkan peraturan meletak kenderaan. Kecuali jemaah-jemaah yang berkeperluan, setiap jemaah seharusnya mengambil iktibar dan pengajaran daripada sini. Wallahuaklam.

Sekarang ini terus iktikaf di dalam Masjid Bukit sambil tunggu isyak. Saya meneruskan aktiviti rutin bila beriktikaf seperti bersolat-solat sunat dan membaca alQuran. Sesekali regangkan kaki yang penat dan memusing-musingkan badan yang juga keletihan. Kadang-kadang bila perlu saya membaringkan badan untuk beberapa minit supaya belakang badan terasa lega. Semua jemaah yang beriktikaf melakukan perkara yang sama apabila keletihan.


Saya teringat kepada ‘sejadah sandar‘ (istilah yang saya beri) yang dijual untuk kegunaan jemaah. Sejadah ini apabila dibentang penuh, bahagian bawahnya boleh dibentuk segi tiga untuk dijadikan tempat bersandar. Sangat sesuai kepada sesiapa yang ingin beriktikaf lama di dalam masjid. Cuma agak berat untuk dibawa, dan harganya sekitar SR30-SR50, bergantung kepada kualiti dan kemahiran semasa proses tawar menawar.

Selepas selesai solat isyak terus balik ke hotel. Saya singgah juga untuk membeli ‘icecream’ dua set, untuk saya dan isteri. Sampai di bilik kami hanya makan sandwich butter sahaja dan tidak mengambil pek makan malam TH. Setelah 23 hari memakan makanan yang hampir serupa menu dan rasa maka kami sengaja makan sandwich malam ini untuk sebagai kelainan sahaja.

Jam menunjukkan pukul 10 malam dan saya bersiap-siap untuk tidur supaya dapat bangun awal esok pagi untuk subuh di Masjidil Haram. Alhamdulillah selesai Hari 23 di Mekah Al Mukarramah.

Mudah-mudahan hari esok lebih menggembirakan, Insha Allah.


20 Ogos 2019

No comments:

Post a Comment