Wednesday, 22 April 2020

HARI 22 MEKAH AL MUKARRAMAH


Alhamdulillah dapat terjaga sekitar jam 2.45 pagi. Terus kejutkan isteri untuk bersiap-siap ke Masjidil Haram solat subuh berjamaah. Perkataan jemaah dalam lif semalam masih lagi terngiang-ngiang di telinga, menguatkan lagi semangat saya untuk terus bangun dan bersiap-siap. Rakan-rakan dalam bilikpun semuanya sibuk bersiap-siap.

            Jam 3.30 pagi bergerak perlahan-lahan ke Masjidil Haram. Pagi ini tidak terlalu padat dengan jemaah seperti biasa. Sangat kelihatan jemaah yang ada di dalam masjid mulai berkurangan. Tak pasti kenapa. Mungkin sebahagiannya ada yang sudah balik, atau telahpun berada di dalam masjid, atau saya yang lambat. Alhamdulillah dapat masuk ikut pintu kebiasaan. Selepas meletakkan selipar di tempat biasa saya dan isteri terus masuk ke dalam masjid.

Mengenalpasti pintu masuk dan keluar sangat penting untuk memudahkan pergerakan kita keluar masuk. Papan tanda yang diberikan juga sangat membantu untuk kita mengenalpasti dan mengingat pintu mana kita masuk, dan ke mana arah pintu berkenaan. Kalau sudah dapat memahami perkara tersebut kita boleh sahaja bersolat di mana-mana di dalam Masjidil Haram. Insha Allah bila keluar kita tidak akan menghadapi banyak masalah, terutamanya kalau pergi bersama-sama dengan orang lain seperti saya yang pergi dengan isteri.

            Pergerakan rutin kami, singgah dulu di hentian zamzam untuk minum air zamzam sambil mengisi 3 botol kecil, termasuk botol penyembur wudhuk sebagai bekalan bila dahaga. Alhamdulillah kami dapat tempat beriktikaf dan bersolat menghadap ke Kaabah langsung. Aktiviti rutin diteruskan dengan bersolat-solat sunat dan membaca alQuran sehinggalah waktu subuh.

            Di dalam masjid sentiasa ramai yang masih berihram. Pelbagai urusan yang jemaah lakukan, samada menyelesaikan kerja haji yang belum selesai ataupun umrah sunat yang memang terbuka untuk dilaksanakan sepanjang masa selagi mampu. Inilah keindahan di sini yang memberi peluang seluas-luasnya jemaah untuk beribadah tanpa had, 24 jam sehari. Ganjaran yang dijanjikan oleh Allah mendorong semua untuk datang merebut peluang tersebut, samada yang wajib ataupun yang sunat.

            Cuma sekarang ini saya dapat rasakan fokus ibadah saya sudah tidak ‘setajam’ seperti semasa masih mengerjakan haji. Saya beranggapan mungkin kemuncak kepada fokus dan perhatian telahpun diberikan semasa menyempurnakan ibadah haji. Semoga Allah mengampuni dosa saya dan Dialah yang Maha Mengetahui apa yang ada di dalam fikiran dan hati saya.

            Semasa sedang menunggu solat subuh saya perhatikan ada sebahagian jemaah di hadapan saya tidak menghadap betul-betul ke arah Kaabah. Walaupun Kaabah benar-benar di depan mata mereka masih lagi gagal untuk mengarah ke Kaabah dengan tepat. Mungkin kerana terlalu mengikut saf jemaah yang sentiasa sesak sehingga menyebabkan saf yang dibentuk tidak lurus sama sekali. Ataupun kerana mungkin terlalu memaksakan diri untuk menduduki saf di hadapan sekali, walaupun telah terlalu sempit sehingga sukar untuk betul-betul menghadap ke Kaabah.

Saya boleh bayangkan kepada jemaah di seluruh dunia yang bersolat dari segala arah pelosok dunia yang tidak dapat melihat Kaabah secara langsung bagaimana sukarnya untuk mendapat ketepatan arah tersebut. Namun Allah lebih Mengetahui, daripada gerak hati semua hambanya yang bersolat sentiasa mengarah ke Baitullah, dan yang ini adalah 100 peratus tepat. Wallahuaklam.

Selepas selesai solat subuh dan solat jenazah saya dan isteri terus balik ke hotel untuk bersarapan. Kami membeli roti Pakistan SR1, agak keras di bahagian tengah tetapi lembut bahagian tepi. Kami makan dengan butter dan jem, dan air teh O panas sebagai sarapan pagi ini. Kami sekadar ingin mempelbagaikan jenis sarapan dan makanan supaya tetap berselera.

Sekitar jam 8 pagi saya dan isteri pergi membeli sedikit kurma, kacang-kacang, beberapa helai pakaian dan sejadah dan sedikit minyak wangi untuk buah tangan. Kami cuba selesaikan pembelian-pembelian buah tangan seawal yang mungkin supaya aktiviti ibadah boleh diteruskan dengan lancar sebelum bergerak ke Madinah.

Agak berat juga bila bawa balik ke hotel untuk dipos. Perjalanan sejauh 800 meter memang agak jauh untuk membawa barang-barang buah tangan seberat lebih kurang 10 kilogram. Sampai lobi hotel kami terus mengepos barang-barang tersebut. Kos pengeposan SR228.80 untuk barang dan juga harga kotak. Di lobi hotel kami hanya ada poslaju, dan di hotel berdekatan ada juga syarikat nationwide dan skynet. Alhamdulillah selesai mengepos barang buah tangan.

Selepas itu kami ke pejabat TH di hotel sebelah untuk mengeluarkan duit dan juga mengambil kain ihram yang telah 6 hari dihantar. Mengeluarkan duit memang tak lama, mudah dan cepat dengan hanya menggunakan kad tanda nama yang diberikan oleh TH. Alhamdulillah kain ihram saya dah siap. Cuma ada sepasang yang saya rasa tersalah set bukan milik saya yang diberikan oleh kedai dobi. Namun tidak ada apa yang boleh saya lakukan kerana sudahpun dipek dalam bungkusan.

Sampai balik ke lobi saya dan isteri terus mendaftar lawatan ke tanah halal Tanaem untuk mengerjakan umrah sunat pada jam 10 malam ini. Kami juga mendaftar sekali untuk lawatan yang sama untuk hari khamis pula. Amat mudah untuk mendaftar program lawatan sekitar kota Mekah yang dibuka sepanjang masa di lobi hotel. Mana-mana jemaah yang sudah biasa di sini mereka boleh juga pergi sendiri dengan menggunakan teksi tempatan.

Selepas itu terus berehat di bilik sambil sembang-sembang dengan rakan-rakan sebilik. Solat zohor dan asar hari ini pun masih di surau hotel. Batuk dan selsema masih lagi terasa. Dah rasa tak larat nak terus-terus makan ubat. Kahakpun masih banyak, masih berwarna hijau pekat, menyebabkan keadaan badan berasa kurang selesa kerana sentiasa batuk-batuk. Selepas asar cuma naik ke bilik dan berehat. Solat maghrib pun masih di surau hotel. Makan malam awal sedikit selepas maghrib. Selepas solat isyak terus bersiap-siap dengan kain ihram untuk ke tanah halal Tanaem tepat jam 10 malam ini.

Jam 10 malam terus naik bas tetapi masih terpaksa menunggu jemaah lain yang belum turun. Budaya yang biasa dilihat di Malaysia, iaitu tidak pandai menepati masa sehingga menyebabkan jemaah lain terpaksa menunggu.

Perjalanan ke Tanaem sebenarnya tidaklah jauh. Dalam keadaan biasa mungkin boleh sampai sekitar setengah jam sahaja. Tetapi ketika waktu haji sebegini pergerakan memakan masa lebih sejam untuk sampai kerana kesesakan bas-bas dan jemaah yang berulang alik.

Sampai sahaja di Tanaem kami terus masuk ke dalam masjid dan bersolat-solat sunat tahiyatul dan juga sunat umrah sambil berniat umrah sunat. Masjid Tanaem atau lebih terkenal dengan nama Masjid Aishah RA ini, mengambil nama sempena Siti Aishah RA mengerjakan umrah, agak unik. Sempadan tanah halal dan tanah haram betul-betul terletak di bahagian hadapan masjid. Kalau macam saya yang datang dari tempat letak kenderaan arah hadapan masjid memang kena melepasi masjid tersebut sebelum boleh berniat umrah. Kawasan letak kenderaan tersebut sebenarnya masih lagi berada di kawasan tanah haram. Dengan jarak hanya 7.5 km daripada Mekah menjadikan Tanaem sebagai titik miqat paling hampir dengan Mekah.

Jam menunjukkan pukul 11.25 malam. Suasana di Masjid Tanaem masih lagi riuh dan meriah dengan jemaah yang sedang melakukan solat-solat sunat dan sunat ihram serta berniat mengerjakan umrah. Karpet di dalam masjid penuh dengan habuk kain ihram dan berwarna putih di sana-sini. Mungkin elok juga kalau difikirkan karpet yang tidak melekat dengan habuk kain ihram seperti ini supaya mudah di sapu atau di bersihkan. Wallahuaklam.


Selepas itu bas terus bergerak balik ke Mekah untuk membolehkan kami meneruskan ibadah umrah. Alhamdulillah pekerjaan umrah kami seperti tawaf, saei dan bergunting dapat diselesaikan sekitar jam 3 pagi. Saya dan isteri terus iktikaf di dalam masjid sambil menunggu masuknya waktu subuh.

Alhamdulillah selesai Hari 22 di Mekah Al Mukarramah. Selepas selesai solat subuh dan solat jenazah kami terus balik ke hotel.

Mudah-mudahan hari esok lebih menggembirakan.


19 Ogos 2019

No comments:

Post a Comment