Wednesday, 22 April 2020

HARI 36 HARI KEDUA DI MADINAH AL MUNAWWARAH


Alhamdulillah terjaga macam biasa sekitar jam 3 pagi. Di sini agak lambat sedikit bergerak kerana Masjid Nabawi dekat dan tidak mengambil masa yang lama untuk sampai. Jam 3.40 pagi terus siap-siap untuk ke masjid. Sekarang ini pergerakan saya ke masjid lebih kerap dengan rakan sebilik Haji Sarjan, dan isteri pula dengan rakan sebiliknya isteri Haji Sarjan, Haji Mistam dan isteri Haji Wan. Terutamanya isteri Haji Wan yang memang perlu dibawa bersama pergi dan balik masjid kerana kurang yakin untuk bersendirian. 


            Saya cuma menasihati isteri saya untuk sentiasa bersama membawa isteri Haji Wan pergi dan balik dari masjid. Malah, dia juga kurang selera makan kerana sudah muak dengan pek makanan TH. Keadaan isteri Haji Wan semasa di Mekah pun sudah sedemikian. Dan Alhamdulillah, apabila tinggal sebilik dengan isteri saya dia membantu isteri Haji Wan untuk sentiasa menjaga makan dan kesihatan supaya boleh sentiasa ke masjid. Mudah-mudahan bantuan isteri saya itu mendapat ganjaran berlipat ganda daripada Allah. Pagi ini pun kakak hajjah tersebut terjatuh kerana dirempuh oleh jemaah semasa keluar daripada masjid. Benjol kepala dia. Saya terus menggalakkan isteri untuk sentiasa bersama kakak hajjah tersebut sepanjang berada di sini.

            Masuk masjid terus lakukan perkara yang rutin, letak selipar di rak, minum zamzam, solat-solat sunat dan membaca alQuran. Selesai solat subuh dan solat jenazah terus balik hotel untuk bersarapan. Pagi ini sarapan kebab sahaja yang saya beli dari restoran di bawah hotel. Kami perlu bersiap-siap untuk aktiviti lawatan sekitar kota Madinah pula.

Bas bergerak sekitar jam 7.30 pagi. Tetapi sekarang sudah 7.40 pagi masih ada yang terlambat kerana macam-macam perkara. Tempat pertama lawatan ialah Masjid Quba’ berwarna putih. Masjidnya sederhana besar tetapi mempunyai karpet merah yang elok dan selesa untuk jemaah beriktikaf. Di luar masjid ramai penjual-penjual kurma dan barangan cenderhati. Salah satu tarikan yang utama di luar masjid ini adalah kumpulan ribuan burung merpati.

        
        
                             

         
         
                             

Selepas itu kami bergerak ke ladang kurma Majid. Ladang ini memang menjadi tempat tumpuan jemaah setiap kali berada di Madinah. Ketika ini tidak ada buah yang masak di pokok, hanya beberapa pokok sahaja yang mempunyai buah yang masih muda. Di dalam kedai dijual pelbagai jenis kurma untuk buah tangan jemaah. Harganya tidaklah semurah yang disangka. Saya dan isteri hanya melihat-lihat dan hanya membeli 2 kilogram kurma ajwa saiz besar. Selepas itu hanya duduk-duduk sambil menunggu lain-lain jemaah selesai membeli.

         

 Lokasi seterusnya ialah Jabal Uhud. Sepanjang perjalanan dapat dilihat pohon-pohon kurma yang hijau di tepi-tepi jalan. Terdapat saliran air yang dibina dibawah tanah untuk mengairi pokok-pokok tersebut. Ada pokok kurma yang sedang berbuah lebat, menambah cantik persekitaran di jalan-jalan.

Semasa di Jabal Uhud diceritakan kembali berkenaan peperangan Uhud yang berlaku antara tentera Islam dan tentera Quraisy di ketuai oleh Khalid Al Walid yang ingin membalas dendam kalah dalam peperangan Badar sebelum ini. Dalam peperangan Uhud ini Nabi SAW telah meletakkan sejumlah 50 pemanah di atas bukit dan mengarahkan mereka untuk tetap di situ walau apapun yang terjadi. Semasa berperang tentera Quraisy menghadapi masalah kerana adanya pemanah di atas bukit menyebabkan ramai tentera mereka terbunuh. Melihat keadaan sedemikian Khalid memerintah tentera Quraisy untuk berundur dengan meninggalkan harta-harta perang.

Apabila pasukan pemanah tersebut melihat harta rampasan perang maka mereka lupa pesanan Rasulullah SAW untuk tetap di situ. Seramai 40 orang daripadanya telah turun ke bawah dan menyertai tentera Islam di bawah mengumpul harta rampasan. Apabila Khalid melihat keadaan tersebut segera dia menyerang 10 orang pemenang yang tinggal serta mengambil tempat pemanah tersebut dan mula memanah ke arah tentera Islam. Rasulullah sendiri terjatuh ke dalam lubang yang digali oleh tentera Quraisy sehingga kakinya luka-luka. Namun setelah sedar Rasulullah menyusun semula pasukan dan menyerang semula dan berjaya menghalau tentera Quraisy balik ke Mekah.

            Peristiwa ini memberi banyak pengajaran. Mematuhi arahan, kesungguhan, keikhlasan, keberanian, tidak tamak, tidak mementingkan diri sendiri dan seumpamanya. Memang menyedihkan peristiwa ini kerana ramai tentera Islam yang syahid ketika itu.

            Tempat-tempat lain yang tak sempat dilawati adalah Masjid Qiblatain dan Masjid Khandak. Masjid Qiblatain mengingatkan kita ketika kiblat umat Islam diubah daripada arah ke Masjidil Aqsa  ke arah Kaabah. Manakala Masjid Khandak mengingatkan kepada peristiwa perang Khandak. Kami hanya lalu sahaja sambil mendengar penjelasan daripada seorang pemandu pelancong yang juga seorang pelajar yang sedang belajar di sini.


            Sampai di hotel terus berehat di bilik sambil menunggu zohor. Agak lewat bergerak sehingga laluan masuk ke dalam masjid penuh dengan jemaah. Saya hanya mampu bersolat di pintu masuk sahaja walaupun ada setengah-setengah jemaah yang merempuh masuk melepasi hadangan polis yang sedang berkawal. Selesai solat zohor saya terus balik ke hotel kerana tidak dapat ikut solat jenazah kerana berada di pintu masuk masjid. Terus balik ke hotel untuk berehat sebentar menunggu asar.

Saya bergerak awal sedikit ke masjid sekitar jam 3 petang. Alhamdulillah masjid masih lagi kosong dan dapat tempat solat yang selesa. Terus melaksanakan pekerjaan rutin, minum air zamzam, solat-solat sunat dan membaca alQuran menunggu asar. Selesai solat asar dan solat jenazah terus balik ke hotel untuk berehat.

Sempat minum teh dengan rakan-rakan sebilik, sembang-sembang sambil menunggu waktu maghrib. Kami keluar awal sekitar jam 6.10 petang ke masjid. Ruangan masjid masih kosong dan kami terus mencari tempat di bahagian hadapan di bawah bumbung berpayung. Semasa membaca alQuran ada jemaah yang meminta sedekah. Kadang-kadang ketika beriktikaf ada jemaah yang sibuk berbual dalam telefon dengan suara yang kuat sehingga menggangu jemaah yang berdekatan. Saya cuma mengandaikan dia sedang berbual dengan rakannya yang sedang mencari dia kerana tidak faham bahasa yang diucapkan.

Selesai solat maghrib dan solat jenazah saya teruskan iktikaf dengan sunat ba’da dan membaca alQuran sehinggalah solat isyak. Di kawasan Raudhah terdengar suara jemaah sedang berasak-asak untuk masuk dan juga suara polis yang sedang menguruskan pergerakan jemaah untuk memasuki Raudhah. Tempat yang kecil tetapi menjadi tumpuan ribuan jemaah untuk beriktikaf di dalamnya.

Sekarang ini saya sudah tidak mampu untuk berasak-asak dan berhimpit-himpit dengan jemaah untuk masuk ke Raudhah. Saya pernah sekali masuk beriktikaf di dalam Raudhah daripada sebelum subuh sehinggalah selesai solat subuh semasa mengerjakan umrah tahun 2016. Memang mengujakan. Insha Allah kalau diberikan kekuatan dan keizinanNya mungkin dapat saya masuk beriktikaf lagi.

Selesai solat isyak dan solat jenazah saya dan Haji Sarjan terus balik bilik kerana cadangan makan malam di restoran batal. Jemaah terlalu ramai dan tidak ada tempat kosong lagi. Kami makan malam di bilik sahaja sambil berbual-bual. Selepas itu terus bersiap-siap untuk tidur.

Alhamdulillah selesai Hari 36 di Mekah Al Munawwarah. Mudah-mudahan hari berikutnya merupakan hari yang lebih menceriakan, Insha Allah.



2 September 2019

No comments:

Post a Comment