Wednesday, 22 April 2020

HARI 33 HARI-HARI TERAKHIR DI MEKAH AL MUKARRAMAH


Alhamdulillah pagi ini badan terasa sedikit ringan semasa terjaga tetapi tekak masih lagi perit dan terasa pahit kerana tonsil saya masih lagi bengkak. Dengan keizinan Allah, antibiotik dan panadol ‘actifast’ yang saya makan malam tadi mulai menunjukkan kesan. Badan agak segar sedikit. Saya terus kejutkan isteri untuk sama-sama bersiap untuk solat subuh berjamaah di Masjidil Haram.

            Seperti biasa kami bergerak perlahan-lahan ke Masjidil Haram bersama dengan ribuan jemaah yang lain. Keindahan setiap pagi melihat jemaah daripada pelbagai negara, lelaki dan perempuan, tua muda bergerak bersama-sama menuju arah yang sama menyahut panggilan Allah untuk bersolat jamaah di dalam Masjidi Haram.


            Cara masuk Masjidil Haram pun pelbagai. Mana-mana jemaah yang bersedia untuk bersesak-sesak mungkin mereka akan pilih laluan masuk pintu King Abdul Aziz atau pintu Ismail yang hanya setingkat sahaja daripada dataran Kaabah. Manakala yang kurang selesa untuk bersesak-sesak seperti saya mungkin akan memilih laluan masuk seperti Ajyad yang terus ke tingkat yang kedua. Begitu pula jemaah yang lebih selesa untuk berjamaah di kawasan bumbung.

Bergantung kepada tujuan masuk juga, kalau hanya untuk bersolat jamaah mungkin boleh dipilih mengikut keselesaan. Mana-mana jemaah yang perlu atau berhajat untuk melakukan tawaf sahaja atau tawaf dan saei semasa haji atau umrah mereka memang akan memilih laluan masuk King Abdul Aziz atau Ismail, atau lainnya bergantung dari arah mana mereka datang.

Saya dan isteri masuk mengikut pintu biasa Ajyad, berhenti minum air zamzam, terus cari tempat untuk bersolat. Alhamdulillah mudah sahaja pagi ini untuk mendapat tempat. Terus dengan aktiviti rutin iktikaf bersolat-solat sunat dan membaca alQuran.

Tidak banyak perkara menarik yang saya perhatikan pagi ini, hanya perkara-perkara yang sudah saya perhatikan sepanjang saya di sini yang kebanyakannya berkaitan sikap dan perangai jemaah. Mungkin juga kerana perasaan saya yang mula bercampur sedih dan gembira kerana esok adalah hari terakhir kami berada di Mekah.

Selepas solat subuh dan solat jenazah saya dan isteri menghabiskan baki 2 pusingan tawaf sunat yang belum selesai. Tawaf sunat sebanyak 7 pusingan tetapi dihabiskan dalam masa 3 kali. Saya memang kagum kepada jemaah yang berulang-ulang kali melakukan tawaf sunat setiap kali datang ke Masjidil Haram. Ia memang memerlukan kesungguhan, keikhlasan dan tenaga untuk melakukannya. Subhanallah, mudah-mudahan saya diberi kekuatan seperti itu.

Namun, 2 pusingan pagi ini memang mengharukan kerana esok kami perlu bergerak ke Madinah. Semakin diingat semakin sedih rasanya. Dalam diam air mata mula mengalir memikirkan saya terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada bumi Mekah. Semakin sampai penghujung semakin rasa sebak pula.

Paling menyedihkan ialah setelah 2 kali berada di Masjidil Haram (2016 umrah, 2019 haji), belum pernah lagi saya dapat memegang Kaabah, apalagi mencium Hajar Aswad. Mungkin kerana sikap saya yang kurang selesa untuk berebut, berasak-asak dan menolak-nolak untuk dapat memegang atau mencium Hajar Aswad sehingga Allah tidak mengizinkan saya. Mungkin juga belum ada keikhlasan di dalam hati saya untuk memegang dan mencium Hajar Aswad. Ataupun mungkin juga dengan dosa yang banyak yang saya lakukan menyebabkan saya belum layak untuk menyentuhnya. Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Mudah-mudahan suatu ketika nanti Allah izinkan saya, Insha Allah.

Lepas sarapan roti sandwich dan teh O panas di tempat biasa saya terus makan panadol dan antibiotik dan terus tidur sebentar sementara menunggu zohor. Alhamdulillah dapatlah saya merehatkan diri sehingga sebelum zohor.

Selepas terjaga saya terus bersiap-siap bersama isteri untuk berjamaah di Masjidil Haram. Cuaca panas tetapi berangin mengurangkan sedikit kepanasan matahari tersebut. Hanya tutup kepala dengan kain serban yang dibawa. Kami masuk laluan biasa dengan aktiviti rutin yang telah kami lakukan berhari-hari di sini.

Tingkat 2 pintu Ajyad hari ini agak lengang kerana jemaah semakin berkurangan. Ruangan solat sangat selesa. Saya boleh bersolat-solat sunat dan membaca alQuran tanpa banyak gangguan. Laluan tawaf di tingkat Ajyad ini pun tidak terlalu ramai. Namun, dataran tawaf masih lagi padat dengan jemaah, cuma kelihatan kurang sedikit jika dibandingkan semasa puncak ketika semua jemaah selesai daripada bermalam di Mina.

Selesai solat zohor dan solat jenazah kami berhenti seketika sambil menyambung membaca alQuran. Ramai juga jemaah Malaysia yang duduk seketika selepas solat dengan membaca alQuran. Selepas itu kami terus balik untuk makan tengahari dan berehat sebentar sementara menunggu asar.

Sekitar jam 3.15 petang kami bergerak semula ke Masjidil Haram untuk solat asar. Jumlah kepadatan pergerakan jemaah semakin berkurangan. Namun, penyumbang sedekah air mineral dan buah-buahan tetap masih ada. Kami perhatikan sudah mulai ramai jemaah yang memberi makan kepada kumpulan burung merpati. Sebelum ini mungkin terlalu sibuk dengan beribadah hingga tidak berkesempatan menikmati keseronokan memberi makan burung, ataupun memang dilarang sama sekali.


Kami terus masuk ikut pintu Ajyad macam biasa dan meneruskan aktiviti seperti biasa sambil menunggu Asar. Selepas solat asar dan solat jenazah kami berhenti seketika menikmati suasana masjid dengan menyambung bacaan alQuran. Selepas itu kami terus balik hotel untuk mengemas beg pakaian. Jemaah perlu mengemas beg dan mengumpulkannya di lobi hotel mulai selepas waktu asar. Saya perhatikan sudah mulai ada jemaah yang menurunkan beg di lobi.

Tidak banyak barang yang perlu dikemas kecuali pakaian dan sedikit lebihan makanan yang dibawa dari Malaysia yang masih berbaki. Kami semua diberikan tanda nama pada beg, nombor bilik dan hotel di Madinah di mana kami akan menginap. Ini bagi memudahkan syarikat yang memunggah beg untuk menghantarnya terus ke tingkat di mana kita berada di Madinah nanti.

Beg-beg tidak perlu ditimbang tetapi tidak seharusnya lebih berat daripada 30 kilogram untuk memudahkan beg itu diangkat dan dipunggah. Hanya ketika ingin memasukki kapal terbang semasa balik ke Malaysia nanti yang perlu mematuhi kadar berat bagasi. Beg-beg pula perlu diletakkan di lobi selewat-lewatnya malam ini, kerana syarikat yang dilantik akan mula memunggahnya menggunakan lori mulai malam ini juga.

Kami memang tidak mahu mengambil masa yang lama untuk mengemas beg supaya tidak terlepas solat berjamaah di Masjidil Haram buat hari-hari terakhir di Mekah ini. Jika terlalu banyak barang yang ingin dikemas menyebabkan kita boleh terlepas jamaah di Masjidil Haram. Sesuatu yang amat merugikan.

Setelah selesai mengemas beg besar saya mengemas beg merah kecil TH untuk beberapa helai pakaian sahaja sebagai bekalan yang akan saya bawa bersama menaiki bas nanti. Saya dan isteri mengemas beg masing-masing dan mana-mana yang penuh dan tidak muat dimasukkan ke dalam beg saya. Pakaian isteri saya lebih banyak berbanding saya.

Selesai mengemas beg saya dan isteri bersiap-siap untuk ke Masjidil Haram untuk solat maghrib dan isyak. Sepanjang jalan ke masjid jemaah semakin berkurangan dan tidak ramai. Akan tetapi, di dalam masjid masih lagi penuh dengan jemaah. Namun, laluan saya di pintu Ajyad masih lagi buka. Seperti yang biasa saya lakukan, minum air zamzam dahulu, cari tempat bersolat dan terus melakukan solat-solat sunat dan membaca alQuran.

Hari ini kami dapat bersolat di atas karpet hijau yang selesa. Isteri sayapun tidak jauh dari tempat saya duduk di kawasan jemaah perempuan. Keadaan lebih tenang dan tidak terganggu dengan pergerakan keluar masuk jemaah. Selepas solat maghrib dan solat jenazah kami terus duduk beriktikaf menyambung membaca alQuran sambil menunggu waktu isyak.

Apabila keletihan dan penat duduk saya akan berdiri sebentar, kadang-kadang meregangkan kaki. Oleh kerana tidak terlalu ramai jemaah di kawasan karpet tempat saya duduk ini ada ketikanya saya membaringkan badan sebentar untuk melegakan belakang badan. Justeru itu, kadang-kadang saya perhatikan kerusi yang disediakan di dalam masjid bukan sahaja untuk kegunaan jemaah berkeperluan khas, tetapi juga oleh jemaah yang telah penat duduk di atas lantai terutamanya yang beriktikaf lama.

Selepas solat isyak dan solat jenazah saya dan isteri terus bergerak balik ke hotel untuk menguruskan beg-beg, makan malam dan berehat. Kami singgah di restoran untuk membeli kari kambing sebagai makan malam. Kami makan bersama-sama dengan pek makan malam yang dibekalkan oleh TH.

Sampai di hotel saya menurunkan beg-beg besar saya dan isteri ke lobi terlebih dahulu sebelum makan malam. Agak sibuk juga jemaah menguruskan beg di lobi. Hampir keseluruhan lobi telah penuh dengan beg-beg jemaah. Barisan beg sudah seperti keretapi, dengan pelbagai warna, bersarung dan tidak, tulisan-tulisan tertentu termasuklah penanda beg yang dibekalkan oleh TH.

Selesai urusan beg kami makan malam di bilik masing-masing kerana laluan karpet depan bilik masih lagi sibuk dengan jemaah keluar masuk menguruskan beg-beg. Selepas makan malam saya mengemaskan beg merah pula yang akan saya bawa bersama ketika menaiki bas. Sebelum tidur, saya menyediakan 1 set pakaian untuk bertawaf wada’ esok pagi dan 1 set lagi untuk dipakai semasa bergerak ke Madinah.

Alhamdulillah selesai berkemas. Selesai Hari 33 saya di Mekah Al Mukarramah. Mudah-mudahan pergerakan ke Madinah sentiasa dipermudahkan, Insha Allah.


30 Ogos 2019

No comments:

Post a Comment