Setiap orang Islam diwajibkan menyempurnakan kesemua rukun yang dinyatakan, 5
Rukun Islam dan 6 Rukun Iman. Bab mengerjakan haji pula merupakan salah satu
daripada Rukun Islam yang wajib disempurnakan bagi sesiapa yang mampu.
Dalam hal
mengerjakan haji, sebagai individu seperti saya dan isteri usaha menyimpan
sedikit demi sedikit amatlah penting. Secara perlahan-lahan apabila telah
mencukupi baharulah kami mendaftarkan diri untuk dicalonkan sebagai jemaah
haji. Alhamdulillah, di Malaysia untuk perjalanan pertama haji kos pemergian
akan ditanggung sebahagiannya oleh Tabung Haji, dengan kos keseluruhan lebih
kurang RM22,000. Jemaah hanya perlu menyediakan RM12,000 dan sedikit wang saku
untuk kegunaan sepanjang berada di sana.
Sekarang lebih
mudah lagi kerana sesiapa yang berhajat untuk mendaftar sebagai calon jemaah
haji, mereka sudah boleh berbuat demikian dengan hanya mendaftar beserta duit
RM1,300 sahaja. Itulah yang telah kami lakukan kepada ketiga-tiga anak kami
supaya dapat didaftarkan awal.
Setelah
mendaftar sebagai calon jemaah pada tahun 2016 kami terus berusaha untuk
mencukupkan duit yang disimpan di dalam TH sehinggalah cukup. Pada tahun itu
juga kami berharap supaya terpilih sebagai salah seorang jemaah pada tahun
berkenaan. Namun setelah tidak berjaya kami meneruskan juga hasrat untuk ke
Baitullah dengan mendaftar ibadah umrah bersama Agensi Tiram Travel pada bulan
November 2016. Alhamdulillah, dapat juga kami mengunjugi Baitullah, Mekah dan
Madinah, menambahkan lagi semarak dalam hati untuk mengerjakan haji.
Rayuan demi
rayuan kami buat setiap tahun tanpa jemu. akan dibuat setiap tahun sekiranya
tidak dipanggil sehinggalah suatu ketika Allah ‘membenarkan’ kami untuk pergi
mengerjakan haji. Suatu panggilan yang tak boleh ditolak sama sekali. Semua
kerja-kerja di pejabat, di rumah dan kehidupan di Malaysia kami perlu ketepikan
buat seketika kerana menyahut ‘lampu hijau’ dan ‘undangan’ yang telah Allah
berikan.
Alhamdulillah,
saya mendapat panggilan telefon daripada pegawai TH sebaik sahaja mendarat di
KLIA daripada bertugas di Padang Indonesia. Perasaan terharu dan gembira tidak
dapat nak digambarkan. Dengan air mata gembira saya serta merta mendapatkan
isteri saya dan memeluknya sambil memaklumkan berita gembira tersebut. Setelah
3 tahun merayu secara online ke TH akhirnya rayuan kami dimakbulkan oleh Allah dan
dijemput untuk bertamu ke rumahNya menunaikan fardhu Haji.
Urusan
keluar dari KLIA tidak terasa langsung kerana perasaan gembira dan terharu
melebihi semuanya. Saya kongsikan segera berita gembira tersebut dengan
keluarga dan sahabat handai. Bermula dengan ahli keluarga, sehinggalah
rakan-rakan, semua mengucapkan tahniah atas undangan mengerjakan Haji
berkenaan. Perjalanan pulang dari KLIA ke Johor Bahru juga menjadi tidak terasa
disebabkan oleh syukur seronok dan gembira. Kami tiba di Johor Bahru menjelang
waktu petang. Telefon bimbit kami tidak putus-putus dengan ucapan tahniah dan
ucap selamat kerana dapat dipanggil mengerjakan Haji.
Dengan
perasaan seronok dan gembira, keesokan hari saya dan isteri mengambil cuti
sehari untuk pergi ke pejabat TH UTC di Kota Raya Johor Bahru untuk menyerahkan
surat persetujuan menerima undangan mengerjakan Haji tersebut. Setelah surat
persetujuan diserahkan kami diberikan buku rekod kesihatan yang perlu
dilengkapkan seperti suntikan-suntikan, dan pemeriksaan kesihatan. Kami juga
diberikan cetakan jadual penerbangan meliputi lokasi, waktu, hari, dan semua
keperluan-keperluan yang perlu disiapkan untuk penerbangan.
Setelah itu
kami terus ke pejabat imigresyen yang berhampiran dengan pejabat TH UTC Johor
Bahru. UTC sebenarnya memudahkan urusan pengguna kerana menyediakan pelbagai
perkhidmatan seperti TH, Imigresyen, JPJ, POS Malaysia, Jabatan Hasil, dan
lain-lain. Cuma yang kurang sesuai pejabat di UTC ini adalah waktu
perkhidmatannya adalah sama dengan waktu perkhidmatan di pejabat besar. Ia
seharusnya dibuka diluar waktu bekerja seperti daripada jam 2 petang hinggalah
10 malam untuk memudahkan pengguna yang tidak dapat menggunakan perkhidmatan pada
waktu normal pejabat.
Menyiapkan
pasport sekarang ini juga tidak lama. Kita tidak perlu membawa gambar pasport
kerana gambar akan diambil di kaunter pendaftaran. Terutamanya yang telah ada
rekod pasport terdahulu, proses membuat yang baru adalah lebih cepat. Pada
sebelah petangnya kami datang semula ke UTC untuk mengambil pasport yang telah
siap. Pasport berkenaan kami buat untuk tempoh 5 tahun.
Malam esoknya
pula kami ke klinik panel TH di Bandar Baru Kangkar Pulai, Johor Bahru untuk
mendapatkan suntikan vaksin wajib meningitis dan influenza dengan kos RM400.00
setiap orang. Dua suntikan ini kalau dibuat di Hospital Sultanah Aminah adalah
percuma, tetapi perlu berbaris dan mengambil sedikit masa kerana ramai jemaah
yang datang.
Semasa saya
mengikuti kursus haji perdana di Masjid Bandar Dato Onn, Johor Bahru ada juga
ditawarkan pakej dua suntikan wajib tersebut dengan harga diskaun RM300.00
setiap seorang. Pemeriksaan kesihatan ini dilakukan untuk mendapatkan pengesahan
samada jemaah sihat dan berupaya mengerjakan haji ataupun tidak dan juga
sebagai langkah pencegahan awal. Selain itu, walaupun saya menghidap penyakit
darah tinggi dan isteri menghidap darah tinggi dan kencing manis, keadaan
penyakit kami terkawal melalui pengambilan ubat-ubatan. Alhamdulillah saya dan
isteri disahkan sihat dan layak untuk pergi mengerjakan haji.
Setelah
selesai urusan pasport dan pemeriksaan kesihatan kami menghantarnya ke pejabat
TH di Johor Bahru untuk tujuan semakan dan permohonan visa haji. Pasport kami
dipegang terus oleh TH untuk urusan visa dan laporan pemeriksaan kesihatan pula
hanya direkodkan untuk pengesahan dan buku kesihatan perlu kami simpan sendiri
dan dibawa semasa mengerjakan haji.
Setelah itu
maka selesailah urusan dokumen dan pemeriksaan kesihatan sehinggalah menunggu
untuk makluman seterusnya, iaitu mengikuti Kursus Perdana Haji yang dijadualkan
diadakan di Masjid Dato Onn, Johor Bahru. Kursus perdana untuk semua jemaah
negeri Johor tersebut diadakan beberapa minggu sebelum tarikh penerbangan. Kami
perlu menunggu makluman terakhir daripada TH berkenaan dengan visa dan tarikh
penerbangan. Akhirnya berita yang ditunggu-tunggu tiba iaitu pengesahan
penerbangan Haji dengan nombor penerbangan KT48B daripada KLIA.
Terdapat
dua kumpula penerbangan iaitu penerbangan awal dan penerbangan akhir.
Penerbangan awal akan masuk ke Madinah dahulu dan tidak perlu berniat ihram.
Mereka akan terbang daripada lapangan terbang negeri terpilih sebelum ke KLIA
untuk pemeriksaan akhir. Manakala penerbangan akhir pula akan masuk terus ke
Mekah dan mereka akan terbang daripada KLIA dengan berniat ihram.
Di pejabat
pula saya dan isteri sibuk menguruskan urusan cuti mengerjakan haji. Urusan
cuti yang dibenarkan sekali dalam perkhidmatan tersebut diuruskan tanpa banyak
masalah. Kerani yang menguruskan pula cekap dan sangat membantu, mungkin kerana
mereka telah mahir menguruskan urusan berkenaan. Alhamdulillah, semuanya
dipermudahkan dan urusan cuti mengerjakan haji kami telah diluluskan dan
direkodkan.
Semasa
mengikuti kursus Perdana Haji selama dua hari kami telah dikelompokkan mengikut
nombor penerbangan, berdasarkan jadual penerbangan samada awal, pertengahan atau akhir, dan juga
samada terus ke Mekah atau ke Madinah terlebih dahulu.
Kursus
perdana yang kami ikuti mengumpulkan seluruh jemaah negeri Johor berjumlah
lebih daripada tiga ribu jemaah. Dalam kursus perdana tersebut kami dikehendaki
datang mendaftar dengan berpakaian ihram. Ada juga jemaah yang datang dengan
pakaian biasa. Mungkin mereka sudah mahir dan biasa dengan kerja-kerja
mengerjakan haji dan umrah. Di situ kami diberikan taklimat khusus berkenaan
kerja-kerja haji dan umrah dan diajar semula semua rukun-rukun dan wajib haji
sebagai proses mengingat semula.
Sebelah malamnya
kami dikehendaki tidur bermalam di dalam masjid dengan masih mengenakan pakaian
ihram sebagai latihan semasa di Arafah, Muzdalifah dan Mina. Aktiviti sebelah
malam diisi dengan Qiamullail sebagai aktiviti menghidupkan malam. Terdapat
juga jemaah yang tinggal berhampiran balik ke rumah masing-masing dan tidak
tidur bermalam, walaupun telah dimaklumkan supaya sama-sama bermalam di masjid
berkenaan. Pada saya terserah kepada jemaah itu sendiri untuk menilai
kesungguhan mereka untuk ‘merasai’ pengalaman bersama dengan jemaah-jemaah
lain. Wallahuaklam.
Jam 3 pagi
kami dikejutkan untuk bersedia dengan solat-solat sunat, membaca alQuran dan
seterusnya bersolat subuh. Saya agak terlewat bangun sehingga terlepas
solat-solat sunat tahajjud dan solat sunat lainnya. Sedar dari tidur saya terus
ke bilik air untuk buang air, membasuh muka, gosok gigi dan mengambil wudhuk.
Bermulalah keadaan seperti di Arafah, Muzdalifah dan Mina iaitu berbaris
menunggu giliran. Ada yang lama di dalam dan ada yang sebentar. Ada yang mandi
dan anda yang hanya gosok gigi dan membasuh muka sahaja. Saya hanya buang air
untuk lebih cepat dan ringkas.
Sudah mula
ada jemaah yang memotong barisan untuk ke hadapan. Sikap dan perangai seperti
ini tidak sepatutnya berlaku, kerana hanya mementingkan diri sendiri. Tempoh
menunggu menyebabkan saya terlepas solat sunat sebelum subuh, tetapi masih
sempat untuk bersolat subuh berjamaah. Suatu pengalaman yang baik supaya saya
boleh belajar mengurus waktu penggunaan bilik air supaya tidak terlepas aktiviti-aktiviti
menghidupkan malam di Mekah dan Madinah nanti.
Selepas
bersarapan kami meneruskan aktiviti simulasi haji seperti melontar jamrah,
tawaf, saei, dan bergunting. Suasana pagi agak renyai-renyai tetapi jemaah
dengan penuh semangat melakukan simulasi tersebut. Terdapat juga jemaah yang
tidak melakukan simulasi tersebut, tetapi terus berkumpul di dewan makan untuk
terus bersarapan, bersembang sehinggalah kami selesai. Pada saya seelok-eloknya
kita terus mengikuti aktiviti kursus dengan sempurna sedaya upaya sebagai tanda
kesyukuran dan kesungguhan kita untuk datang bertamu ke rumah Allah nanti.
Sekali lagi
kami diuji bagaimana mengurus diri sendiri semasa melakukan ibadah secara
kendiri. Alhamdulillah saya dan isteri selesai melakukan semua simulasi dengan
sempurna. Menjelang tengah hari maka selesailah aktiviti Kursus Perdana Haji.
Selepas mendengar taklimat akhir dari TH maka berakhirlah Kursus Perdana Haji
2019 bagi negeri Johor. Kami pulang dengan keseronokan dan seribu harapan dan
rasa tidak sabar untuk segera pergi.
Selang
beberapa hari sebelum berangkat saya dan isteri pergi ke pejabat TH untuk
mengambil peralatan yang disediakan oleh TH termasuklah beg pakaian warna merah
dengan logo TH, beg galas kuning TH, tanda nama, buku, kitab, plastik alas
duduk dan tidur, dan beberapa persediaan lain. Setelah itu kami terus pulang
dan meneruskan persiapan kami untuk pergi, termasuklah bekalan pakaian, stok
makanan kering, kitab-kitab doa dan seumpamanya.
Kami juga
sempat membeli beg besar baru yang dibeli secara ‘online’ kerana harganya yang
relatif murah sedikit. Kami juga membeli sarung beg bergambar bola keranjang
supaya mudah untuk membezakan beg kami dengan beg jemaah yang laing semasa
proses pemunggahan beg nanti.
Semasa
proses menyiapkan barang-barang kelengkapan kami juga sibuk didatangi oleh
rakan-rakan dan ahli keluarga yang sama-sama turut gembira kami dapat
mengerjakan haji. Pelbagai sumbangan, doa, permohonan doa, termasuklah
permintaan khusus iaitu menyampaikan salam kerinduan kepada Rasulullah SAW,
ahli keluarganya dan Sahabat-Sahabat, yang merupakan permintaan yang paling
banyak. Di masjid pula jemaah yang saya kenal dan biasa berbual juga
mengucapkan selamat berangkat dengan doa mendapatkan Haji yang Mabrur.
Begitulah kesibukan yang penuh dengan keseronokan yang kami lalui setelah
mendapat panggilan mengerjakan haji pada tahun 2019.
لَبَّيْكَ
اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ، إِنَّ الْحَمْدَ
وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَ شَرِيْكَ لَك
No comments:
Post a Comment