PENGENALAN
Pelbagai cara jemaah-jemaah haji berkongsi pengalaman
semasa mengerjakan haji. Buku ini juga merupakan salah satu usaha untuk
mengabadikan pengalaman saya secara peribadi semasa berkelana menyempurnakan
Rukun Islam yang kelima, iaitu Ibadah Haji. Kami berasa bahawa para pembaca
juga berhak untuk sama-sama merasai pengalaman-pengalaman tersebut, yang dengan
cara itu mudah-mudahan dapat menerbitkan keseronokan dan keinginan yang tinggi
untuk melaluinya sendiri.
Pelbagai
pengalaman yang saya dan isteri lalui merupakan sesuatu yang unik, khusus Allah
sediakan untuk kami. Justeru itu, tidak ada pengalaman yang dilalui boleh
dikatakan sebagai sama kerana cara mana kita menerima dan melaluinya berbeza
antara seorang individu dengan individu yang
lain. Allah Maha Mengatur dan Maha Mengetahui. Allah lebih tahu apakah
bentuk pengalaman yang boleh dan tidak boleh, yang sesuai dan tidak sesuai
untuk setiap individu. Oleh itu, tidak ada pengalaman yang sama akan dilalui,
hanya sesuatu yang bersifat umum sahaja.
Melalui
perkongsian ini diharapkan akan dapat memberi peluang kepada pembaca untuk
meneroka pekerjaan haji dalam perspektif yang berbeza. Apa yang penting kita
dapat berkongsi pengalaman dan secara tidak langsung dapat memahami sedikit
gambaran sebenar daripada seorang pengembara yang telah melaluinya secara
langsung.
Kami
mulai perkongsian saya dengan membincangkan secara ringkas berkenaan dengan
ibadah haji sebagai salah satu rukun dalam Rukun Islam yang lima. Kami juga
memasukkan beberapa maklumat berkenaan dengan kewajipan haji, keperluan dan
hikmah, kaedah mengerjakan secara ringkas sebagai ingatan semula sahaja. Kami juga
menyarankan secara jelas dalam bahagian ini bahawa untuk memahami secara jelas,
terperinci dan tepat kepada setiap individu untuk mengikuti kursus-kursus haji
dan umrah yang kebanyakan diberikan secara percuma oleh mutawif-mutawif Tabung
Haji (TH).
Bahagian-bahagian
seterusnya pula merupakan perkongsian langsung pengalaman peribadi yang saya
dan isteri lalui bermula daripada proses awal memohon kepada TH untuk
mengerjakan haji, mendapat panggilan, membuat persiapan, hari keberangkatan,
kehidupan di Mekah dan Madinah dan seterusnya kembali semula ke Malaysia.
Pengalaman harian tersebut kami susun sedemikian rupa supaya pembaca dapat
menyelami sendiri keadaan dan situasi sebenar ketika itu dan memikirkannya
dalam perspektif yang berbeza sebagai input tambahan.
Pada
bahagian akhir kami sengaja berkongsi kesimpulan umum yang kami perolehi
daripada pengembaraan tersebut melalui refleksi kendiri. Refleksi ini mungkin
tidak ada kena mengena ataupun tidak bersamaan dengan apa yang orang lain
perolehi, tetapi sedikit sebanyak adalah untuk memberikan gambaran bahawa
kesimpulan tersebut adalah tertakluk kepada setiap individu yang melaluinya.
Oleh kerana pengalaman yang dilalui berbeza mengikut individu, maka kesimpulan
yang mampu dibina juga akan berbeza mengikut individu kepada individu yang
lain.
Penggunaan
kata ‘saya’ atau ‘kami’ pula kebanyakannya merujuk kepada saya dan isteri.
Ketika menggunakan saya ia merujuk kepada pengalaman saya dan bukan isteri
kerana ada ketikanya kami berpisah dan tidak berada di satu tempat, kecuali
dinyatakan.
Sebagai
penutup kata saya dan isteri ingin berkongsi pandangan sekali lagi bahawa setiap
orang diberikan Allah pengalaman yang berbeza dan unik apabila berada di sana.
Oleh itu, pengalaman yang bersifat
peribadi ini diharapkan dapat menjadi
sumber input tambahan dalam memahami keseronokan mengerjakan haji. Jauh di
sudut hati saya dan isteri, kami memanjatkan doa kepada Allah supaya pengalaman
yang sedikit ini dapat kami kongsikan dalam usaha mencari keredhaan Allah yang
hakiki.
Terima
kasih tidak terhingga daripada kami atas kesudian membaca perkongsian ini. Yang
buruk datang daripada kami dan yang baik hanyalah daripada Allah sahaja.
Tiada Tuhan
yang disembah melainkanMu Ya Allah.
Zainudin dan Isteri
Johor Bahru, Johor,
MALAYSIA
April 2020
No comments:
Post a Comment