Sudah masuk hari ketiga di Madinah dan alhamdulillah masih boleh terjaga jam
2.30 pagi. Macam biasa menunggu giliran untuk menggunakan bilik air. Akhirnya
3.30 pagi semua sudah siap untuk bergerak ke masjid. Alhamdulillah, TH
meletakkan jemaah Malaysia sentiasa dekat dengan masjid. Hotel saya berjalan
kaki hanya lebih kurang 5 minit sahaja untuk sampai ke masjid.
Saya dan Haji Sarjan
bergerak ke masjid macam biasa. Masuk masjid terus minum zamzam dulu, cari tempat
beriktikaf di tempat biasa di bahagian hadapan masjid yang berbumbungkan payung
besar. Aktiviti rutin bila dah duduk, solat-solat sunat dan membaca alQuran.
Sedang membaca alQuran hidung terbau stokin busuk jemaah. Agak mengganggu juga
dengan bau tersebut. Mungkin sudah lama tidak dicuci, atau dipakai terus
menerus, basah kering berulang kali menyebabkan berbau. Teruskan juga aktiviti.
Menghampiri waktu solat
subuh tiba-tiba perut terasa memulas dan ingin membuang air. Mungkin kerana
makan kebab semalam yang agak pedas dan hangat. Jemaah telahpun penuh. Keluar
ke bilik air bermakna saya tidak akan dapat balik semula ke tempat ini.
Akhirnya saya serahkan kepada Allah sambil berdoa supaya saya dapat
menyelesaikan solat jamaah subuh hingga selesai. Ketika tiada lagi pertolongan
yang boleh diperolehi izin Allah memang diperlukan.
Surah yang dibaca imam
pagi ini terasa panjang pula. Namun, alhamdulillah dengan izin Allah dapat
bertahan hingga ke akhir solat subuh. Malah masih boleh bersolat jenazah hingga
selesai. Habis solat jenazah saya terus bergegas ke bilik air. Agak jauh juga
bilik air di luar masjid, tetapi bila sampai masih terpaksa menunggu. Kalau
balik ke bilik mungkin lebih lambat. Saya terus menunggu giliran.
Sebaik sahaja giliran saya untuk
masuk tiba-tiba ada seorang jemaah yang berlari-lari meminta izin saya untuk
masuk dahulu kerana sudah tidak tahan. Saya yang sememangnya sedang menahan
terpaksa membenarkan dia masuk. Benar-benar menguji ketahanan, kerana apabila
di dalam jemaah tersebut agak lama. Alhamdulillah masih boleh bertahan sehingga
jemaah tersebut selesai. Suatu pengalaman yang tidak boleh dilupakan. Wajar
saja TH tidak menyediakan makanan yang pedas dan berminyak kepada jemaah haji.
Rakan bilik saya Haji Sarjan yang
menunggu di luar bilik air bertanya kenapa lama sangat di dalam bilik air.
Sambil duduk di atas karpet di luar masjid pengalaman saya itu menjadi antara
topik perbualan. Kami sengaja menunggu sebentar untuk melihat bagaimana payung
besar elektronik terbuka. Alhamdulillah, rezeki kami hari ini dapat merakamkan
bagaimana payung besar elektronik Masjid Nabawi terbuka. Saya dapati proses
terbuka hingga kembang sepenuhnya mengambil masa sekitar 2 minit 54 saat.
Selepas itu kami terus balik ke
hotel dan bersarapan kebab sambil mendengar taklimat berkenaan dengan proses
keberangkatan balik ke Malaysia yang sudahpun bermula. Ketika kami sampai
petugas TH sedang menerangkan tentang kebenaran membawa beg seberat 30 kilogram
maksimum seorang. Terdapat juga jemaah yang tidak faham makna berat maksimum 30
kilogram tersebut. Mungkin jarang-jarang berjalan menaiki kapal terbang.
Petugas TH dengan sabar menjawab pelbagai soalan berkenaan dengan proses
keberangkatan balik yang ditanya oleh jemaah. Alhamdulillah taklimat selesai
dalam masa yang singkat.
Selepas itu saya dan Haji Sarjan
berjalan-jalan ke kedai berhampiran. Saya sempat membeli sedikit kurma dan
kacang-kacang, dan juga pakaian anak perempuan saya yang belum dibeli. Di sini
penjual agak agresif berbanding dengan penjual di Mekah. Ada antara penjual
yang sanggup untuk bersalam, memeluk dan menarik jemaah untuk masuk membeli di
kedai mereka.
Harga juga pelbagai, bergantung
kepada penjual dan juga kemahiran jemaah dalam tawar menawar. Apa yang saya
perhatikan harga kurma agak murah sedikit di Madinah berbanding di Mekah. Cuma
mungkin bagi jemaah macam saya ingin menyelesaikan pembelian barang-barang buah
tangan secepat yang boleh dengan mengeposnya ke Malaysia. Dengan cara itu
barang yang diposkan berkemungkinan sampai ke Malaysia lebih kurang sama dengan
jemaah. Sebab itu semasa di Madinah saya tidak berbelanja banyak kecuali
sedikit kurma dan kacang-kacang kerana masih ada ruang di dalam beg besar saya.
Sama seperti di Mekah, penjual
minyak wangi di Madinah malah lebih ketara dan pelbagai. Namun, harga minyak
wangi yang istimewa seperti kelambu Kaabah, karpet Raudhah antara minyak wangi
yang mahal dan tidak jauh berbeza antara Mekah dan Madinah. Akan tetapi tidak
ada apa lagi yang perlu dibeli kerana telah saya selesaikan di Mekah lagi,
termasuklah minyak wangi.
Selesai berlegar-legar di
kedai-kedai kami terus ke restoran hotel untuk mengambil makanan tengahari.
Jemaah mula berbaris panjang untuk mengambil makan tengahari. Agak mengecewakan
juga kerana sehingga di Madinah masih terdapat segelintir jemaah yang memotong
barisan semasa mengambil makanan. Tanpa mengira jemaah lelaki ataupun
perempuan, tua ataupun muda mereka tanpa segan silu memotong barisan untuk
mendapatkan makanan. Subhanallah.
Sudah menjadi rutin, kami solat
waktu sentiasa di masjid. Pekerjaan rutin yang dilakukan setiap kali masuk
masjid – minum air zamzam terlebih dahulu, selepas itu mencari tempat untuk
beriktikaf, bila dah dapat tempat duduk yang lebih kurang sama tempatnya terus
dengan solat-solat sunat dan membaca alQuran, bersolat jamaah, solat jenazah
dan solat ba’da, sebelum bergerak keluar masjid. Sejak dari Mekah lagi saya
lakukan perkara ini setiap hari sehinggalah di Madinah, menjadikan aktiviti
tersebut seperti otomatik. Kalau terlepas salah satu rutin akan terasa
kekurangan.
Hari ini selesai solat asar saya
mengajak isteri saya makan mee bakso dan mee ayam di restoran Indonesia untuk
mencari kelainan makanan sahaja. Ada juga terdapat jemaah Malaysia yang makan
di restoran berkenaan walaupun harga makanannya agak mahal sedikit.
Selepas balik bilik saya berehat
sebentar sambil berbual-bual dengan rakan sebilik berkenaan pengalaman seharian
sambil menunggu maghrib. Menghampiri waktu maghrib kami terus bergerak ke
masjid untuk bersolat maghrib dan isyak. Sampai di masjid kami dapati kesemua
karpet masjid telah dialas dengan plastik dan terdapat makanan di atasnya. Ada
kurma, ada teh Arab, ada yogurt, dan ada roti bun.
Rupa-rupanya hari ini jemaah berpuasa.
Akan tetapi semua jemaah yang datang, berpuasa ataupun tidak adalah dijemput
untuk sama-sama menikmati juadah yang disediakan ketika masuk waktu berbuka.
Selepas berbuka puasa jemaah sama-sama berkemas. Plastik alas yang panjang tadi
hanya dilipat dan terus dibuang ke dalam tong sampah dan sedia untuk bersolat
maghrib.
Selesai solat maghrib terus iktikaf
sambil menunggu isyak. Sempat berbual dengan seorang jemaah dari Malaysia yang
merupakan kumpulan pertama umrah yang telahpun sampai untuk tahun 1441 Hijrah.
Selesai solat isyak dan solat jenazah saya dan Haji Sarjan terus balik hotel.
Kami hanya makan malam dalam bilik terlebih dahulu sebelum siap-siap untuk
tidur.
Alhamdulillah selesai Hari 37 di Madinah Al Munawwarah. Mudah-mudahan hari
esok sentiasa dipermudahkan dan diberkati, Insha Allah.
3 September 2019
No comments:
Post a Comment