Wednesday, 22 April 2020

HARI 27 MEKAH AL MUKARRAMAH


Alhamdulillah masih terjaga macam biasa pukul 2.45 pagi. Terus bergilir-gilir mempersiapkan diri untuk ke Masjidil Haram. Pinggang dan kaki pagi ini agak lenguh dan sengal-sengal, mungkin kerana banyak berjalan kaki semasa lawatan semalam. Namun masih lagi bertenaga untuk ke Masjidil Haram. Isteri tak dapat ikut kerana masih keletihan daripada aktiviti semalam.

            Pagi ini saya masuk melalui pintu biasa, pintu Ajyad. Aktiviti rutin yang biasa dilakukan sejak dari awal, berhenti di hentian zamzam untuk minum dan mengisi botol-botol kecil, terus mencari tempat kosong untuk beriktikaf, bersolat-solat sunat dan membaca alQuran.

            Pagi ini dapat duduk berdekatan dengan rak menyimpan alQuran. Alhamdulillah, aktiviti saya agak sibuk kerana membantu jemaah mengambil dan meletak semula alQuran di rak. Pahala yang tidak disangka-sangka. Mudah-mudahan mendapat ganjaran daripada Allah membantu jemaah membaca alQuran, dengan hanya mengambil dan meletakkannya semula ke rak. Terutamanya apabila jemaah telah padat dan pergerakan agak terhad, maka bantuan mengambil dan meletak memang diperlukan.


            Solat subuh pagi Jumaat ini diimamkan oleh Imam Bandar, Imam yang saya gemari bacaannya. Bacaan Surah Sajadah yang dibacakan sangat menyentuh hati dan perasaan. Disebalik kemerduan bacaan Imam Bandar terbayang berkenaan dengan kesukaran Rasulullah menerima wahyu dan menyebarkannya kepada seluruh umat manusia, dan disempurnakan oleh Baginda dengan lengkap dan sempurna.

            Namun, adalah sangat menyedihkan sekali kerana saya gagal mengikuti apa yang diajarkan dengan baik. Mutiara yang Baginda tinggalkan iaitu alQuran dan Sunnahnya telah tidak dipedulikan dan tidak dijadikan panduan hidup sepenuhnya. Seolah-olah saya tidak menghargai langsung kepayahan yang telah dilalui oleh Baginda. Belum ada makhluk di dunia yang sanggup menerima perintah Allah yang sedemikian sukar, tetapi telah tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

            Segala perintah Allah tidak saya endahkan, banyak laranganNya yang dilanggar dan yang disuruh amat sukar untuk dilaksanakan. Diam tak diam mengalir air mata sambil mendengar bacaan Surah Sajadah pagi ini.

            “Ya Allah…Bimbinglah kami ke jalanMu…Berilah kami kekuatan untuk meneruskan ajaran kekasihMu…Maafkanlah juga Ya Rasulullah kerana tidak mengikut apa yang Tuan ajarkan…Cara kami hidup, bertingkah laku, bercakap dan sebagainya tidak mengikut apa yang telah Tuan ajarkan…Padahal telah terang dan nyata bahawa tidak akan sesat seseorang selagi Kitab Allah iaitu alQuran dan Sunnah Tuan menjadi pegangan…Ya Allah…Bimbinglah kami…”

            Sebelum keluar masjid saya mengisi air zamzam menggunakan botol plastik fleksibel 5 liter sebagai bekalan. Oleh kerana jemaah semakin berkurangan makan mudah sahaja untuk saya memenuhkan botol plastik tersebut.

Dalam perjalanan balik saya perhatikan di belakang saya seorang jemaah perempuan sedang menolak ibunya menggunakan kerusi roda. Pada ketika inipun hati saya masih berdolak-dalik samada untuk menawarkan tenaga untuk menolak ataupun tidak. Kalau sudah terbiasa menolong orang dengan ikhlas mungkin saya akan terus membantu. Inilah yang saya rasa betapa liarnya hati apabila diajak ke jalan Allah.

Setelah berfikir lama barulah saya menawarkan bantuan. Akan tetapi sudah terlambat kerana jemaah tersebut telah membelok ke arah lain untuk ke hotel penginapan mereka.  Saya terus bergerak balik ke hotel dalam keadaan tergesa-gesa kerana ingin buang air kecil sambil membawa botol 5 liter air zamzam.

Pagi ini bersarapan roti sandwich sahaja dengan teh O panas dengan isteri. Selepas sarapan terus basuh pakaian dan sidai.

Hari ini hari Jumaat dan saya cuba pastikan untuk bergerak awal hari ini. Sekitar jam 10 pagi saya bergerak ke Masjidil Haram dengan harapan dapat masuk ke dalam masjid yang bukan di tingkat bumbung. Namun, laluan ke Masjidil Haram telahpun ditutup kerana jemaah telah penuh di dalam. Mungkin mereka telah datang seawal jam 9 pagi lagi.




Saya hanya dapat duduk di atas jalan antara Menara Safwah dan Menara Jam. Kawasan tersebut merupakan jalan kenderaan tetapi telahpun ditutup untuk jemaah bersolat. Kawasan tersebut masih redup kerana matahari terlindung oleh bangunan Menara Safwah. Namun, waktu solat Jumaat masih ada 2 jam lagi. Harapan saya supaya tempat itu teduh sehinggalah solat selesai.

Sekarang ini matahari sudah mula menegak di atas kepala. Tempat duduk sudah menjadi panas dan kebanyakan jemaah telah berpindah ke tempat lain. Saya juga terpaksa berpindah ke tempat kosong yang tidak panas. Oleh kerana semua tempat telah penuh ataupun panas, maka saya bergerak ke arah bangunan Menara Jam. Di dalam bangunan Menara Jam juga telah sesak dengan jemaah. Akhirnya saya terpaksa bersolat di dalam bangunan Menara Jam sehinggalah selesai solat Jumaat.

Daripada 3 kali bersolat Jumaat di Masjidil Haram setakat ini hanya sekali sahaja yang saya dapat bersolat di dalam masjid, iaitu di bumbung. Kali kedua di lorong bangunan hotel Pullman, dan hari ini di dalam pusat membeli belah Menara Jam. Sebagai kesimpulan, saya perlu bergerak ke Masjidil Haram sekurang-kurangnya 3 jam lebih awal untuk membolehkan saya bersolat Jumaat di dalam masjid.

Pergerakan keluar jemaah daripada dalam pusat membeli belah ini juga sesak. Terdapat jemaah yang masih lagi duduk walaupun solat Jumaat telah selesai menyebabkan pergerakan jemaah tersekat-sekat. Sepatutnya setelah selesai semua jemaah kena segera bangun dan bergerak. Keadaan ini sama seperti di laluan tawaf di dalam masjid di mana jemaah perlu segera bangun dan beredar sebaik sahaja solat fardhu dan solat jenazah selesai.

Singgah sebentar di kedai Bin Dawood untuk membeli roti dan sedikit makanan untuk bekalan sarapan. Di dalam kedai Bin Dawood pun jemaah penuh berbelanja. Laluan untuk membayarpun sesak dan kadang-kadang ada yang memotong barisan. Selepas itu saya terus bergerak balik hotel.

Dataran jam masih lagi sesak dengan jemaah yang bergerak ke pelbagai arah mengikut tujuan masing-masing. Apabila terlalu padat seperti ini dengan pergerakan arah yang pelbagai maka berlakulah insiden tolak menolak dan rempuh merempuh. Saya hanya mengikut laluan di tepi-tepi untuk mengurangkan kesesakan.

Sampai di hotel pun jemaah sedang berbaris menunggu lif. Saya terus ke restoran hotel untuk mengambil pek makan tengahari. Semasa berbaris mengambil makanan pun ramai jemaah yang tidak sabar-sabar sehingga ada yang memotong barisan. Semasa menaiki lif juga sudah ada jemaah yang tidak sabar dan menolak-nolak.

Saya dan isteri menikmati makan tengahari di depan bilik sahaja. Kebetulan bilik kami bersebelahan makan mudahlah kami untuk dapat makan bersama dengan duduk di atas karpet di hadapan bilik. Ramai juga jemaah yang makan di hadapan bilik, terutamanya bersama pasangan masing-masing.

Selepas makan tengahari saya terus mengangkat pakaian yang dijemur pagi tadi. Semua telah kering. Balik bilik berehat, bersembang-sembang dengan rakan-rakan sebilik, menyemak whatsap dalam telefon sambil menunggu waktu asar.

Saya bersolat jamaah asar di surau hotel sahaja. Agak ramai juga jemaah yang bersolat asar di surau hari ini sehingga padat dan perlu dibuat 2 pusingan. Ada jemaah yang kelihatannya tidak berapa selesa berjamaah bersesak-sesak terlalu rapat sedemikian. Mungkin mereka perlukan ruang yang lebih luas. Ketika ini jemaah perlu memastikan saf sentiasa rapat, bahu bertemu bahu, dan ketika rukuk dan sujud perlu memendekkan jarak rukuk dan sujud kerana ruangan saf yang terhad.

Kepada jemaah yang biasanya bersolat dengan memerlukan ruang yang besar mereka perlu mengubahnya semasa di sini kerana ada ketikanya ruangan kita hanya cukup-cukup untuk berdiri, rukuk dan sujud. Sangat baik untuk latihan merapatkan saf, terutamanya apabila balik ke Malaysia nanti.

Saf di surau hotel kami ini kadang-kadang bercampur antara jemaah perempuan dan lelaki, terutamanya di garisan pemisah antara saf lelaki dan saf perempuan. Kerap berlaku jemaah perempuan melepasi garisan pemisah saf dan berada dalam saf yang sama dengan jemaah lelaki. Dalam keadaan sebegini mungkin jemaah perempuan sudah boleh mengambil pengajaran daripada hadith Nabi SAW yang mengatakan jemaah perempuan lebih afdal bersolat di biliknya supaya memberi ruang yang lebih kepada jemaah lelaki. Walllahuaklam.

Tidak banyak aktiviti yang dilakukan selepas solat asar. Ramai jemaah memilih untuk duduk di dalam hotel atau berjalan-jalan di sekitar hotel sahaja kerana cuaca di luar sangat panas. Saya hanya duduk dalam bilik bersembang dengan rakan-rakan bilik sambil menunggu solat maghrib.

Solat maghrib dan isyak hanya juga hanya di Masjid Bukit yang lebih dekat dan tidak terlalu sesak dengan jemaah. Selepas makan malam terus siap-siap untuk tidur. Alhamdulillah selesai Hari 27 di Mekah Al Mukarramah.

Mudah-mudahan hari esok merupakan hari yang lebih cemerlang, Insha Allah.



24 Ogos 2019

No comments:

Post a Comment