Alhamdulillah masih lagi diberi kekuatan untuk bangun awal walaupun badan masih terasa
demam, tekak masih perit, batuk-batuk masih lagi. Namun, bila melihat
jemaah-jemaah lain yang batuk-batuk dan selsema saya rasa bersyukur kerana ia
merupakan keadaan biasa di waktu musim haji begini. Di dalam surau hotel, di
Masjid Bukit, di Masjidil Haram ataupun di mana-mana jemaah yang batuk-batuk
dan selsema merupakan keadaan biasa. Alhamdulillah, tong-tong sampah besar yang
disediakan sepanjang jalan di bandar Mekah dapat dijadikan tempat untuk
membuang kahak, walaupun terdapat juga segelintir jemaah yang berludah dan
berkahak di atas ataupun ditepi-tepi jalan. Saya sendiri secara tidak sengaja
telah berludah untuk membuang kahak di atas jalan. Subhanallah, suatu tindakan
yang tak betul dan boleh mengotorkan bandar suci Allah.
Pagi ini jemaah yang
bersolat subuh di Masjidil Haram sudah mulai kurang kerana ada sebahagiannya
telahpun bergerak ke Arafah sejak awal pagi. Pelbagai cara jemaah bergerak ke
Arafah, walaupun kebanyakannya menaiki bas, ada juga jemaah yang berjalan kaki
ataupun menaiki teksi.
Seperti biasa saya dan
isteri terus masuk Masjidil Haram melalui pintu Ajyad, pintu yang biasa saya
ikuti kerana yang paling mudah dari arah hotel saya menginap. Berhenti sebentar
di hentian zamzam untuk menghilangkan dahaga sambil mengisi 3 botol kecil untuk
dibawa sebagai bekalan ke Arafah. Maktab KT48 kami dinasihatkan untuk
menyelesaikan ibadah subuh, sarapan dan berkemas dengan lebih awal kerana
dijadualkan mula bergerak sekitar jam 9 pagi.
Sambil menunggu waktu
subuh saya teruskan dengan aktiviti rutin saya beriktikaf dengan solat-solat
sunat dan membaca alQuran. Suasana agak tenang, belum lagi terdengar suara
polis masjid menjerit-jerit. Suasana yang agak lengang membolehkan jemaah
bergerak dengan mudah, berpindah-pindah tempat untuk beriktikaf. Mereka hanya
memerhatikan sahaja dan sekali-sekala hanya mengarahkan jemaah untuk berpindah
dan melarang hanya dengan menggunakan isyarat tangan. Kadang-kadang rasa rindu
pula ingin mendengar suara-suara mereka. Sepanjang beriktikaf saya terus-terus
berdoa supaya dipermudahkan bermusafir ke Arafah, Muzdalifah dan Mina.
Selesai solat subuh dan solat
jenazah saya dan isteri terus balik ke hotel. Bas-bas jemaah haji telahpun
berderet di sepanjang jalan. Oleh kerana jalan di sekitar hotel kami agak
sempit, maka deretan bas yang banyak menjadikan suasana semakin sesak. Seperti
biasa, di tepi-tepi jalan masih terdapat ramai penyumbang menyedekahkan roti,
kurma, buah-buahan, dan air mineral kepada jemaah. Namun, suasana agak kelam
kabut juga kerana mungkin sebahagian jemaah mengambil buah-buahan, roti dan air
mineral bukan sahaja untuk bersarapan, tetapi juga untuk bekalan semasa
perjalanan ke Arafah. Oleh itu mereka mengambil dalam jumlah yang banyak
sehingga kadang-kadang terpaksa berebut-rebut.
Arafah adalah kemuncak
pekerjaan haji yang merupakan rukun haji yang pertama yang membezakan antara
haji dan umrah. Menurut sejarah, pada ketika Nabi SAW sedang berwukuf di Arafah
pada 9 Zulhijjah tahun 9 Hijrah turun wahyu terakhir Surah Al Maidah Ayat 3
yang maknanya, “Pada hari ini telah Aku
sempurnakan bagimu akan agamamu dan Aku sempurnakan pula nikmat-Ku kepadamu.”
Jam masih lagi menunjukkan pukul
5.30 pagi. Di lobi hotel telah sibuk dengan petugas TH memberikan taklimat
pergerakan jemaah kepada kumpulan yang pertama. Selepas itu mereka mula sibuk
memasukkan beg-beg ke dalam bas-bas yang telah ditetapkan mengikut nombor. Akan
tetapi mana-mana jemaah yang tidak mendengar dengan jelas taklimat yang
diberikan mereka akan tertanya-tanya apa yang perlu dilakukan semasa memunggah
beg-beg ke dalam bas.
Sarapan telah disediakan dan kami terus
naik ke bilik untuk bersarapan dan bersiap-siap. Beg-beg yang disiapkan malam
tadi kami lihat semula untuk memastikan supaya barang-barang penting tidak ada
yang tertinggal.
Sekitar jam 7.30 kami mandi sunat
ihram, mengenakan kain ihram, solat sunat ihram dan melafazkan niat ihram haji.
Maka bermulalah ibadah haji kami. Oleh kerana kami telah ditaklimatkan supaya
menunggu di bilik sehinggalah dipanggil maka kami gunakan masa yang terluang
dengan menyemak semula kitab-kitab haji untuk mengingat semula rukun haji,
wajib haji, sunat-sunat dan dam haji.
Walaupun dijangkakan akan bergerak
sekitar jam 9 pagi tetapi oleh kerana kesesakan jemaah dan bas, kumpulan kami
bergerak 3 jam lewat. Masing-masing sibuk membawa beg dan memasukkan ke dalam
bas. Antara jemaah saling membantu memasukkan beg-beg ke dalam bas. Setelah
semua selesai sedikit taklimat ringkas di dalam bas berkenaan dengan perjalanan
sehingga ke Arafah diberikan oleh petugas TH, dan diakhiri dengan doa supaya
dipermudahkan perjalanan. Kami hanya mula bergerak sekitar jam 12.30 tengahari menuju
ke Arafah. Oleh kerana tempat duduk penuh, maka beberapa jemaah termasuk saya
terpaksa berdiri sehinggalah ke Arafah. Mujur sahaja perjalanan ke Arafah tidak
lama.
لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ
لَكَ لَبَّيْكَ، إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَ شَرِيْكَ لَك
Sampai sahaja di Arafah kami
ditunjukkan arah ke khemah masing-masing. Memang benar seperti yang
ditaklimatkan dulu bahawa ruangan di dalam untuk berehat adalah kecil, iaitu 5
meter x 5 meter untuk satu kumpulan memuatkan 19 orang jemaah. Alas lantai
hanyalah sehelai karpet tebal. Oleh kerana lantainya adalah lantai tanah maka
permukaannya agak tidak rata. Oleh itu susunan tempat tidur perlu mengambil
kira lekuk lantai tanah supaya tidak ada yang tidur di atas bonjolan tanah. Khemah
yang memuatkan sekitar 120 orang itu dibekalkan dengan penghawa dingin mudah
alih dan juga beberapa kipas yang memadai untuk menganginkan dan mendinginkan
khemah.
Setelah selesai berkemas kami terus
bersolat zohor berjamaah dijamak tamam dengan asar di surau khemah yang
disediakan, iaitu jamak yang dibenarkan dalam keadaan ‘masaqqah.’ Surau khemah hanya
boleh memuatkan 5 atau 6 saf yang pendek, dan jika perlu lebih ramai maka
jemaah yang tinggal di dalam khemah berkenaan perlu berjamaah bersama-sama.
Setelah bersolat kebanyakan jemaah
hanya berbaring di tempat masing untuk berehat menghilangkan keletihan.
Pelbagai aktiviti dilakukan oleh jemaah di dalam khemah saya. Ada yang
bersembang, ada yang membaca alQuran, ada yang menyemak buku-buku yang
dibekalkan oleh TH, dan ada juga jemaah yang tertidur keletihan. Saya hanya
membaca alQuran sebagai aktiviti merehatkan badan dan minda.
Semua jemaah dinasihatkan untuk
memakai topeng muka untuk tujuan kesihatan. Bagi jemaah yang sedang mengalami
batuk-batuk atau selsema mereka dapat mengurangkan risiko jangkitan kepada
jemaah lain. Selain itu, topeng mulut tersebut dapat mengurangkan risiko batuk
kerana keadaan di Arafah yang agak berdebu dan berangin. Mukasurat alQuran yang
sedang saya baca juga cepat dilekati debu.
Sambil berdoa saya memohon supaya
sentiasa dipermudahkan kerja-kerja haji saya dan isteri dan sentiasa
dilembutkan hati. Sepanjang 11 hari di Mekah saya dapati usaha menjinakkan hati
merupakan suatu usaha yang sangat sukar. Rasanya kesukaran untuk skor main golf
bawah 80 atau belajar mendapatkan PhD pun tidak sesukar menjinakkan hati.
Sentiasa ada gangguan riak, dengki, memandang rendah orang lain, dan yang
paling ketara ialah kesukaran untuk sentiasa mendekat diri kepada Allah dan
RasulNya.
“Ya Allah... Berilah aku kekuatan utk menjinakkan hati ini yg sentiasa
liar... Setiap masa terasa diri kerdil, terlalu banyak kesilapan yang telah
dilakukan… Ya Allah… hanya Engkau yang berhak mengampuninya, sesungguhnya aku
tiada kekuatan daripada melakukan kesilapan-kesilapan tersebut. Bimbinglah aku…
Ya Allah… “
Kehidupan hari pertama di dalam
khemah terasa menyeronokkan. ‘Kesukaran’ yang dilalui secara perlahan-lahan
menjadi satu keseronokkan. Semua jemaah ceria, makan tengahari bersama-sama,
sambil berkongsi cerita dan pengalaman sepanjang berada di Mekah. Bekalan
makanan seperti limau, kurma dan air kotak sentiasa ada. Setelah makan
tengahari aktiviti rutin diteruskan lagi dengan diselang-seli seperti berwirid,
mengaji alQuran, berdoa, dan juga bersembang sambil menunggu solat maghrib.
Jemaah sentiasa diingatkan untuk mengambil
peluang sebanyak-banyaknya bermunajat kepada Allah sepanjang masa. Sabda
Rasululllah SAW:
مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ
النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ
“Tidak ada hari yang lebih banyak
di mana Allah membebaskan seorang hamba dari neraka melebihi dari hari Arafah”
(HR Muslim).
لاَ إِلَهَ إِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ ، لَهُ المُلْكُ وَ لَهُ
الحَمْدُ ، وَ هُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْر
“Tidak ada sesembahan yang berhak disembah
kecuali Allah semata, tidak ada sekutu bagiNya. MilikNya segala kerajaan,
segala pujian dan Dia yang menguasai segala sesuatu”
Selepas makan malam saya terus
bersiap-siap untuk bersolat jamaah maghrib. Cabaran bermula ketika saya ke
bilik air untuk mencuci muka, gosok gigi, buang air kecil dan mengambil wudhuk.
Barisan jemaah yang menunggu sudah panjang. Kaedah berbaris yang digunakan
ialah menunggu di setiap pintu bilik air dan bukan satu barisan terbuka.
Kelemahan kaedah ini ialah bergantung kepada siapa yang menggunakan bilik air
berkenaan. Kalau bilik yang saya tunggu lebih cepat maka saya akan dapat
menggunakan bilik air terlebih dahulu, berbanding dengan rakan jemaah yang
telah menunggu lebih awal, tetapi kerana penggunanya terlalu lama di bilik air
maka lambatlah gilirannya.
Kaedah berbaris yang dilakukan
sesuai kerana mengambil kira jemaah yang ramai. Kalau dibuat satu barisan
sahaja mungkin barisan tersebut akan sampai keluar ke kawasan jalan. Cuma waktu
menunggu sahaja yang berbeza mengikut berapa lama jemaah menggunakan bilik air
tersebut. Kalau jemaah di tempat saya menunggu agak lama menggunakan bilik air,
maka tempoh menunggu saya akan menjadi lama. Saya cuma dapat senyum sahaja
melihat barisan-barisan di sebelah saya lebih laju.
Apabila dalam keadaan sebegini, penggunaan
bilik air perlu secepat yang boleh. Jemaah perlu memendekkan tempoh penggunaan
kepada tempoh sesingkat yang boleh supaya tidak membebankan jemaah lain untuk
menunggu. Terutamanya cara mandi dan cara buang air besar perlu ‘disesuaikan’
supaya cepat, ringkas dan pantas, kecuali dalam keadaan tertentu yang
memerlukan tempoh lebih lama. Tindakan TH untuk menyediakan makanan yang tidak
pedas, tidak berminyak merupakan keputusan yang tepat dan betul kerana tidak
terlalu memberi kesan yang tidak baik kepada perut jemaah.
Solat maghrib dan isyak di jamak
tamam. Jemaah hanya perlu menyusun saf di dalam khemah masing-masing dan tidak
perlu untuk datang ke surau, kerana kapasiti yang kecil. Jemaah akan mengikuti
imam yang berada di surau khemah melalui pembesar suara yang dipasang pada
setiap khemah. Selepas selesai solat kami mendengar tazkirah haji.
Setelah itu semua jemaah
bersiap-siap untuk tidur awal supaya dapat bangun awal untuk solat subuh
berjamaah. Kecuali yang pernah mengerjakan haji sebelum ini, kebanyakan jemaah
melalui pengalaman pertama tidur dan berehat dalam keadaan terbatas, iaitu
tidur bersebelahan dan bersentuhan dengan jemaah lain dengan hanya beralaskan
karpet dan alas plastik dan berbantalkan beg merah. Saya menukar kain ihram
tambahan kain pelikat tidak berjahit untuk dipakai semasa tidur kerana tidak
mahu mengotorkan kain ihram yang putih.
Alhamdulillah selesai Hari 12 dan Hari 1 di Arafah.
Mudah-mudahan diberikan kemudahan yang berterusan, Insha Allah.
9 Ogos 2019
No comments:
Post a Comment