Penularan wabak COVID19 ke seluruh
dunia memberi kesan yang mendalam kepada kehidupan manusia di seluruh dunia. Suatu
pengalaman yang unik dan mencabar kepada generasi yang belum pernah mengalami
keadaan seperti ini sebelumnya.
Pergerakan dibatasi. Perjalanan merentas
benua hampir tidak dibenarkan kecuali atas perkara-perkara tertentu. Aktiviti sosial
secara fizikal hampir dikatakan tiada langsung. Aktiviti ekonomi yang sangat
terbatas dan hanya terfokus kepada perkara-perkara asas seperti keperluan
hidup. Semuanya memberi gambaran bahawa suatu penyesuaian dan adaptasi perlu
dilakukan oleh semua individu.
Dalam konteks Malaysia, arahan
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilaksanakan sejak 18 Mac 2020. Arahan ini
semata-mata bertujuan untuk mengekang penyebaran COVID19 daripada berlaku. Sehingga
kini, kerajaan masih lagi berusaha keras untuk mengekang penyakit tersebut
daripada terus merebak. Kes-kes baru penyakit ini sentiasa dicatatkan. Sehingga
23 April 2020 masih lagi ada kes baru iaitu sebanyak 71 kes, menjadikan jumlah
keseluruhan kes kepada 5603 kes. Namun, jumlah pesakit yang sembuh telah
meningkat kepada 3542 pesakit (berjumlah 63.2% dan merupakan peratusan sembuh
tertinggi di dunia).
Perlaksanaan PKP ke seluruh negara
memberi kesan yang mendalam dan menyeluruh kepada kehidupan rakyat. Situasi ini
telah memberi suatu dimensi baru kepada kehidupan sehari-hari masyarakat. Semua
individu terpaksa dan perlu menghadapinya tanpa terkecuali. Daripada peringkat kanak-kanak
sehinggalah orang dewasa, mereka perlu beradaptasi dengan keperluan kehidupan
yang baru. Suatu kehidupan yang tidak akan sama seperti sebelumnya. Sekarang ini
masyarakat perlu memikirkan pendekatan baru dalam pelbagai aktiviti seharian.
Dalam aktiviti keagamaan, semua
individu perlu memikirkan pendekatan terbaik bagaimana aktiviti keagamaan tersebut
perlu diteruskan. Ketika aktiviti ke masjid, gereja dan kuil-kuil tidak
dibenarkan maka semua penganut perlu melakukan pengubahsuaian dan adaptasi
supaya aktiviti keagamaan dapat diteruskan tanpa menjejaskan kualiti.
Begitu juga dengan kehidupan sosial.
Kalau sebelumnya semua boleh bertemu secara sua muka, sekarang ini mereka perlu
memikirkan bagaimana dengan keterbatasan untuk bersua muka tidak menjejaskan
hubungan dan aktiviti sosial mereka. Keperluan media sosial sebelum ini hanya
sebagai alternatif telah menjadi suatu keperluan pada ketika ini.
Hubungan kekeluargaan juga menempuh
dimensi baru. Kalau sebelumnya ibu, bapa, anak-anak, dan saudara mara bertemu
selepas waktu kerja ataupun bersekolah, ataupun sekali sekala kepada yang
sedang belajar di kolej, sekarang ini mereka berada dalam rumah sepanjang masa.
Ini merupakan suatu kebiasaan yang belum pernah dilalui sehari-hari. Cabaran utama
ialah bagaimana memastikan supaya kehidupan seharian bersama dapat diisi dengan
aktiviti yang positif dan munasabah.
Perkara yang sama juga dirasai dalam
konteks pembelajaran dan pengajaran, terutamanya yang berkenaan dengan
pembelajaran dan pengajaran formal. Aktiviti bersemuka yang menjadi amalan
biasa sudah tidak dibenarkan. Oleh itu, baik yang bertindak sebagai pengajar
ataupun yang bertindak sebagai pelajar, mereka perlu beradaptasi dan
menyesuaikan diri dengan pendekatan yang baru. Ini perlu dilakukan supaya tidak
menjejaskan matlamat pendidikan yang ditetapkan. Cabaran pendidikan ini lebih
ketara sukarnya kerana kita terikat dengan batasan masa dan waktu yang tidak
boleh diambil mudah begitu sahaja, iaitu umur.
Selain itu, trend ekonomi juga
mengalami perubahan yang ketara. Kaedah penjualan dan perniagaan runcit yang
berasaskan pelanggan dan tempat perniagaan fizikal sudah tidak memungkinkan. Pendekatan
dalam talian merupakan antara peluang baru yang perlu dimanfaatkan untuk tujuan
kelangsungan aktiviti.
Aktiviti lain seperti pembinaan,
perkilangan, perusahaan, import dan eksport juga memerlukan pertimbangan baru. Pada
ketika pergerakan fizikal sudah sangat terbatas, mereka juga sudah perlu
memikirkan pendekatan baru dalam perniagaan, terutamanya sentiasa memastikan
aliran tunai dan simpanan sentiasa diberi perhatian khusus.
Sifat pekerjaan dalam masa yang sama
juga memerlukan pengubahsuaian tertentu supaya dapat beradapatasi dengan keperluan
semasa PKP. Konsep ‘work from home’ merupakan antara pendekatan yang perlu
diperhatian khusus. Apa sahaja akan berlaku di masa-masa akan datang, maka
keupayaan organisasi ataupun individu pekerja dalam melakukan pengubahsuaian
supaya produktiviti tidak terjejas adalah sangat penting.
Satu perkara yang juga penting ialah
perspektif kesihatan di dalam masyarakat. Peluang dihadapkan dengan cabaran
kesihatan seperti COVID19 ini memberi dimensi baru bagaimana masyarakat melihat
aspek kesihatan dalam kehidupan. Faktor penjagaan kebersihan, pemakanan dan
penjagaan kesihatan merupakan contoh ketara yang merubah pendekatan masyarakat.
Untuk sekarang saya doakan semua berada di
dalam perlindungNya sentiasa.
#Stay Safe# Stay Home#
24 April 2020
Covid19 tercatat dlm sejarah dunia hari ini. Mungkinkah ini satu peringatan...
ReplyDelete