Wednesday, 22 April 2020

HARI 18 HARI TERAKHIR DI MINA


Alhamdulillah, pagi ini agak awal bangun sekitar jam 2.45 pagi. Terus ke bilik air membersihkan diri dan berwudhuk untuk bersiap-siap solat subuh di surau. Suraupun masih belum penuh kerana jemaah sedang bersiap-siap. Teruskan dengan aktiviti biasa seperti solat-solat sunat dan membaca alQuran sambil menunggu waktu subuh.

            Selepas subuh terus berkumpul di hadapan khemah untuk bergerak mengerjakan jamrah 13 Zulhijjah dan yang terakhir. Oleh kerana telah ada jemaah yang nafar awal, jemaah yang berkumpul tidaklah terlalu padat jika dibandingkan dengan hari 11 dan 12 Zulhijjah. Kami bergerak perlahan tanpa banyak masalah.

            Masuk hari ketiga berjalan pagi ini kaki berasa selesa sedikit. Jari kaki yang melecet semalam telahpun saya tampal dengan plaster luka. Kerja melontar dapat kami laksanakan tanpa banyak masalah. Kecuali perangai jemaah yang menolak-nolak dan merempuh sahaja yang sentiasa berlaku. Macam manapun memang kena redha dan cuba yang terbaik untuk menyesuaikan diri dengan keadaan yang sedemikian supaya tidak membahayakan diri dan jemaah lain.

            Sama seperti semalam, sampah-sampah seperti botol plastik kosong, bungkusan plastik, bungkusan makanan, dan batu-batu kerikil untuk melontar masih berserakan di atas lantai tempat melontar. Seolah-olah sudah menjadi pandangan biasa di sini. Saya beberapa kali menegur jemaah kerana sengaja dan dengan senang hati membuang lebihan batu-batu kerikil di atas lantai. Kota yang sepatutnya dipelihara keindahan dan kebersihan telah dikotorkan oleh sikap jemaah sendiri.


            Namun begitu, batu-batu kerikil di lantai tidak seburuk seperti semalam. Pagi ini tidak terlalu banyak kerana sebahagian besarnya telah dilonggokkan di tepi kawah terakhir Jamrah Qubra. Mungkin juga batu-batu kerikil semalam telahpun dibersihkan oleh pekerja kebersihan terlebih dahulu.

            Dalam perjalanan balik peminta sedekah seolah semakin ramai hari ini. Mungkin kerana hari ini merupakan hari terakhir jemaah datang melontar sebelum bergerak ke Mekah. Pelbagai gaya mereka meminta. Ada yang mendukung anak kecil, ada yang berbaring, ada yang duduk dan macam-macam lagi. Jadi serba salah rasanya saya tengok polis yang bertugas untuk menghalau mereka, antara simpati dengan tugas. Mana-mana yang ingin bersedekah boleh sahaja memberi.

Terfikir juga dalam fikir kalau-kalau peminta sedekah ini diberikan kerja mengitar semula sampah-sampah terutamanya botol-botol plastik yang berjumlah jutaan tan setiap kali musim haji. Setidak-tidaknya mungkin boleh menjana pekerjaan kepada mereka selain daripada mengekalkan kebersihan kota-kota suci di sini. Tak tahulah, sekadar fikiran kosong sambil bergerak balik ke khemah.

Sepanjang perjalanan balik suasana sedih mula terasa. Polis-polis yang bertugas semuanya melambai-lambaikan tangan mengucapkan selamat tinggal kepada jemaah-jemaah. Ada yang mengambil kesempatan untuk bergambar kenangan. Kebanyakannya bersalaman dan berpelukan mengucapkan tanda perpisahan. Agak sedih juga ketika itu kerana itulah hari terakhir kami semua melalui laluan ke jamrah, melalui terowong-terowong dan kegembiraan berjalan beramai-ramai, dan juga melakukan ibadah melontar. Mudah-mudahan dipertemukan kembali.


Sampai khemah saya terus bersiap-siap dan berkemas beg untuk bergerak ke Mekah. Pagi ini, kumpulan pertama dijadualkan bergerak mulai jam 7 pagi. Alhamdulillah beg yang saya bawa tidak ‘membiak’ dan kekal seperti semasa saya bergerak keluar dari Mekah kelmarin. Selepas bersarapan kami semua mengemaskan petak tempat kami tidur supaya bersih sepertimana kami datang. Semua makanan yang tidak habis dimakan kami kumpulkan di tempat yang ditetapkan supaya tidak terbuang. Sampah-sampah pula kami kumpulkan di tempat yang disediakan. Alhamdulillah khemah kami bersih sama seperti pertama kali kami datang.

Setelah selesai berkemas saya terus mandi, membersihkan diri dan bersiap-siap untuk bergerak keluar. Di luar khemah telah penuh dengan jemaah yang berbaris menunggu giliran untuk menaiki bas. Sebelum keluar tadi ada makluman yang disampaikan melalui pembesar suara khemah tetapi terlalu perlahan dan tidak dapat difahami apa yang disampaikan. Malah sepanjang saya di Mina ini makluman yang disampaikan memang kadang-kadang sukar didengar atau difahami kerana perlahan. Mungkin ini satu daripada penambahbaikan yang boleh difikirkan, iaitu menambah baik sistem audio antara khemah ke khemah.

Jemaah masih lagi berbaris menunggu bas masing-masing. Matahari semakin terik dan cuaca semakin panas. Tidak ada arahan yang jelas semasa jemaah beratur selain menunggu bas mengikut nombor masing-masing yang tak pasti jam berapa sampai. Jemaah mulai resah kerana semakin sesak dan panas dan terpaksa berdiri daripada pagi lagi. Mungkin rasanya ada kaitan dengan sistem perkhidmatan bas di sini yang sukar dijangka dan tidak boleh diatur mengikut jadual kita. Ataupun mungkin juga berlaku kesesakan di jalan-jalan raya kerana ribuan bas sedang berada di jalan-jalan mengangkut jemaah.

Sebab itu pelepasan jemaah mengikut nombor bas yang sampai dahulu kurang berkesan. Mungkin mereka tidak membenarkan bas menunggu lama. Jika jemaah mula bergerak daripada khemah setelah bas mereka sampai mungkin ini akan memakan masa yang lama. Oleh itu mereka menghendakki jemaah berbaris menunggu dan apabila bas sampai terus memasukkan beg-beg dan bergerak.

Barisan menunggu bas yang dibuat oleh jemaah pun tidak teratur. Sudah tak pasti siapa yang menunggu terlebih dahulu dan siapa yang baru datang berbaris. Ini menyebabkan timbul rasa tidak puas hati segelintir jemaah yang merasa telah menunggu lebih lama tetapi bas mereka belum sampai. Ini belum lagi jemaah yang menginginkan semua saudara mara mereka menaiki bas yang sama, dan duduk berdekatan di dalam bas. Semuanya menambah kesukaran jemaah semasa menaiki bas.

Sambil menunggu bas saya sampai mata saya terpandang kepada beberapa helai kain ihram yang telah tergantung di tong-tong sampah besar dan juga di lori-lori sampah setelah dibuang oleh jemaah. Amat menyedihkan sekali pada saya. Semalam semasa saya ingin menggunakan kain ihram untuk dibuat alas tidur selepas karpet tempat tidur kami basah saya berasa sedih kerana terpaksa menggunakan kain ihram sedemikian rupa.



Saya kurang pasti kenapa ada jemaah membuangnya ke dalam tong sampah begitu sahaja. Mungkin kerana sudah tidak mempunyai ruang untuk dibawa. Namun, apapun alasan yang diberi kita seharusnya lebih menghormati kain ihram yang kita pakai dengan menyedekahkannya kepada yang memerlukan setelah kita sampai di Mekah. Ini lebih mulia berbanding membuangnya ke dalam tong sampah.

Saya juga difahamkan oleh rakan khemah saya, di maktab saya pun ramai yang meninggalkan kain ihram mereka di dalam khemah kerana beg mereka sudah tidak muat. Kain ihram saya tetap bawak balik sebagai tanda ingatan dan penghormatan dan juga membawa ‘aura’ tanah suci Mekah ke dalam rumah saya.

Akhirnya bas kami tiba sekitar jam 10 pagi. Perjalanan hanya memakan masa 30 minit sahaja untuk sampai ke hotel penginapan. Semua jemaah dalam keletihan dan ramai yang tertidur dalam perjalanan. Terdengar juga suara-suara jemaah yang menyatakan rasa lega dan tidak sabar untuk sampai di hotel. Tak sabar nak tidur atas katil hotel. Tak sabar nak mandi lama-lama di bilik air. Tak sabar nak tidur dalam bilik berhawa dingin dan sebagainya. Saya rasa perasaan seperti ini normal pada manusia zaman sekarang. Keadaan yang sukar dan serba serbi terbatas memang menguji ketahanan mental dan fizikal jemaah. Allah lagi Maha Mengetahui akan hambaNya yang lemah.

Selamat tinggal Mina, selamat tinggal Muzdalifah dan selamat tinggal juga Arafah. Sedih juga kerana seolah-olah inilah kali pertama dan kali terakhir saya dan isteri datang ke sini. Jemaah hanya akan berkunjung ke sini ketika mengerjakan haji dan tidak terdapat dalam aktiviti semasa mengerjakan umrah. Mudah-mudahan akan dijemput oleh Allah untuk datang lagi suatu masa nanti. Setibanya di hotel penginapan semua jemaah terus masuk ke bilik untuk berehat.

Selepas dapat berehat lebih kurang 1 jam saya bangun minum nestum bijirin segera panas untuk menyegarkan badan sebelum membasuh pakaian kotor dan mandi. Kain ihram saya hantar ke dobi di bawah hotel kerana tempat membasuh terlalu sempit dan berat pula. Saya hanya membasuh pakaian yang ringan dan kecil-kecil dan mudah untuk disidai.

Kain-kain basuhan di sidaian di atas bumbung telah penuh. Mungkin jemaah bergegas membasuh kain kotor sebaik sahaja sampai hotel untuk memastikan pakaian basuhan sempat kering.  Setelah hampir sebulan di Mekah, saya dapati kaedah terbaik menyidai pakaian dalam keadaan terbatas ini ialah dengan menggunakan penyangkut baju semasa menyidai. Selain daripada kita dapat mengurangkan ruang menyidai, pakaian juga akan cepat kering. Manakala pakaian yang berat seperti kain ihram boleh dihantar ke dobi untuk lebih mudah.

Setelah selesai menjemur pakaian saya terus makan tengahari yang telahpun tersedia dan mandi untuk bersiap-siap solat zohor. Hari ini lauk ayam. Solat hanya di surau hotel sahaja. Oleh kerana ramai yang memilih untuk bersolat di surau maka surau agak penuh. Terdapat juga jemaah yang masih bertenaga bersolat di Masjidil Haram dan mungkin seterusnya menyelesaikan ibadah tawaf dan saei dan selesailah kerja haji mereka.

Setelah solat zohor saya mengambil kesempatan untu berehat seketika untuk mengumpul tenaga menyelesaikan 2 lagi rukun iaitu tawaf dan saei haji. Perut saya sekarang ini berasa kurang selesa, mungkin kerana makanan kari daging yang dihidangkan semalam di Mina.

Sebelum maghrib saya pergi menghantar 3 set kain ihram yang telah digunakan semasa di Mina ke dobi berhampiran hotel. Sekarang ini harga dobi naik mendadak. Mungkin kerana meningkatknya permintaan selepas semua jemaah telah kembali ke Mekah. Kalau dulu harga mencuci sepasang kain ihram hanya SR10, tetapi sekarang menjadi SR16. Harga makanan pun saya perhatikan terdapat kenaikan. Kalau dulu harga kari kambing dengan roti gandum hanya SR10, sekarang ini pun telah naik menjadi SR12.

Selepas itu sambung rehat di bilik dan merancang untuk menyelesaikan kerja tawaf dan saei selepas maghrib. Namun selepas maghrib rancangan tersebut saya tangguhkan selepas subuh esok kerana isteri masih lagi kepenatan. Saya hanya solat maghrib di surau hotel sahaja.

Pekerjaan haji ini memang memerlukan kerjasama suami isteri, terutamanya apabila isteri keletihan atau kepenatan seperti ini. Kadang-kadang suami perlu memimpin isteri semasa berjalan ke masjid supaya dapat mengurangkan kepenatan pada kaki. Tempo jalan kaki juga perlu disesuaikan dengan kesediaan isteri. Kalau mereka perlu berhenti seketika kita perlu berhenti supaya dia dapat mengumpul tenaga semula. Tambah lagi kalau isteri yang memang memerlukan perhatian khusus kerana sakit atau sudah tua, ataupun menggunakan kerusi roda. Ini lebih memerlukan perhatian dan pengorbanan suami. Begitulah sebaliknya kalau si suami pula yang menghadapi masalah kesihatan.

 Malam ini saya hanya solat isyak berjamaah di Masjid Bukit sahaja. Memang saya akui masih terasa penat kaki setelah berjalan lebih kurang 25 kilometer dalam masa 3 hari di Mina. Tambah lagi dengan selsema dan batuk yang masih lagi terasa, maka keletihan tersebut lebih terasa. Masjid Bukit masih seperti biasa dengan jemaah yang bersolat. Cuma agak kurang padat, mungkin kerana jemaah lebih ramai bersolat di Masjidil Haram.

Balik dari Masjid Bukit terus siap-siap untuk tidur, dengan harapan esok boleh bangun awal dan berjamaah di Masjidil Haram, seterusnya menyelesaikan kerja haji saya. Alhamdulillah selesai Hari 18 di Mina dan Mekah.

Mudah-mudahan esok merupakan hari yang lebih ceria untuk saya dan isteri, Insha Allah.



15 Ogos 2019

No comments:

Post a Comment