Alhamdulillah masih dibangunkan macam biasa. Pagi ini selsema masih ada walaupun tidak
seteruk minggu lepas. Batuk-batuk pula masih ada, penyakit yang sangat jarang
saya dapat tetapi sekarang sudah masuk 2 minggu masih belum sembuh.
Pagi ini solat subuh di
surau hotel sahaja. Badan masih tak berapa sedap mungkin kerana selsema dan
batuk. Selepas solat subuh terus sarapan pagi dengan roti butter dan teh O
panas untuk dapat tenaga menyelesaikan umrah. Ramai yang bersarapan di atas
karpet di hadapan bilik masing-masing.
Macam-macam cerita
dikongsi pagi ini. Ada yang berkongsi pengalaman hidup sebilik dengan jemaah
lain tetapi sibuk dengan hal masing-masing. Ada pula jemaah perempuan yang
menghidap sakit kencing manis berat dan memerlukan perhatian dan bantuan suami
dalam banyak perkara. Dia perlu menyuntik insulin setiap hari. Pernah sekali
saya lihat dia menyusur dinding dan berpegang pada dinding untuk turun ke
bawah, ingin membeli barang di kedai. Suaminya mungkin sedang di Masjidil
Haram. Cerita-cerita pagi ini menerangkan tentang perlunya perhatian dan
kerjasama antara rakan sebilik dan antara suami dan isteri semasa mengerjakan
haji supaya dapat diselesaikan dengan sempurna
Sekitar jam 7 pagi saya dan isteri bergerak ke
Masjidil Haram untuk menyelesaikan umrah sunat. Alhamdulillah kami masuk
mengikut pintu biasa Ajyad. Seperti biasa kami akan berhenti di hentian zamzam dahulu
untuk menghilangkan dahaga dan mengisi beberapa botol kecil sebagai bekalan
ketika dahaga nanti.
Jemaah agak kurang ketika
ini dan kami dapat melakukan tawaf daripada tingkat 1 dengan lancar, kecuali
ketika tiba di tempat Rukun Hajar Aswad di mana permulaan tawaf dimulai.
Sebahagian jemaah dari negara lain melakukan Istilam dengan berhenti dan
menghadap ke Hajar Aswad. Sedangkan kami diajar melakukan istilam dengan
melambai-lambaikan tangan sahaja. Sebab itu setiap kali sampai di permulaan
pusingan pergerakan jemaah akan terhenti dan menjadi sesak.
Selesai tawaf dan bersolat
sunat kami terus bergerak ke dataran saei pula. Berhenti sebentar di hentian
zamzam untuk menghilangkan dahaga. Laluan saei juga tidak terlalu padat. Malah
saya dapat membaca alQuran sepanjang laluan bersaei dengan memegang kita
alQuran. Alhamdulillah selesai mengerjakan saei 7 pusingan tanpa banyak
masalah. Setelah bergunting saya dan isteri terus ke restoran DSaji untuk minum
teh tarik sambil bersembang-sembang menghilangkan keletihan.
Selepas mengeteh terus
balik hotel untuk makan tengahari dan berehat sambil menunggu zohor. Solat
zohor di surau hotel sahaja. Masih lagi berehat di bilik sambil menunggu asar
pula.
Selepas asar sebenarnya
saya telah berjanji untuk bertemu dengan Dadan di Restoran DSaji Menara Safwah.
Tetapi oleh kerana masa yang suntuk dan saya sendiri agak kurang sihat maka
cadangan tersebut tidak dapat dilakukan. Akhirnya memang kami tak dipertemukan.
Perancangan Allah lebih baik dan saya hanya mengucapkan selamat jalan kepada
Dadan kerana esok dia akan terus bergerak ke Madinah. Selamat jalan Dadan.
Semoga beroleh haji yang mabrur.
Sekarang ini KT35B sudah
mula bergerak ke Madinah. Petugas TH memaklumkan kemudahan surau dan lif supaya
diberi keutamaan kepada jemaah tersebut. Ini bagi memudahkan persiapan dan
memudahkan pergerakan mereka mengangkat beg-beg dan lain-lain keperluan menaiki
bas. Agak sibuk sedikit di lif dan lobi hotel dengan jemaah KT35B turun naik.
Solat asar juga di surau
hotel. Selepas itu terus bersiap-siap untuk melawat menara jam. Hari ini ada
pakej diskaun 50% seorang daripada harga asal SR150. Pakej tersebut meliputi
lawatan ke muzeum, menara jam dan bersolat maghrib di menara. Saya dan isteri
bergerak selepas asar dengan beberapa orang jemaah lain yang juga mendaftar
untuk mengikuti program lawatan berkenaan. Peserta dikehendaki berkumpul dan
beratur di lobi menara jam untuk mengambil tiket dan seterusnya bergerak
menaiki lif ke menara jam.
Lif ke menara jam agak laju dan
tidak mengambil masa yang lama untuk sampai ke tingkat muzeum. Proses memasuki tingkat
muzeum dan menara jam sangat ketat, sama seperti ketika memasuki kapalterbang. Terdapat
4 tingkat muzeum yang memaparkan sejarah kejadian alam semesta dan juga proses
bagaimana menara jam dibina. Agar sukar juga mengambil gambar di dalam muzeum
kerana pencahayaan dalam muzeum yang tidak berapa terang.
Setelah itu kami terus ke tingkat
menara jam. Daripada menara ini kita akan dapat melihat seluruh bandar Mekah
yang sedang bercahaya-cahaya. Masjidil Haram juga kelihatan kecil jauh di
bawah. Jemaah-jemaah yang sedang bertawaf juga hanya kelihatan berbentuk
bulatan sahaja. Subhanallah. Indahnya pemandangan kota Mekah dan Masjidil
Haram.
Kami bersolat di bawah menara jam
secara bersendirian sahaja dan tidak berjamaah dengan imam Masjidil Haram. Solat
berganti-ganti dengan isteri kerana ruangan yang sempit dan agak gelap. Setelah
puas menikmati pemandangan kota Mekah kami turun ke tingkat pusat membeli belah
Abraz. Kami makan malam di KFC yang ada di situ. Kami juga bersolat isyak di
dalam kawasan kedai Abraz dengan mengikut imam Masjidil Haram yang suaranya
jelas kedengaran daripada pembesar suara bangunan.
Mungkin boleh dicadangkan
kepada sesiapa yang ingin melawat muzeum dan menara jam supaya dilakukan
selepas waktu subuh setelah dibuka. Ini memberi ruang yang lebih untuk melawat
dan tidak tergesa-gesa untuk mengejar waktu solat. Waktu lawatan kami selepas
waktu asar agak kurang sesuai kerana tergesa-gesa dengan waktu maghrib dan
isyak sehingga kami terlepas bersolat di Masjidil Haram.
Selepas solat isyak di
dalam pusat membeli belah Abraz kami terus balik hotel untuk berehat dan
menghilangkan keletihan. Mungkin kerana keletihan berdiri sejak dari petang
tadi perjalanan balik pun menjadi perlahan. Isteri pun beberapa kali meminta
untuk berhenti seketika menghilangkan keletihan pada kaki.
Alhamdulillah sampai di hotel dengan selamat dan keletihan. Sempat makan
roti butter sandwich dengan teh O panas sebelum tidur. Alhamdulillah selesai
Hari 29 di Mekah Al Mukarramah.
26 Ogos 2019
No comments:
Post a Comment