Wednesday, 22 April 2020

HARI 19 MEKAH AL MUKARRAMAH


Alhamdulillah pagi ini terjaga sekitar jam 3 pagi walaupun sudah dikira lewat. Terus kejutkan isteri untuk bersiap-siap. Pagi ini memang dah merancang untuk menyelesaikan kerja-kerja haji selepas solat subuh.

Oleh kerana lewat sampai, maka saya dan isteri hanya dapat bersolat di luar Masjidil Haram, berhampiran dengan pintu masuk Ajyad. Kami terus duduk, bersolat-solat sunat dan membaca alQuran sambil menunggu solat subuh. Kaabah hanya dapat terlihat sedikit sahaja dan jauh dari arah saya duduk.

Bersama-sama saya ada jemaah daripada Tanzania. Sambil berbual ringkas dia menghulurkan kacang-kacang untuk dimakan dan memberikan kain alas solat gaya Tanzania kepada saya. Dia menyatakan pernah ke KL dan cantik bandar KL katanya. Namun oleh kerana saya akan melakukan tawaf dan saei haji maka kain alas solat saya sedekahkan pula kepada jemaah dari Afrika yang lain. Harap-harap mereka gembira dengan pemberian saya.

Berhampiran dengan saya juga ada sepasang jemaah Indonesia yang telah terpisah daripada kumpulan jemaah mereka. Mereka meminta izin untuk ikut sama melakukan tawaf dan saei kerana tak pasti bagaimana melakukannya.

Selesai sahaja solat subuh dan solat jenazah saya dan isteri terus turun ke dataran tawaf bersama-sama dengan pasangan Indonesia tadi untuk memulakan tawaf haji. Kami memulakan seperti biasa di tengah-tengah kesesakan jemaah. Seperti biasa ketika musim haji, jemaah yang bertawaf sentiasa padat dan sesak. Pasangan jemaah Indonesia tadi masih lagi mengikut saya, walaupun agak sukar kerana kepadatan jemaah yang sama-sama sedang bertawaf. Mereka masih mengikuti kami sehinggalah selesai, sebelum bergerak ke arah dataran saei pula.

Keadaan tolak menolak pula memang kerap berlaku, terutamanya apabila tiba di permulaan tawaf Hajar Aswad. Setiap kali tiba di permulaan tawaf kami terhimpit oleh jemaah yang terlalu ramai. Apa yang menjadi masalah ketika itu ialah ramai jemaah yang berhenti dan memalingkan badan menghadap Hajar Aswad menyebabkan pergerakan putaran tawaf tersekat. Pada ketika inilah kami rasa terhimpit hingga ada ketikanya sukar bernafas.

Kadang-kadang terfikir juga perlunya kursus etika bertawaf yang teratur kepada semua jemaah seluruh dunia supaya tawaf mereka menjadi sempurna, teratur dan tidak menyusahkan jemaah-jemaah lain yang sama-sama bertawaf. Setiap mutawif atau agensi yang menguruskan jemaah haji, termasuklah yang diurus oleh kerajaan ataupun swasta di negara masing untuk memasukkan komponen berkenaan sebagai salah satu komponen kursus haji. Sekadar fikiran kosong kesan daripada pengalaman yang dilalui semasa bertawaf.

Semasa bertawaf tadi pun saya perhatikan jemaah yang bergerak secara berkumpulan agak mengganggu pergerakan jemaah yang lain. Ada ketikanya mereka terpaksa menolak jemaah di depan mereka kerana ingin menjaga ahli kumpulan mereka tidak ada yang terpisah. Andaian saya mungkin mereka berasa risau takut terpisah daripada rakan-rakan jemaah yang lain, seperti pasangan jemaah Indonesia yang sedang mengikuti saya dan isteri bertawaf. Wallahuaklam.

Setelah selesai bertawaf haji kami terus bergerak ke dataran saei untuk melakukan saei haji. Kami berhenti sebentar di hentian zamzam sebagai sunnah untuk menghilangkan dahaga. Jemaah Indonesia tadi masih lagi bersama kami sehinggalah ke dataran saei di mana mereka meneruskan saei sendirian. Didoakan mereka dapat bertemu semula dengan kumpulan jemaah mereka.

Pelbagai cara jemaah bertasbih dan berdoa semasa bersaei. Terutamanya yang berkumpulan, mereka biasanya akan melafazkan tasbih dan doa dengan suara yang kuat mengikut pemimpin kumpulan mereka. Kadang-kadang saya sampai tersasul kerana terganggu dengan bacaan doa yang kuat daripada kumpulan tersebut.

Saya berhenti sekali-sekala di hentian zamzam untuk menghilangkan dahaga dan keletihan bersaei apabila diminta oleh isteri. Kadang-kadang saya sempat juga membaca 1 ain sambil merehatkan kaki sebelum menyambung semula. Berbeza dengan tawaf, semasa saei kita boleh berhenti bila-bila masa tanpa dan tidak membatalkan pusingan berkenaan.

Pusingan demi pusingan kami lakukan dan akhirnya sampailah ke pusingan terakhir. Perasaan gembira, sayu dan sedih mula timbul. Gembira kerana kerja-kerja haji saya dan isteri hampir selesai. Sayu atau sedih kerana terpaksa menghabiskan kerja haji dan tidak ada lagi pekerjaan haji selepas itu. Seolah-olah macam terkilan kerana merasakan kemungkinan haji ini merupakan haji pertama dan terakhir bagi saya dan isteri. Mudah-mudahan segala keseronokan dan pengalaman yang dilalui dapat kami nikmati seterusnya hinggalah ke akhir hayat.

Dengan menghadap ke arah Kaabah saya dan isteri menadah tangan mengucapkan syukur kerana telah berjaya menyelesaikan kewajipan haji kami dengan sempurnanya:

“Ya Allah… Kami panjatkan syukur kepadaMu kerana telah mengizinkan kami datang dan menunaikan tanggungjawab melengkapkan Rukun Islam yang kelima… Terimalah ibadah kami… Jadikanlah ibadah haji kami sebagai ibadah haji yang mabrur… Janganlah Engkau jadikan pekerjaan haji kami ini sebagai haji yang pertama dan terakhir… Sekiranya diberi peluang jemputlah kami… Insha Allah kami akan datang…Berkatilah hidup kami seterusnya sehingga kami bertemu denganMu…Ya Allah”
 
Tanpa diminta-minta air mata mengalir dengan deras di pipi. Tersangat sedih sekali kerana terpaksa menyelesaikan ibadah haji kami pada ketika itu. Kalau diberi kesempatan mahu sahaja kami pergi ke Arafah semula, ke Muzdalifah semula, dan ke Mina untuk melalui pengalaman dan kenikmatan yang tidak ada bandingannya di mana-manapun di dunia ini. Barulah kami faham apa yang pernah kawan kami sebutkan berkenaan perasaan ini ketika mengakhiri pekerjaan haji. Subhanallah…


            Kami sempat berselfie berdua di pintu masuk ‘kegemaran’ kami sebagai kenang-kenangan sebelum bergerak terus ke restoran DSaji di Safwah. Isteri minum teh ais dan saya minum teh tarik. Kami juga memesan kari kambing dan prata. Sarapan pagi ini terasa nikmat dan segar. Setelah sarapan kami berjalan-jalan sebentar di kawasan membeli belah untuk membeli apa-apa yang difikirkan perlu. Dapatlah beli jubah 3 helai untuk kegunaan sendiri. Buah tangan telahpun dipos balik Malaysia sebelum bergerak ke Arafah.


            Selepasa sarapan kami terus balik ke hotel. Berehat sambil bersembang-sembang dengan rakan-rakan sebilik berkongsi pengalaman dan cerita. Semua telah menyelesaikan kerja-kerja haji tadi, alhamdulillah semua kelihatan ceria kerana tugas utama telahpun selesai.

            Seperkara lagi berkenaan dengan kumpulan whatsap yang dibentuk oleh jemaah supaya dapat mengumpul jemaah dalam satu medium, terutamanya selepas balik dari Mekah. Seperti yang kita ketahui, karakter ahli whatsap secara umumnya ada 3, iaitu hanya membaca, membaca dan respon, dan suka mengepos. Kami semua kurang setuju kerana belumpun sampai Malaysia dah macam-macam cerita dan bahan-bahan ‘forwarded’ yang kami rasa tak sesuai dibincangkan, terutamanya setelah jemaah baru sahaja selesai menyempurnakan rukun Islam yang kelima. Fikiran jadi terganggu terutamanya bila ada jemaah yang mengepos bahan-bahan atau cerita-cerita keburukan dan kesalahan orang atau seumpamanya. Wallahuaklam.

            Selepas solat zohor dan makan tengahari saya melelapkan mata sebentar untuk menghilangkan keletihan. Saya terjaga sebelum waktu asar. Solat asar hanya di surau hotel sahaja. Jam baru pukul 4.28 petang, sembang-sembang dengan rakan-rakan sambil minum teh O panas dengan kurma segar.

Sekejap lagi nak ajak isteri jalan-jalan di kedai-kedai sekitar hotel untuk menghirup udara luar. Kami duduk-duduk di tepi jalan, makan ‘ice cream’ kun sambil memerhatikan pergerakan jemaah dan bas-bas yang lalu lalang. Suhu panas menyebabkan ‘ice cream’ tersebut betul-betul nikmat kerana terasa sejuk masuk ke dalam tekak. Allahuakbar.




            Hari ini saya menghabiskan masa berehat dan melihat sekeliling hotel sahaja. Solat maghrib dan isyak pun masih di surau hotel. Selepas makan malam terus bersiap-siap untuk tidur dengan harapan dapat bangun awal esok dan bersolat di Masjidil Haram.

Alhamdulillah selesai Hari 19 di Mekah al Mukarramah.

16 Ogos 2019

No comments:

Post a Comment