Wednesday, 22 April 2020

HARI 38 HARI KEEMPAT DI MADINAH AL MUNAWWARAH


Alhamdulillah masih dikejut oleh Allah untuk bagi subuh di masjid. Terus siap-siap dan gerak ke masjid dengan rakan sebilik Haji Sarjan. Di sini kami kerap bergerak ke masjid bersama-sama. Kalau saya terjaga dahulu saya akan menunggu beliau, dan begitulah sebaliknya. Berjalan ke masjid hanya 5 minit sahaja. Kadang-kadang masa tunggu lif lebih lama dari masa ke masjid.

            Di luar masjid telahpun ramai jemaah duduk beriktikaf yang kebanyakannya daripada negara-negara di Asia Selatan. Ramai antara jemaah perempuan mereka masih dengan pakaian tradisi semasa bersolat. Sebahagian rambut mereka di bahagian depan kelihatan, kaki, tangan dan juga leher mereka kerana kain yang digunakan agak jarang. Mungkin mazhab yang mereka ikuti dibolehkan wallahuaklam.

Kami terus masuk ke dalam masjid beriktikaf sambil menunggu subuh. Letak selipar, minum zamzam, solat-solat sunat dan membaca alQuran. Bila ada 45 minit sebelum solat subuh memang banyak yang boleh dilakukan, terutamanya membaca alQuran. Di dalam masjid masih lagi jelas kedengaran suara jemaah terbatuk-batuk seolah-olah bersahut-sahutan. Saya sendiri pun baru sembuh dari batuk walaupun sekali-sekala masih lagi ada. memang agak mengganggu ibadah kita bila terbatuk-batuk yang berkahak. Pertama diri kita sendiri, dan lebih-lebih lagi kepada jemaah bersebelahan. Sebab itu semasa demam selsema dan kerap batuk hari-hari yang sebelumnya saya sentiasa memakai topeng muka.

Selesai solat subuh dan solat jenazah kami menunggu seketika supaya pergerakan keluar jemaah berkurangan dahulu. Kami tunggu sebentar di luar masjid untuk menikmati payung gergasi terbuka. Memang seronok menonton payung gergasi tersebut terbuka.

Pagi ini saya isteri, Haji Sarjan dan isteri bersarapan pagi di restoran Bangladesh di bawah hotel. Kami makan roti gandum dengan kari ayam dengan harga SR15, mengandungi 3 ketul ayam. Sesekali merasa makanan seperti itu memang terasa nikmat, nikmat tekak namanya.

Selesai sarapan kami berjalan-jalan di sekitar hotel di kedai-kedai jualan. Jemaah ramai yang sedang berbelanja seperti kurma, kacang-kacang, dan juga jubah-jubah untuk dibawa balik. Para penjual semakin ramah menawarkan barangan mereka dan setengah-setengah barang harganya telah diturunkan sedikit. Kadang-kadang apabila membeli di saat akhir seperti ini boleh menyebabkan barang yang dibawa terlebih berat.

Di lobi juga sibuk jemaah yang sedang mengepos barang melalui nationwide ataupun skynet. Nationwide agak mahal sedikit berbanding skynet. Jemaah perlu menyelesaikan semua buah tangan hari ini kerana esok pagi semua beg-beg besar perlu ditimbang untuk dihantar terus ke lapangan terbang. Saya sendiri belum mengemas beg dan merancang untuk mengemasnya selepas solat isyak malam ini.

Sudah mula ada cerita jemaah terlebih berat dan menumpang sebahagiannya ke dalam beg jemaah lain. Setiap jemaah dibenarkan membawa beg seberat 30 kilogram seorang. Tetapi, bila berbelanja di saat-saat akhir seperti itu kejadian tersebut mungkin berlaku. Tidak adil kepada jemaah yang begnya ditumpangi kerana mungkin mereka juga ingin membeli, tetapi kerana sudah ada yang meminta untuk menumpang maka mereka batalkan.

Sepatutnya jemaah yang terlebih berat itu perlu mengepos sendiri barang-barang yang terlebih berat tanpa menyusahkan orang lain, tetapi kerana tidak mahu mengeluarkan duit pos lagi menyebabkan mereka mencari ke sana sini bertanya jemaah yang begnya masih kosong. Mungkin Allah ingin menunjukkan kepada saya sikap manusia yang sentiasa ingin mendapatkan keuntungan bagi dirinya sendiri tanpa memikirkan orang lain.

Berehat di bilik sambil berbual-bual dengan rakan sebilik. Saya dapat melelapkan mata sebentar sehinggalah jam 11.30 pagi. Setelah terjaga terus bersiap-siap untuk ke masjid. Haji Sarjan pun dah siap menunggu. Terus bergerak ke masjid, letak selipar, minum zamzam, solat-solat sunat dan membaca alQuran sambil menunggu zohor. Terasa dekat sangat dengan Rasulullah SAW.

“Salawat dan salam kepadamu ya Nabi Allah, keluargamu dan salam juga kepada Sahabatmu Saidina Abu Bakar As Siddiq dan Saidina Umar Al Khattab. Aku beriktikaf di dalam masjidmu kerana Allah Taala”

Aktiviti jemaah di dalam masjid masih seperti biasa. Ada kumpulan belajar membaca alQuran, ada kumpulan memberi tazkirah. Aktiviti beriktikaf memang sentiasa terisi dengan pelbagai aktiviti mendekatkan diri kepada Allah dan RasulNya.


Jemaah secara perlahan-lahan semakin penuh. Selesai solat zohor saya terus bergerak keluar kerana tiada solat jenazah. Inilah kali pertama sepanjang saya di Madinah tidak ada jemaah yang meninggal. Kami terus ke restoran Bangladesh berhampiran hotel penginapan untuk makan nasi bariani ayam dengan harga SR20 satu set. Set nasi tersebut cukup untuk hidangan 2 orang.

Selepas makan tengahari terus masuk bilik berehat dan berbual-bual dengan rakan sebilik sambil menunggu asar. Jam 3.40 petang kami dah ada di dalam masjid beriktikaf dengan aktiviti rutin sambil menunggu asar. Selepas solat asar terus balik ke hotel berehat lagi sambil berbual-bual dengan rakan sebilik. Sekejap lagi nak keluar awal untuk melihat payung gergasi ditutup.

Sekitar jam 5.50 saya sudah berada di luar masjid untuk melihat payung gergasi ditutup. Namun masih belum ada rezeki hari ini. Saya menunggu sehinggalah jam 6.10 petang belum lagi ditutup. Terus masuk ke masjid untuk solat maghrib. Kami teruskan beriktikaf sehingga waktu isyak. Bila rasa letih saya bangun berdiri, atau melunjurkan kaki, ataupun  berbaring sebentar.

Jemaah masih padat kerana mereka juga beriktikaf sehingga waktu isyak. Ketika saya membaca alQuran terdapat juga jemaah yang melangkah bahu saya untuk bergerak ke depan ataupun ke belakang. Malah ada yang melangkah alQuran yang sedang saya baca dan ada pula sampai tersepak. Bila sesak begini memang memerlukan kesabaran dan saling bertolak ansur antara jemaah supaya tidak mengganggu jemaah lain yang juga sedang beribadah. Jemaah pula perlu lebih berhati-hati supaya tidak terlangkah alQuran, apalagi tersepak.

Selepas solat isyak dan solat jenazah kami terus balik bilik untuk makan malam. Malam ini saya cuma makan indomie cawan sahaja. Selepas itu terus mengemas beg-beg besar saya dan juga isteri. Kebetulan juga bilik saya dan bilik isteri adalah bersebelahan. Kami mengemas serentak untuk memastikan kedua-dua beg seimbang dan tidak melebih 30 kilogram yang dibenarkan setiap satu. Rakan-rakan sebilik pun masing-masing sibuk mengemas beg. Di depan bilik saya pun agak sibuk dengan jemaah sedang mengemaskan beg masing-masing. Ada juga yang membawa turun beg mereka ke lobi untuk ditimbang.

Terdapat juga jemaah yang tidak mengemas secara bersama dengan isterinya sehingga salah satu beg terlebih berat dan satu beg lagi masih ada ruang. Kami sama-sama membantu untuk membahagikan barang-barang si suami dengan barang-barang si isteri ke dalam beg masing-masing secara seimbang. Ada juga jemaah yang memang terlebih berat. Terutamanya barang-barang yang baru dibeli semasa di Madinah sudah tidak boleh dimasukkan ke dalam beg. Mereka terpaksa menggunakan beg tambahan untuk mengisi lebihan barang tersebut dan berdoa supaya proses timbangan esok tidak ada masalah.

Alhamdulillah selesai mengemas beg, siap dengan memberi tanda nama dan alamat di Malaysia bagi memudahkan untuk dikesan sekiranya kehilangan. Selepas selesai kami terus bersiap-siap untuk tidur. Masing-masing kelihatan ceria kerana dapat berjumpa semula dengan ahli keluarga dan sahabat handai.

Selesai Hari 38 saya di Madinah Al Munawwarah. Moga-moga urusan hari esok sentiasa dipermudahkan oleh Allah, Insha Allah.



4 September 2019

No comments:

Post a Comment