Wednesday, 22 April 2020

HARI 17 HARI KETIGA DI MINA


Alhamdulillah terbangun sekitar 4.15 pagi. Cukup masa untuk membersihkan diri, mandi, berwudhuk dan subuh berjamaah. Terus ke bilik air dan berbaris menunggu giliran. Untuk memendekkan masa, saya hanya buang air dan mandi ringkas sahaja supaya tidak terlalu lama.

Gosok gigi pun saya lakukan di dalam tong sampah. Dengan menggunakan air yang sesedikit mungkin saya bergosok gigi supaya tidak menyebabkan tong sampah penuh air. Terus siap-siap untuk berjamaah subuh. Dapatlah bersolat sunat fajar dan membaca alQuran sedikit sambil menunggu subuh.

            Pagi ini terdapat sebahagian jemaah yang ‘nafar awal’ iaitu memendekkan tempoh bermalam d Mina dan menyelesaikan lontaran hanya pada 11 dan 12 Zulhijjah sahaja. Ini biasanya dilakukan oleh jemaah yang tidak mempunyai masa yang cukup untuk tinggal lebih lama di Mina. Mereka akan terus balik ke Mekah.

            Saya dan isteri melakukan ‘nafar thani’ iaitu menyelesaikan tempoh bermalam di Mina selama 3 hari dan membuat lontaran jamrah pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Jadual waktu melontar hari ini adalah selepas maghrib.

            Selesai solat subuh berjamaah, saya bersama isteri dengan beberapa rakan yang sudah kenal rapat berbincang untuk melakukan ibadah melontar selepas waktu subuh. Oleh kerana telah mempunyai sedikit pengetahuan setelah melakukannya 2 hari sebelum ini maka kami agak yakin untuk pergi sendiri supaya dapat melakukan ibadah melontar selepas solat subuh. Seronoknya waktu pagi ialah cuaca agak sederhana dan tidak panas kerana matahari belum kelihatan.

            Lebih kurang jam 5.35 pagi kami bergerak perlahan-lahan untuk mengerjakan ibadah melontar. Saya perhatikan jumlah jemaah yang sedang bergerak ke tempat Jamrah lebih ramai daripada hari-hari sebelumnya. Oleh kerana itu laluan pergerakan diperpanjangkan sedikit dan turun ke bawah terlebih dahulu sebelum berpatah balik ke arah tempat jamrah. Saya anggarkan untuk berpatah balik mengambil masa lebih 30 minit, dengan tambahan 2 kilometer. Walaupun pagi ini jemaah agak sesak, pergerakan masih lagi lancar dan selesa.


            Pelbagai gelagat jemaah yang berjalan. Ada yang berlari-lari anak, ada yang ‘stride’ dan berjalan cepat, ada yang berjalan perlahan, dan ada juga yang bergerak cepat secara ‘zig-zag’. Jemaah yang berjalan seperti ‘zig-zag’ ini kadang-kadang mengganggu pergerakan jemaah yang lain kerana mereka agak tergesa-gesa.

            Alhamdulillah kami dapat melontar di tempat yang pertama dengan sempurna. Suasana di tempat melontar agak kelam kabut, kerana ramai jemaah melakukannya dengan tergesa-gesa, tak pasti kenapa. Mungkin mereka ingin menyelesaikannya secepat mungkin dan terus balik ke Mekah. Kadang-kadang terpaksa berempuh dan dirempuh, baik ketika ingin membuat lontaran ataupun semasa keluar setelah selesai melontar.

            Insiden rempuh merempuh ini berlaku di ketiga-tiga tempat melontar. Tanpa mengira jemaah lelaki ataupun perempuan mereka tanpa segan silu menolak dan merempuh jemaah lain semasa membuat lontaran. Ada juga jemaah yang melontar daripada jauh tanpa mengira samada lontaran batu tersebut jatuh ke dalam kawasan tadahan ataupun tidak. Saya dan isteri sendiri merasa beberapa kali anak-anak batu yang dilontar oleh jemaah di belakang kena di kepala kami.

Amat menyedihkan sebenarnya kerana ciri-ciri keIslaman yang mengajarkan tentang timbang rasa, hormat menghormati pada ketika itu hilang sama sekali. Sebagai manusia biasa terasa juga perasaan ingin memarahi sikap dan tingkah laku jemaah-jemaah tersebut. Ibadah yang dilaksanakan berpandukan kepada apa yang diajarkan oleh Nabi SAW telah tidak dihayati sepenuhnya malah dicemari dengan sikap mementingkan diri jemaah itu sendiri. Namun kami simpan dan bersabar sahaja dan menyerahkannya kepada Allah untuk menilai.

Lebih menyedihkan lagi ialah aspek kebersihan yang sudah tidak terkawal sama sekali. Sampah-sampah seperti botol-botol plastik, plastik, bungkusan makanan, termasuklah batu-batu kecil dibuang begitu sahaja di lantai, menyebabkan keadaan tersangat kotor. Tanpa mengira daripada negara mana, lelaki atau perempuan, ramai yang melakukan perkara tersebut tanpa segan silu.


Paling menyedihkan ialah lebihan batu kerikil yang dibuang selepas selesai semua lontaran. Saya perhatikan beribu-ribu batu kecil dibuang di atas lantai. Selain daripada mengotorkan keadaan, kadang-kadang boleh menyukarkan jemaah lain. Pada masa itu ada saya saksikan seorang jemaah yang ditolak menggunakan kerusi roda menghadapi masalah untuk bergerak, kerana rodanya sering tersangkut-sangkut pada batu-batu kecil yang dibuang di atas lantai. Ini terutamanya di kawasan lontaran terakhir Jamrah Qubra kerana di situlah penyudah kepada ibadah melontar

            Oleh kerana hari ini merupakan pusingan melontar terakhir bagi jemaah yang ber nafar awal, maka macam-macam kerenah dan perangai dikeluarkan oleh jemaah. Di tengah-tengah kesesakan jemaah terdapat ramai jemaah yang berselfie, bervideo dan mengambil gambar. Malah ada yang membelek dan menaip sesuatu pada telefon sambil berjalan. Mungkin memuat naik terus gambar atau video yang diambil ke akaun ‘facebook’ ataupun lain-lain. Memang boleh difahami kerana selepas ini jemaah akan bergerak balik ke Mekah dan tidak akan datang lagi ke sini sehinggalah ke musim haji berikutnya.

Alhamdulillah, sekitar jam 8.20 pagi saya, isteri dan rakan-rakan sampai ke khemah penginapan. Saya terus ke bilik air untuk membersihkan diri. Bilik air agak kurang dengan jemaah yang menunggu kerana sebahagiannya telahpun Nafar Awal, bergerak balik ke Mekah. Masa menunggupun menjadi singkat dan mudah. Barisan jemaah perempuan yang dulunya panjang, sekarang sudah menjadi pendek. Alhamdulillah, ada juga hikmahnya ada jemaah yang nafar awal.

Sambil berehat-rehat di dalam khemah melepaskan kepenatan, kami bersarapan. Agak ceria juga khemah saya kerana suara jemaah yang berbual dan ketawa. Macam-macam makanan ada selain daripada pek sarapan yang disediakan. Kami makan epal dan limau yang sentiasa dibekalkan. Syukur alhamdulillah, bab makanan memang tidak ada yang kurang, malah sentiasa berlebihan. Malah, pada pagi ini khemah kami memberikan lebihan 50 biji epal yang tidak dimakan yang kami kumpulkan sejak hari pertama kepada peniaga yang sedang berniaga di tepi jalan di luar khemah penginapan kami.

Tidak banyak yang dilakukan pada pagi ini selain daripada berbual sambil menghilangkan penat. Ada sebahagian jemaah mulai berkemas-kemas seolah-olah tidak sabar untuk balik ke Mekah. Kebanyakannya hanya duduk atau berbaring sambil berbual dan menikmati makan ringan dan buah-buahan yang sentiasa banyak.

Perasaan saya bercampur-campur ketika ini antara gembira dan sedih. Perasaan tersebut tidak jelas yang mana satu. Saya pun tak berapa pasti kenapa saya gembira dan kenapa saya berasa sedih. Saya hanya berdoa supaya perasaan gembira saya lebih kepada kejayaan saya menyelesaikan ibadah melontar di Mina dan bukan kerana esok saya dapat balik ke Mekah.

Kegembiraan kerana balik ini sebenarnya saya cuba untuk hilangkan kerana ia memberi implikasi tidak baik. Saya telah mendengar ada jemaah yang menyatakan rasa lega dan gembira kerana dapat lepas dari kesusahan dan kesukaran di Mina. Balik ke Mekah mereka akan dapat tidur selesa, mandi selesa dan semuanya selesa kerana di hotel. Risau juga dengan rasa gembira sedemikian ialah seolah-olah saya tidak redha dengan keadaan di Mina. Sentiasa berdoa supaya terbit perasaan dalam hati supaya semakin susah kesukaran yang diberi semakin seronok rasa untuk melaluinya.

Mudah-mudahan juga kesayuan dan kesedihan untuk meninggalkan Mina ini wujud kerana merasakan inilah peluang pertama dan terakhir untuk merasai nikmat bermalam di Mina, tidak lupa juga Muzdalifah dan Arafah. Esok lusa tidak pasti samada dapat atau tidak berkunjung ke sini lagi. Jadikanlah kegembiraan ini bukan kerana dapat balik ke hotel tetapi dapat bertemu kembali Baitullah untuk mengerjakan tawaf dan saei.

“Ya Allah… Jadikanlah rasa gembiraku ini sebagai tanda menyelesaikan ibadah melontar di Mina dengan sempurna… dan bukan rasa gembira kerana dapat lari dari kesusahan di Mina. Jadikanlah pengalaman di Mina sebagai suatu pengajaran yang berkekalan sehinggalah ke akhir hayatku…Ya Allah…”

Mina, Muzdalifah dan Arafah mengajar saya tentang kewajipan dalam agama yang tidak boleh diambil mudah atau dilalaikan dalam keadaan apa sekalipun. Ini merupakan suatu pengajaran yang indah dan unik yang tidak akan diperolehi di mana-manapun kecuali datang ke sini. Syukur alhamdulillah saya dapat merasainya.

Sekarang sudah jam 12 tengahari dan cuaca mulai panas. Suasana sibuk tetapi tenang merupakan keadaan biasa. Barisan jemaah menunggu di bilik air sudah tidak sepanjang hari-hari sebelumnya. Selepas makan tengahari saya membersihkan diri dan berwudhuk untuk siap-siap solat zohor.

Solat zohor kali ini saya lakukan di surau maktab. Sebuah khemah yang sebahagian besar jemaahnya telahpun nafar awal telah dijadikan surau maktab. Sambil menunggu zohor saya hanya iktikaf dengan bersolat-solat sunat dan membaca alQuran. Penuh surau dengan jemaah bersolat jamaah. Kami masih lagi melakukan jamak tamam zohor dan azar kerana masih dalam keadaan ‘masaqqah.’

Selepas solat zohor terus pergi bilik air untuk membasuh kain-kain yang basah terkena air hujan semalam, termasuklah sejadah yang kebanyakannya mulai berbau. Alhamdulillah bilik air telah lengang dan dapatlah saya membersihkan kain-kain yang kotor, hanya untuk menghilangkan bau sahaja. Tempat menyidai amat terhad, dan memerlukan penyepit baju supaya tidak diterbangkan angin.

Selepas itu berbual-bual lagi dengan jemaah dalam khemah sambil menikmati kopi 3 dalam 1 panas, buah-buahan yang telah dipotong-potong dan biskut-biskut. Paling menyeronokkan apabila jemaah berganti-ganti mengupas buah-buahan untuk dimakan bersama-sama sambil berbual-bual. Macam-macam topik perbualan dibualkan, menjelaskan bahawa pengalaman setiap jemaah semasa di sini sentiasa berbeza mengikut rezeki yang diberi Allah. Alhamdulillah semuanya merupakan pengalaman yang menyeronokkan untuk dikongsi bersama.

Saya terlelap sebentar. Sedar dari tidur jam sudah menunjukkan pukul 4.30 petang. Saya terus mengangkat beberapa pakaian yang saya jemur tadi. Semua telah kering, kerana di sini memang semulajadi panas. Ada berapa helai yang diterbangkan angin, termasuklah sejadah.

Sekarang ini untuk berurusan di bilik air jauh lebih mudah. Jemaah sudah boleh menggunakannya bila-bila masa kerana ramai jemaah telah pun nafar awal. Saya membersihkan diri dan berwudhuk untuk siap-siap menunggu maghrib pula. Sambil duduk-duduk kami makan lagi. Ada buah, ada biskut dan juga kopi panas. Sebahagian jemaah yang belum melontar sedang bersiap-siap untuk melakukan ibadah melontar selepas maghrib.

Alhamdulillah selesai solat maghrib jamak tamam dengan isyak. Jemaah yang perlu menyelesaikan ibadah melontar mulai bergerak ke tempat melontar Jamrah. Saya hanya duduk menikmati makan malam dengan beberapa rakan dalam petak 67L.

Sekarang ini pek makanan tetap dihantar pada waktu yang sama, iaitu selepas maghrib ke khemah-khemah. Namun waktu makan masing-masing sudah tidak sama. Ada jemaah yang melewatkan makan, malah ada yang dah tak ambil pek makanan yang diberikan. Mungkin sudah teruja untuk bergerak balik ke Mekah esok hari. Kami yang duduk di petak 67L pun sempat merakamkan gambar kenangan bersama. Alhamdulillah semoga semua dipermudahkan.


Makan malam agak istimewa malam ini iaitu kari daging. Terasa nikmat tekak saya kerana sepanjang 17 hari mengerjakan haji baru hari ini merasa masakan bercitarasa Malaysia. Mungkin kerana hari ini merupakan hari kedua terakhir di Mina, kerana semua jemaah akan bergerak ke Mekah sejak selepas sarapan pagi.

Sedang saya sibuk makan malam terdengar makluman daripada petugas TH yang mengarahkan jemaah yang telah tersilap melakukan ibadah melontar hari pertama untuk sama-sama mengikuti jemaah yang akan melontar selepas maghrib ini. Mereka adalah kumpulan jemaah yang terus melontar sebaik sahaja sampai dari Muzdalifah. Mereka pergi sendiri tetapi telah tersilap melakukan lontaran sebelum waktu subuh. Maka lontaran yang dilakukan adalah tidak sah dan perlu diulangi. Agak bernasib baik kerana petang tadi ada antara jemaah yang berkongsi cerita tersebut hingga diketahui oleh petugas TH bahawa lontaran tersebut tidak sah dan perlu diulangi.

Kalau ingin diulangi esok pagi mungkin tidak cukup masa kerana jemaah dijangkakan mula bergerak meninggalkan Mina ke Mekah mulai jam 7 pagi, iaitu sebaik sahaja menyelesaikan ibadah melontar hari 13 Zulhijjah. Justeru itu mereka diminta untuk melakukannya malam ini, sekali dengan waktu melontar 12 Zulhijjah.

Mana-mana yang akan mengulang semula lontaran maghrib ini perlu melakukan 2 pusingan lontaran iaitu, lontaran hari ini sebanyak 3 tempat lontaran dan ditambah 1 set lontaran lagi untuk menyelesaikan lontaran yang tidak sah pada hari pertama.

Cuma mereka bernasib baik kerana lontaran Jamrah Qubra berada pada kedudukan yang terakhir, maka hanya perlu melontar 2 set lontaran untuk menyelesaikannya. Jika kedudukannya berada pada kedudukan yang pertama, mungkin akan agak sukar kerana mereka perlu menggunakan kebijaksanaan dan kreativiti untuk berpusing kembali untuk melakukan lontaran yang tidak sah tadi. Ini kerana, kawasan melontar sentiasa dikawal oleh polis Saudi yang sentiasa mengawal dan mengarahkan jemaah-jemaah untuk tidak berhenti atau berlegar-legar ataupun berpatah balik selepas melakukan lontaran.

            Selepas solat dan makan malam saya meneruskan aktiviti macam biasa. Saya sambung membaca alQuran dengan bantuan lampu telefon bimbit kerana petak di mana saya duduk agak jauh sedikit dari lampu dan kurang terang. Tambahan lagi mata saya yang sudah rabun dan perlukan cahaya yang terang. Memang berguna lampu telefon bimbit bila dalam keadaan begini. Kalau bawa lampu suluh kecil LED yang menggunakan bateri sel kering adalah lebih baik.

            Jam baru menunjukkan pukul 8.26 malam. Siap-siap untuk tidur awal supaya dapat bersiap untuk melakukan ibadah melontar hari 13 Zulhijjah dan seterusnya menuju ke Mekah. Malam ini tidur ‘sangat selesa’ kerana dapat meluruskan badan dan kaki. Banyak khemah telah kosong kerana jemaah yang nafar awal. Oleh itu sebahagian daripada jemaah di khemah saya bergerak tidur di khemah yang telah kosong.

Alhamdulillah selesai Hari 17 di Mina. Esok pagi akan bergerak awal selepas subuh untuk menyelesaikan ibadah melontar terakhir dan akan bergerak balik ke Mekah mulai jam 7 pagi bergantung kepada nombor bas saya samada datang awal ataupun lambat.

Mudah-mudahan dipermudahkan…Insha Allah.


14 Ogos 2019

No comments:

Post a Comment