Alhamdulillah masih mampu terjaga seperti biasa sekitar 2.45 pagi. Hari ini isteri tak
dapat ikut kerana demam. Semoga Allah memberikan pahala yang sama kepada isteri
saya. Setelah siap saya mula bergerak bersama dengan ribuan jemaah yang lain.
Hari ini saya sengaja
mengikut laluan yang saya ikuti semasa isyak malam tadi, kerana ingin mencuba
mengisi air zamzam ke dalam bekas plastik biru fleksibel dengan kapasiti 5
liter. Alhamdulillah, laluan malam tadi masih tidak padat dengan jemaah dan
saya dapat mengisi air zamzam tanpa ada jemaah yang menunggu.
Setelah itu saya terus
mengambil tempat, lebih kurang sama di tempat semalam. Aktiviti iktikaf macam
biasa sambil menunggu waktu subuh dengan bersolat-solat sunat dan membaca alQuran.
Selesai solat subuh dan
solat jenazah saya terus bergerak balik ke hotel dengan membawa 5 liter air
zamzam untuk kegunaan semua, terutamanya di dalam bilik. Rakan-rakan di bilik
saya pun kerap membawa air zamzam beberapa liter untuk sama-sama diminum oleh
ahli bilik.
Sepanjang perjalanan balik,
di belakang saya terdengar seorang isteri sedang mengadu kepada suaminya sambil
berjalan berkenaan dengan rakan sebiliknya yang sentiasa terbatuk-batuk di
dalam biliknya hingga terkentut-kentut. Si isteri juga berasa tidak selesa
kerana tidur mereka juga terganggu kerana rakan yang batuk-batuk. Si suami
hanya mendengar dan mengiakan sahaja tanpa ada respon balas meminta isterinya supaya
sama-sama prihatin dan membantu apa yang boleh untuk meredakan permasalahan
rakan bilik isterinya yang batuk.
Allah memberi ujian kepada hambaNya
dalam keadaan berbeza-beza. Ada yang diberikan sakit batuk-batuk dan ada pula
yang diuji dengan mendapat rakan sebilik yang batuk-batuk. Tinggal kita menilai
dan menghayati semua permasalahan yang kita lalui sebagai suatu ujian dari
Allah.
Sampai di hotel saya hanya
bersarapan roti, butter dan nutella dan teh O panas dengan isteri di atas
karpet di hadapan bilik. Isteri masih demam, dan selepas sarapan dia terus
makan ubat dan tidur semula. Saya sendiripun selepas sarapan terus masuk bilik
dan tidur sebentar sambil menunggu waktu zohor.
Sekitar jam 10 pagi saya terjaga
dan mengambil makan tengahari supaya dapat bersiap awal sebelum bergerak ke
Masjidil Haram. Selepas makan tengahari saya gerak perlahan-lahan ke Masjidil
Haram. Walaupun masih batuk-batuk dan selsema saya berjalan perlahan-lahan
supaya tidak memaksakan diri. Sejadah saya gunakan untuk menutup kepala
daripada panas matahari. Alhamdulillah dengan angin yang bertiup, walaupun
panas, dapatlah mengurangkan suhu panas matahari tersebut. Saya terus melalui
pintu pagi tadi yang saya tahu agak kurang sesak dengan jemaah. Bersolat di
kawasan bumbung sebenarnya memang kurang padat.
Aktiviti iktikaf biasa seperti solat-solat
sunat dan membaca alQuran berjalan seperti biasa. Apabila penat saya
melunjurkan kaki dan kadang-kadang sampai membaringkan badan di atas sejadah
saya. Semasa berbaring saya dapati betul-betul di siling atas kepala saya
adalah sarang burung merpati. Apabila saya memeriksa pakaian saya dan sejadah
saya dapati telah ada najis merpati. Subhanallah. Saya terus ke hentian zamzam
untuk membasuh jubah dan sejadah saya yang terkena najis merpati. Alhamdulillah
oleh kerana saya berada di tingkat bumbung yang tidak terlalu sibuk maka mudah
untuk saya mencuci najis merpati tersebut di paip air zamzam. Alhamdulillah
juga botol semburan muka yang saya bawa memudahkan saya untuk menyembur tempat
terkena najis dan membersihkannya.
Kebersihan di dalam masjid, sentiasa
terjaga. Setiap masa ada sahaja pekerja kebersihan yang membasuh lantai dengan
cecairan lantai. Mereka bergerak secara berkumpulan dan melakukan kerja-kerja
pembersihan lantai dengan cepat dan pantas, walaupun di celah-celah ribuan
jemaah yang sedang beribadah. Sebahagian meyimbah cairan pencuci lantai,
sebahagian menyapu sambil menolak cairan berkenaan, sebahagian menggunakan
mesin penyedut air, dan kumpulan yang terakhir mengeringkan mana-mana bahagian
yang masih basah dengan pengelap lantai. Para jemaah seperti biasa akan
memberikan ruang kepada mereka untuk melakukan pencucian. Dalam masa yang
singkat lantai yang dicuci terus kering dan boleh diduduki.
Selesai solat zohor dan solat
jenazah saya bergerak keluar masjid untuk membuang air. Ini merupakan antara
cabaran untuk beriktikaf lama di dalam masjid. Bilik air jauh di luar masjid,
dan jika ingin keluar ke bilik kita kena pastikan supaya kita mempunyai masa
yang mencukupi untuk masuk kembali. Jika kita keluar betul-betul hampir kepada
waktu solat, kemungkinan besar untuk tidak dapat masuk masjid kembali adalah
besar. Justeru itu, selain bersiap-siap lebih awal membuang air, kita juga
dianjurkan memohon doa kepada Allah supaya dipermudahkan semua ibadah yang
ingin kita lakukan, termasuklah beriktikaf lama di dalam masjid.
Semasa masuk semula, saya masuk
melalui pintu utama King Abdul Aziz. Saya meneruskan aktiviti iktikaf seperti
biasa sambil menunggu waktu asar pula. Di laluan tawaf jemaah sentiasa penuh
melakukan tawaf tanpa henti. Apapun jenis tawaf, tawaf sunat, tawaf umrah atau
apa-apa sahaja jemaah tidak jemu-jemu melakukannya. Saya kagum dengan
kesungguhan jemaah-jemaah tersebut, kerana saya sendiri tidak mempunyai
kekuatan untuk melakukanya berulang kali seperti mereka.
Ibadah bertawaf boleh dilakukan
dipelbagai tingkat, samada di dataran tawaf atau di laluan tawaf tingkat 1, 2
dan tiga, dan terdapat 1 tingkat untuk tawaf yang menggunakan skuter bagi
sesiapa yang tidak berkemampuan untuk berjalan. Bertawaf di dataran Kaabah
lebih kecil pusingannya berbanding bertawaf di tingkat 1, 2 dan 3 kerana jauh,
maka pusingan menjadi beberapa kali ganda.
Sesekali saya semburkan air zamzam
ke muka untuk menyegarkan diri yang sudah mula merasa mengantuk. Selesai solat
asar saya terus balik ke hotel. Sejadah saya jadikan sebagai penutup kepala
daripada kepanasan matahari. Sepanjang perjalanan balik, individu atau syarikat
yang bersedekah masih banyak, terutamanya air mineral dan buah-buahan.
Teringat saya kepada kawan saya
yang kerap memasak makanan di rumah kemudian membawanya ke sekolah untuk
dimakan oleh kawan-kawan di tempat kerja. Kalau musim buah-buahan pula
adakalanya dibawa ke tempat kerja untuk di makan bersama. Tidak ramai individu
yang sanggup melakukan sedekah seperti ini. Mudah-mudahan sentiasa
dipermudahkan kawan saya itu supaya lebih banyak lagi sedekah boleh diberikan,
terutamanya di pusat-pusat pembelajaran.
Sampai hotel cuma rehat menyejukkan
badan di bilik sambil menunggu waktu maghrib. Sambil itu menikmati kopi 3 dalam
1 panas untuk membasahkan tekak. selepas solat maghrib di surau saya terus
mengambil pek makan malam untuk makan.
Selepas itu terus ke Masjid Bukit
untuk bersolat isyak berjamaah. Hari ini imamnya sangat muda, dan suaranya,
bacaannya juga sedap di dengar. Selepas isyak terus balik hotel untuk berehat
dan tidur.
Alhamdulillah selesai Hari 25 di Mekah Al Mukarramah.
Moga-moga diberi kesihatan yang lebih baik daripada batuk dan selsema,
insha Allah.
22 Ogos 2019
No comments:
Post a Comment