Wednesday, 22 April 2020

HARI 35 HARI PERTAMA DI MADINAH AL MUNAWWARAH


Alhamdulillah terjaga walaupun agak lewat sekitar jam 4 pagi. Mungkin kerana keletihan perjalanan semalam menyebabkan tidur saya betul-betul nyenyak. Tetapi di Masjid Nabawi masih sempat lagi untuk bersolat di dalam masjid sekarang ini. Jarak perjalanan hanya 5 minit sahaja untuk sampai ke pintu masjid. Di sayap kiri dan kanan bahagian luar masjid dipenuhi dengan jemaah perempuan. Manakala bahagian tengah adalah jemaah lelaki.


            Untuk jemaah lelaki saya perhatikan mereka telahpun duduk, bersolat sunat dan membaca alQuran. Walhal bahagian dalam masjid masih lagi kosong dan pintu-pintu masuk masih dibuka. Duduk di atas karpet bahagian luar masjid memang menyeronokkan pada waktu subuh. Cuaca masih sejuk dan berangin.


            Saya terus masuk dalam masjid. Selipar masuk dalam plastik bawa masuk dan simpan di rak kasut yang diletakkan di tepi-tepi laluan masuk masjid. Cuma perlu ingat kawasan mana dan nombor rak berapa. Mudah bersolat di Masjid Nabawi. Kalau boleh datang 1 jam sebelum azan, ruangan di dalam masjid masih kosong. Saya sempat lagi solat-solat sunat dan membaca alQuran sehinggalah solat subuh.

            Selepas solat subuh dan solat jenazah saya terus bersarapan di restoran hotel. Semua jemaah telah ditaklimatkan bahawa lawatan ke sekitar Masjid Nabawi akan bermula pada jam 6.30 pagi. Kami bersiap-siap untuk mengikuti lawatan berkenaan. Ramai juga jemaah yang tidak mengikut program lawatan berkenaan mungkin kerana sudah biasa ataupun lebih berminat untuk beriktikaf di dalam masjid sahaja.

            Tempat pertama dilawati adalah Makam Rasulullah dan 2 sahabatnya, Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar Al Khattab. Kami semua masuk melalui Babussalam dan kami perhatikan di kawasan makam berkenaan telah penuh sesak dengan jemaah. Pergerakan jemaah sangat terbatas dan perlahan, seolah-olah tidak bergerak langsung. Memang diakui setiap jemaah yang lalu di ketiga-tiga makam berkenaan akan cuba berhenti untuk memberi salam kepada ketiga-tiganya.



                 
 Kawasan berhampiran yang memang sentiasa sesak juga ialah Raudah – kawasan antara rumah Rasulullah dengan mimbar masjid yang dikatakan merupakan salah satu daripada taman-taman syurga. Kawasannya cukup kecil sekitar 22 meter x 15 meter (anggaran keluasan). Semasa saya datang ke sini pada 2016 untuk mengerjakan umrah, kawasan Raudhah ditandai dengan karpet berwarna hijau. Kali ini saya tak pasti kerana tidak dapat memasuki kawasan Raudhah.
  


Selepas bersesak-sesak dan berhimpit-himpit untuk melalui laluan Babussalam barulah kami dapat sampai di tepi Makam Rasulullah dan 2 sahabatnya. Kami hanya mampu untuk mengucapkan salam kerinduan kami sambil berjalan mengikut pergerakan jemaah sehinggalah keluar pintu. Setelah keluar program lawatan diteruskan dengan melihat 3 masjid kecil yang sudah tidak digunakan lagi sekarang ini iaitu Masjid Awan, Masjid Abu Bakar dan Masjid Umar. Masjid Awan diambil sempena peristiwa Nabi SAW memohon hujan dan kelihatan awan memayungi baginda semasa berdoa. Kami juga ditunjukkan pokok di mana berlakunya perlantikan Saidina Abu Bakar sebagai Khalifah pertama selepas kewafatan Rasul.




                 Selepas itu lawatan ke Tanah Perkuburan Baqi’ yang menempatkan ribuan umat Islam, terdiri daripada isteri-isteri Nabi SAW, kecuali Siti Khadijah yang dimakamkan di Mekah, dan sahabat-sahabatnya. Setelah selesai lawatan itu kami bersurai dan bergerak balik mengikut haluan masing-masing.


Saya dan isteri keluar melalui pintu 25 pula untuk melihat-lihat sekeliling. Keluar sahaja dari pintu 25 kami dapat lihat ada kedai-kedai beli belah, ada starbucks dan juga H&M. Kami hanya melihat-lihat sekeliling dan terus balik ke hotel.



Sekitar jam 10 pagi saya dan isteri turun ke bawah untuk makan bakso di sebuah restoran Indonesia tidak jauh dari hotel. Kami hanya ingin merasa kelainan makanan sahaja dan harganya tergolong mahal iaitu SR16 untuk semangkuk. Boleh diagak kenapa tidak ramai jemaah yang makan di sini, mungkin kerana harganya yang agak mahal.

            Balik bilik terus bersiap-siap untuk zohor pula. Pergerakan ke masjid amat mudah kerana jarak yang sangat dekat. Sama seperti di Mekah juga, saya masuk masjid, simpan selipar di rak di tepi-tepi laluan masuk, minum air zamzam dan mengisi botol-botol kecil sebagai bekalan sebelum duduk beriktikaf dengan solat-solat sunat dan membaca alQuran. Selesai solat zohor dan jenazah terus balik hotel untuk makan tengahari. Sempat juga membeli kurma ajwa sedikit dan sejadah Raudhah untuk dibawa balik sebagai buah tangan.

            Selepas itu siap-siap ke masjid lagi untuk solat asar. Pergerakan ke masjid banyak bersama dengan rakan sebilik Haji Sarjan kerana isteri saya pula akan ke masjid dengan isteri Haji Sarjan, Hajjah Majjah. Sampai dalam masjid kami ikut serta seorang pengajar sedang mengajar sekumpulan jemaah sukarela membaca alQuran. Sesiapa sahaja boleh ikut serta. Waktu itu kami diajar cara sebutan yang betul huruf-huruf alQuran. Memang banyak kumpulan-kumpulan kecil yang mengajar membaca alQuran dan terbuka kepada mana-mana jemaah yang berminat sambil menunggu waktu solat.

           
Selepas beberapa ketika mengikuti aktiviti tersebut kami beredar dan bergerak mencari saf. Kami meneruskan kerja-kerja rutin dengan membaca alQuran. Alhamdulillah, demam selsema dan batuk saya mulai hilang, kecuali batuk-batuk. Namun, di dalam masjid masih lagi kedengaran batuk-batuk jemaah yang saling bersahutan seperti orkestra. Bunyi batuk tersebut lebih nyata kedengaran semasa semua sedang bersolat. Cuma sekarang ini perkara baru muncul pula iaitu lutut kiri saya mulai terasa sakit sehingga membataskan pergerakan saya. Selesai solat asar dan solat jenazah terus balik ke hotel untuk berehat.

            Solat maghrib dan isyak juga di masjid. Selepas solat maghrib dan solat jenazah saya dan Haji Sarjan terus kekap beriktikaf sehingga isyak. Kami teruskan dengan aktiviti rutin seperti solat-solat sunat dan membaca alQuran. Saya masih lagi meneruskan bacaan yang telah dimulakan di Mekah menggunakan alQuran yang saya bawa dari Malaysia. alQuran yang dibeli pada tahun 2016 semasa saya mengerjakan umrah dahulu.

Jemaah-jemaah lain pun melakukan perkara yang serupa. Ada yang mengikuti perkumpulan membaca alQuran, ada yang mengikuti tazkirah, ada yang membaca alQuran sendirian, ada yang bersolat-solat sunat dan pelbagai aktiviti ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah.

            Lutut kiri saya sejak dari semalam dah sakit. Solat isyak sekarang ini pun semasa sujud terpaksa turun tangan dahulu untuk mengelakkan rasa sakit. Mungkin kesan semasa muda bermain sukan ataupun memang kerana usia yang semakin tua.

            Selesai solat isyak dan solat jenazah saya berehat sebentar sementara menunggu jemaah reda sedikit. Balik ke hotel isteri ajak jalan-jalan cari makan dan melihat kedai-kedai jualan sekitar hotel tetapi tak dapat nak pergi kerana lutut terasa sakit. Saya cuba esok malam pula, mudah-mudahan kurang sedikit sakitnya. Dia turun dengan rakan sebiliknya sahaja.

            Saya hanya makan malam di restoran hotel sahaja. Sebelum tidur saya sapukan lutut saya dengan minyak angin ‘yokoyoko’ yang memang saya bawa dari Malaysia untuk menghilangkan lenguh-lenguh di kaki.

Alhamdulilllah selesai Hari 35 di Madinah. Mudah-mudahan hari esok lebih sihat dan ceria, Insha Allah.



1 September 2019

No comments:

Post a Comment