Tuesday, 21 April 2020

HARI 4 MEKAH AL MUKARRAMAH


Hari ini saya terjaga jam 2.45 pagi. Terima kasih kepada rakan-rakan sebilik yang sama-sama mengejutkan rakan-rakan yang lain yang masih belum terjaga. Walaupun ‘alarm’ telefon dihidupkan setiap pagi, kadang-kadang untuk bangun terus agak berat. Sebab itu rakan-rakan sebilik perlu saling membantu mengejutkan rakan-rakan yang terlambat bangun. Selepas bangun terus kejutkan isteri di bilik sebelah untuk bangun dan bersiap-siap untuk solat subuh di Masjidil Haram. 

Lebih kurang jam 3.10 pagi saya dan isteri mula berjalan ke Masjidil Haram. Sambil sembang-sembang dengan isteri berkenaan ibadah Haji, terasa semakin sayang dengan isteri. Perjalanan kami hanya sejauh 15 minit berjalan kaki. Tidak terasa penat kerana berjalan bersama-sama dengan jemaah-jemaah lain daripada pelbagai negara.

Terdapat pelbagai cara jemaah bergerak ke Masjidil Haram. Ada yang berkerusi roda, ada yang menggunakan tongkat, ada yang terhincut-hincut, dan ada yang dipimpin, semuanya bergerak ke arah yang sama menyahut seruan Ilahi.

Pagi ini kami masuk melalui pintu Ajyad terus ke tingkat 1. Perjalanan masuk ke dalam masjid tidak banyak masalah kerana masjid masih lagi ada ruang kosong. Kami terus ke tempat kosong yang dibenarkan untuk bersolat supaya tidak menghalang laluan jemaah, terutamanya di laluan tawaf. Ini kerana, di setiap tingkat terdapat laluan tawaf yang sentiasa penuh dengan jemaah sedang bertawaf.

Seperti biasa kami terus melakukan solat-solat sunat dan membaca alQuran sambil menunggu waktu subuh. Jemaah secara perlahan-lahan semakin ramai memenuhi kawasan solat masjid. Semua sibuk beribadah.

Pelajaran berkenaan dengan tolak ansur dan bertimbang rasa memang sentiasa dialami. Suasana biasa apabila bersolat ketika ini ialah melangkah bahu dan lalu di hadapan orang sedang bersolat. Perlahan-lahan saya sudah dapat menerima perlakuan tersebut kerana keadaan tempat solat yang sesak dan padat. Mudah-mudahan perilaku itu dilakukan kerana keadaan jemaah yang sesak dan terpaksa dan bukan dilakukan secara sengaja ataupun bukan merupakan perangai sebenar jemaah berkenaan.

Pagi ini saya terlupa untuk membawa sapu tangan yang biasanya saya bawa apabila ke masjid. Dengan rendah hati saya berdoa supaya dipermudahkan urusan dan hidung saya tidak ada masalah berair, terutamanya kalau-kalau menangis. Apabila berada di dalam Masjidil Haram kesayuan sentiasa terbentuk dalam hati. Pagi ini walaupun menangis mengingati kelemahan diri dan kesilapan-kesilapan serta kesalahan yang dilakukan terhadap Allah dan RasulNya, saya tidak menghadapi masalah hidung berair sehinggalah selesai solat subuh. Memang benar janji Allah akan menjaga hambaNya apabila berada di dalam rumahNya. Syukur alhamdulillah.

Setelah bersolat subuh jamaah kami meneruskan dengan menunaikan solat jenazah. Solat jenazah sentiasa diadakan sebaik sahaja selesai solat fardhu. Sepanjang saya berada di Mekah solat jenazah sentiasa dilakukan selepas sahaja setiap solat fardhu.

Pagi ini juga saya dapat menunaikan sedekah dan permintaan khusus dan permintaan umum rakan-rakan di Malaysia. Saya selesaikan semua hajat, pesanan dan permintaan ahli keluarga dan rakan-rakan di Malaysia terlebih dahulu supaya tidak ada yang tertinggal. Semoga permohonan dan doa rakan-rakan, serta ahli keluarga semua dimakbulkan dengan harapan sentiasa dilindungiNya untuk menjadi hambaNya yang soleh dan solehah.

Selesai bersolat subuh dan solat jenazah, saya dan isteri bergerak perlahan-lahan untuk keluar masjid. Sekali lagi kami belajar berkenaan tolak ansur supaya tidak bertolak-tolak semasa bergerak keluar. Terdapat juga jemaah yang menolak-nolak dan tergesa-gesa untuk keluar, terutamanya jemaah perempuan. Keadaan tersebut menyebabkan pergerakan keluar masjid menjadi sesak dan berhimpit-himpit.

Setelah keluar daripada masjid kami terus bergerak ke kawasan membeli belah Safwah di bawah menara jam dan betul-betul berhadapan dengan Masjidil Haram. Kami sengaja membeli sedikit demi sedikit untuk buah tangan sahabat-sahabat dan keluarga di Malaysia supaya dapat diselesaikan sebelum tibanya waktu wukuf.

Dalam perjalanan balik isteri saya menceritakan  kesedihan salah seorang jemaah perempuan yang kehilangan duit sebanyak SR4000 semasa melakukan sai. Benar seperti janji Allah yang akan menjaga hamba-hambanya yang ikhlas beribadah di dalam rumahNya. Hasil daripada sumbangan jemaah yang membantu akhirnya dapat dikumpulkan SR10000. Jemaah tersebut hanya mengambil jumlah SR4000 yang dia kehilangan dan menyedekahkan selebihnya kepada waris salah seorang tahfiz yang baru meninggal di Mekah. Suatu pengajaran yang sangat berharga dan perlu dicontohi.

Apabila sampai di hotel kami terus masuk ke hotel untuk berehat sebentar sebelum turun semula untuk bersarapan. Bila dah baring barulah terasa umur yang sudah tua apabila kaki terasa sengal-sengal. Sebab itulah kita digalakkan untuk pergi menunaikan haji semasa umur masih muda. Namun kami masih bersyukur kerana masih diberikan kekuatan untuk mengerjakan haji. Mudah-mudahan diberikan kekuatan kesihatan sehinggalah selesai.

Sekitar jam 7.30 pagi saya dan isteri turun semula ke bawah hotel untuk mencari sarapan. Kami terus ke restoran Zamzam berhampiran dengan Amjad Al Bait untuk membeli kari kambing dan roti nan. Selepas itu kami terus balik ke hotel dan bersarapan di dewan makan yang disediakan di hotel. Rakan-rakan sebilik saya pun melakukan perkara yang hampir serupa dengan isteri masing-masing.

Setelah selesai bersarapan kami balik ke hotel dan bersembang-sembang dengan rakan sebilik berkenaan pengalaman seharian yang dilalui sambil menunggu zohor. Pelbagai pengalaman yang dikongsikan dan boleh dijadikan panduan dan pengajaran. Semakin hari kami rakan sebilik semakin akrab. Sekitar jam 11.30 pagi kami mula bersiap-siap untuk bersolat zohor.

Sekitar jam 12.05 tengah hari saya bergerak ke Masjid Bukit berhampiran dengan hotel di mana saya tinggal. Cuaca tengah hari masih panas hingga mencecah 42 darjah celcius. Untuk sementara saya hanya bersolat zohor dan asar di masjid bukit berkenaan walaupun ada juga rakan sebilik saya yang bersolat di Masjidil Haram. Memang saya akui tidak berapa tahan dengan kepanasan matahari pada waktu ini. Isteri pun hanya bersolat zohor dan asar di bilik sahaja.

Bersolat di masjid bukit ada keseronokannya. Petugas hanya seorang, dialah bilal dan  dialah imam. Suatu perkara yang konsisten imam di Mekah ialah tomakninah (berhenti seketika) dalam setiap rakaat. Selepas selesai solat tidak dilakukan wirid bersama-sama. Masing-masing berwirid ikut keperluan masing-masing supaya tidak mengganggu jemaah yang lain. Yang membaca alQuran pun membaca dengan suara yang perlahan. Ini sesuai dengan saranan Rasulullah supaya kita memperlahankan  bacaan alQuran ketika mana kita melihat ada jemaah sedang bersolat supaya tidak mengganggu mereka.

 Selesai solat zohor terus balik ke hotel untuk makan tengah hari. Seperti mana biasa ambil bungkusan makan tengah hari  yang disediakan terus masuk bilik dan makan dengan rakan-rakan sebilik. Seronok juga makan bersama kerana masing ada membawa sambal kering dari Malaysia. Ada sambal hitam, sambal hijau, sambal tumis kering, serunding daging dan macam-macam lagi. Selepas makan tengah hari berehat di bilik sahaja sambil menunggu asar kerana cuaca di luar sangat panas.

Solat asar masih lagi di masjid bukit. Seronoknya, di sekitar masjid bukit sentiasa ada individu/syarikat yang bersedekah air mineral dan buah-buahan, terutamanya kurma. Setiap kali datang dan balik kita boleh mengambil air mineral dan buah-buahan secara percuma. Selesai solat asar dan aktiviti iktikaf biasa saya terus balik ke hotel untuk siap-siap solat mahgrib dan isyak di Masjidil Haram pulak.

Semasa di hotel saya dan isteri cuba membuat ‘video- call’ dengan anak-anak di Malaysia tetapi tersekat-sekat dan tidak berjaya. Mungkin komponen telefon seperti kad sim dan talian boleh dimasukkan sebagai salah satu komponen kursus haji. Ini mengambil kira keperluan jemaah yang ingin bercakap dengan keluarga yang berada di Malaysia. Macam-macam talian jaringan yang ditawarkan seperti mobily, zain, TM dan lain-lain. Kalau tidak dibantu dengan maklumat yang tepat ramai jemaah akan tercari-cari sim kad yang sesuai untuk dibeli, dan tidak mustahil akan membazir duit membeli kad sim yang tidak berfungsi dengan baik.

Dengan bertawakkal kepada Allah mohon dipermudahkan, sekitar jam 5 petang saya dan isteri bergerak ke Masjidil Haram untuk mengerjakan solat maghrib dan isyak sekali. Seperti biasa, berjalan kaki ke Masjidil Haram bersama ribuan jemaah merupakan suatu keseronokan. Dengan keseronokan itu maka masa berjalan kaki selama 15 minit dalam cuaca panas tidak terasa sangat.

Pelbagai cara jemaah bergerak ke Masjidil Haram. Ada yang berkerusi roda, ada yang menggunakan tongkat, ada yang terhincut-hincut, dan ada yang dipimpin, semuanya bergerak ke arah yang sama menyahut seruan Ilahi.


 Berkenaan dengan cuaca panas ini pernah berlaku beberapa hari sebelum itu sepasang suami isteri berbeza pendapat berkenaan pergi ke Masjidil Haram. Si isteri memarahi suami kerana hanya bersolat di dalam surau hotel sahaja walaupun telah menghabiskan ribuan ringgit untuk datang mengerjakan haji. Saya dapat faham keadaan pasangan tersebut kerana sudah agak berusia dan berjalan di tengah panas memang sesuatu yang mencabar.

Kami tiba di Masjidil Haram tanpa banyak masalah semasa mencari tempat untuk bersolat di dalam masjid. Dan alhamdulillah, kali ini sedang saya tercari-cari tempat bersolat ada jemaah melambai-lambaikan tangan memanggil saya. Saya dan isteri terus duduk di tempat masing-masing sambil mengerjakan solat-solat sunat, mengaji alQuran dan berwirid seperti biasa.

Sambil berwirid sekali sekali saya memerhatikan pasukan polis masjid yang sedang bertugas. Memang saya hormati mereka kerana dapat bertugas dengan tenang dan terkawal. Mengawal jemaah yang berjumlah ribuan dalam setiap masa memang memerlukan kesabaran yang tinggi. Halau jemaah di sini, jemaah sebelah sana masuk. Halau jemaah sana jemaah sini pulak masuk. Sebab itu kerap kedengaran mereka menjerit ‘hajji hajji hajjah hajjah.’ Apapun yang mereka laku kita perlu hormat dan hargai kerana menjaga keselesaan dan kelancaran aktiviti beribadah. Di pihak jemaah sepatutnya menghormati dan menghargai dengan cara sentiasa mengikut arahan yang diberikan.

Bersolat di Masjidil Haram kita kena cepat dan pantas sekiranya ingin mengerjakan solat qobla dan baada. Ini kerana senggang masa antara selepas azan dengan iqamat agak singkat. Manakala selepas solat fardhu pula biasanya akan diteruskan dengan solat jenazah. Maka sekiranya kita ingin mengerjakan sunat-sunat qobla dan baada maka kita kena lakukan agak cepat tetapi jangan sampai menghilangkan tomakninah.

Selesai solat isyak dan solat jenazah saya dan isteri terus keluar masjid dan bergerak balik ke hotel. Sampai dihotel terus ambil makan malam dan makan di dalam bilik dengan rakan-rakan bilik sambil bercerita ringkas pengalaman hari ini. Selepas itu bersiap-siap untuk tidur awal untuk dapat bangun awal untuk subuh esok.




Alhamdulillah selesai Hari 4 di Mekah al Mukarramah.



1 Ogos 2019

No comments:

Post a Comment