Hari ini saya
terjaga jam 2.45 pagi. Terima kasih kepada rakan-rakan sebilik yang sama-sama
mengejutkan rakan-rakan yang lain yang masih belum terjaga. Walaupun ‘alarm’
telefon dihidupkan setiap pagi, kadang-kadang untuk bangun terus agak berat.
Sebab itu rakan-rakan sebilik perlu saling membantu mengejutkan rakan-rakan
yang terlambat bangun. Selepas bangun terus kejutkan isteri di bilik sebelah
untuk bangun dan bersiap-siap untuk solat subuh di Masjidil Haram.
Lebih
kurang jam 3.10 pagi saya dan isteri mula berjalan ke Masjidil Haram. Sambil
sembang-sembang dengan isteri berkenaan ibadah Haji, terasa semakin sayang
dengan isteri. Perjalanan kami hanya sejauh 15 minit berjalan kaki. Tidak
terasa penat kerana berjalan bersama-sama dengan jemaah-jemaah lain daripada
pelbagai negara.
Terdapat
pelbagai cara jemaah bergerak ke Masjidil Haram. Ada yang berkerusi roda, ada
yang menggunakan tongkat, ada yang terhincut-hincut, dan ada yang dipimpin,
semuanya bergerak ke arah yang sama menyahut seruan Ilahi.
Pagi ini
kami masuk melalui pintu Ajyad terus ke tingkat 1. Perjalanan masuk ke dalam
masjid tidak banyak masalah kerana masjid masih lagi ada ruang kosong. Kami
terus ke tempat kosong yang dibenarkan untuk bersolat supaya tidak menghalang
laluan jemaah, terutamanya di laluan tawaf. Ini kerana, di setiap tingkat terdapat
laluan tawaf yang sentiasa penuh dengan jemaah sedang bertawaf.
Seperti
biasa kami terus melakukan solat-solat sunat dan membaca alQuran sambil
menunggu waktu subuh. Jemaah secara perlahan-lahan semakin ramai memenuhi
kawasan solat masjid. Semua sibuk beribadah.
Pelajaran
berkenaan dengan tolak ansur dan bertimbang rasa memang sentiasa dialami.
Suasana biasa apabila bersolat ketika ini ialah melangkah bahu dan lalu di
hadapan orang sedang bersolat. Perlahan-lahan saya sudah dapat menerima
perlakuan tersebut kerana keadaan tempat solat yang sesak dan padat. Mudah-mudahan
perilaku itu dilakukan kerana keadaan jemaah yang sesak dan terpaksa dan bukan
dilakukan secara sengaja ataupun bukan merupakan perangai sebenar jemaah
berkenaan.
Pagi ini
saya terlupa untuk membawa sapu tangan yang biasanya saya bawa apabila ke
masjid. Dengan rendah hati saya berdoa supaya dipermudahkan urusan dan hidung
saya tidak ada masalah berair, terutamanya kalau-kalau menangis. Apabila berada
di dalam Masjidil Haram kesayuan sentiasa terbentuk dalam hati. Pagi ini
walaupun menangis mengingati kelemahan diri dan kesilapan-kesilapan serta
kesalahan yang dilakukan terhadap Allah dan RasulNya, saya tidak menghadapi
masalah hidung berair sehinggalah selesai solat subuh. Memang benar janji Allah
akan menjaga hambaNya apabila berada di dalam rumahNya. Syukur alhamdulillah.
Setelah
bersolat subuh jamaah kami meneruskan dengan menunaikan solat jenazah. Solat
jenazah sentiasa diadakan sebaik sahaja selesai solat fardhu. Sepanjang saya
berada di Mekah solat jenazah sentiasa dilakukan selepas sahaja setiap solat
fardhu.
Pagi ini
juga saya dapat menunaikan sedekah dan permintaan khusus dan permintaan umum
rakan-rakan di Malaysia. Saya selesaikan semua hajat, pesanan dan permintaan
ahli keluarga dan rakan-rakan di Malaysia terlebih dahulu supaya tidak ada yang
tertinggal. Semoga permohonan dan doa rakan-rakan, serta ahli keluarga semua
dimakbulkan dengan harapan sentiasa dilindungiNya untuk menjadi hambaNya yang
soleh dan solehah.
Selesai
bersolat subuh dan solat jenazah, saya dan isteri bergerak perlahan-lahan untuk
keluar masjid. Sekali lagi kami belajar berkenaan tolak ansur supaya tidak
bertolak-tolak semasa bergerak keluar. Terdapat juga jemaah yang menolak-nolak
dan tergesa-gesa untuk keluar, terutamanya jemaah perempuan. Keadaan tersebut
menyebabkan pergerakan keluar masjid menjadi sesak dan berhimpit-himpit.
Setelah
keluar daripada masjid kami terus bergerak ke kawasan membeli belah Safwah di
bawah menara jam dan betul-betul berhadapan dengan Masjidil Haram. Kami sengaja
membeli sedikit demi sedikit untuk buah tangan sahabat-sahabat dan keluarga di
Malaysia supaya dapat diselesaikan sebelum tibanya waktu wukuf.
Dalam
perjalanan balik isteri saya menceritakan
kesedihan salah seorang jemaah perempuan yang kehilangan duit sebanyak SR4000
semasa melakukan sai. Benar seperti janji Allah yang akan menjaga
hamba-hambanya yang ikhlas beribadah di dalam rumahNya. Hasil daripada
sumbangan jemaah yang membantu akhirnya dapat dikumpulkan SR10000. Jemaah
tersebut hanya mengambil jumlah SR4000 yang dia kehilangan dan menyedekahkan
selebihnya kepada waris salah seorang tahfiz yang baru meninggal di Mekah.
Suatu pengajaran yang sangat berharga dan perlu dicontohi.
Apabila
sampai di hotel kami terus masuk ke hotel untuk berehat sebentar sebelum turun
semula untuk bersarapan. Bila dah baring barulah terasa umur yang sudah tua
apabila kaki terasa sengal-sengal. Sebab itulah kita digalakkan untuk pergi menunaikan
haji semasa umur masih muda. Namun kami masih bersyukur kerana masih diberikan
kekuatan untuk mengerjakan haji. Mudah-mudahan diberikan kekuatan kesihatan
sehinggalah selesai.
Sekitar jam
7.30 pagi saya dan isteri turun semula ke bawah hotel untuk mencari sarapan.
Kami terus ke restoran Zamzam berhampiran dengan Amjad Al Bait untuk membeli
kari kambing dan roti nan. Selepas itu kami terus balik ke hotel dan bersarapan
di dewan makan yang disediakan di hotel. Rakan-rakan sebilik saya pun melakukan
perkara yang hampir serupa dengan isteri masing-masing.
Setelah
selesai bersarapan kami balik ke hotel dan bersembang-sembang dengan rakan
sebilik berkenaan pengalaman seharian yang dilalui sambil menunggu zohor.
Pelbagai pengalaman yang dikongsikan dan boleh dijadikan panduan dan
pengajaran. Semakin hari kami rakan sebilik semakin akrab. Sekitar jam 11.30
pagi kami mula bersiap-siap untuk bersolat zohor.
Sekitar jam
12.05 tengah hari saya bergerak ke Masjid Bukit berhampiran dengan hotel di
mana saya tinggal. Cuaca tengah hari masih panas hingga mencecah 42 darjah
celcius. Untuk sementara saya hanya bersolat zohor dan asar di masjid bukit
berkenaan walaupun ada juga rakan sebilik saya yang bersolat di Masjidil Haram.
Memang saya akui tidak berapa tahan dengan kepanasan matahari pada waktu ini. Isteri
pun hanya bersolat zohor dan asar di bilik sahaja.
Bersolat di
masjid bukit ada keseronokannya. Petugas hanya seorang, dialah bilal dan dialah imam. Suatu perkara yang konsisten
imam di Mekah ialah tomakninah (berhenti seketika) dalam setiap rakaat. Selepas
selesai solat tidak dilakukan wirid bersama-sama. Masing-masing berwirid ikut
keperluan masing-masing supaya tidak mengganggu jemaah yang lain. Yang membaca
alQuran pun membaca dengan suara yang perlahan. Ini sesuai dengan saranan
Rasulullah supaya kita memperlahankan
bacaan alQuran ketika mana kita melihat ada jemaah sedang bersolat
supaya tidak mengganggu mereka.
Selesai
solat zohor terus balik ke hotel untuk makan tengah hari. Seperti mana biasa ambil
bungkusan makan tengah hari yang
disediakan terus masuk bilik dan makan dengan rakan-rakan sebilik. Seronok juga
makan bersama kerana masing ada membawa sambal kering dari Malaysia. Ada sambal
hitam, sambal hijau, sambal tumis kering, serunding daging dan macam-macam
lagi. Selepas makan tengah hari berehat di bilik sahaja sambil menunggu asar
kerana cuaca di luar sangat panas.
Solat asar
masih lagi di masjid bukit. Seronoknya, di sekitar masjid bukit sentiasa ada
individu/syarikat yang bersedekah air mineral dan buah-buahan, terutamanya
kurma. Setiap kali datang dan balik kita boleh mengambil air mineral dan
buah-buahan secara percuma. Selesai solat asar dan aktiviti iktikaf biasa saya
terus balik ke hotel untuk siap-siap solat mahgrib dan isyak di Masjidil Haram
pulak.
Semasa di
hotel saya dan isteri cuba membuat ‘video- call’ dengan anak-anak di Malaysia
tetapi tersekat-sekat dan tidak berjaya. Mungkin komponen telefon seperti kad
sim dan talian boleh dimasukkan sebagai salah satu komponen kursus haji. Ini
mengambil kira keperluan jemaah yang ingin bercakap dengan keluarga yang berada
di Malaysia. Macam-macam talian jaringan yang ditawarkan seperti mobily, zain,
TM dan lain-lain. Kalau tidak dibantu dengan maklumat yang tepat ramai jemaah akan
tercari-cari sim kad yang sesuai untuk dibeli, dan tidak mustahil akan membazir
duit membeli kad sim yang tidak berfungsi dengan baik.
Dengan
bertawakkal kepada Allah mohon dipermudahkan, sekitar jam 5 petang saya dan
isteri bergerak ke Masjidil Haram untuk mengerjakan solat maghrib dan isyak
sekali. Seperti biasa, berjalan kaki ke Masjidil Haram bersama ribuan jemaah
merupakan suatu keseronokan. Dengan keseronokan itu maka masa berjalan kaki
selama 15 minit dalam cuaca panas tidak terasa sangat.
Pelbagai cara
jemaah bergerak ke Masjidil Haram. Ada yang berkerusi roda, ada yang
menggunakan tongkat, ada yang terhincut-hincut, dan ada yang dipimpin, semuanya
bergerak ke arah yang sama menyahut seruan Ilahi.
Berkenaan
dengan cuaca panas ini pernah berlaku beberapa hari sebelum itu sepasang suami
isteri berbeza pendapat berkenaan pergi ke Masjidil Haram. Si isteri memarahi
suami kerana hanya bersolat di dalam surau hotel sahaja walaupun telah
menghabiskan ribuan ringgit untuk datang mengerjakan haji. Saya dapat faham
keadaan pasangan tersebut kerana sudah agak berusia dan berjalan di tengah
panas memang sesuatu yang mencabar.
Kami tiba
di Masjidil Haram tanpa banyak masalah semasa mencari tempat untuk bersolat di
dalam masjid. Dan alhamdulillah, kali ini sedang saya tercari-cari tempat
bersolat ada jemaah melambai-lambaikan tangan memanggil saya. Saya dan isteri
terus duduk di tempat masing-masing sambil mengerjakan solat-solat sunat,
mengaji alQuran dan berwirid seperti biasa.
Sambil
berwirid sekali sekali saya memerhatikan pasukan polis masjid yang sedang
bertugas. Memang saya hormati mereka kerana dapat bertugas dengan tenang dan
terkawal. Mengawal jemaah yang berjumlah ribuan dalam setiap masa memang
memerlukan kesabaran yang tinggi. Halau jemaah di sini, jemaah sebelah sana
masuk. Halau jemaah sana jemaah sini pulak masuk. Sebab itu kerap kedengaran
mereka menjerit ‘hajji hajji hajjah hajjah.’ Apapun yang mereka laku kita perlu
hormat dan hargai kerana menjaga keselesaan dan kelancaran aktiviti beribadah.
Di pihak jemaah sepatutnya menghormati dan menghargai dengan cara sentiasa
mengikut arahan yang diberikan.
Bersolat di
Masjidil Haram kita kena cepat dan pantas sekiranya ingin mengerjakan solat qobla
dan baada. Ini kerana senggang masa antara selepas azan dengan iqamat agak
singkat. Manakala selepas solat fardhu pula biasanya akan diteruskan dengan
solat jenazah. Maka sekiranya kita ingin mengerjakan sunat-sunat qobla dan
baada maka kita kena lakukan agak cepat tetapi jangan sampai menghilangkan tomakninah.
Selesai
solat isyak dan solat jenazah saya dan isteri terus keluar masjid dan bergerak
balik ke hotel. Sampai dihotel terus ambil makan malam dan makan di dalam bilik
dengan rakan-rakan bilik sambil bercerita ringkas pengalaman hari ini. Selepas
itu bersiap-siap untuk tidur awal untuk dapat bangun awal untuk subuh esok.
Alhamdulillah selesai Hari 4 di
Mekah al Mukarramah.
1 Ogos 2019
No comments:
Post a Comment