Wednesday, 22 April 2020

HARI 21 MEKAH AL MUKARRAMAH


Alhamdulillah pagi ini terjaga  sekitar 3 jam pagi. Terus kejutkan isteri untuk sama-sama bersiap. Sekitar 3.50 pagi terus gerak ke Masjidil Haram. Walaupun agak lambat tapi masih sempat untuk masuk ke dalam masjid. Pintu yang biasa di lalui pintu Ajyad masih dibuka. Kami terus masuk macam biasa, singgah minum air zamzam dulu dan terus cuba mendapatkan tempat untuk bersolat. Namun pagi ini kerana lambat sedikit pergi kami terpaksa berdiri sahaja sambil menunggu solat subuh. Ini kerana tempat yang masih kosong ialah di tepi-tepi laluan tawaf yang memang tidak boleh duduk, dan hanya boleh digunakan untuk bersolat ketika solat bermula.

      Pagi ini solat subuh diimamkan oleh Imam Bandar, iman yang sangat saya gemari bacaanya. Bila mendengar bacaannya dalam solat seolah-olah tidak mahu dia berhenti membaca. Surah panjang yang dibacapun terasa pendek. Seorang lagi yang saya suka dengar ialah Imam Sudaish. Suaranya garau tetapi mantap didengar.

         Hari ini balik terus ke hotel dan bersarapan dengan roti, butter yang dah dibeli dengan teh O panas. Kami hanya duduk di lorong depan bilik menikmati sarapan bersama dengan jemaah lain yang berasa seronok makan beramai-ramai. Sambil itu saya juga bersarapan indomie cawan. Di sini indomie cawan pun terasa sedap.

        Jam masih pukul 7.36 pagi. Ambil kesempatan untuk basuh pakaian supaya tidak perlu menyimpan pakaian kotor. Tempat menyidai macam biasa sesak dengan pakaian jemaah. Berselirat sana sini dengan pelbagai gaya menyidai. Kadang-kadang ada yang sampai berkecil hati. alhamdulillah, menyidai pakaian sekarang ini sangat sesuai kerana matahari tengah terik dan pakaian cepat kering.

    Selepas itu berehat di bilik sambil mengaji alQuran menunggu zohor. Sebahagian jemaah keluar berbelanja buah tangan untuk dipos balik. Ada juga jemaah yang sudah mendaftar untuk melawat tempat bersejarah ataupun ke tanah halal untuk mengerjakan umrah. Jam 11.30 bangun untuk makan tengahari.

      Hari ini solat zohor dan asar hanya di surau hotel. Cuaca sangat panas, dan saya hanya pergi ke Masjidil Haram waktu maghrib, isyak dan subuh. Terbayang bagaimana Rasulullah melalui kepanasan seperti ini sepanjang masa. Tidak seperti di Malaysia, walaupun panas tapi masih mempunyai pokok-pokok yang menghijau dan lembab. Memang sepatutnya kita merasa malu dan segan kalau tidak datang berjamaah di masjid.

     Solat zohor dan asar di surau pun sentiasa padat kerana jemaah sebahagiannya memilih untuk ke Masjidil Haram seperti saya. Aktiviti rutin yang biasa seperti solat-solat sunat dan membaca alQuran. Ada sebahagian jemaah perempuan yang berbual ketika lain-lain jemaah sedang berwirid dan membaca alQuran. Beberapa kali ditegur tetapi masih lagi berbual sehingga kadang kala mengganggu jemaah yang lain.

          Semasa turun dari bilik ke hotel, ada seorang jemaah lelaki yang sama-sama menaiki lif menyebutkan kepada saya bagaimana susah dan lambat sekalipun dia akan cuba bersolat di Masjidil Haram walaupun terpaksa bersolat di atas jalan. Memang menyentuh hati saya kerana baru panas sedikit sahaja sudah tidak tahan dan memilih waktu untuk pergi. Saya hanya senyum, dan dalam hati berjanji akan cuba yang terbaik untuk seboleh-bolehnya bersolat di Masjidil Haram. Masjid yang sudah berada di depan mata dengan ganjaran berganda 100 ribu kali tetapi tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Allahuakbar.

      Selepas solat asar terus angkat kain yang dijemur. Semuanya dah kering. Rehat sebentar di bilik sambil menunggu waktu maghrib.

        Sekitar 6.10 gerak ke Masjidil Haram seorang diri kerana isteri mengadu sakit perut. Agak lambat juga bergerak dan bila sampai ke masjid pintu masuk sudahpun ditutup kerana jemaah sudah padat di dalam. Saya hanya dapat tempat di dataran jam sahaja. Jemaah di dataran jam pun penuh sesak. Semua jemaah termasuk saya hanya berdiri sahaja di dalam saf ‘sementara’ di tepi-tepi laluan jemaah. Jika duduk kami akan dihalau polis kerana menghalang laluan jemaah. Namun setelah azan berkumandang barulah semua jemaah duduk dan bersiap untuk solat jamaah.

Selesai solat maghrib dan solat jenazah saya perhatikan pergerakan jemaah tersangat sesak untuk masuk dan keluar. Saya pergi ke restoran di Safwah, minum nescafe tarik sebentar sementara menunggu pergerakan jemaah reda sedikit. Selepas itu saya terus masuk ke masjid untuk bersolat isyak pula.

Alhamdulillah, saya dapat masuk daripada pintu kebiasaan saya, pintu Ajyad dan terus melakukan perkara rutin saya. Singgah di hentian zamzam untuk menghilangkan dahaga, mengisi botol-botol kecil sebagai bekalan, dan terus bergerak mengikut pergerakan jemaah mencari tempat kosong untuk bersolat. Alhamdulillah, dapat juga tempat untuk beriktikaf sambil menunggu waktu isyak, bersolat sunat dan membaca alQuran sedikit.

Selepas solat isyak saya menunggu sebentar untuk mengikuti solat jenazah. Sudah menjadi kebiasaan pula setiap solat fardhu saya akan tunggu untuk bersolat jenazah. Di sini pelbagai cara jemaah bersolat jenazah, dan yang paling ketara ialah cara mengangkat takbir. Terdapat 2 cara yang ketara iaitu mengangkat 4 takbir dan 1 takbir. Namun, apapun cara yang dilakukan alhamduillah boleh dikatakan jemaah akan sentiasa menunggu untuk sama-sama bersolat jenazah.

Selesai solat jenazah saya terus ke restoran DSaji di Safwah untuk makan malam dengan rakan-rakan golf saya di Johor, Pro Suhaimi, Pro Man dan keluarga mereka. Saya hanya seorang kerana isteri tidak sihat hari ini dan hanya bersolat di hotel. Sambil makan malam banyak juga perkongsian pengalaman selama di sini kami kongsikan.

Paling menarik ialah teknik menggunakan botol semburan jemaah Malaysia. Teknik ini menjadi perhatian jemaah-jemaah daripada luar, terutamanya yang tidak menggunakannya. Mereka rasa kagum bila botol semburan tersebut digunakan bukan sahaja untuk mengambil wudhuk ketika batal, tetapi juga boleh dijadikan untuk semburan muka dan juga botol minuman sekiranya haus.

Terutamanya jemaah-jemaah daripada Asia Selatan yang sentiasa beriktikaf lama di dalam masjid, kaedah ini boleh membantu mereka untuk mengambil wudhuk sekiranya batal tanpa perlu keluar ke bilik air untuk mengambil wudhuk. Mudah-mudahan teknik ini menjadi ikutan mereka.

Sebelum balik ke hotel, saya singgah dulu ke kedai di Safwah untuk membeli sehelai jubah lagi untuk mencukupkan 6 kesemuanya. Cukup untuk dipakai sepanjang minggu bila balik ke Malaysia nanti. Setelah itu terus berjalan balik ke hotel.

Di lobi hotel saya perhatikan ramai jemaah sedang bersiap-siap untuk ke tanah halal Tanaim untuk mengerjakan umrah sunat. Saya juga memang bercadang untuk mengerjakan umrah sunat dengan isteri esok malam.

Saya terus naik ke bilik dan bersiap-siap untuk tidur. Alhamdulillah selesai Hari 21 di Mekah Al Mukarramah.

Mudah-mudahan esok merupakan hari yang lebih cemerlang.


18 Ogos 2019

No comments:

Post a Comment