Alhamdulillah pagi ini terjaga macam biasa. Jam 2.40 pagi bilik kami dah mula sibuk
bersiap-siap untuk pergi subuh di Masjidil Haram. Terima kasih kepada
rakan-rakan bilik yang sama-sama mengejutkan mana-mana yang belum terjaga.
Bangun pagi terus
bersiap-siap, juga kejut isteri untuk bersiap-siap. Seperti biasa saya tunggu
isteri depan pintu bilik untuk turun sama-sama. Kami berjalan perlahan-lahan
bersama-sama dengan ribuan jemaah lain. Rasa sengal pada kaki semalam walaupun
masih terasa, tetapi bila dah mula berjalan ia hilang sedikit demi sedikit.
Alhamdulillah perjalanan ke Masjidil Haram lancar tanpa banyak masalah.
Seperti biasa kami
memasuki masjid melalui pintu Ajyad. Setelah menyimpan selipar di rak di
hadapan pintu masuk Ajyad, kami terus berjalan masuk mencari ruang solat.
Jemaah telahpun memenuhi ruangan solat di tingkat satu. Malah laluan masuk pun
telah sesak dengan jemaah. Sampai di laluan tawaf saya mengarah ke kiri dan
isteri mengarah ke kanan. Alhamdulillah kami mendapat ruang untuk bersolat
dengan mudah. Cuma pagi ni tidak dapat melihat langsung Kaabah kerana tempat
saya bersolat terhalang oleh tiang besar masjid. Namun saya tetap bersyukur
kerana dimudahkan untuk mendapat ruang bersolat.
Pagi ini saya berkongsi
sejadah dengan jemaah dari Iran. Sayapun tak pasti samada tawaran untuk kongsi
sejadah itu sesuai ataupun tidak kerana bagi setengah-setengah jemaah mungkin
mereka menginginkan dahi mereka bersentuhan secara langsung dengan lantai
masjid tanpa ada alas. Apa-apapun mudah-mudahan niat saya berkongsi sejadah
mendapat keredhaan Allah, walaupun tidak seberapa.
Sebagaimana biasa,
aktiviti rutin bila dah dapat tempat bersolat seperti solat-solat sunat tahajud
taubat dan mengaji alQuran. Sambil menanti iqamah subuh aktiviti membaca
alQuran semacam sesuatu yang menyeronokkan. Kalau tak mengaji terasa ada yang
kurang atau tak kena. Semasa membaca juga tidak terasa berapa helai atau berapa
ayat, kerana saya membaca berdasarkan kemampuan. Biasanya saya membaca
sehinggalah iqamah dilaungkan. Setiap kali habis membaca, biasanya saya akan
memanjatkan doa supaya ibadah saya diterima, dan memohon supaya pahala-pahala
bacaan tersebut disampaikan juga kepada – Rasulullah SAW, keluarganya,
Sahabat-sahabatnya, serta para pengikutnya hingga ke akhir zaman, juga kepada
semua ahli keluarga saya, samada yang masih hidup ataupun yang telah meninggal
dunia.
Selepas solat subuh saya
berdiri menunggu untuk solat jenazah. Sambil menunggu untuk solat jenazah dapat
juga saya menatap Kaabah. Selesai solat jenazah saya terus keluar masjid
melalui pintu Ajyad. Saya dan isteri memang telah menjadikan tempat menyimpan
selipar di depan pintu masuk Ajyad sebagai tempat menunggu. Sesiapa yang sampai
dulu akan tunggu sehinggalah bertemu. Kami berjanji dengan cara sebegini kerana
setiap masa apabila keluar keadaan akan sesak dengan jemaah, dan sukar untuk
melihat pasangan kita.
Kalau sebelumnya kami perhatikan
jemaah daripada sesebuah negara yang kerap menolak-nolak untuk keluar dahulu,
pagi ini kami dapati terdapat juga jemaah daripada Malaysia yang sama-sama
menolak untuk keluar cepat sehingga saya terpaksa menegur supaya jangan menolak-nolak.
Pergerakan keluar masuk masjid
memang sedemikian. Jemaah bersesak-sesak dan terdapat segelintir yang
menolak-nolak tidak sabar untuk keluar dahulu. Justeru dalam keadaan bersesak,
kami dapati cara terbaik ialah menunggu di satu tempat sehinggalah kami
bertemu. Dan setakat ini kami tidak ada masalah langsung untuk bertemu. Maha
Suci Allah yang sentiasa memudahkan hamba-hambanya.
Setelah itu kami singgah di
restoran biasa, zamzam, untuk membeli paratha telor dan kari kambing sebagai sarapan.
Selepas itu terus balik hotel dan bersarapan di lorong hadapan bilik penginapan
kami. Oleh kerana bilik saya dan bilik isteri bersebelahan maka mudah untuk
makan di hadapan bilik. Ramai jemaah mula makan di lorong hadapan bilik
masing-masing. Suasana semakin meriah dan seronok.
Selesai bersarapan masuk bilik dan
sambung sembang-sembang dengan rakan sebilik. Sekarang ini kami hanya melakukan
pekerjaan rutin sahaja, berjamaah di Masjid, wirid, solat-solat sunat, membaca
alQuran dan juga bersembang-sembang dengan rakan-rakan sebilik ataupun dengan
jemaah bilik bersebelahan. Masing-masing sibuk dengan rutin masing-masing
sambil menunggu hari Wukuf, iaitu kemuncak musim haji.
Aktiviti ‘shopping’ telahpun kami
selesaikan awal dengan mengepos mana-mana buah tangan yang berat dan besar,
dengan harapan kami boleh memberi perhatian khusus kepada kerja-kerja haji.
Pagi ini dapatlah saya dan isteri
‘facetime’ dengan anak-anak untuk bertanya khabar. Namun, tempoh ‘facetime’
tersebut agak singkat dan tersekat-sekat kerana signal internet yang tidak
sempurna. Mungkin kami tidak menggunakan perkhidmatan internet yang kurang
baik.
Saya rasa TH perlu juga memasukkan
isu kad sim dan internet sebagai salah satu perkara dalam taklimat yang diberikan
kepada bakal-bakal haji. Saya perhatikan jemaah haji bersimpang siur mencari
perkhidmatan internet samada yang datang menawarkan di lobi hotel ataupun
kios-kios kecil di sekitar hotel. Adalah lebih baik kalau jemaah dibekalkan
dengan maklumat terperinci berkenaan perkhidmatan internet dan telekomunikasi
yang baik dan tidak terlalu mahal.
Ramai saya perhatikan membeli
kad-kad sim tetapi akhirnya terpaksa mengeluarkan duit tambahan untuk
langganan, samada harian atau mingguan. Kadang-kadang terpaksa membayar bayaran
tambahan. Perkhidmatan telekomunikasi dan internet tergolong sebagai penting
kerana jemaah ingin menyampaikan berita keadaan mereka di sini dan juga dapat
mengetahui keadaan keluarga yang ditinggalkan di Malaysia.
Selepas bersarapan saya membasuh
pakaian. Rakan-rakan sebilik berganti-ganti membasuh pakaian. Ruangan mencuci
sempit dan cara membasuh perlu disesuaikan terutamanya apabila membasuh pakaian
yang panjang seperti jubah. Lebih-lebih lagi apabila hendak menyidai.
Di dalam bilik hotel tidak ada
ruangan untuk menyidai. Bilik tidur yang dikongsikan bersama 4 jemaah agak
sempit dan tidak ada ruang yang banyak. Semua ruangan yang ada telah diletakkan
barang seperti beg-beg besar masing-masing dan stok pakaian.
Kami menyidai kain di atas bumbung
hotel. Walaupun tidak dibenarkan oleh pihak hotel, seolah-olah seperti sudah
tidak ada pilihan. Sedaya upaya para jemaah hotel berkenaan menggunakan tali
masing-masing untuk dijadikan tempat menyidai. Keadaan tempat sidaian memang
sentiasa penuh dengan pakaian.
Dalam keadaan ini memang memerlukan
toleransi dan kefahaman para jemaah. Baiknya, menjemur pakaian di Mekah tidak
memerlukan masa yang lama kerana suhu yang panas sepanjang hari dan berangin,
termasuk waktu malam. Biasanya jemaah akan segera mengangkat kain sidaian
apabila kering. Akan tetapi, ada ketikanya jemaah terlupa untuk mengangkat kain
sidaian hingga boleh mengurangkan ruang sidaian untuk jemaah lainnya menyidai.
Terdapat juga jemaah yang
meletakkan notis pada tali sidaian supaya tidak digunakan oleh jemaah lain. Seharusnya
jemaah perlu bertimbang rasa dan sedia untuk berkongsi tali tempat menyidai,
sepit pakaian, dan kadang-kadang penyangkut baju. Bukan hanya masalah tempat
menyidai, terdapat juga jemaah yang merokok di lorong-lorong tangga sehingga
menyebabkan pakaian yang disidai berbau asap rokok. Oleh itu, perasaan
persaudaraan dan saling memahami adalah diperlukan pada ketika ini.
Setelah selesai menyidai pakaian
saya berehat di dalam bilik, bersembang-sembang dengan rakan sebilik sambil
menunggu waktu zohor. Kami dapat melelapkan mata sekejap untuk mengumpul semula
tenaga.
Sekitar jam 11 pagi kami bangun dan
bersiap-siap untuk bersolat zohor, tetapi hanya di Masjid Bukit sahaja. Dah
berjanji dengan isteri untuk pergi sama-sama ke Masjid Bukit zohor berjamaah.
Memang niat kami hanya untuk melakukan setakat yang terdaya sementara menunggu
waktu wukuf di Arafah tidak lama lagi. Sebagaimana manusia biasa, kami memang
risau jika terlalu banyak tenaga dikeluarkan sebelum bergerak ke Arafah
menyebabkan kesihatan menurun dan seumpamanya. Sepatutnya kami perlu buang
perasaan risau berkenaan kerana kami sedang berada di tanah suci yang sudah
pasti sentiasa dipelihara oleh Allah.
Dengan memakai topeng mulut, saya
dan isteri berjalan perlahan-lahan di celah-celah bangunan menuju ke Masjid
Bukit. Dapatlah kami mengurangkan sedikit kepanasan matahari yang mulai
mencecah 40 darjah celcius ketika ini. Oleh kerana perjalanan yang menanjak
maka isteri sentiasa memaut saya semasa berjalan. Masjid telah mulai penuh
dengan jemaah. Kalau di awal ketibaan kami di Mekah tidak terlalu ramai,
sekarang ini jemaah telah ramai memasuki Mekah. Sebab itu ruangan Masjid Bukit
semakin penuh dengan jemaah, terutamanya ruangan solat jemaah perempuan yang
agak kecil berbanding ruangan solat lelaki.
Semasa menunggu zohor kami sempat
melaksanakan aktiviti rutin seperti solat-solat sunat dan membaca alQuran.
Sekali sekali kampi perhatikan jemaah yang mengutip sampah seperti tisu yang
ada di atas karpet masjid. Maklum sahaja sekarang ini dengan semakin ramainya
jemaah yang batuk-batuk dan selesema, kadang-kadang dalam kesibukan beribadah
mereka ‘tercicir’ tisu yang mereka gunakan. Alhamdulillah sentiasa ada jemaah
yang mengutip dan membuangnya ke dalam tong sampah untuk menjaga kebersihan
bersama. Walaupun Masjid Bukit agak sesak sekarang ini kami masih dapat
meneruskan solat zohor berjamaah dengan tenang dan lancar.
Topeng mulut yang kami pakai memang
telah dibekalkan oleh TH. Kami telah disarankan untuk sentiasa mengenakan
topeng mulut bagi mengelakkan debu ataupun jangkitan selsema dan batuk.
Walaupun kami telah mengambil vaksin, kami masih disarankan untuk sentiasa
mengenakan topeng mulut tersebut terutamanya apabila berada di dalam masjid
bersama-sama dengan ribuan jemaah. Memang tidak dinafikan, di dalam masjid kedengaran
suara jemaah yang batuk-batuk, dan bunyi seperti saling bersahutan. Kami hanya
memakainya sekali sekala terutamanya apabila berjamaah di masjid sebagai
langkah pencegahan awal.
Dalam keadaan panas dan berdebu serta padat dengan jemaah, TH sentiasa
mengingatkan supaya sentiasa menjaga kesihatan dengan memperbanyakkan minum air
zamzam dan tidak memakan makanan yang pedas dan berminyak. Penggunaan losyen
kaki dan tangan yang tidak berbau dan sah untuk solat juga digalakkan untuk
digunakan bagi mengelakkan kulit kekeringan. Kadang-kadang kepada sesiapa yang
mengalami kekeringan bibir juga digalakkan menggunakan balm bibir supaya dapat
mengekalkan kelembapan. Setakat ini saya dan isteri masih diberikan kesihatan
yang baik. Kami sentiasa memastikan untuk minum air zamzam setiap masa.
Selesai bersolat kami bergerak
balik ke hotel. Kami terus mengambil pek makan tengahari di restoran hotel dan
membawanya terus ke bilik. Namun dalam waktu ‘peak’ macam ini pergerakan lif
hotel agak sesak dengan jemaah. Waktu menunggu lif menjadi semakin lama. 4
tingkat yang popular setiap masa ialah tingkat lobi, tingkat surau, tingkat
restoran hotel, dan tingkat bumbung. Malah ada jemaah yang menggunakan tangga
untuk lebih cepat. Ada pula yang turun terus ke tingkat lobi dan menunggu lif
dari situ. Ini mengurangkan tempoh masa menunggu lif. Bagi sesiapa yang sedia
menunggu termasuk seperti saya maka saya hanya menunggu giliran. Sekali lagi
kami diajar erti sabar dan menunggu giliran.
Setelah selesai makan tengah hari di dalam kami berehat sebentar sambil
menunggu waktu asar pula. Saya hanya bersolat asar di Masjid Bukit dan isteri
hanya di bilik. Semasa beriktikaf di dalam masjid, sempat juga saya perhatikan gaya
jemaah berdoa yang pelbagai. Ada menadah tangan dan berdoa sambil menundukkan
muka ke bawah. Ada yang memandang ke depan dan ada pula sambil menadah tangan
muka mereka menoleh kiri dan kanan memerhatikan jemaah lain. Perkara yang
paling penting pada ketika berdoa adalah keikhlasan dan penumpuan perhatian
sepenuhnya kepada Allah, supaya apa yang kita hajatkan akan dimakbulkan.
Bagi saya setiap doa yang saya panjatkan terfokus kepada kekuatan keimanan,
pengampunan, dan diberikan kesihatan yang baik dan dapat menyelesaikan
kerja-kerja haji dengan sempurna. Selepas melakukan perkara rutin seperti
solat-solat sunat, membaca alQuran dan berjamaah asar saya terus balik ke
hotel.
Tempoh antara asar ke maghrib agak
singkat kerana saya perlu gerak awal sekiranya ingin mendapatkan tempat
berjamaah maghrib dan isyak di dalam Masjidil Haram. Sekiranya lambat biasanya
terpaksa bersolat di sekitar perkarangan Masjidil Haram ataupun di atas
bumbung.
Petang ini saya dan isteri agak
lambat sedikit keluar hotel iaitu sekitar jam 5.15 petang. Salah seorang rakan
sebilik telah dengan tidak sengaja terkencing di dalam bakul sampah di dalam
bilik. Mungkin kerana tidak tahan untuk menunggu rakan yang lain yang sedang
mandi maka dia terus melepaskan hajat di tong sampah bilik kami. Selepas itu
kami sama-sama membantu membersihkan dan menyucikan kawasan sekitar tong sampah
daripada najis kencing. Alhamdulillah tidak ada rasa marah sama sekali, dan
kami sama-sama membantu membersihkannya. Tidak timbul isu sama sekali, malah
menjadi sebab kami menjadi lebih akrab.
Sepertimana biasa, oleh kerana agak
lambat keluar pergerakan ke Masjidil Haram agak sesak dan padat. Pergerakan
masuk ke masjid agak perlahan kerana sesak dan padat. Selepas menyimpan selipar
di tempat biasa kami terus bergerak perlahan-lahan mengikut arus pergerakan
jemaah memasuki masjid. Seperti biasa saya dan isteri akan berpisah haluan
apabila memasuki kawasan solat dan tawaf untuk mencari ruang solat
masing-masing.
Oleh kerana waktu maghrib sudah
semakin hampir maka saya terus duduk ditempat yang terluang, walaupun saya tahu
ruang solat tersebut merupakan laluan jemaah bertawaf pada setiap masa di luar
waktu solat. Ruangan solat tersebut sangat minimum sehingga untuk melakukan
solat sunat pun agak sukar. Saya hanya membaca alQuran sahaja kerana ruangan
yang sempit, sehingga apabila sampai ke tempat ayat yang ada tanda ‘sajadah’
pun tidak mampu saya lakukan sujud. Saya hanya berniat di dalam hati
seolah-olah sedang bersujud sajadah.
Pihak polis masjid biasanya tidak
akan menghalang untuk jemaah duduk beriktikaf di laluan tawaf terutamanya
apabila solat fardhu hampir untuk dimulai. Dalam keadaan yang sesak sedemikian
memang memerlukan kesabaran dan toleransi antara jemaah untuk sama-sama memberi
ruang bersolat. Alhamdulillah saya dapat menyelesaikan solat fardhu maghrib
dengan selesa. Namun sebaik sahaja selesai saya terpaksa bangun kerana sudah
diarahkan oleh polis untuk bangun kerana tempat solat kami merupakan laluan
tawaf. Maka kami tidak dapat sama-sama bersolat jenazah.
Setelah bertemu dengan isteri saya
terus mencadangkan untuk melakukan tawaf sunat sambil mencari tempat solat yang
lebih selesa. Kepadatan jemaah menjelang Hari Wukuf semakin ketara. Kami
meneruskan tawaf sehingga dapat 2 pusingan sebelum menemui ruangan solat yang
lebih selesa dan bukan di laluan pejalan kaki ataupun laluan tawaf. Kami simpan
baki 5 pusingan lain kali bila ada kesempatan. Selepas itu kami terus duduk dan
bersolat-solat sunat, membaca alQuran sambil menunggu isyak.
Selepas solat isyak dan jenazah
saya dan isteri terus bergerak keluar menuju tempat makan Safwah. Sebelumnya
saya telah berjanji dengan rakan-rakan golf di JB, Pro Suhaimi dan Pro Man,
untuk makan malam bersama. Isteri-isteri kami saling berkenalan sambil
menikmati makanan mee hoon, capati dan roti telor dengan the tarik. Teh tarik
DSaji, sebuah restoran kepunyaan Felda di menara Safwah, terasa nikmat kerana
tidak ada lagi tempat lain yang mampu menandingi rasa teh tarik tersebut.
Semasa perjalanan balik kami
perhatikan pergerakan jemaah masih tidak surut. Jemaah pergi dan balik Masjidil
Haram daripada pelbagai arah, bergantung kepada di mana hotel mereka menginap.
Kota suci Mekah seolah-olah tidak tido dengan jemaah datang dan balik, melakukan
pelbagai aktiviti ibadah. Suatu keseronokan yang tidak dapat nak dibandingkan
dengan lain-lain pengalaman di dunia.
Sampai bilik terus bersiap-siap
untuk tidur supaya dapat bangun awal untuk bersolat subuh di Masjidil Haram. Saya
telahpun berjanji dengan geng taman di mana saya tinggal pula, Hj Din, untuk
bersarapan bersama esok pagi. Suatu perkara yang saya perhatikan, tidur malam
di hotel tidak banyak masalah. Mudah tidur dan mudah bangun. Semuanya
dipermudahkan oleh Allah.
Alhamdulillah selesai Hari 6 di Mekah al Mukarramah. Semoga hari-hari
berikutnya bertambah lebih baik.
3 Ogos 2019
No comments:
Post a Comment