Wednesday, 22 April 2020

HARI 30 MEKAH AL MUKARRAMAH


Alhamdulillah masih terjaga sekitar jam 3.15 pagi setelah dikejutkan oleh rakan-rakan sebilik. Mungkin kerana kepenatan ikut program lawatan semalam sehingga tidak mendengar bunyi alarm yang dipasang. Isteri juga tidak mempunyai tenaga untuk ke Masjidil Haram pagi ini kerana keletihan. Menyedihkan sebenarnya kerana program lawatan hanya untuk kepuasan diri tetapi boleh menyebabkan saya terlepas ibadah subuh di Masjidil Haram.

            Agak lewat sampai Masjidil Haram, saya masuk melalui pintu King Abdul Aziz tetapi tidak mendapat tempat yang biasa saya duduk. Akhirnya dapatlah saya duduk di kawasan pembesaran King Fahad dengan selesa.

           
Sambil menunggu subuh saya beriktikaf seperti biasa dengan bersolat-solat sunat dan membaca alQuran. Suasana di dalam masjid masih seperti biasa, padat dan penuh dengan jemaah. Suara polis menjerit mengarahkan jemaah memberi lalu atau berpindah masih lagi kedengaran di sana sini. Fenomena tidak mengikut arahan dan peraturan yang saya kira merupakan fenomena biasa di mana-mana dalam kehidupan sehari-hari.

            Di Malaysia saya sentiasa mendengar dan memerhatikan masyarakat melanggar peraturan, tidak mengikut arahan dan sebagainya. Tingkah laku memotong barisan, memandu laju, memandu secara merbahaya, berjudi, menipu, rasuah dan sebagainya seolah-olah menjadi fenomena biasa dalam masyarakat. Apa yang diperhatikan di dalam Masjidil Haram ketika ini merupakan refleksi kepada keadaan sebenar jemaah di dalam kehidupan seharian.

            Subuh pagi ini diimamkan oleh Imam Bandar, imam yang memang saya gemari bacaannya. Kaki dan badan yang masih terasa letih pun tidak terasa bila mendengar beliau membacakan surah semasa bersolat. Terutamanya surah Sajadah yang memang seronok untuk didengar. Mudah-mudahan keberadaan saya berjamaah dan mendengar surah-surah dibacakan oleh Imam-imam di sini menjadi saksi kepada penghambaan diri saya dan keluarga di akhirat nanti.

            Selesai solat subuh dan solat jenazah saya terus balik ke hotel. Badan masih terasa letih. Pagi ini sarapan seperti biasa dengan roti sandwich di depan bilik dengan isteri. Ramai juga pasangan yang bersarapan sama di depan bilik menjadikan suasana pagi ceria. Selepas sarapan saya membasuh pakaian yang kotor dan menjemurnya bersama dengan pakaian isteri. Pagi ini dapatlah saya melelapkan mata sebentar sebelum zohor.

            Sekitar jam 11 pagi terjaga dan terus bersiap untuk ke Masjidil Haram. Suasana bandar Mekah macam biasa, tetap panas dan kering. Alhamdulillah pagi ini saya sudah boleh memakai cermin mata gelap yang saya beli semalam. Cermin mata hitam saya telah tertinggal semasa mendaftar di TH dahulu semasa berangkat. Jadi, cermin mata hitam yang saya beli dapat mengurangkan kepanasan dan rasa silau pandangan mata. Untuk lain kali jika diizinkan sampai ke sini saya akan bawa cermin mata hitam.

            Hari ini terus masuk ikut pintu biasa, pintu Ajyad. Aktiviti rutin yang dilakukan, berhenti di hentian zamzam, minum zamzam, mengisi botol-botol kecil untuk bekalan dan seterusnya berjalan arah ke kanan untuk mencari ruang beriktikaf dan bersolat. Cuma solat zohor hari ini saya seorang sahaja dan isteri hanya bersolat di hotel. Alhamdulillah dapat tempat solat yang selesa, di atas karpet hijau yang memang disediakan untuk jemaah beriktikaf di luar laluan tawaf. Saya terus beriktikaf dengan solat-solat sunat dan membaca alQuran.

            Setelah beberapa lama di sini saya kerap melihat jemaah yang bersolat dengan tidak mempunyai tomakninah, terutamanya ketika rukuk, iktidal, sujud dan duduk antara 2 sujud. Teringat apa yang Nabi SAW ajarkan berkenaan dengan tomakninah sekiranya tidak dilakukan seolah-olah kita tidak bersolat. Namun, perkara tomakninah ini masih lagi diambil mudah oleh setengah-setengah jemaah. Solat ini diumpamakan oleh Nabi SAW seperti burung mematuk makanan.

            Keadaan yang sama juga saya perhatikan di mana jemaah menggunakan kelonggaran yang diberi semasa beribadah dengan sewenang-wenangnya. Beberapa kali saya perhatikan jemaah Malaysia berjalan berpimpin tangan semasa bertawaf bersama-sama dengan saya walaupun pada ketika itu tidak ramai jemaah sedang bertawaf. Memang dibenarkan dan tidak batal wudhuk ketika bersentuhan apabila dalam keadaan terdesak dan tidak menimbulkan rasa syahwat. Namun, kalau berpimpin tangan secara sengaja ketika bertawaf yang tidak dalam keadaan sesak mungkin boleh membatalkan wudhuk. Setakat yang saya amalkan semua kelonggaran yang diberi saya akan cuba gunakan sebaiknya, supaya tidak tergolong sebagai ‘mengambil kesempatan’.

            Terdapat juga jemaah perempuan yang tidak ‘menutup aurat’ dengan sempurna ketika berjamaah di Masjidil Haram. Ada yang hanya berpakaian seperti kebudayaan mereka, yang kadang-kadang agak jarang pada bahagian kepala, dan kerap juga terdedah tangan atau kakinya atau lain-lain aurat ketika bersolat. Wallahuaklam. Allah Maha Mengetahui dan Maha Pengampun. Mudah-mudahan semua ibadah diterima sepenuhnya.

            Selepas solat zohor dan solat jenazah saya terus bergerak balik ke hotel untuk makan tengahari. Solat asar hari ini hanya di surau hotel sahaja disebabkan oleh perasaan ‘malas’ dalam diri. Antara kelemahan yang masih menjadi cabaran saya dalam beribadah.

            Sekitar jam 6.15 petang saya bergerak ke Masjidil Haram semula untuk bersolat maghrib dan isyak. Agak lambat hari ini tetapi masih dapat masuk melalui pintu Ajyad. Jemaah telahpun semulajadi sesak. Aktiviti rutin setiap hari, singgah di hentian zamzam dulu, mencari ruang untuk bersolat,  dan bila dah dapat tempat duduk terus dengan solat-solat sunat dan membaca alQuran.

            Hari ini saya perhatikan telefon seorang jemaah telah dirampas oleh polis masjid kerana merakamkan video jemaah sedang bertawaf di dataran Kaabah. Pada saya merekodkan gambar atau video bukanlah merupakan suatu kesalahan sekiranya dilakukan dengan betul dan tidak mengganggu jemaah yang lain. Jemaah tersebut merakamkan video sehingga mengganggu dan terlanggar jemaah-jemaah lain yang sedang beribadah. Namun, telefonnya dikembalikan sebaik sahaja solat maghrib hendak dimulakan.

            Saya dan isteri terus iktikaf sehingga isyak. Banyak yang boleh dilakukan terutamanya membaca alQuran. Cabarannya hanyalah keletihan kaki, belakang badan ataupun punggung. Justeru, melakukan solat-solat sunat ketika ini boleh mengurangkan keletihan pada kaki dan badan.

            Selepas solat isyak dan solat jenazah kami terus bergerak balik ke hotel. Cadangan untuk melakukan umrah malam ini terpaksa kami batalkan kerana badan saya sudah terasa demam pula. Saya ambil panadol ‘soluble’ 2 biji sebelum tidur. Mudah-mudahan badan kembali segar esok pagi dan boleh berjamaah di Masjidil Haram lagi.

Alhamdulillah selesai Hari 30 di Mekah Al Mukarramah. Mudah-mudahan hari esok merupakan hari yang lebih ceria, Insha Allah.



27 Ogos 2019

No comments:

Post a Comment