Alhamdulillah terjaga macam biasa sekitar jam 2.30 pagi. Terus kejut isteri untuk
sama-sama bersiap. Cuma pagi ini isteri berhajat untuk pergi dengan rakan
sebilik dan bersolat di dataran jam berhadapan pintu masuk utama Masjidil
Haram.
Pagi ini selepas subuh
saya telah berjanji untuk berjumpa dengan kawan sekelas semasa berkuliah di
Bandung, Dadan Daud. Kebetulan dia sama-sama mengerjakan haji tahun ini. Cuma
tempat tinggalnya agak jauh daripada Masjidil Haram.
Pagi ini semakin segar,
tekak dah kurang sakit walaupun masih ada batuk-batuk sedikit. Kalau ikut
sejarah, batuk merupakan penyakit yang Allah jadikan saya sebagai penyakit yang
paling susah saya dapat. Tapi sekarang ini diberikan peluang untuk merasai
sakit batuk.
Lebih kurang jam 3.15 pagi
saya mula gerak perlahan-lahan ke Masjidil Haram. Jemaah di jalan-jalan
telahpun ramai menjadikan perjalanan ke masjid tidak terasa. Sampai di pintu
Ajyad saya terus masuk dan singgah di hentian zamzam untuk meneguk air zamzam
sambil mengisi 2 botol kecil air zamzam (lebih kurang 6 cawan sahaja
komposisi). Cukup sebagai bekalan untuk diminum semasa iktikaf menunggu subuh.
Bila dah dapat tempat
aktiviti rutin beriktikaf, solat-solat sunat dan membaca alQuran diteruskan. Sambil
itu suara polis mengarahkan jemaah “yaa hajji…yaa…hajjah” mulai kedengaran di
sana sini. Jeritan dan arahan polis ini merupakan perkara biasa dan sentiasa
berlaku kerana sentiasa ada jemaah yang tidak mengikut arahan dan peraturan.
Seolah-olah semacam suatu keadaan yang tak pernah putus-putus berlaku.
Pagi ini suara muazzin
melaungkan azan terasa mendamaikan. Berdiri bulu roma mendengarnya. Tak dapat
nak bayangkan macam mana merdu dan indahnya laungan azan muazzin kesayangan
Nabi SAW iaitu Bilal bin Rabah.
Selesai solat subuh dan
jenazah saya terus menunggu Dadan untuk bertemu di depan WC2 supaya mudah. Akan
tetapi setelah hampir setengah jam menunggu Dadan masih belum mampu untuk
keluar kerana kepadatan jemaah dan saya sendiri ada taklimat wukuf di hotel.
Saya terus balik ke hotel. Singgah
di restoran berhampiran hotel membeli shcwarma untuk sarapan. Isteri saya
telahpun membeli sarapan sendiri bersama rakan sebilik dia. Saya juga singgah
di kedai runcit berdekatan membeli roti pek kecil-kecil beberapa untuk sebagai
bekalan di bawa ke Arafah esok. Selepas itu terus naik ke bilik dan bersarapan.
Selepas sarapan saya mengambil panadol dan ubat batuk dan berehat sambil
menunggu zohor.
Saya berhubungan dengan Dadan
berkenaan cadangan untuk berjumpa tadi. Mungkin Allah belum membenarkan. Oleh
kerana masing-masing sibuk dengan jadual aktiviti masing-masing maka Dadan
mencadangkan supaya berjumpa selepas balik dari Mina.
Hari ini solat zohor hanya
di Masjid Bukit. Pergi awal sedikit kerana khuatir tak dapat tempat di dalam
masjid kerana jemaah telahpun ramai sekarang ini. Suasana biasa bila beriktikaf
di dalam masjid sambil menunggu zohor. Kadang-kadang saya melunjurkan kaki,
kadang-kadang duduk bersimpuh macam tasyahut akhir. Pernah jugak saya berdiri
sekejap untuk menghilangkan lenguh-lenguh dan kebas-kebas kerana terlalu lama
duduk. Saya perhatikan jemaah-jemaah lain pun melakukan perkara yang sama.
Rasanya mungkin TH boleh
memasukkan komponen duduk lama di dalam masjid sebagai salah satu topik dalam
kursus haji. mungkin boleh difikirkan kaedah-kaedah atau teknik-teknik tertentu
yang boleh mengurangkan tekanan pada otot kaki atau belakang jika terlalu lama
duduk di atas lantai. Mungkin pakar-pakar fisiologi boleh berkongsi dan
memberikan teknik atau kaedah yang boleh dilakukan oleh jemaah untuk
setidak-tidaknya berasa kebas atau keletihan semasa duduk di atas karpet masjid.
Kalau di tempat saya bekerja di UTM ada nama-nama seperti Dr Halijah dan Dr
Zainal yang mungkin boleh membantu dalam berkongsi kaedah dan teknik yang
dimaksudkan.
Selesai solat zohor saya
terus balik ke hotel. Makan tengahari pun dibilik bersama dengan rakan-rakan
sebilik. Selepas makan tengahari kami masing-masing sibuk mengemaskan beg
pakaian untuk dibawa ke Arafah, Muzdalifah dan Mina. Kami telah diberikan
taklimat bahawa setiap jemaah dibenarkan untuk membawa 1 beg pakaian dan
lain-lain keperluan berukuran beg merah yang dibekalkan oleh TH dan 1 beg
galas, iaitu beg kuning yang juga dibekalkan oleh TH. Ini kerana mengambil kira
khemah di mana jemaah akan menginap di Arafah dan Mina.
Ibadah haji ini merupakan
yang pertama bagi saya dan isteri. Kami hanya berpandukan kepada maklumat yang
disampaikan melalui kursus dan buku-buku semasa mengikuti kursus haji dahulu.
Kami difahamkan bahawa khemah penginapan jemaah Malaysia di Arafah adalah
berukuran 5 meter x 5 meter untuk memuatkan 20 jemaah berserta beg-beg yang
dibawa. Manakala khemah di Mina lebih kecil lagi iaitu 4 meter x 4 meter juga
untuk memuatkan jumlah jemaah beserta beg yang sama. Namun, kami berasa teruja
untuk ke sana, menikmati peluang yang diberikan oleh Allah bersama-sama dengan
jemaah yang lain pada 10 – 13 Zulhijjah.
Dalam taklimat terakhir
juga dimaklumkan supaya jemaah membawa sedikit bekalan makanan dan air kerana
dikhuatiri akan berlaku kesesakan semasa pergerakan masuk ke Arafah. Jutaan
jemaah bergerak serentak untuk mengerjakan rukun haji yang merupakan kemuncak
kepada ibadah haji. semua jemaah telah ditetapkan mengikut bas-bas yang
bernombor masing-masing dan perlu bersedia dengan pakaian ihram terus mulai jam
8 pagi di bilik masing-masing. Semua jemaah akan dipanggil melalui pembesar
suara hotel secara berperingkat-peringkat mengikut ketersediaan bas
masing-masing.
Hari ini solat maghrib
hanya di Masjid Bukit. Surau di hotel sudah terlalu penuh. Masjid Bukit
walaupun penuh tetapi masih ada ruang untuk berjamaah. Saya dan rakan-rakan
sebilik bergerak ke Masjid Bukit untuk berjamaah. Lif pula agak sesak dengan
jemaah, maka kami turun menggunakan tangga walaupun dari tingkat 10, supaya
lebih cepat.
Selesai solat maghrib
terus balik hotel, ambil pek makan malam dan terus makan malam di bilik dengan
rakan sebilik. Sambil menunggu isyak, kami bersembang-sembang berkenaan dengan
dengan barang-barang yang akan dibawa ke Arafah dan Mina untuk memastikan tidak
ada yang tertinggal.
Saya hanya bersolat isyak
di surau hotel sahaja kerana terpaksa buang air besar dan tidak sempat untuk
berjamaah di masjid. Cuma tak dapat bersama bersolat hajat dan doa selamat
untuk pergerakan ke Arafah esok pagi. Namun alhamdulillah selesai sahaja
bersolat isyak saya terus mengambil pek makan malam dan terus ke bilik.
Cuma pergerakan naik
menggunakan lif agar perlahan kerana kesibukan jemaah naik dan turun. Selain
daripada selepas bersolat jamaah, terdapat juga yang mengambil makanan dan juga
membeli bekalan untuk ke Arafah dan Mina. Mana-mana jemaah yang tidak selesa
untuk naik lif berlainan jantina mereka perlu menunggu lebih lama lagi. Ini
kerana untuk mendapatkan lif yang hanya ada jemaah lelaki sahaja atau perempuan
sahaja memang agak sukar dalam keadaan sebegini.
Semua terpaksa bersempit-sempit di
dalam lif untuk naik ataupun turun. Begitu juga jika ada jemaah yang selesa
untuk menaiki lif bersama-sama dengan kawan atau ahli keluarganya maka masa
menunggu mereka lebih lama lagi.
Setelah selesai makan
malam saya menyiapkan beg merah TH dan beg kuning TH supaya semuanya sedia
untuk dibawa. Kalau untuk disiapkan esok pagi mungkin agak kelam kabut dan
mungkin ada yang tertinggal. Untuk beg merah, saya isi dengan kain ihram
tambahan putih 1 set, ihram tambahan daripada kain pelikat 1 set, sebungkus batu
kerikil untuk ibadah melontar yang dibekalkan dalam beg kecil, sejadah, tuala
mandi, tuala muka, bantal leher kecil, sedikit bekalan makanan seperti roti dan
minuman air zamzam, dan juga selipar tambahan sekiranya selipar sedia ada putus.
Bekalan ubat-ubatan yang penting
seperti ubat darah tinggi, panadol, ubat batuk dan selsema juga saya masukkan.
Selain itu peralatan kebersihan seperti sabun mandi, berus gigi dan ubat gigi
juga saya sediakan dalam pek yang dibekalkan oleh TH. Beg kuning pula seperti
biasa saya isi dengan kitab-kitab panduan haji, pasport dan beg duit, dan
terpenting kitab alQuran yang sentiasa saya baca.
Saya perhatikan rakan-rakan sebilik
lain pun sibuk melakukan perkara yang sama. Setelah selesai beg merah masing-masing
telahpun diletakkan di tepi katil masing-masing supaya senang diangkat esok
hari. Kami tidur awal supaya dapat bangun awal dan bersiap untuk bergerak ke
Arafah tanpa banyak masalah.
Sebelum tidur saya panjatkan doa:
“Ya Allah...kami bermohon kepada Mu...permudahkan perjalanan mengerjakan
haji kami Ya Allah...berilah kami kekuatan, kesabaran & keikhlasan serta
kesihatan yang baik...supaya kami dpt melaksanakan ibadah haji kami dengan baik
dan sempurna...Insha Allah kepada Mu jua kami berserah dan memohon perlindungan...amin
ya Robbalalamin….”
Alhamdulillah selesai Hari 11 di
Mekah al Mukarramah.
Semoga perjalanan kami ke Arafah,
Muzdalifah dan Mina sentiasa dilindungi dan diberkati..
8 Ogos 2019
No comments:
Post a Comment