Wednesday, 22 April 2020

KEMBARA HAJI SUATU REFLEKSI


Pertama sekali saya dan isteri ingin memanjatkan ucapan terima kasih dan syukur yang kepada Allah kerana dengan izin dan kasihNya mengizinkan saya melalui suatu pengalaman yang sangat unik dan berharga yang tidak ada bandingannya di muka bumi ini. Salawat dan salam kepada Nabi SAW, keluarga dan sahabat-sahabatnya, mudah-mudahan refleksi yang dihasilkan ini merupakan sesuatu yang bermanfaat.

Peluang mengerjakan haji merupakan peluang yang sangat berharga dan tidak patut kami lepaskan begitu sahaja tanpa alasan atau sebab yang boleh diterima. Pengalaman yang suatu ketika seolah-olah suatu kesukaran dan kepayahan tetapi secara perlahan-lahan bertukar menjadi suatu keseronokan dan kenikmatan dalam beribadah. Semakin sukar dan susah pengalaman itu semakin indah dan nikmat dirasakan semasa melaluinya. Maha Suci Allah…

Selama 40 hari mengembara haji memberikan pengalaman dan pengajaran yang cukup berbeza pada diri saya dan isteri. Kami pasti pengalaman dan pengajaran bagi setiap jemaah yang pergi akan berbeza antara satu sama lain. Pada saya dan isteri, pengembaraan mengerjakan ibadah haji memberi suatu dimensi baru dalam hidup. Selain berjaya menyempurnakan Rukun Islam yang kelima, ia memberi kenikmatan baru dalam hidup iaitu kepuasan. Selain itu, kami juga berpeluang menyelami ibadah haji samada hanya sebagai suatu kewajipan ataupun peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah - sedekat-dekatnya

Terlalu banyak pengajaran yang boleh dikongsikan kerana pengembaraan haji menerangkan makna kehidupan secara keseluruhan. Namun, di sini kami cuba kongsikan beberapa daripadanya supaya dapat dijadikan maklumat tambahan dalam memahami kehidupan mengerjakan secara khususnya, dan kehidupan sehari-hari secara amnya.

        Kami melihat pengembaraan haji memberi pengajaran yang sangat khusus dan spesifik. Ia memberi peluang kepada kami untuk melihat secara dekat siapa kami, perangai kami, tingkah laku kami, cara berfikir kami, terutamanya ketika bersama dengan orang lain dan Allah. Selama ini kami tidak berpeluang untuk meneroka lebih jauh kerana disibukkan dengan urusan dunia yang tak berkesudahan. Apa yang dilihat setiap hari seolah-olah cermin kepada kehidupan kami yang sebenarnya.

            Mengerjakan haji secara mudahnya berkaitan dengan pengorbanan. Kesediaan kita untuk menyediakan wang ringgit, tenaga dan waktu menjadi pengukur kepada kualiti pengorbanan yang kita berikan. Bermula daripada pendaftaran, menyimpan, menghadiri kursus, belajar melalui pembacaan, perbincangan dengan rakan-rakan, sehinggalah keberangkatan merupakan suatu proses yang panjang. Wang ringgit bagi setengah-setengah orang bukan merupakan suatu masalah. Tetapi kesediaan memperuntukkan tenaga dan masa biasanya menjadi penghalang kepada kesemua proses tersebut. Kami dapati, salah satu penghalang utama kepada pengorbanan ini ialah kesediaan kita untuk berserah dan menghambakan diri secara total kepada Allah. Kesan daripada itu kita sentiasa merasa tidak mempunyai tenaga dan masa untuk pergi. Wallahuaklam.

         Allah menilai martabat seseorang hambanya berdasarkan ketakwaannya. Kehidupan di sini mengajar kami bahawa bahawa pangkat, kekayaan, harta, nama, ilmu yang dipinjamkan dan keturunan tidak memberi makna apa-apa di sisi Allah kalau tidak digunakan di jalan Allah. Kesungguhan individu dan pengusaha yang sentiasa bersedekah di sepanjang jalan di Mekah dan Madinah menunjukkan kesedaran tersebut. Kualiti diri adalah ditentukan dengan melihat bagaimana semua kelebihan yang Allah berikan digunakan. Adakah untuk kepentingan diri sendiri? Apakah untuk kepentingan masyarakat? Apakah untuk kepentingan agama Islam? Oleh itu, segala bentuk kesenangan dan kepandaian yang dipinjamkan oleh Allah seharusnya digunakan dan dimanfaatkan untuk ke jalan Allah.

      Selain itu, ketakwaan seharusnya dijadikan matlamat utama yang perlu diberi perhatian. Di sini saya melihat seolah-olah kita kurang memahami apa yang dimaksudkan dengan menggunakan kepandaian, kekayaan dan kesenangan yang dipinjamkan kepada kita semata-mata ke jalan Allah. Mencari kekayaan dan kesenangan tidak dilarang tetapi perlu dipastikan semuanya dengan tujuan kerana Allah. Ini sangat penting kerana ketika kita berhadapan dengan Allah nanti apa yang akan kita bawa adalah sesuatu yang diniatkan kepadaNya. Kadang-kadang kita bangga dengan kekayaan, kesenangan serta kepandaian yang dianugerahkan oleh Allah sehingga menerbitkan rasa bangga diri, sombong, meninggi diri dan riak. Apa yang perlu difikirkan adalah apa yang akan kita bawa apabila bertemu dengan Allah nanti.

         Allah juga menyebutkan untuk melakukan sesuatu perubahan individu itu sendiri perlu mengubahnya terlebih dahulu. Perlu ada usaha sebelum menyerahkan diri kepada Allah untuk memakbulkan usaha tersebut. Ini merujuk kepada usaha kita memperbaiki kualiti diri sesuai dengan kehendak agama. Sikap seperti tidak menjaga kebersihan, berludah di merata-rata tempat, membuang sampah tidak di tempatnya merupakan antara contoh yang merujuk kepada individu yang tidak mahu berfikir dan tidak berusaha untuk berubah. Tanah suci Mekah dan Madinah sebenarnya boleh menjadi pemula kepada perubahan tersebut. Sejauh mana kita bersedia untuk berhijrah daripada suatu keadaan kepada suatu keadaan yang lain bergantung kepada usaha dan kesediaan kita sendiri.

        Begitu juga dengan sahsiah diri yang sentiasa menjadi gambaran kepada sejauh mana kita menghayati nilai keIslaman yang sebenar. Perilaku menolak-nolak, merempuh ataupun memotong barisan menunjukkan tentang keperibadian yang mementingkan diri sendiri dan tidak menghormati orang lain, apalagi menyayangi. Perilaku ini sebenarnya bukanlah karakter perilaku yang diajarkan dalam Islam. Dalam keadaan bersesak dan berhimpit-himpit seharusnya memberi kesedaran tentang perilaku Islam yang sebenar yang menekankan erti persaudaraan dan kasih sayang antara sesama manusia.

           Kehidupan di Mekah dan Madinah mengajarkan kami erti persaudaraan dalam Islam. Perasaan saling membantu, mengambil berat, bertolak ansur dan bekerjasama atas dasar persaudaraan sesama agama bukan merupakan sesuatu yang mudah untuk diamalkan dan dihayati. Rasa saling hormat, rasa sayang, tanggungjawab dan sentiasa mengambil perhatian sesama saudara atas dasar persaudaraan Islam merupakan antara contoh kepada kesedaran tersebut.

Begitu pula keadaanya jika kita melihat kepada konteks lebih kecil iaitu rakan-rakan sejemaah, terutamanya yang tinggak sebilik. Sikap tolak ansur, saling memahami dan saling membantu amat diperlukan ketika berada di sini dalam semua keadaan. Kita perlu sentiasa peka dan prihatin dengan keselesaan, keperluan dan perhatian rakan jemaah kita supaya sama-sama dipermudahkan. Anggapan bahawa rakan jemaah yang sakit, perlahan atau sebagainya akan mengganggu atau melambatkan kerja-kerja ibadah kita perlu dibuang jauh-jauh sebagai tanda kasih sayang dan perasaan ambil berat.
           
        Namun, ketidaksabaran dan mementingkan diri sendiri semasa di Mekah dan Madinah yang lebih ketara. Jika di Mekah dan Madinah kita datang dengan tujuan untuk beribadah, iaitu menyempurnakan Rukun Islam yang kelima, kita masih sukar untuk mengawal diri, menolak-nolak, merempuh dan sebagainya, apa akan kita lakukan ketika di Padang Mahsyar nanti. Suatu tempat di mana seluruh manusia sejak dari Nabi Adam dikumpulkan dengan satu tujuan iaitu untuk dihisab segala amalan. Ya Allah…suatu gambaran yang sangat mengerikan.

          Arafah, Muzdalifah dan Mina secara berasingan memberi pengalaman yang berbeza. Paling tidak, kita dapat merasai kesukaran dan kesusahan ketika mana dalam keadaan terhad dan terbatas, tetapi dalam masa yang sama perlu menjaga perkara yang asas iaitu kewajipan. Terutamanya solat lima waktu, dalam keadaan apa sekalipun tetap perlu dijaga dan tidak boleh dilalaikan. Dengan lain perkataan, kewajipan agama perlu sentiasa menjadi keutamaan dalam kehidupan.

          Selain itu kami dapat rasakan juga bahawa kita tidak boleh berprasangka dan berkira dengan Allah. Allah tidak memerlukan apa yang kita ada kecuali ketakwaan kita. Setiap masa kami diajar berkenaan keikhlasan, sentiasa redha dan yakin bahawa Allah ada, Allah Maha Mendengar, Allah Maha Penyayang dan segalanya. Setiap apa yang kami lakukan perlu terus merujuk kepada Allah dan Allah semata-mata. Usaha berdoa, redha dan ikhlas menjadi tunjang kepada keyakinan bahawa Allah Maha Mendengar dan Maha Penyayang.

         Aktiviti yang dilakukan semasa di Mekah dan Madinah menunjukkan bahawa manusia tidak boleh lari dari hiburan dan kesukaan kepada kecantikan dunia. Ketika berada di Masjidil Haram yang jaraknya hanya ratusan meter sahajapun kami tidak mampu memanfaatkan sepenuhnya. Walaupun sudah dijanjikan setiap kebaikan diberi ganjaran 100 ribu kali ganda masih lagi tidak dapat menarik perhatian kami sepenuhnya. Ada ketikanya kami bersembang-sembang di restoran minum-minum dan makan. Ada ketikanya kami leka melihat kedai-kedai dan membeli barang. Ada ketikanya pula kami hanya duduk di dalam bilik. Semua ini memberi gambaran tentang kelemahan kami yang perlu diperbaiki, serta memanfaatkan peluang yang ada sebaik mungkin.

            Salah satu perkara yang penting dalam melakukan ibadah ialah kesihatan. Hadith Nabi SAW ada menyebutkan berkenaan tentang rebutlah lima perkara sebelum datang yang lima. Ketika sakit demam selsema dan batuk-batuk saya benar-benar rasa terganggu untuk memberi tumpuan beribadah. Apabila mengambil ubat badan pula rasa lemah, mengantuk dan malas untuk bergerak. Ini mengingatkan kami kepada kealpaan diri untuk sentiasa menjaga kesihatan, menjaga pemakanan, dan sentiasa bersenam. Tanpa kesihatan yang baik pergerakan kita untuk beribadah akan terganggu atau terbatas.

            Kesihatan yang terganggu juga mengajar kami erti redha dengan ketentuan Allah. Setiap orang diuji dengan pelbagai perkara dan pelbagai cara. Apa yang ingin disampaikan adalah bagaimana kita menghadapi ujian tersebut dalam suasana redha dan ikhlas. Apa tindakan yang bersesuaian yang perlu diambil, tingkah laku penyesuaian yang perlu dilakukan, dan kesediaan untuk sentiasa berfikiran positif merupakan antara indikator kepada perasaan redha dan ikhlas tersebut. Perasaan redha dan ikhlas itu pula merupakan suatu kefahaman dan kemahiran yang perlu dipelajari sehinggalah dikuasai.

        Seperkara yang juga penting ialah kerjasama antara suami dan isteri. Ketika beribadah mengerjakan haji kedua-dua suami dan isteri perlu saling membantu ataupun ingat mengingatkan. Jika suami atau isteri hanya memberikan fokus kepada ibadah masing-masing sahaja dikhuatiri kita akan terlepas pandang keperluan-keperluan khusus yang diperlukan. Malah, melalui kerjasama tersebut dapat menunjukkan sejauh mana kasih dan sayang kita kepada pasangan masing-masing.
           
            Selama 39 hari berkelana, membaca ayat-ayat alQuran tanpa henti memberi suatu kenikmatan tersendiri berkenaan kitab suci Allah itu. Walaupun tidak difahami langsung maknanya tetapi saya berasa tenang, aman, dan kadang-kadang tersentuh ketika membacanya. Kalau tidak membacanya setiap hari terasa seperti kehilangan sesuatu. Mudah-mudahan perasaan tersebut terus wujud dalam diri saya dan isteri sehinggalah ke akhir hayat kami dan diteruskan oleh anak-anak kami.

           Selain itu, pengalaman selama 39 hari di Mekah dan Madinah itu juga mengajar kami erti kesukaran melembutkan hati. Kami dapati hati memang terlalu sukar untuk ‘dijinakkan’ daripada perasaan-perasaan keduniaan. Hati sentiasa liar dengan kesombongan, bangga dengan ilmu yang diberi, tidak hormat dan sentiasa memandang rendah orang lain, merasa diri lebih tahu daripada orang lain, dan sukar memandang orang lain dengan pandangan persaudaraan Islam. Namun, saya bersyukur mempelajari sesuatu yang sangat bermakna bahawa perjuangan ‘menjinakkan’ hati merupakan suatu perjuangan yang panjang dan merupakan suatu jihad.

Secara peribadi juga kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan tahniah atas kelancaran dan kecekapan TH menguruskan pergerakan jemaah mengerjakan haji sejak daripada proses menawarkan tempat, memberikan kursus-kursus, bimbingan akhir, menguruskan hari keberangkatan, hari-hari semasa di Mekah, Arafah, Muzdalifah, Mina dan Madinah dan seterusnya keberangkatan balik sehinggalah keluar daripada KLIA. Suatu proses pengurusan yang bukan mudah, menguruskan puluhan ribu jemaah Malaysia, di celah-celah jutaan jemaah seluruh dunia memang memerlukan kesabaran, kecekapan, dan kesungguhan yang tidak sedikit. Syabas TH, syabas petugas-petugas dan semua jemaah haji yang secara umumnya mendapat manfaat semasa menyempurnakan pekerjaan haji masing-masing. 

        Secara mudahnya, apa yang boleh kami gambarkan daripada pengalaman ini seoalah-olah seperti sebuah buku. Pekerjaan umrah boleh diibaratkan sebagai kata penghantar, haji pula sebagai isi kandungan, dan penutupnya sahaja yang berbeza-beza mengikut orang. Semuanya bergantung kepada bagaimana kita melaluinya dan menjadikannya sebagai suatu proses pembelajaran meningkatkan kualiti diri ke tahap yang lebih tinggi. Inilah yang akan dibawa seterusnya dalam kehidupan sehari-hari semasa bekerja, hidup di dalam rumahtangga, bermasyarakat dan sebagainya.

Mudah-mudahan dengan melalui pengalaman tersebut menjadikan kita seorang individu yang berakhlak mulia, seorang pekerja yang jujur dan ikhlas, seorang ahli keluarga yang saling menyayangi, seorang ahli masyarakat yang saling membina, seorang rakan yang menyenangkan dan yang terpenting seorang hamba Allah yang sentiasa bertakwa.

Maka bermulalah episod baru dalam hidup kami iaitu mengekalkan nilai-nilai keIslaman yang dipelajari daripada pengembaraan haji secara istiqamah. Suatu tugas yang lebih sukar berbanding mengerjakan haji itu sendiri. Mudah-mudahan dengan sedikit perkongsian ini dapatlah menerbitkan rasa keterujaan semua untuk turut melalui episod pengalaman mengerjakan haji secara langsung. Dengan cara itu pula mudah-mudahan juga dapat mencetuskan idea untuk saling mempertingkatkan lagi kualiti ibadah kepada Allah.

Mohon maaf atas segala kekurangan dan kesilapan. Sesungguhnya semua kelemahan dan kekurangan berpunca daripada kami semata-mata dan yang terbaik adalah daripada Allah. 

Mengubah Cabaran Menggapai Keredhaan Allah yang hakiki.

Dari Allah kami datang dan kepadaNya kami kembali.

Insha Allah.

Johor Bahru, Johor, Malaysia
September 2019
1440 Hijrah

No comments:

Post a Comment