Wednesday, 22 April 2020

HARI 28 MEKAH AL MUKARRAMAH


Alhamdulillah masih dibangunkan oleh Allah sekitar jam 3 pagi. Agak lewat dari biasa tetapi terus kejutkan isteri untuk sama-sama bersiap. Jam 3.20 pagi kami bergerak macam biasa ke Masjidil Haram. Kemeriahan dan keseronokan sudah terasa bila berjalan bersama dengan ribuan jemaah.

            Pagi ini kami masuk melalui pintu King Abdul Aziz seperti biasa. Terus bergerak mencari tempat untuk beriktikaf dan bersolat. Alhamdulillah kami dapat tempat masing-masing tanpa banyak masalah. Pekerjaan pertama yang saya buat ialah singgah di hentian zamzam untuk minum dan mengisi beberapa botol kecil sebagai bekalan.

            Saya teruskan dengan aktiviti biasa dengan bersolat-solat sunat dan membaca alQuran. Seperti biasa juga kedengaran polis masjid yang menjerit mengarahkan jemaah untuk beredar atau duduk di tempat yang dibenarkan dan bukan di laluan-laluan keluar masuk ataupun laluan tawaf. Kesalahan yang sama berulang-ulang kali dilakukan, seolah-olah tiada penyudah.

            Selepas solat subuh dan solat jenazah saya berhenti sebentar berbual-bual dengan jemaah Maktab 81 yang kebetulan bersolat di sebelah saya. Sambil menunggu kesesakan jemaah keluar reda sempat juga kami bersembang berkenaan dengan pengalaman mengerjakan haji sehingga ke hari ini. Kami dapati pengalaman yang kami lalui hampir serupa iaitu berkenaan dengan sampah, kebersihan, sikap jemaah, tingkah laku jemaah semasa bersolat, bertawaf dan bersaei. Setelah jemaah mulai kurang kami bergerak keluar.

            Pagi ini sarapan macam biasa di depan bilik hotel. Saya dan isteri hanya bersarapan roti butter, muffin dan teh O panas sahaja. Selepas sarapan terus berehat dalam bilik. Pagi ini tangan kiri saya terasa lemah secara tiba-tiba. Tak pasti apa sebabnya tapi sangat lemah dan tidak boleh ‘digunakan’ sama sekali. Saya memang mengambil ubat darah tinggi secara kekal. Malah semasa pemeriksaan kesihatan semasa hendak pergi dahulu paras kolestrol saya sudahpun melepasi tahap yang ditetapkan tetapi belum diberikan ubat untuk dimakan.

Semasa saya duduk saya cuba angkat tetapi tidak berjaya, ia kekal di bawah. Pelbagai persoalan dalam kepala saya pada ketika itu. Adakah ini yang dinamakan ‘stroke’ ? Saya pasrah sahaja kepada Allah sekiranya itu memang sudah ditakdirkan. Saya Cuma beranggapan kerana mungkin tangan saya tertindih semasa tidur tadi.

            Alhamdulillah, setelah hampir sejam tangan saya mulai berfungsi. Saya sudah boleh menggerakkan jari dan menggenggam. Walaupun masih belum boleh diangkat, tetapi sudah boleh digerakkan sedikit-sedikit. Secara perlahan-lahan kembali seperti biasa. Pengalaman ini tidak saya ceritakan kepada sesiapapun, kecuali apabila saya bercerita kepada rakan-rakan yang ‘degil’ tidak mahu mengambil ubat walaupun telah diarahkan oleh doktor.
           
Selepas tangan dah lega saya bersama isteri berjalan-jalan ke kedai Abraz di menara jam bersebelahan menara Safwah untuk melihat-lihat barang jualan. Kami singgah minum kopi di ruang makan sambil sembang-sembang menghilangkan keletihan. Tempat beli belah di sini agak lengang sedikit daripada tumpuan jemaah kerana agak ke dalam sedikit daripada laluan jemaah berulang alik. Mana-mana jemaah yang inginkan ketenangan semasa makan dan berbelanja bolehlah mencuba kawasan beli belah di sini. Harganyapun lebih kurang sama dengan kedai-kedai di Safwah.

            Sepanjang pemerhatian saya, jemaah haji Malaysia jika mereka bukan datang dari maktab yang sama agak kurang berkomunikasi. Walaupun kebanyakannya membawa beg galas kuning yang sama, tetapi kurang berkomunikasi, kecuali yang memang peramah dan kerap bertegur sapa. Mungkin mereka berpendirian untuk tidak mahu mengganggu jemaah lain yang juga sedang beribadah.

            Selesai berjalan-jalan di Abraz kami terus balik ke hotel untuk makan tengahari. Saya hanya bersolat berjamaah zohor di surau hotel sahaja. Manakala solat asar pula saya pergi ke Masjid Bukit.

            Jemaah di hotel kelihatan kurang keluar masuk. Di lobi mulai kurang jemaah berkumpul. Mungkin masing-masing semakin sibuk dengan urusan ibadah, ke Masjidil Haram, lawatan tempat bersejarah dan juga umrah sunat. Tempoh di Mekah semakin hari semakin singkat kerana selepas ini kami semua akan bergerak ke Madinah.

            Saya masih lagi berehat di bilik sambil menunggu waktu maghrib dan isyak. Seperti biasa, 45 minit sebelum magrib saya dan isteri dah mula turun hotel untuk ke Masjidil Haram. Semasa turun dari lif saya dapat perhatikan sekarang ini dah mula ada perangai baru iaitu segera menekan butang untuk menutup pintu lif sebaik sahaja masuk lif. Kalau sebelumnya jemaah akan melihat-lihat dulu kalau-kalau ada jemaah yang sedang berlari mendapatkan lif, tetapi sekarang ini berubah kepada cuba menutup pintu lif sesegera yang mungkin. Beberapa kali saya perhatikan, jemaah berlari-lari mengejar lif tetapi gagal kerana pintu telahpun ditutup walaupun di dalam lif masih lagi kosong. Nampak kecil, tetapi perubahan sikap ini merupakan sesuatu yang tidak baik.

            Petang ini seperti biasa, kebanyakan pintu-pintu telah ditutup kerana jemaah telah ramai. Saya dan isteri terus mengikut pergerakan jemaah yang menuju ke bumbung yang biasanya tidak terlalu padat. Walaupun jemaah telah ramai di bumbung kami tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan tempat bersolat kerana ruangan yang masih luas.

            Selepas maghrib saya terpaksa keluar sebentar untuk ke bilik air. Kalau bergerak dengan isteri macam ini agak mudah kerana dia boleh memegang beg kuning saya yang yang sentiasa berisi alQuran yang memang sentiasa saya bawa ke mana-mana. Saya cuma berdoa supaya dapat masuk semula ke tempat semasa saya solat maghrib tadi. Alhamdulillah, saya dapat juga masuk semula ke tempat tadi.

            Selepas solat isyak dan solat jenazah kami terus balik ke hotel untuk makan malam dan bersiap-siap untuk bergerak ke Tanaem untuk berniat umrah jam 10 malam nanti. Hari ini perjalanan ke Tanaem agak lancar dan sampai lebih kurang 30 minit sahaja. Di masjid Tanaem kami beri masa sekitar 30 minit untuk bersiap-siap, berniat ihram untuk melakukan umrah, bersolat sunat dan berdoa. Kami balik semula ke hotel sekitar jam 11.45 malam. Saya dan isteri terus masuk bilik untuk tidur dan berehat. Selepas subuh nanti baru kami selesaikan kerja umrah kami.

Alhamdulillah selesai hari ke 28 di Mekah Al Mukarramah.
Mudah-mudahan solat subuh dan pekerjaan umrah saya dan isteri dipermudahkan, Insha Allah.




25 Ogos 2019

No comments:

Post a Comment