Pergerakan antara Arafah, Muzdalifah dan Mina sengaja saya kongsikan secara
berasingan kerana proses yang dilalui merupakan suatu proses yang panjang.
Banyak pengalaman yang dilalui yang saya rasa perlu saya kongsikan sebagai bab
berasingan supaya lebih jelas dan terperinci.
Setelah makluman untuk berkemas
diberikan maka kumpulan jemaah saya mulai berkemas-kemas sehingga dimaklumkan
untuk bergerak menaiki bas. Oleh kerana belum dipanggil maka kami hanya duduk ditempat
duduk kami. Semua jemaah telah diarahkan untuk sentiasa mengikut arahan dan
makluman daripada petugas TH.
Saya perhatikan sebahagian
daripada jemaah di tempat saya mulai bergerak ke arah tempat menunggu bas
walaupun belum diarahkan untuk berbuat demikian. Saya dan rakan-rakan hanya
duduk memerhatikan kerana belum ada arahan untuk bergerak.
Saya perhatikan pergerakan
jemaah semakin tidak terkawal. Masing-masing sudah bergerak ke arah tempat
menunggu bas walaupun ada di antaranya belum diarahkan. Saya dan kumpulan saya
akhirnya mula bergerak walaupun belum diarahkan kerana melihat jemaah sudah
mulai membentuk barisan yang panjang.
Tempat menunggu bas
disediakan 2 pintu utama untuk membentuk 2 barisan, iaitu barisan 1 dan barisan
2. Saya perhatikan ramai jemaah mengambi inisiatif sendiri untuk bergerak dan
membentuk barisan. Terdapat juga jemaah yang melompat dari barisan ke barisan mengikut
pergerakan. Kalau barisan 1 bergerak mereka akan melompat ke barisan 1.
Begitulah sebaliknya jika barisan 2 pula yang bergerak maka mereka akan
melompat semula ke barisan 2. Begitulah yang berlaku, walaupun dilakukan oleh
segelintir jemaah tetapi telah menyebabkan jemaah lain terpengaruh sama
mengikuti dan suasana menjadi semakin tidak terkawal, terutamanya di bahagian
hadapan barisan. Masing-masing berusaha untuk menaiki bas terlebih dahulu.
Jam sudah menunjukkan jam
12.53 malam. Semua jemaah berada dalam keadaan keletihan. Suasana menunggu
menjadi semakin tidak terkawal. Sudah tidak ada rasa hormat kepada jemaah yang
uzur, tua ataupun perempuan. Masing-masing berebut-rebut untuk menaiki bas.
Arahan petugas TH untuk menunggu arahan sebelum bergerak menaiki bas sudah
tidak dipedulikan.
Saya perhatikan ada juga
jemaah haji yang secara sukarela membantu petugas mengatur pergerakan jemaah
menaiki bas dalam barisan dan teratur. Sehingga jam 2.25 pagi kami masih belum
dapat menaiki bas. Jemaah mulai resah dan merungut. Ada yang mulai marah-marah,
sehingga menjerit ‘bodoh’ kepada petugas TH. Malah jemaah yang secara sukarela
membantu juga menjadi bahan kemarahan jemaah yang tidak sabar.
Sudah mula ada jemaah
mencadangkan itu dan ini, sedangkan arahan yang telah dibuat oleh TH tidak
dipedulikan sama sekali. Saya rasa kalau arahan petugas TH untuk naik bas
secara berperingkat dan ikut giliran pergerakan menaiki bas akan lancar dan
tidak banyak masalah. Seolah-olah khutbah Arafah dan ingatan yang diberikan
semasa di Arafah tidak memberi kesan sama sekali kepada tingkah laku dan
perangai.
Saya hanya memanjatkan doa
kepada Allah supaya diberi kesabaran dan kemudahan melalui kesusahan yang tidak
seberapa ini. Beberapa kali saya menegur jemaah yang marah-marah atau
menolak-nolak supaya bersabar dan sentiasa ingat Allah bahawa kita masih lagi
berihram. Alhamdulillah, cuma baiknya di sini bila kita menegur tidak ada
jemaah yang membantah atau marah. Amat menyedihkan sekali, oleh kerana
kesalahan diri sendiri yang tidak mengikut arahan petugas TH menyebabkan
permasalahan menaiki bas terjadi.
Saya turut bersimpati dengan
petugas TH yang bertungkus lumus menyediakan proses dan mengawal pergerakan
jemaah tetapi tidak dihormati oleh sebahagian jemaah. Agaknya inilah dugaan
yang Allah ingin tunjukkan siapa diri kita sebenarnya. Maha Suci Allah memberi
kebenaran untuk kami melalui kesusahan ini dan belajar daripadanya.
Setelah menunggu dalam
barisan selama lebih 4 jam akhirnya kami dapat menaiki bas dengan selamat.
Perjalanan ke Mina hanya memakan masa 15 minit sahaja dan kami sampai di Mina
sekitar jam 4.20 pagi. Sampai sahaja di Mina kami terus menuju ke khemah yang
telah disediakan. Bermula daripada turun bas, memunggah beg sehinggalah
bergerak ke khemah yang ditetapkan semuanya lancar dan mudah kerana kami
sentiasa mengikut arahan yang diberikan oleh petugas TH.
Ruangan di dalam khemah
yang disediakan adalah lebih kecil berbanding di Arafah iaitu 4 meter x 4
meter, yang perlu diisi oleh 19 orang, jemaah yang sama seperti di Arafah.
Dengan saiz yang lebih kecil kami perlu menyusun dengan lebih teliti,
takut-takut ada yang tidak mendapat tempat.
Pertambahan jumlah kuota jemaah
yang diberikan oleh kerajaan Saudi sebenarnya ada kelebihan dan juga
kekurangan. Dengan menambah kuota maka lebih ramai jemaah Malaysia boleh datang
mengerjakan haji. Kekurangannya pula, pertambahan yang diberi tidak disertai
oleh pertambahan khemah. Maka, dengan ukuran 4 meter x 4 meter untuk memuatkan
19 orang memang merupakan satu cabaran.
Oleh kerana pergerakan kami tidak
secara bersamaan maka kami terpaksa mencari mana-mana ruang kosong di dalam
khemah yang ditetapkan terlebih dahulu. Ini kerana sebahagian jemaah yang sudah
sampai lebih awal sebahagiannya telahpun tertidur, mungkin kerana keletihan.
Kami menyusun semula esok selepas sarapan pagi.
Setelah dapat mengemaskan beg-beg
saya pergi ke bilik air untuk bersuci dan menyegarkan badan sedikit untuk
bersiap-siap solat subuh. Alhamdulillah, selesai tugas di Arafah dan Muzdalifah
dan bermulalah kehidupan di Mina.
Mudah-mudahan hari-hari seterusnya di Mina lebih mudah dan lancar, Insha
Allah.
11 Ogos 2019
No comments:
Post a Comment