Alhamdulillah masih terjaga jam 3 pagi, terus kejutkan isteri untuk sama-sama bersiap ke
Masjidil Haram. Badan dan kaki masih terasa sengal dan letih. Tekak masih perit
dan batuk-batuk dengan kahak yang masih ada tetapi tetap kuatkan semangat untuk
bangun dan pergi masjid.
Kami bergerak
perlahan-lahan ke Masjidil Haram seperti biasa bersama ribuan jemaah lain.
Sesekali saya berhenti di tong sampah yang disediakan di tepi-tepi jalan untuk
membuang kahak. Bersyukur juga kerana walaupun batuk-batuk dan berkahak tetapi mudah
dikeluarkan.
Alhamdulillah dapat masuk
pintu Ajyad, minum air zamzam, dan terus mencari tempat untuk bersolat. Pagi
ini saya dapat duduk di bahagian beranda tingkat 1 betul-betul berhadapan
dengan Kaabah. Manakala isteri pula di bahagian belakang di atas karpet hijau.
Aktiviti rutin iktikaf dengan bersolat-solat sunat dan membaca alQuran. Sedikit
demi sedikit jemaah semakin ramai dan penuh.
Selepas solat subuh dan
solat jenazah saya dan isteri menyambung tawaf sunat yang belum selesai minggu
lepas. Pagi ini kami tambah lagi beberapa pusingan mengikut kekuatan kaki.
Alhamdulillah kami dapat menyambung 3 pusingan lagi dan masih berbaki 2
pusingan. Mudah-mudahan bila ada ruang dan kesempatan akan kami selesaikan baki
pusingan yang tertinggal.
Selepas selesai tawaf,
kami terus balik ke hotel untuk berehat sebentar. Pagi ini pada jam 8 pagi akan
ada taklimat daripada petugas TH berkenaan pergerakan ke Madinah Maktab 82 di
surau hotel Bakkah, di mana pejabat TH berada. Alhamdulillah saya dapat melelapkan
mata sebentar.
Tepat jam 8 pagi kami
sudah ada di surau hotel Bakkah untuk mendengarkan taklimat. Seperti biasa,
kehadiran jemaah Maktab 82 tidak penuh dan kehadiran jemaah secara sedikit demi
sedikit. Beberapa kali taklimat tersebut terganggu kerana ada antara jemaah
yang berbual-bual semasa mendengarkan taklimat, seolah-olah taklimat atas
taklimat.
Taklimat tersebut tidak lama kerana
hanya untuk menyampaikan maklumat-maklumat penting pergerakan jemaah ke Madinah
sahaja. Beberapa maklumat penting yang saya rekodkan supaya memudahkan urusan
saya dan tidak tertanya-tanya selepas ini:
1. Semua jemaah perlu menurunkan
beg-beg besar pada malam hari 29 Ogos di lobi hotel
2. Tawaf wada’ dilakukan pada 30 Ogos
selepas subuh mulai jam 5.30 pagi
3. Jemaah akan mula menaiki bas pada
jam 10 pagi secara berperingkat
4. Bas akan bergerak mulai jam 12
tengahari.
5. Semua kunci-kunci diserahkan di
lobi semasa menunggu untuk menaiki bas
6. Pastikan tidak ada barang yang
tertinggal
Habis taklimat saya dan isteri
berjalan-jalan di kedai-kedai berhampiran hotel untuk melihat-lihat
barang-barang jualan. Saya perhatikan ada kedai yang mulai menjual barang
jualan dengan harga potongan. Mungkin kerana sekarang ini jemaah semakin
berkurangan kerana sudah mula bergerak ke Madinah. Tak pasti seberapa murahnya
kerana saya dan isteri tidak berhasrat untuk membeli lagi. Jemaah perlu
pastikan adakah jualan murah tersebut benar-benar murah dan bukan pengurangan
harga setelah barang tersebut dinaikkan harga sebelum membeli.
Di lobi hotel ramai juga jemaah
yang masih lagi mengepos barang ke Malaysia. Kami masih ada 3 hari di Mekah
sebelum bergerak ke Madinah. Berbelanja di saat akhir begini kadang-kadang
menyebabkan jemaah membeli barang yang tidak perlu. Terutamanya apabila ada
keluarga atau sahabat mengirim sesuatu barang. Kadang-kadang ada baiknya tidak
mengirim apa-apa semasa jemaah berangkat mengerjakan haji kecuali mendoakan
kesejahteraan dan dipermudahkan sahaja lebih baik.
Naik bilik terus berehat
lagi. Sebelum itu saya mengambil panadol ‘soluble’ lagi untuk mengurangkan rasa
demam dan batuk. Saya bersyukur keadaan demam, batuk dan selsema ini tidak
datang semasa saya masih mengerjakan haji. Maha Suci Allah lagi Maha Penyayang,
sentiasa mempermudahkan kerja-kerja hambaNya.
Sekitar jam 11 pagi saya
terjaga dan terus bersiap untuk ke Masjidil Haram. Isteri hanya bersolat di
hotel. Saya gagahkan juga untuk pergi walaupun masih terasa demam, selsema dan
batuk. Berjalan perlahan-lahan dengan menutup kepala dengan sejadah akhirnya
sampai juga ke Masjidil Haram. Terus masuk melalui pintu Ajyad, minum air
zamzam dahulu sebelum mencari tempat bersolat. Alhamdulillah mudah mendapat
tempat bersolat di atas karpet hijau dan sangat selesa untuk bersolat-solat
sunat dan membaca alQuran.
Selesai solat zohor dan
solat jenazah saya terus berjalan balik ke hotel. Sesekali berhenti di tong
sampah di tepi jalan untuk membuang kahak. Sampai hotel terus mandi untuk
menghilangkan panas badan. Selepas makan tengahari saya terus tidur sementara
menungga waktu asar.
Solat asar di surau hotel
sahaja. Sebelum ke surau untuk asar saya mandi lagi sekali untuk mengurangkan
panas badan. Saya ambil panadol ‘soluble’ lagi untuk mengurangkan demam.
Selepas solat bersembang sebentar dengan jemaah-jemaah yang masih ada di surau.
Hari ini ada jemaah yang bercerita pasal jam tangan dia yang boleh melancarkan
perjalanan darah. Kami hanya mendengar tanpa banyak memberikan komen. Apatah
lagi dalam keadaan demam memang tak berdaya untuk bertanya-tanya, walaupun pada
pandangan saya keupayaan jam itu sesuatu yang menarik dan boleh dipersoalkan. Wallahuaklam.
Naik ke bilik terus
sambung berehat lagi. Terasa lapar pulak, dan saya memanaskan indomie cawan
sebagai alas perut sementara menunggu makan malam jam 6 petang nanti. Selepas
itu terus berbaring di atas katil untuk merehatkan badan.
Sekitar jam 6 saya
bersiap-siap untuk ke Masjidil Haram untuk berjamaah solat maghrib dan isyak.
Saya memaklumkan kepada isteri supaya jalan perlahan-lahan kerana badan saya
masih lemah kerana demam, selsema dan batuk-batuk. Alhamdulillah, laluan masuk
biasa Ajyad masih dibuka. Minum zamzam, isi botol-botol kecil dan terus dapat
tempat atas karpet hijau yang selesa. Aktiviti rutin iktikaf, bersolat-solat
sunat dan membaca alQuran.
Selepas solat maghrib dan
solat jenazah saya terus duduk di atas karpet hijau tersebut untuk terus
beriktikaf hinggalah isyak. Badan masih panas. Sekejap-sekejap baring atas
karpet merehatkan badan kerana jemaah belum ramai. Suara polis menjerit-jerit sudah
jarang-jarang kedengaran. Mungkin kerana kapasiti jemaah sekarang sangat
berkurangan kerana sebahagiannya sudah bergerak ke Madinah.
Selepas isyak dan solat
jenazah terus balik ke hotel untuk berehat dan makan malam. Jam 10 malam ini
dah daftar untuk ke Tanaem mengerjakan umrah sunat. Selepas makan malam terus
makan panadol ‘soluble’ lagi dan mandi untuk mengurangkan panas badan.
Bersiap-siap untuk ke Tanaem.
Perjalanan pergi dan balik dari
Tanaem lancar dan agak ketara kepadatan jemaah yang semakin berkurangan. Sampai
Masjidil Haram terus selesaikan umrah sunat. Kali ini saya dan isteri terpaksa
menyewa skuter kerana badan saya masih demam dan tak berdaya untuk berjalan
jauh. Kami bayar SR200 untuk 1 skuter untuk digunakan semasa tawaf dan juga
saei hinggalah selesai umrah. Tempoh berskuter lebih kurang sama dengan
berjalan kerana ia melalui lingkaran pusingan yang paling jauh daripada Kaabah,
iaitu di laluan skuter yang terpisah daripada yang berjalan kaki. Alhamdulillah
selesai umrah sunat sekitar jam 2 pagi.
Kami terus balik ke hotel untuk
berehat dan tidur. Sesekali saya terpaksa membuang kahak di tong sampah yang
diletakkan di sepanjang jalan. Sebelum naik ke hotel kami singgah ke restoran
berdekatan hotel untuk membeli ayam schwarma kerana berasa lapar. Selepas mandi
saya makan lagi panadol ‘soluble’ dan terus tidur.
Alhamdulillah selesai Hari 31 di Mekah Al Mukarramah. Mudah-mudahan esok
hari akan lebih menyegarkan, Insha Allah.
28 Ogos 2019
No comments:
Post a Comment