Alhamdulillah pagi ini terjaga seperti biasa jam 2.30 pagi. Badan semakin segar dan
mudah-mudahan terus sembuh. Terus kejutkan isteri untuk bersiap-siap. Saya
mengambil panadol lagi pagi ini dengan doa supaya sembuh dari demam dan sedia
untuk bergerak ke Arafah mengerjakan wukuf.
Jam 3.15 mula gerak ke Masjidil
Haram bersama ribuan jemaah yang sudah pun sesak di jalan. Masjid juga telah
sesak dengan jemaah. Kebanyakan pintu masuk telahpun sesak dan ada yang telah
ditutup. Oleh kerana agak sesak, pagi ini isteri ingin bersolat di dataran jam
sahaja. Kami berjanji untuk bertemu selepas solat di depan pintu Ismail.
Selepas itu saya terus bergerak masuk ke masjid dan terus ke tingkat bumbung
kerana pintu-pintu Ajyad telahpun ditutup.
Di sini kalau ingin berjanji untuk
berjumpa perlu memikirkan tempat yang mudah dituju, dilihat daripada jauh dan
kalau boleh bukan tempat yang menjadi tumpuan jemaah untuk duduk beriktikaf. Sama
seperti semasa saya berjanji dan berjumpa dengan kawan sekampung beberapa hari
yang lepas, tandas adalah mudah dilihat daripada jauh kerana tulisan nombor
yang besar. Selain itu, tandas biasanya bukan merupakan tempat jemaah duduk
atau beriktikaf dan memudahkan kita untuk berjumpa.
Pagi ini bersolat dibumbung
tidaklah terlalu banyak masalah kerana biasanya merupakan pilihan terakhir
jemaah-jemaah untuk beriktikaf dan bersolat. Ada baiknya pada ketika sesak
begini kita bawa sejadah sendiri untuk dijadikan alas sekiranya tidak dapat
bersolat di tingkat selain daripada tingkat dataran Kaabah, tingkat 1, tingkat
2 dan tingkat 3, kerana tingkat bumbung agak cepat berhabuk, walapun kerap
dibasuh dan dicuci oleh pekerja.
Perihal mencari tempat beriktikaf
dan bersolat di dalam masjid semasa sesak macam ini pun perlu ‘kaedah’ dan cara
yang efektif. Setakat ini apa yang saya dan isteri lakukan berkesan. Memang
Allah permudahkan jika kita sentiasa ikhlas.
Cara yang paling mudah supaya
tempat duduk iktikaf dan solat kita tidak terganggu ialah dengan sentiasa
mengikut arahan yang diberikan oleh petugas masjid. Pastikan kita tidak duduk
dan bersolat di luar daripada kawasan yang dikepung dengan menggunakan tali,
kun atau penghadang sementara. Lingkaran tali, kun dan penghadang sementara
berkenaan sebenarnya akan diganjakkan sedikit demi sedikit mengikut keadaan
kesesakan jemaah yang memenuhi masjid. Kawasan terakhir yang dibenarkan untuk
bersolat ialah laluan tawaf dan laluan keluar masuk jemaah, yang hanya akan
dibuka apabila solat jamaah fardhu akan dimulai.
Selain daripada itu, termasuklah
solat jenazah, kawasan ini merupakan kawasan larangan untuk duduk, beriktikaf
dan bersolat, walaupun terdapat juga jemaah yang duduk di situ. Sebab itu
sepanjang masa kita akan mendengar polis masjid menjerit dan mengarahkan jemaah
untuk beredar kerana tidak mengikuti peraturan yang ditetapkan.
Pagi ini selepas mendapat tempat
saya meneruskan dengan aktiviti rutin seperti beriktikaf, solat-solat sunat,
dan membaca alQuran sambil menunggu solat subuh. Selepas solat subuh saya terus
gerak keluar untuk jumpa dengan geng Bandung sekejap, Hj Khalid. Selepas
bertanya khabar dan bersembang ringkas saya dan isteri terus balik hotel. Kami
singgah restoran Arab untuk beli schwarma dan burger untuk sarapan pagi. Badan
masih belum segar sepenuhnya. Masih terasa ‘dedar’ dan sedikit lemah. Selepas
sarapan saya terus makan panadol dan terus berehat.
Pagi ini ada taklimat pergerakan jemaah ke
Arafah. Oleh kerana masih tak berapa sihat saya cuma meminta bantuan rakan
sebilik, selain isteri saya untuk berkongsi maklumat selepas balik. Sekitar jam
10 pagi saya dan isteri terus ke pejabat TH untuk melakukan ibadah Qurban berwakilkan
TH dengan membayar SR490 seorang sebagai harga seekor kambing.
Ada jemaah yang melakukan ibadah
Qurban tidak melalui TH, tetapi berhubungan langsung dengan orang Arab yang
memberikan perkhidmatan Qurban, dan difahamkan sedikit murah. Ini merupakan
persediaan awal sebelum bergerak ke Arafah kerana jika ingin melakukannya
setelah bergerak ke Arafah mungkin keadaan akan sibuk dan takut-takut terlupa.
Hari ini solat zohor hanya di
Masjid Bukit sahaja tetapi agak terlambat. Masjid telahpun penuh dengan jemaah.
Saya tidak sempat untuk melakukan solat-solat sunat atau membaca alQuran kerana
masa terlalu singkat. Ruangan tempat duduk saya pun terlalu sempit dan tidak
berapa selesa, hanya cukup untuk bersolat, rukuk dan bersujud. Saya anggap ia
sebagai ‘denda’ kepada orang yang datang lambat ke masjid.
Selesai solat zohor terus balik
hotel. Singgah ke kedai untuk membeli bekas air plastik 5 liter untuk dibawa ke
Arafah. Hari ini lif untuk naik ke bilik agak sesak kerana ramai jemaah turun
naik membeli persiapan yang perlu untuk dibawa ke Arafah, Muzdalifah dan Mina
menyebabkan keadaan agak sesak dan masa menunggu menjadi lebih lama.
Hotel Amjad ini agak kecil sedikit
dan mempunyai sekitar 900 jemaah sahaja berbanding hotel di mana pejabat TH
berada yang lebih besar dan menampung lebih kurang 3000 jemaah. Di hotel
berkenaan, tempoh masa menunggu lif sewaktu puncak seperti sekitar waktu solat
fardhu, waktu makan tengahari dan waktu makan malam, selama setengah jam
merupakan tempoh masa yang biasa. Dengan jumlah lif yang terhad kesabaran
jemaah untuk menunggu giliran memang teruji.
Saya juga membuat persiapan dengan
membasuh pakaian yang perlu dibawa ke Arafah supaya semuanya kemas dan bersih. Hari
ini solat asar di surau hotel sahaja. Selepas balik solat asar terus balik
bilik, makan panadol dan ubat batuk sambil mengemas barang-barang untuk dibawa
ke Arafah, Muzdalifah dan Mina. Daripada taklimat yang diberi dicadangkan
supaya setiap jemaah membawa kain ihram tambahan, keperluan ‘toiletries’
secukupnya untuk beberapa hari. Saya sediakan kain ihram yang akan saya pakai
semasa di Arafah, dan kain ihram tambahan pelikat yang tidak berjahit sebagai
‘basahan’ yang akan saya gunakan semasa ke bilik air dan semasa tidur.
Selepas itu tidur sekejap sambil
tunggu maghrib. Solat maghrib pun masih di surau hotel kerana masih kurang
sihat dan batuk-batuk. Sekarang ini saya mula mengenakan topeng mulut untuk
mengelakkan jangkitan kepada jemaah lain.
Solat isyak masih di surau hotel
dan makan malam pun di bilik sahaja. Malam ini saya hanya makan kurma dan air
zamzam sahaja sebagai makan malam kerana tidak berapa selera nak makan. Selepas
itu ambil panadol dan ubat batuk sekali dan terus siap-siap untuk tidur.
Alhamdulillah selesai Hari 10 di Mekah al Mukarramah.
Mudah-mudahan esok pagi badan lebih segar daripada demam dan batuk.
No comments:
Post a Comment