Alhamdulillah pagi ini terbangun seperti biasa jam 2.30 pagi dan terus mengejut isteri
saya di bilik sebelah. Suasana di dalam bilik juga mulai sibuk dengan
masing-masing bersiap untuk bersolat subuh di Masjidil Haram. Walaupun kami
hanya tidur lebih kurang 3 jam sahaja, namun kami masih terasa ringan dan mudah
untuk bangun dan bersedia untuk ke Masjidil Haram. Dengan izin Allah, setelah
beberapa hari dilalui secara perlahan-lahan menjadi kebiasaan yang mudah. Syukur
Alhamdulillah sentiasa dipermudahkan.
Bergerak dengan isteri
perlahan-lahan menuju Masjidil Haram bersama ribuan jemaah yang sudahpun
membanjiri jalan-jalan ke Masjidil Haram. Pengalaman berjalan beramai-ramai ke
arah satu tujuan masjid waktu pagi memang sentiasa menyeronokkan. Suasana
syahdu dan indah lebih-lebih lagi apabila memasuki kawasan masjid, terutamanya
di kawasan bersolat. Kami masuk masjid melalui pintu biasa, Ajyad dan menyimpan
selipar di tempat yang disediakan.
Pagi ini agak terkilan
kerana isteri saya telah diarahkan oleh polis masjid untuk berpindah kerana
bukan beriktikaf di tempat yang dibenarkan. Walaupun ratusan jemaah sudah
berada di situ dan duduk beriktikaf, oleh kerana kawasan berkenaan merupakan
kawasan bertawaf maka semua jemaah diarahkan berpindah ke tempat lain. Tempat
saya duduk terkecuali kerana saya berada di dalam kawasan bertali. Mungkin lain
kali saya perlu memastikan tempat duduk iktikaf isteri saya selesai dulu
barulah saya mencari tempat saya pula. Namun saya yakin isteri saya akan
sentiasa dipermudahkan dan mampu untuk mencari tempat lain yang mungkin lebih
selesa.
Aktiviti rutin saya
teruskan dengan solat-solat sunat dan membaca alQuran sambil menunggu waktu
subuh. Waktu itu saya perhatikan ada seorang jemaah yang terpaksa keluar
sebentar daripada tempat duduk dia mungkin untuk pergi minum air zamzam.
Setelah itu ada seorang jemaah terus masuk di tempat duduk tersebut walaupun
telah ada sejadah dan bungkusan barang jemaah yang keluar tadi. Bila jemaah
tadi kembali semula ke tempat duduk didapati telah ada jemaah yang duduk di
atas sejadah beliau. Tanpa banyak bertanya jemaah tersebut hanya mengambil
sejadah dan bungkusan barangan beliau dan bergerak mencari tempat lain. Jemaah
yang mengambil tempat duduk beliau hanya diam dan terus duduk. Dalam keadaan
yang sesak dengan jemaah saya doakan supaya jemaah tadi dapat mencari tempat
bersolat yang baru yang lebih selesa dan nyaman.
Tempat-tempat solat di
dalam Masjidil Haram ada beberapa kategori. Kategori pertama ialah kawasan
berkarpet sepanjang masa dan tidak akan diganggu oleh polis masjid. Kategori
kedua ialah selain daripada kawasan yang tidak berkarpet, yang biasanya
merupakan kawasan kosong yang menjadi laluan jemaah ataupun laluan tawaf, termasuklah
di dataran Kaabah. Kategori yang kedua ini biasanya dibenarkan untuk bersolat
berperingkat-peringkat. Mula-mula akan dibenarkan untuk duduk di bahagian yang
tidak terlalu mengganggu pergerakan tawaf dan keluar masuk jemaah. Kawasan ini
akan dibuka lebih besar perlahan-lahan apabila jemaah semakin ramai sehinggalah
dilaungkan azan dan iqamah. Dan kawasan ini akan diarahkan untuk dikosongkan
segera sebaik sahaja solat selesai.
Kadang-kadang terdapat
juga jemaah yang marah-marah kepada polis masjid kerana tidak membenarkan
mereka duduk di kawasan berkenaan dan mengarahkan mereka berpindah. Pada
pandangan jemaah setiap sudut dan ruang Masjidil Haram adalah untuk jemaah
bersolat. Akan tetapi mereka tidak faham jika tidak dikawal sedemikian pergerakan
jemaah keluar masuk dan beriktikaf akan menjadi huru hara dan tidak terkawal.
Tak dapat saya bayangkan di Padang Mahsyar nanti bagaimana keadaan manusia yang
sentiasa berebut-rebut.
Sebagai contoh jemaah yang
mengambil tempat duduk jemaah lain tadi. Sekarang ini saya perhatikan dia cuba
melompat ke depan pula untuk menyelit di celah-celah jemaah lain. Kadang-kadang
terasa geram juga dengan tingkah laku jemaah yang sedemikian yang hanya
mementingkan diri sendiri. Pada saya pergerakan ke depan sedikit demi sedikit
bagus sekiranya tidak mengambil tempat orang lain. Namun, benar seperti yang
Allah kata, jangan mudah berburuk sangka. Jemaah yang melompat ke depan itu
sebenarnya ingin mendapatkan kerusi untuk duduk, mungkin kerana kakinya tidak
boleh lama duduk di lantai. Saya telah berburuk sangka. Subhanallah.
Membaca alQuran di sini
tidak ada masalah langsung. Kitab alQuran diletakkan di merata-rata tempat di
dalam Masjidil Haram. Bermula dari mengambil sehinggalah memulangkan semula ke
rak, kita hanya perlu mencuit atau memberitahu jemaah yang berhampiran dengan
rak untuk membantu. Kita tak perlu melangkah, kerana semua jemaah sentiasa
berusaha untuk membantu. Apatah lagi di Masjidil Haram yang setiap pekerjaan
baik diberikan ganjaran 100 ribu kali ganda. Maha Pemurah Allah
Subhanahuwataala.
Dalam kesesakan jemaah
menunggu solat isyak saya rasa bertuah kerana diberikan badan yang kecil.
Apabila saf jemaah sesak begini kita perlu belajar mengecilkan diri,
berhimpit-himpit semasa bersolat. Dengan mengecilkan badan dan meminimumkan
pergerakan badan maka saya boleh rukuk dan sujud walaupun dalam ruangan yang
sangat terbatas.
Bagi sesiapa yang sentiasa
memerlukan ruang sujud yang besar mereka sudah perlu untuk belajar meminimumkan
ruangan sujud tersebut. Lebih-lebih lagi kepada jemaah yang sentiasa bersolat
dengan kangkangan yang lebar mereka akan menghadapi masalah sekiranya tidak
mampu mengubah mengikut keadaan. Ruang solat di dalam Masjidil Haram ketika ini
adalah amat terbatas dan kadang kala sempit.
Begitu juga dengan cara duduk
tasyahud akhir. Bagi jemaah di Malaysia yang diajar secara bersimpuh dengan
menyilangkan kaki kiri di bawah peha kaki kanan, perlu menyesuaikan diri
mengikut keadaan semasa bersolat. Dalam keadaan yang berhimpit-himpit semasa
solat, cara duduk sedemikian memang sukar. Kerap kali saya mengubahsuai cara
duduk tasyahud akhir mengikut cara jemaah di sini yang rata-rata sama seperti
duduk tasyahud awal.
Selesai solat subuh dan solat jenazah
saya dan isteri bergerak perlahan-lahan mengikut arus pergerakan jemaah untuk
keluar masjid. Semasa bergerak keluar saya singgah di station air zamzam untuk
menghilangkan dahaga. Pagi ini agak kurang bernasib baik kerana terpaksa
menunggu jemaah memenuhkan air zamzam ke dalam botol-botol besar. Mengisi air
zamzam menggunakan botol besar sebaiknya dilakukan semasa hentian air zamzam
berkenaan tidak terlalu ramai. Jika diisi semasa dalam keadaan puncak seperti
selepas selesai solat maka bole menyebabkan jemaah lain menunggu.
Setelah keluar saya dan isteri
terus bergerak ke menara Safwah untuk bersarapan di restoran DSaji dengan
rakan-rakan sebilik sahaja. Cadangan untuk bersarapan dengan jiran di tempat
tinggal JB ditunda kerana isterinya kurang sihat.
Restoran DSaji memang sentiasa
menjadi tumpuan jemaah terutamanya jemaah Malaysia kerana ada menyediakan
sarapan ala Malaysia. Pada saya makanan di restoran ini tidaklah sesedap
seperti yang disebut-sebut. Saya dan isteri membeli pek mee hoon, telur rebus
yang digoreng, sambal dan timun dengan harga SR16. Agak mahal kalau untuk
bersarapan setiap pagi di sini, kerana kari kambing dengan roti gandum arab
yang selalu saya beli Cuma SR12 sahaja. Cuma saya boleh katakan teh tarik yang
dijual agak sedap dan menyelerakan.
Selepas sarapan terus bergerak
balik ke hotel. Pemandangan biasa, sepanjang perjalanan balik terlihat syarikat
dan individu bersedekah kepada jemaah yang sedang berjalan balik. Air mineral,
roti, buah-buahan merupakan sedekah yang biasa diberikan.
Balik hotel badan mula
terasa seperti nak demam. Tekak mula rasa perit dan badan rasa seram sejuk.
Saya terus mengambil panadol ‘soluble’ 2 biji dan terus tidur. Solat zohor
hanya di surau hotel sahaja. Badan masih terasa seperti nak demam.
Surau hotel sentiasa penuh
dan saya hanya dapat berjamaah untuk pusingan yang kedua. Selepas solat zohor
terus ambil pek makan tengahari dan makan di dalam bilik dengan rakan sebilik.
Selepas itu makan panadol ‘soluble’ 2 biji sambil menunggu asar. Solat asar pun
masih dihotel. Harap-harap badan boleh segar sikit supaya dapat solat maghrib
dan isyak di Masjidil Haram.
Oleh kerana badan masih
terasa demam saya hanya bersolat maghrib dan isyak di surau hotel sahaja. Saya
dapati solat di surau hotel pun penuh dan kerap dibuat 2 pusingan. Ada juga
jemaah yang sentiasa bersolat di Masjidil Haram sepanjang masa. Saya sangat
menghormati kekuatan yang dimiliki. Selesai solat isyak saya terus mengambil
pek makan malam dan makan di dalam bilik. Selepas makan terus ambil lagi 2
panadol ‘soluble’ dan siap-siap untuk tidur. “Ya Allah sembuhkanlah demam yang
aku alami supaya dapat mengerjakan ibadah tanpa banyak masalah.” Itulah antara
doa yang saya panjatkan sebelum tidur.
Alhamdulillah selesai Hari 7 di Mekah al Mukarramah.
4 Ogos 2019
No comments:
Post a Comment