Wednesday, 22 April 2020

HARI 16 HARI KEDUA DI MINA


Alhamdulillah pagi ini dapat bangun sekitar jam 4.30 pagi. Jam sebegini sudah dikira lambat dan terlepas jamaah di surau. Mungkin kerana keletihan balik daripada melontar Jamrah Qubra malam tadi. Selain itu malam tadi merupakan malam pertama kami semua tidur dalam keadaan sempit dan terhad. Tidur pun tidak lena kerana perlu membengkokkan kaki kerana ruangan yang kecil. Kerap terjaga sepanjang malam membetulkan cara tidur.

            Di luar khemah saya dapati ada beberapa orang jemaah yang tidur di kaki lima khemah. Karpet plastik hijau TH menjadi pengalas. Mungkin mereka tidak mendapat tempat untuk tidur ataupun memang sengaja tidur di kaki lima tersebut kerana lebih selesa. Kalau diperhatikan memang selesa sedikit kerana boleh tidur dengan meluruskan badan.

            Saya terus ke bilik air untuk menyucikan diri, gosok gigi, membuang air dan berwudhuk. Barisan jemaah yang menunggu bilik air telahpun panjang, lebih-lebih lagi bilik air jemaah perempuan. Isteri saya memaklumkan masa menunggu pagi ini lebih daripada 1 jam. Saya pula hanya menggunakan mangkuk tandas berdiri sahaja untuk lebih cepat. Selepas berwudhuk terus balik ke khemah dan bersolat subuh. Saya lihat masih ramai yang masih tidur keletihan.

            ramai juga jemaah yang bergosok gigi dan berwudhuk di lorong-lorong khemah kerana tidak tahan untuk menunggu giliran di bilik air. Lebih-lebih lagi apabila jemaah daripada Indonesia juga ‘menumpang’ untuk menggunakan bilik air di maktab kami. Keadaan di lorong khemah menjadi basah dan berair. Ada juga yang menggosok gigi dan berwudhuk terus ke dalam tong sampah. Terdapat juga rambut-rambut jemaah yang dicukur malam tadi bertaburan di lorong-lorong khemah. Keadaan ini menyebabkan laluan di lorong-lorong khemah menjadi basah, berair dan tidak menarik.

            Pagi ini saya jalan-jalan keluar sekitar maktab untuk melihat-lihat keadaan sekeliling. Laluan menuju ke Jamrah seperti biasa memang sentiasa penuh. Pergi ke warung untuk merasa teh susu dan kopi susu. Harga agak mahal sekarang ini kerana musim haji. Semasa beratur membeli teh dan kopi tersebut ramai jemaah yang tidak beratur dan memotong barisan. Tanpa mengira negara mana, jemaah lelaki atau perempuan,  ramai yang tidak beratur mengikut giliran semasa membeli.

            Di luar khemah terdapat longgokan sampah yang banyak, terutamanya botol-botol mineral kosong yang dibuang di atas jalan. Tong-tong sampah memang tersedia, tetapi jika semua jemaah lebih bertanggungjawab membuang di tong sampah maka keadaan kebersihan lebih terjaga.

            Selepas menghirup udara luar waktu pagi saya masuk semula ke khemah untuk bersarapan. Jemaah yang telah dijadualkan melontar pagi ini telahpun berkumpul di hadapan khemah. Saya mengambil peluang untuk berehat sebentar dengan membaringkan badan dan meluruskan kaki sementara jemaah lain sedang bersiar-siar di luar. Dapatlah melelapkan mata sebentar sambil mengumpul tenaga untuk kerja-kerja melontar malam ini.

            Sekitar jam 10 pagi saya bersiap-siap untuk solat zohor pula. Bangun terus ke bilik air untuk mandi dan mengemas diri. Seperti biasa saya hanya menggunakan mangkuk tandas berdiri untuk lebih cepat kerana barisan jemaah yang menunggu sudah panjang. Mungkin boleh difikirkan sekiranya tidak bercanggah dengan agama supaya disediakan khemah penginapan yang lebih selesa, penyaman udara, terutamanya kemudahan bilik air yang lebih banyak supaya jemaah berasa lebih selesa untuk beribadah.

            Pagi ini agak terkilan kerana saya telah melakukan kesilapan. Semasa saya mengambil wudhuk ada jemaah yang membantu saya memegang hos paip untuk saya. Akan tetapi selepas selesai mengambil wudhuk saya terus berjalan tanpa membantu jemaah itu pula untuk berwudhuk. Setelah sampai di khemah baharulah saya tersedar. Subhanallah…mungkin itu merupakan kebiasaan peribadi saya yang sepatutnya saya buang jauh-jauh.

            Setakat ini aktiviti di Mina selain daripada yang utama melontar, kami hanya melakukan solat waktu berjamaah, wirid dan membaca alQuran, makan, bersembang dan bersiar-siar di luar khemah menikmati pemandangan. Jemaah yang memang merokok akan mencari sudut-sudut tertentu untuk merokok.

Biasanya apabila berada di dalam khemah kami akan bersembang-sembang, berkongsi makanan dan ada yang membantu mengurut-urut kaki atau badan rakan jemaah yang lain. Cuma ruginya, kadang-kadang bila bersembang-sembang aktiviti mengaji alQuran jadi tersekat-sekat.

            Sambil menunggu waktu zohor diedarkan ‘indomie cup’, air kotak, limau dan epal untuk hidangan jemaah. Buah-buahan terutamanya epal sangat banyak dibekalkan sehingga saya terpaksa menyimpan yang belum dimakan ke dalam beg plastik. Saya sendiri masih lagi selsema dan batuk-batuk. Memang agak kurang selesa bila selsema dan batuk-batuk, terutamanya bila perlu membuang kahak. Bila makan ubat badan berasa letih, mengantuk, malas, dan berasa untuk tidur sahaja.

            Jadual melontar kumpulan saya adalah jam 7.30 malam ini. Semua jemaah hanya berehat sambil menunggu waktu untuk mengerjakan ibadah melontar. Pagi ini hujan lebat di Mina. Angin yang kuat menyebabkan khemah kami tempias dimasukki air. Karpet tempat kami tidur di petak 67L habis dibasahi air. Semua jemaah sibuk mengemaskan barang-barang dan beg-beg jemaah kerana air daripada luar mengalir masuk. Akan tetapi ada juga antara jemaah yang hanya berbaring sambil melihat sahaja jemaah lain yang sibuk memindahkan barang. Sepatutnya semua saling membantu supaya mudah ditangani.

            Kawasan petak saya habis dibasahi air yang mengalir masuk. Kami mengeluarkan karpet yang telah basah dan menyidaikan di luar khemah. Alhamdulillah dengan kerjasama rakan jemaah di petak saya dapat mengemaskan semula petak yang telah dibasahi air.

Saya dan rakan jemaah petak saya pula sibuk mengemaskan tempat tidur yang hanya berlantaikan jubin khemah kerana karpet telah basah. Alhamdulillah, karpet plastik hijau TH masih ada untuk dijadikan alas dan tidak basah dan 2 set kain ihram yang boleh dijadikan alas. Namun, dengan rasa sedih di dalam hati saya mengambil kain ihram saya dan ‘meminta maaf’ untuk dijadikan alas untuk tidur. Kain ihram yang saya gunakan berhari-hari, telah berkhidmat kepada saya semasa melakukan ibadah terpaksa saya jadikan alas tidur, yang sudah pasti akan kotor.

            Ibadah melontar ditunda sedikit kerana jemaah terlalu padat di jamrah akibat hujan lebat petang tadi. Jadual asal pada jam 7.30 dianjakkan kepada jam 9.30 malam. Kadang-kadang bila tengok jemaah yang membawa kasut sukan dan stokin rasa rugi pula saya tak bawa. Mungkin semasa kursus haji atau taklimat jemaah haji boleh dimaklumkan supaya jemaah boleh merancang untuk membawanya. Saya hanya memakai selipar jepun, selipar yang saya gunakan sejak berada di Mekah lagi.

            Hari ini 11 Zulhijjah dan jemaah akan melakukan ketiga-tiga lontaran jamrah. Perjalanan sejauh 7.5 kilometer pergi dan balik memang dijangka agak meletihkan. Namun, dengan berjalan bersama ribuan jemaah menjadi tidak terasa. Laluan eskalator di sebahagian laluan di dalam terowong sedikit sebanyak dapat mengurangkan kepenatan.

           
Sepanjang perjalanan malam ini kelihatan sampah yang dibuang oleh jemaah, terutamanya kawasan yang berdekatan dengan tempat melontar. Tong-tong sampah ada disediakan. Pekerja kebersihan pun ramai kelihatan. Akan tetapi pekerja ini lebih kerap menunggu jemaah memberikan sedekah berbanding memastikan kawasan jagaan mereka bersih. Pada pandangan saya, bukan sahaja prosedur kerja pekerja kebersihan ini sudah perlu disemak semula supaya lebih terstruktur cara kerja, tetapi juga sikap jemaah yang perlu menghayati kebersihan supaya sentiasa terjaga.
           
            Satu lagi kemudahan yang saya rasa perlu difikirkan ialah kemudahan kecil bilik air dan tempat mengambil wudhuk disepanjang laluan ke dan balik daripada melontar. Bilik air ada disediakan di permulaan dan di akhir laluan perjalanan. Alhamdulillah, setakat ini saya tidak menghadapi masalah untuk membuang air.  Tak boleh dibayangkan sekiranya saya ingin membuang air di tengah-tengah perjalanan pergi ataupun balik ke khemah penginapan.

            Setibanya di tempat lontaran, saya dan isteri berjaya melakukan ketiga-tiga lontaran tanpa sebarang masalah. Cuma ada segelintir jemaah yang menolak-nolak untuk melakukan lontaran. Sikap ini sebenarnya boleh mendatangkan masalah kepada jemaah yang lain, terutamanya kepada jemaah yang menolak-nolak secara berkumpulan.

            Saya dimaklumkan bahawa tempat lontaran mempunyai 4 tingkat yang boleh memuatkan jutaan jemaah untuk melontar dalam satu-satu masa. Pada ketika saya melontar hanya tingkat yang ketiga sahaja dibuka untuk lontaran. Alhamdulillah, kemudahan yang disediakan boleh dikategorikan sebagai sangat baik.

            Terdapat juga jemaah yang melakukan lontaran daripada jarak yang jauh. Kadang-kadang ada antara lontaran tersebut tidak masuk ke dalam kawah yang disediakan. Syarat lontaran pula perlulah jatuh dan masuk ke dalam kawah yang disediakan. Mudah-mudahan semua lontaran yang dilakukan dikira dan diterima, insha Allah.

            Setelah selesai melaksanakan ibadah melontar dan berdoa saya dan isteri terus bergerak balik perlahan-lahan bersama-sama dengan jemaah yang lainnya. Sesekali berhenti di tepi laluan untuk meminum air daripada mesin yang disediakan sambil menghilangkan penat. Alhamdulillah jam 11.30 malam kami sampai di khemah penginapan.

            Selepas berehat sebentar saya terus membersihkan diri, mandi dan gosok gigi untuk bersiap tidur. Walaupun keletihan, tetapi kaki saya hari ini tidaklah terlalu penat, tidak seperti pada hari pertama. Sebahagian jemaah yang telah selesai terlebih dahulu pun sudah ada yang tidur. Sekitar jam 12.11 malam saya sudahpun berbaring untuk tidur.

Alhamdulillah selesai Hari 16 di Mina.


13 Ogos 2019

No comments:

Post a Comment