Hari ini merupakan hari ke 24 saya dan isteri berkelana di bumi Mekah al
Mukarramah. Seperti biasa masih lagi mampu terjaga sekitar jam 2.40 pagi, terus
kejutkan isteri untuk sama-sama bersiap. Saya dan rakan-rakan sebilik berganti-ganti
menggunakan bilik air. Kami semua dah bersetuju untuk saling memastikan
penggunaan bilik air dilakukan dalam waktu yang singkat. Kecuali kalau memang
keadaan sangat memerlukan seperti buang air besar dan sebagainya. Setakat ini
kerjasama kami berjalan lancar tidak ada masalah langsung, kerana semua saling
memahami.
Sekitar jam 3.30 pagi saya
dan isteri bergerak perlahan-lahan macam biasa bersama ribuan jemaah menuju
Masjidil Haram. Pagi ini saya dan isteri masuk melalui pintu King Abdul Aziz,
iaitu pintu utama memasuki Masjidil Haram. Seperti biasa, kami terus masuk
mengikut aliran jemaah sehinggalah masing-masing mendapat tempat kosong untuk
bersolat.
Pemandangan biasa, polis
masih lagi menjerit dan mengarahkan jemaah untuk lebih teratur dan mengikut
arahan. Kesalahan-kesalahan yang sentiasa berulang dilakukan oleh jemaah iaitu
duduk iktikaf di laluan keluar masuk jemaah atau laluan tawaf, atau mana-mana
tempat yang tidak dibenarkan, dan ada juga suami suami yang duduk bersama
isteri atau sebaliknya. Mudah-mudahan ini dapat diperbaiki oleh jemaah-jemaah
yang akan datang supaya tugas petugas polis menjadi lebih mudah.
Pengalaman memerhatikan
gelagat manusia semasa di Mekah, Arafah, Muzdalifah dan Mina mengajar saya erti
sabar dan redha. Gelagat manusia antaranya yang tolak menolak, tidak sabar,
tidak menjaga kebersihan, tidak mengikut peraturan dan arahan, dan seumpamanya
memang memerlukan perhatian yang khusus. Semua jemaah yang datang ke sini
semuanya dengan tujuan untuk beribadah kepada Allah, tetapi masih ada di
antaranya berperilaku sedemikian. Tak boleh dibayangkan di akhirat bagaimana
perilaku manusia nanti di mana kita akan dikumpulkan bukan untuk beribadah,
tetapi untuk dihisab. Ya Allah…lindungilah kami dari azabMu.
Tempat duduk saya pagi ini
terlindung daripada pandangan ke arah Kaabah. Tapi itu sahaja tempat kosong
yang selesa yang saya dapat. Aktiviti rutin beriktikaf saya berjalan seperti
biasa, bersolat-solat sunat dan membaca alQuran. Jam 3.45 pagi azan pertama dilaungkan.
Alhamdulilllah di tempat saya bersolat ini tidak berlaku jemaah yang melompat
sana melompat sini, melangkah sana melangkah sini, semuanya tertib di tempat
masing-masing beribadah. Malah tong air zamzam pun bersebelahan dengan saya,
dan tidak ramai jemaah yang datang mengambil air.
Bila duduk lama macam ini
terus teringat Hajjah Halijah dan Haji Zainal. Kepakaran mereka dalam sains
sukan. Mungkin mereka boleh membantu TH dalam memberikan praktikal kemahiran
duduk dalam di atas lantai, dan apakah cara-cara yang terbaik untuk memastikan
kaki dan badan tidak terlalu keletihan. Dalam kursus haji boleh sahaja
dimasukkan sebagai salah satu komponen kemahiran yang boleh dipelajari oleh
bakal-bakal jemaah haji. Besar pahala Allah berikan.
Habis solat subuh dan
jenazah kami singgah sebentar untuk mencari jubah yang ada ‘hood’ untuk anak.
Di sini dipanggil ‘Moroccan Style’ dan bentuknya agak lebar berbanding jubah
biasa, tetapi pendek sedikit dari segi panjang. Selepas itu balik sarapan di
hotel sahaja.
Sarapan dengan isteri di
hadapan bilik yang berkarpet dengan sandwich roti butter dan teh O panas. Ramai
juga jemaah yang bersarapan di lorong berkenaan. Jadi meriah dan seronok.
Selepas bersarapan saya ambil kesempatan untuk berehat dan tidur sebentar sambil
menunggu waktu zohor.
Bangun sekitar jam 10.20
pagi. Selepas solat dhuha saya turun berehat-rehat pula di kerusi di lobi
hotel. Lobi hotel sentiasa sibuk dengan pelbagai urusan. Ada jemaah sedang
sibuk menimbang kotak barang untuk dipos balik ke Malaysia. Ada jemaah sedang
berurusan dengan telekom Malaysia. Ada jemaah yang sedang mendaftar nama
lawatan tempat bersejarah dan umrah. Ramai juga jemaah yang keluar masuk
bersiar-siar di kedai-kedai jualan di sekitar hotel.
Kedai-kedai di Mekah seolah-olah
beroperasi 24 jam sehari dan tidak pernah tutup kecuali waktu solat. Oleh itu,
jemaah tidak ada masalah sekiranya ingin membeli sesuatu ataupun untuk
menghilangkan kebosanan duduk di dalam bilik sahaja.
Ada juga jemaah yang mendaftar nama
untuk menggunakan ‘bilik barakah’ yang memang disediakan untuk jemaah menyewa.
Mana-mana pasangan suami isteri yang ingin ‘bersama’ bolehlah menyewa bilik
berkenaan sekitar SR20 untuk tempoh 4 jam. Semasa saya cuba mendaftar saya
dapati tempahan sentiasa penuh dan saya perlu menunggu giliran 5 hari berikutnya
sebelum dapat menggunakan bilik tersebut.
Selepas makan tengahari sekitar jam
12, saya dan isteri bergerak ke Masjid Bukit untuk berjamaah zohor. Ketika ini
cuaca memang panas dan sesiapa yang mampu bertahan untuk sentiasa berjamaah di
Masjidil Haram akan diberi ganjaran berganda-ganda. Kami beriktikaf seperti
biasa dengan solat-solat sunat dan membaca alQuran.
Ketika ini di dalam masjid dipenuhi
asap daripada pengharum bau yang dibakar pada bekas pembakar di hadapan masjid.
Mungkin asap tersebut berguna untuk mengharumkan bau di dalam masjid. Ataupun
asap tersebut berguna untuk ‘sterilised’ ruang solat masjid, yang kita tahu
jemaah yang ada datang daripada pelbagai negara. Bau daripada asap berkenaan
memang harum, cuma kebetulan saya tidak tahan untuk menghidu asap yang
dikeluarkan. Oleh itu nafas saya jadi tersekat-sekat, sehinggalah asap
berkenaan hilang.
Seperti biasa, azan, iqamah dan
mengimamkan solat dilakukan oleh seorang sahaja. Dialah muazzin dan dialah juga
imam. Semasa bersolat zohor berjamaah hari ini, saya agak ketinggalan semasa
membaca alFatihah semasa rakaat ketiga dan keempat. Imam membacakannya agak
cepat sehingga saya tidak sempat menghabiskan bacaan saya. Akan tetapi, semua
rukun-rukun solat yang lainnya benar-benar dihayati, lengkap dengan tomakninah.
Batuk dan selsema saya masih lagi
ada, tetapi sudah mula kurang. Saya masih lagi memakai topeng mulut untuk
menghalang jangkitan, terutamanya ketika saya batuk dan bersin. Malah di dalam
masjid pun fenomena batuk dan selsema menjadi perkara biasa. Jemaah kelihatan
‘bersahut-sahutan’ batuk. Dalam keadaan yang panas, kering dan berhabuk, memang
memerlukan ketahanan fizikal jemaah. Justeru itu TH sentiasa mengingatkan
jangan lupa untuk sentiasa minum air zamzam walaupun ketika tidak dahaga.
Selepas solat zohor saya terus
balik ke hotel untu berehat dan makan tengahari. di tepi-tepi jalan berdekatan
dengan hotel sudah ada ‘penjual segera’ yang berjual jubah, tuduh, sejadah dan
lain-lain buah tangan. Mereka hanya membawa barangan jualan mereka dalam
bungkusan kain besar, dan akan membentangkan kain tersebut sebagai alas untuk
meletakkan barang jualan. Sekiranya ada polis mereka akan segera beredar
memikul barang jualan mereka. Kerap juga penjual segera ini ditangkap atau
barang jualan mereka dirampas, tetapi tetap sahaja ada yang menjual. Cuma saya
perhatikan, kualiti yang penjual ini jual agak rendah berbanding dengan yang dijual
di kedai-kedai.
Petang ini saya dan isteri bergerak
ke Masjidil Haram untuk bersolat asar, maghrib dan isyak sekali agak lambat.
Jam 5.45 petang tergolong sebagai lewat kerana masjid telahpun sesak dengan
jemaah. Pintu utama banyak yang ditutup. Saya dan isteri terus mengikut arus
pergerakan jemaah melalui laluan saei di tingkat bumbung. Setelah mendapat
tempat yang agak selesa maka saya dan isteri terus duduk beriktikaf macam
biasa.
Laluan saei di tingkat paling atas
agak lengang dan tidak ramai jemaah. Kebanyakan jemaah dibenarkan duduk
beriktikaf ditepi-tepi laluan yang tidak menghalang laluan jemaah bersaei.
Isteri duduk tidak jauh dari saya tetapi dalam kumpulan jemaah perempuan.
Solat maghrib diimamkan oleh Imam
Bandar, imam yang memang saya sukai bacaannya. Solat maghrib kali ini dia
membaca surah pendek-pendek. Pada rakaat kedua di amalah hanya membaca 2 ayat
sahaja, lebih pendek daripada surah alKautsar.
Selepas solat maghrib dan solat
jenazah saya dan isteri meneruskan aktiviti iktikaf seperti biasa. Sekiranya
penat kami berehat sebentar, meluruskan kaki atau badan, ataupun bergerak ke hentian
zamzam untuk mengisi air zamzam ke dalam botol yang telah kosong.
Saya perhatikan di laluan saei yang
dikhaskan untuk jemaah berkerusi roda terdapat juga jemaah yang berjalan biasa
melalui laluan tersebut. Kadang-kadang, pergerakan jemaah berkerusi roda jadi
terhalang dan terpaksa mengelak jemaah yang sedang berjalan. Pada saya arahan yang
diberikan adalah jelas. Seharusnya setiap jemaah perlu faham dan mematuhinya.
Ini sama keadaannya dengan arahan dan peraturan untuk tidak duduk beriktikaf di
laluan keluar masuk jemaah ataupun di laluan utama tawaf. Wallahuaklam.
Selepas isyak saya dan isteri
singgah sebentar di restoran DSaji untuk makan malam dengan kawan-kawan
sekampung, Haji Isa dan Haji Japit. Apabila ingin makan di ruang makan di
Safwah jemaah perlu sanggup menunggu kerusi dan meja kerana sentiasa penuh
dengan jemaah. Biasanya kami akan mencari kerusi dahulu sambil rakan yang lain
berbaris membeli makanan. Namun, semua jemaah saling memahami dan akan segera
beredar apabila selesai makan. Macam-macam yang dibualkan sambil menikmati
makan malam. Kami pekena tek tarik, martabak dan roti telor.
Selesai makan terus balik ke hotel
untuk berehat. Di lobi hotel sibuk macam biasa. Ramai jemaah sedang
bersiap-siap untuk bergerak ke tanah halal untuk berniat mengerjakan umrah.
Kami terus naik ke bilik dan berehat.
Alhamdulillah selesai Hari 24 di Mekah al Mukarramah.
Semoga hari esok merupakan hari yang lebih gembira, Insha Allah.
21 Ogos 2019
No comments:
Post a Comment