Alhamdulillah masih terjaga macam biasa. Alarm telefon memang kami set pada jam 2.30
pagi supaya mempunyai masa yang cukup untuk semua rakan bilik bersiap. Terus
kejutkan isteri untuk sama-sama bersiap. Pagi ini terasa agak malas sedikit nak
bangun. Agaknya inilah antara cabaran jemaah yang telah selesai mengerjakan
haji. Wallahuaklam.
Pagi ini kami bercadang
untuk masuk Masjidil Haram daripada pintu King Abdul Aziz. Namun, pergerakan
jemaah telah sesak dan kami terus naik ke tingkat bumbung kerana pintu-pintu
lain telahpun di tutup. Beriktikaf dan bersolat di bumbung tidak ada masalah
kerana sentiasa kosong. Cuma kita tidak dapat melihat Kaabah apabila bersolat
di bumbung. Kecuali bahagian depan dinding yang merupakan laluan tawaf jemaah
dan tidak boleh duduk untuk iktikaf kecuali semasa mendirikan solat waktu.
Tidak kira di tingkat mana, untuk
duduk beriktikaf di laluan tawaf memang tidak dibenarkan kecuali bertawaf.
Sebab itu, ada antara jemaah yang bertawaf dahulu sambil menunggu waktu
solat.Tiba waktu solat semua laluan tawaf tadi secara otomatik menjadi saf-saf.
Kalau mereka bertawaf di dataran Kaabah memang ada peluang untuk bersolat
berhampiran dengan Kaabah.
Jemaah masih padat, yang
melakukan tawaf di bumbung pun masih penuh. Sebelum duduk macam biasa saya
singgah dulu di hentian zamzam untuk minum dan mengisi botol-botol kecil
sebagai bekalan. Terus duduk beriktikaf dengan solat-solat sunat dan membaca
alQuran. Perlahan-lahan jemaah semakin sesak di bumbung. Masing-masing memberi
ruang kepada jemaah yang baru datang untuk mengisi ruang-ruang yang masih
kosong.
Selesai solat subuh dan
solat jenazah terus balik hotel dan bersarapan. Pagi ini hanya sarapan roti
butter dan teh O panas depan bilik. Ramai juga jemaah sebelah bilik yang join
sarapan sama-sama di lorong depan bilik. Keadaan pagi kelihatan meriah dan
ceria.
Selepas bersarapan saya dan isteri terus
bersiap-siap untuk pergi lawatan tempat-tempat bersejarah dan melakukan umrah
sunat. Saya turun 5 minit lewat kerana kesesakan di lif dan terus menaiki bas.
Kami hanya berpakaian biasa kerana akan pergi melawat tempat-tempat bersejarah
dahulu sebelum ke miqat untuk berniat ihram. Bas dijadualkan bergerak sekitar
jam 8 pagi tetapi masih lagi menunggu
jemaah-jemaah lain yang masih belum menaiki bas. Kemahiran menepati masa dan
menghargai masa masih lagi perlu diperbaiki. Antara input yang boleh diambil
dari Surah Al Asr, iaitu berkenaan masa, kenapa sangat dipentingkan.
Perjalanan pagi ini dibimbing oleh
2 orang pelajar yang sedang belajar di Madinah. Mereka berkongsi maklumat dan
pengetahuan berkenaan tempat-tempat bersejarah yang dilawati. Mudah-mudahan
dengan mengingat kembali peristiwa-peristiwa tersebut mendekatkan saya dengan
Allah SWT dan RasulNya, Insha Allah.
Tempat pertama dilawati adalah Gua
Thur, iaitu tempat persembunyian Rasulullah SAW dan sahabatnya Saidina Abu
Bakar As Siddiq semasa lari daripada ancaman Quraisy. Tempatnya sangat tinggi
dan berbatu-batu keras dan sukar untuk dipanjat. Dalam peristiwa ini Rasulullah
SAW dan Abu Bakar sedang dalam perjalanan menuju ke Madinah kerana kaum Quraisy
Mekah sedang merancang untuk membunuh Baginda kerana menyebarkan Islam.
Rasulullah SAW dan Abu Bakar bersembunyi di Gua Thur dalam kegelapan malam,
manakala kaum Quraisy Mekah sedang memburu keduanya.
Oleh kerana keletihan Rasulullah
SAW tertidur di pangkuan Abu Bakar dan pada ketika tidur itulah seekor ular
keluar dari lubang. Tanpa mengejut Rasulullah daripada tidurnya, Abu Bakar
menutup lubang ular tersebut dengan kakinya sehinggalah kakinya dipatuk oleh
ular tersebut. Oleh kerana bisa ular tersebut Abu Bakar menangis menahan
kesakitan sehinggalah menitis air mata beliau di pipi Rasulullah. Lalu
diceritakan oleh Abu Bakar kenapa beliau menangis dan tidak mahu mengganggu
tidur Rasulullah SAW.
Selepas itu kami terus bergerak ke
Jabal Rahmah, sebuah tempat yang dikatakan tempat pertemuan Nabi Adam AS dengan
isterinya Siti Hawa setelah terpisah. Di sini juga merupakan tempat bagaimana
Nabi Ibrahim AS diajarkan berkenaan pekerjaan haji. Bagi setengah jemaah pula
Jabal Rahmah telah dijadikan tempat berdoa untuk bertemu jodoh. Berdoa untuk
mendapat jodoh yang baik tidak ada masalah, cuma tidak boleh menjadikan Jabal
Rahmah sebagai tempat mempertemukan jodoh yang baik.
Seterusnya kami bergerak ke
Muzdalifah, kawasan lapang di mana para jemaah haji dikehendaki bermabit
sebentar. Pada waktu ini, apa yang kami lihat adalah longgokan sampah yang
membukit yang ditinggalkan oleh para jemaah. Walaupun telah 12 hari berlalu, sampah
yang ditinggalkan masih belum selesai dibersihkan.
Selepas itu kami terus bergerak ke
Wadi Muatsir (Mina). Di sini kami dapat melihat semula kawasan perkhemahan
jemaah semasa bermalam di sana. Di sini juga diceritakan berkenaan dengan
tentera Abrahah yang datang untuk meruntuhkan Kaabah. Tentera bergajah Abrahah
telah dihancurkan oleh sekumpulan burung Ababil yang diperintahkan oleh Allah
untuk memusnahkan Abrahah. Di sini juga diceritakan merupakan tempat ketika
Nabi Ibrahim AS diperintahkan oleh Allah untuk menyembelih anaknya Ismail AS.
Tempat seterusnya adalah Jabal Nur,
di mana terletaknya sebuah gua bernama Gua Hira’ yang menjadi tempat menyendiri
dan bermunajat Rasulullah SAW setiap malam sehinggalah turunnya wahyu pertama
yang menandakan kerasulannya. Jabal Nur merupakan sebuah bukit yang sederhana
tinggi tetapi sangat curam dan berbatu-batu dan hanya jemaah yang sihat dan
cergas sahaja mampu untuk naik dan turun dengan lancar. Kami hanya melihatnya
daripada dalam bas kerana tidak mempunyai masa yang cukup untuk melihatnya
secara dekat. Insha Allah, jika diizinkan suatu hari nanti kami akan cuba
mendakinya.
Menurut sejarahnya, pada suatu malam
ketika Nabi SAW sedang bermunajat seperti biasa, datang Malaikat Jibrail untuk
menyampaikan wahyu pertama. Nabi SAW yang memang buta huruf diajar oleh
Malaikat Jibrail untuk membaca. Dalam keadaan ketakutan dan bersusah payah Nabi
SAW membaca apa yang diajarkan oleh Jibrail. Maka bermulalah kerasulan Nabi
SAW, suatu tugas yang sangat berat dan sukar iaitu menyampaikan ajaran Islam
secara langsung.
Diceritakan tentang bagaimana
sengsaranya Rasulullah SAW menyampaikan berita gembira tentang Islam kepada
penduduk Mekah. Dicerca, diejek, dihina, dikatakan sebagai gila dan seumpamanya
merupakan antara pengalaman biasa yang dilalui oleh Rasulullah.
Pernah dalam satu peristiwa semasa
menyampaikan ajaran Islam di Taif, Baginda telah dihalau dan dibaling batu oleh
penduduk Taif, termasuklah kanak-kanak hingga kaki Baginda cedera dan berdarah.
Malaikat telah menawarkan diri untuk menghancurkan keseluruhan penduduk Taif
tetapi di persetujui oleh Baginda. Nabi SAW mengatakan bahawa kelak generasi
mereka itulah antaranya yang akan menjadi pewaris dan menyumbang kepada
perkembangan Islam. Subhanallah. Begitu mulia dan kasihnya baginda kepada
umatnya, walaupun diperlakukan sedemikian tetapi masih berfikiran waras dan
berpandangan jauh.
Kami juga diingatkan semula dengan
peristiwa kemasukan Rasulullah SAW ke kota Mekah dan membersihkannya daripada
kekotoran dan kesyirikan, terutamanya berhala-berhala. Setelah bersih semuanya
Rasulullah SAW memanggil seorang hamba berkulit hitam untuk melaungkan azan di
atas Kaabah. Hamba itulah Bilal bin Rabah.
Oleh kerana Kaabah agak tinggi
untuk dipanjat, Rasulullah SAW meminta Abu Bakar dan Umar untuk berdiri sebelah
menyebelah dan meminta Bilal untuk memanjat dan memijak bahu Abu Bakar dan Umar
untuk naik ke atas Kaabah untuk azan. Bilal seorang hamba telah diminta oleh
Rasulullah SAW untuk memijak bahu Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar untuk naik
ke atas Kaabah. Subhanallah, suatu contoh berkenaan perbezaan antara manusia
menurut pandangan Islam yang tidak diukur berdasarkan pangkat dan kekayaan.
Dalam perjalanan ke Jaaranah untuk
bermiqat, saya hanya merasa kehilangan dan kerinduan yang teramat sangat.
Kerinduan kepada seorang Rasul dan seorang Nabi, yang tersangat mulia antara
segala makhluk yang ada dalam dunia ini.
“Ya Allah, Tersangatlah rinduku pada RasulMu, Makhluk kesayanganMu, Aku
bermohon kepadaMu Ya Allah, Kalaulah layak bagiku untuk bertemu dengannya, pertemukanlah
aku suatu hari nanti dengannya…Ya Allah…Ya Arhamarrahimin”
Tiba di Miqat Jaaranah kami semua
berhenti, berihram, bersolat sunat dan berniat umrah sunat. Pahala-pahala umrah
yang saya kerjakan diharapkan dapat disampaikan kepada arwah abang saya yang
dalam hidupnya susah sepanjang masa, tidak dapat datang ke sini kerana
kesusahan tersebut sehinggalah ke akhir hayatnya. Mudah-mudahan dengan
keizinanNya pahala-pahala umrah sunat yang kecil ini menjadi ganjaran bagi diri
abang saya selama-lamanya.
Masjid di Jaaranah, sama seperti di
miqat-miqat yang lainnya, sentiasa penuh dengan jemaah yang berniat mengerjakan
umrah. Namun, kesibukan tersebut tidaklah sampai menyukarkan jemaah-jemaah
untuk melakukan syarat-syarat berniat umrah berkenaan. Masing-masing telah
saling memahami dan saling membantu, kecuali bagi sesiapa yang berasa tidak
selesa melakukan urusan di tengah-tengah ramai orang.
Kami sampai di hotel sekitar jam
11.30 pagi dan terus mengambil pek makan tengahari sambil menunggu zohor. Saya
hanya solat zohor di surau hotel sahaja dengan masih berpakaian ihram. Selepas
zohor baru gerak ke Masjidil Haram untuk menyelesaikan umrah sunat.
Seperti biasa, saya dan isteri
bergerak perlahan-lahan ke Masjidil Haram untuk menghabiskan umrah sunat. Kami
masuk melalui pintu utama King Abdul Aziz dan terus memulakan tawaf di tingkat
1. Walaupun pusingan tawaf kami agak jauh sedikit tetapi pergerakan tawaf
jemaah lebih selesa dan tidak panas, berbanding di dataran Kaabah yang sentiasa
padat dengan jemaah
Sepanjang bertawaf kami hanya
berhenti sekali iaitu ketika isteri saya batuk-batuk hingga terkentut. Kami
berhenti di hentian zamzam, minum dan isteri mengambil wudhuk. Berhenti
menghilangkan penat atau terbatal semasa tawaf tidaklah sukar sangat kerana
kita boleh menyambung semula bermula daripada tempat di mana kita berhenti. Kami
melangkah ke belakang beberapa langkah sebelum menyambung semula pusingan tawaf
hinggalah selesai.
Cuma kita kena hati-hati sedikit
apabila bertawaf di tingkat 1 dan ke atas. Ada bahagian-bahagian dalam masjid
itu kalau kita ikut laluan perjalanan bahu kita sebenarnya tidak betul-betul mengarah
ke Kaabah dengan tepat. Apa yang diajar oleh TH dalam kursus adalah dengan
mengiring sedikit ketika sampai di bahagian-bahagian berkenaan supaya bahu kita
sentiasa mengarah ke Kaabah. Ini tidak sukar untuk dilakukan kerana sepanjang
masa bertawaf kita memang boleh melihat Kaabah dengan jelas.
Selesai tawaf terus ke laluan saei.
Jemaah walaupun masih ramai, tetapi tidak terlalu padat. Hari ini sambil
bersaei saya membaca alQuran kerana jemaah yang tidak terlalu padat. Bila penat
kami berhenti sebentar di hentian zamzam untuk berehat sambil minum air zamzam.
Selesai sahaja saei terus azan
asar. Kami turun ke bawah sedikit untuk mencari lantai yang rata dan terus
bersolat asar di laluan saei. Semua jemaah yang sedang bersaei berhenti dan
membentuk saf untuk bersolat asar. Selesai solat asar dan solat jenazah saya
dan isteri terus balik ke hotel dan melakukan bergunting di dalam bilik.
Jam masih menunjukkan pukul 4.20
petang. Selepas bergunting saya terus mandi dan mengemaskan kain ihram untuk
dihantar ke dobi esok hari. Saya hanya berehat menghilangkan penat sambil
menunggu maghrib.
Hari ini solat maghrib dan isyak di
Masjid Bukit sahaja. Isteri hanya solat di hotel kerana kaki masih lagi
keletihan. Bila solat maghrib dan isyak sekali, dapatlah saya beriktikaf lama
sedikit selepas maghrib sambil menunggu isyak. Macam biasa, bila dah duduk lama
kenalah regangkan kaki dan badan supaya hilang rasa kebas dan letih.
Alhamdulillah, selesai solat isyak
terus balik ke bilik untuk makan malam. Selesai makan malam terus siap-siap
untuk tidur.
Alhamdulillah selesai Hari 26 di Mekah Al Mukarramah. Mudah-mudahan hari
esok merupakan hari yang lebih ceria, Insha Allah.
23 Ogos 2019
No comments:
Post a Comment