Alhamdulillah pagi ini terjaga sekitar jam 2.45 pagi. Terus kejutkan isteri untuk
siap-siap ke Masjidil Haram. Tingkat 8 bilik saya masih lagi sepi kerana masih
ada lagi jemaah yang masih melakukan urusan haji yang belum selesai. Setakat
ini pun saya dan isteri hanya bersolat di Masjidil Haram pada waktu subuh,
maghrib dan isyak sahaja. Zohor dan asar masih lagi samada di surau hotel
ataupun di Masjid Bukit.
Sekitar jam 3.30 pagi
gerak perlahan-lahan ke Masjidil Haram bersama dengan ribuan jemaah yang
telahpun membanjiri jalan-jalan menuju ke masjid. Azan pertama sedang
berkumandang semasa kami masuk pintu biasa pintu Ajyad. Akan tetapi pagi ini
agak jauh berjalan sebelum dapat tempat untuk beriktikaf kerana banyak tempat
telah ditutup. Mungkin kerana kepadatan jemaah masih tinggi selepas balik dari
Mina. Macam biasa sebelum duduk kami singgah dulu di hentian zamzam untuk
menyegarkan badan dengan air zamzam sambil mengisi botor semburan muka dan 2
botol kecil sebagai bekalan.
Aktiviti biasa iktikaf
dengan solat-solat sunat dan membaca alQuran sambil menunggu subuh. Aktiviti
membaca alQuran agak tersekat-sekat pagi ini. Suara masih serak, tekak masih
perit kerana batuk dan selsema masih lagi ada. Bila dan selsema dan batuk-batuk
macam ini nafas pun jadi pendek. Saya masih lagi memakai topeng mulut untuk
mengelakkan jemaah lain dijangkiti.
Pagi ini suara yang biasa
di dengari, suara jeritan polis masjid mengarahkan jemaah bergerak dan beredar
mula kedengaran. Rasa rindu pula nak dengar, setelah beberapa hari tak dengar.
Kesalahan-kesalahan yang biasa yang jemaah lakukan, duduk iktikaf di laluan
tawaf atau laluan keluar masuk, ataupun duduk bercampur jemaah lelaki dan
perempuan. Kalau memang sentiasa mematuhi peraturan dan etika, rasanya
pergerakan jemaah beriktikaf akan lebih teratur dan selesa.
Biasanya solat subuh pagi
Jumaat imam akan membaca Surah al Sajadah dalam rakaat pertama subuh. Memang
menyejukkan bila mendengar imam membacakan surah berkenaan sehingga selesai.
Lebih-lebih lagi bila dibacakan oleh imam yang paling saya suka bacaannya
selain Imam Sudaish, iaitu Imam Bandar. Seolah-olah tidak mahu imam berhenti
membaca surah berkenaan. Merdu dan boleh mengalir air mata bila mendengarnya.
Pagi ini solat jenazah
dibuat 2 kali kerana mungkin jemaah yang meninggal adalah ramai. Selepas
selesai bergerak perlahan-lahan keluar masjid mengikut arus pergerakan keluar
jemaah. Bila menghampiri pintu keluar dan tempat meletak selipar kami mula
secara perlahan-lahan menghimpit ke tepi sedikit demi sedikit sehinggalah ke
rak di mana selipar kami simpan. Kalau terus ‘cross’ melintang laluan
pergerakan jemaah boleh menyusahkan diri sendiri dan juga jemaah yang lain. Ini
antara tips yang sentiasa kami praktikkan bila bergerak di dalam kumpulan
jemaah yang padat dan berhimpit-himpit, iaitu keluar sedikit demi sedikit.
Selepas itu terus balik
hotel untuk sarapan pagi. Perjalanan sekitar 800 meter, singgah bilik air dulu
sebab nak singgah restoran untuk beli sarapan dan kedai runcit untuk beli
barang keperluan lain yang dah habis. Sambil berjalan kaki seronok juga
berjalan berpimpin tangan dengan isteri. Di Malaysia pun saya jarang-jarang
berjalan berpimpin tangan dengan isteri. Selepas selesai ibadah haji memang
sentiasa berpimpin tangan semasa berjalan pergi atau balik dari masjid.
Menikmati kehidupan di bandar suci Mekah dengan isteri.
Kami singgah di kedai
runcit berhampiran hotel membeli roti bantal, jem sapuan, dan sedikit roti kek
sebagai sarapan pagi. Pagi ini kami menikmati sarapan pagi di lorong depan
pintu bilik. Ramai pulak pasangan yang menikmati sarapan pagi di lorong depan
bilik. Dah jadi macam meriah dan seronok. Macam-macam cerita keluar sambil
menikmati sarapan masing-masing.
Hari ini hari jumaat,
perlu gerak awal sekurang-kurang 2 jam sebelum waktu solat jumaat. Kalau
berhasrat untuk bersolat di dalam Masjidil Haram memang kena datang lebih awal
daripada itu. Lepas sarapan terus rehat sebentar untuk menghilangkan keletihan.
Lepas mandi, sekitar jam
10 pagi saya mula bergerak ke Masjidil Haram, dengan harapan dapatlah masuk
bersolat di dalam. Jumaat yang lepas saya hanya mampu bersolat di bumbung
sehingga hitam berkilat muka kerana cuaca yang panas di tingkat bumbung.
Semasa baru keluar hotel jemaah
kelihatan macam biasa. Sepanjang kaki lima jalan ramai juga jemaah yang telah
meletakkan sejadah dan duduk menunggu solat jumaat. Rupa-rupanya apabila sampai
di jambatan hotel Pullman berdekatan Masjidil Haram jemaah telahpun padat dan
tidak bergerak. Banyak pintu masjid telah ditutup kerana penuh. Pintu masuk
yang sering saya lalui juga telah ditutup.
Pada ketika itu jemaah
telah dialihkan laluan melalui terowong untuk melalui pintu yang lain. Saya
tersepit di tengah-tengah kepadatan jemaah. Jemaah di depan saya yang diarahkan
untuk melalui terowong tidak bergerak kerana menunggu pintu untuk dibuka. Dalam
masa yang sama pula jemaah dari belakang menolak-nolak untuk bergerak.
Suasana agak kelam kabut.
Kami di tengah-tengah betul-betul tersepit. Ada beberapa jemaah sampai terjatuh
ke atas jemaah yang sedang berada di atas kerusi roda. Saya sendiri rasa tidak
boleh bernafas kerana terhimpit antara jemaah di depan yang tidak mahu bergerak
dengan jemaah dari belakang yang terus-terus menolak. Allahuakbar, dihimpit
dari kiri dan kanan, depan dan belakang seolah-olah terbayang kematian ketika
itu.
Terbayang kejadian di terowong Mina
dahulu di mana ratusan jemaah mati kerana berasak-asak dan terhimpit. Akhirnya
kerana ramai yang terjatuh dan bertindih-tindih kumpulan jemaah di hadapan saya
mula bergerak. Alhamdulillah, kami dapat terus berjalan melalui terowong menuju
ke pintu masjid.
Di dalam terowong, di
tepi-tepi kaki lima sepanjang terowong juga telah penuh dengan jemaah. Saya
tidak pasti sejauh mana pergerakan jemaah dan kesesakan yang ada sepanjang
pergerakan ke arah masjid. Setelah mendapat ruang untuk bersolat saya mengambil
keputusan untuk terus duduk di kaki lima di dalam terowong itu. Saya meneruskan
aktiviti biasa dengan solat-solat sunat dan membaca alQuran sambil menunggu
solat Jumaat.
Dalam tempoh yang singkat kesemua
laluan di dalam terowong telah penuh dengan jemaah. Beberapa perkara yang unik
di kota Mekah ini antaranya:
i.
Pembesar suara dipasang di seluruh
pelusuk bandar dan boleh kedengaran dengan jelas
ii.
Jubin lantai yang dipasang setakat
yang saya lihat, semuanya mengarah ke Baitullah, sehingga memudahkan jemaah
untuk menghadap ke kiblat tanpa banyak masalah walaupun tidak dapat melihat
Kaabah secara langsung.
Solat jumaat di sini melaungkan
azan 2 kali. Azan pertama sekitar setengah jam sebelum masuk waktu. Bila masuk
waktu Imam terus naik mimbar dan memberi salam. Selepas itu bilal melaungkan
azan sekali lagi, diikuti dengan khutbah jumaat dan solat macam biasa.
Semasa menunggu waktu pihak hotel
mengedarkan air mineral kepada jemaah yang sedang beriktikaf. Alhamdulillah
memang pemurah individu atau pengusaha yang memberikan sedekah, terutamanya air
mineral yang memang diperlukan sepanjang masa. Kalau di dalam Masjidil Haram
memang air zamzam yang menjadi penghilang dahaga.
Selesai solat Jumaat saya hanya
menunggu di tempat duduk dahulu sambil menunggu pergerakan keluar jemaah
berkurangan. Cuma risau takut akan terjadi seperti tersepit semasa ketika masuk
ke terowong tadi. Setelah jemaah berkurangan barulah saya bergerak keluar.
Sepanjang perjalanan balik saya
perhatikan perkara yang serupa seperti hari-hari sebelumnya. Botol-botol
plastik kosong air mineral bersepah-sepah atas jalan. Air mineral yang
disedekahkan untuk melegakan kehausan tetapi bekas botol kosong dibuang
merata-rata. Walaupun pada asasnya semua yang beragama Islam perlu mengamalkan
kebersihan, saya rasa perlu juga disentuh secara spesifik perkara ini dalam
kursus-kursus haji atau umrah supaya semua lebih beringat dan saling
bertanggungjawab.
Apabila tiba di bilik hotel saya
terus makan tengahari dan berehat. Ramai juga rakan jemaah di hotel mulai
bercerita berkenaan dengan pengalaman bersolat jumaat tadi. Ada yang berjaya
bersolat di dalam masjid kerana datang awal, dan ada pula yang tidak dapat
masuk dan terpaksa bersolat di merata-merata tempat yang kosong di luar masjid,
termasuklah seperti saya.
Ada pula yang bercerita berkenaan
dengan jemaah perempuan yang sama-sama datang ke masjid untuk bersolat Jumaat. Hanya
di Masjidil Haram sahaja perempuan dibenarkan bersolat Jumaat dan tak perlu
menggantikannya dengan solat zohor kalau telah bersolat Jumaat. Para jemaah
menyebut berkenaan kesesakan yang dihadapi oleh jemaah lelaki yang
bersesak-sesak semasa pergi ke masjid, dan alangkah baiknya kalau ketika itu
hanya jemaah lelaki sahaja yang hadir, maka lebih ramai jemaah lelaki dapat
bersolat di dalam masjid. Namun, Masjidil Haram adalah hak semua hamba Allah
tanpa mengira tempat dan waktu maka jemaah perlu redha dan mematuhinya.
Wallahuaklam.
Solat asar hanya di surau hotel
sahaja. Surau hotel pun sentiasa penuh dengan jemaah. Akan tetapi jam 5.30 saya
dan isteri bergerak ke Masjidil Haram untuk bersolat maghrib, tetapi hanya
dapat bersolat di dataran jam, depan pintu utama Masjidil Haram. Jemaah memang
masih padat dan ramai, dan pintu-pintu utama masuk masjid akan cepat ditutup
sekiranya jemaah di dalam masjid telah penuh. Habis solat maghrib singgah
sebentar di kedai Bin Dawood, bersebelahan dengan Safwah.
Selepas itu kami berjalan balik ke
hotel untuk makan malam. Saya solat isyak di surau hotel sahaja malam ini. Saya
perhatikan aktiviti sekarang ini lebih kepada solat dan makan, antara Masjidil
Haram, Masjid Bukit dan surau Hotel, dan juga membaca alQuran. Perkhidmatan
menghantar jemaah untuk ke tanah halal untuk melakukan umrah-umrah sunat juga
mulai dibuka. Begitu juga dengan lawatan ke tempat-tempat bersejarah di sekitar
kota Mekah pun sudah banyak dibuka. Jemaah hanya perlu daftar mengikut jadual
perjalanan yang telah ditampalkan di lobi hotel. Bayaran boleh dibuat semasa
berkumpul di lobi hotel ataupun semasa di dalam bas.
Ada juga jemaah yang telah biasa
datang ke sini melakukan ibadah umrah sendiri dengan menyewa teksi tempatan
untuk ke tanah halal terdekat. Biasanya jemaah akan dibawa ke Tanaim, tanah
halal yang terhampir dengan tanah haram Mekah.
Sekitar jam 10 malam saya dah
bersiap-siap untuk tidur dengan harapan yang sama, iaitu dapat bangun awal pagi
supaya dapat bersolat jamaah subuh di Masjidil Haram. Rakan-rakan sebilik pun
serupa sedang bersiap-siap untuk tidur.
Alhamdulillah selesai Hari 20 di Mekah. Mudah-mudahan hari esok lebih ceria
dan menarik.
No comments:
Post a Comment