Wednesday, 22 April 2020

HARI 15 HARI PERTAMA DI MINA


Alhamdulillah berkat kesabaran kami dapat menaiki bas selepas hampir 4 jam menunggu, dan kami sampai Mina sekitar jam 4.24 pagi dan hampir subuh. Jam 4.36 pagi kami bersolat subuh di dalam khemah dengan jemaah-jemaah yang telah bersedia. Ada juga jemaah yang baru bangun, sedang bersiap-siap mungkin kerana keletihan sejak dari Arafah dan Muzdalifah lagi.

            Selesai solat subuh kami teruskan dengan takbir menandakan Hari Raya Haji. selepas selesai bertakbir sarapan pagi telahpun mula diedarkan. Selepas selesai sarapan semua jemaah mulai menyusun semula tempat tidur berdasarkan senarai nama yang disediakan oleh petugas TH.

Khemah saya dibahagikan kepada 6 petak yang masing-masing berukuran 4 meter x 4 meter. Semua jemaah di dalam khemah mulai menyusun ruangan tidur berdasarkan senarai nama jemaah yang ditetapkan oleh petugas TH. Mana-mana jemaah yang telah meletakkan barang mereka di petak yang salah kembali ke petak masing-masing. Mungkin pagi tadi semasa tiba dari Muzdalifah masing-masing keletihan dan meletakkan barang di mana-mana yang kosong dan terus merehatkan badan sementara menunggu subuh.

Petak khemah saya mempunyai 19 orang semuanya. Dengan ukuran saiz 4 meter x 4 meter memang perlu disusun sebaiknya. Proses menyusun tempat tidur mengambil masa hampir setengah jam. Namun, ruangan tidur jemaah sangat kecil dan sempit. Kami mencuba untuk baring dan memang setiap jemaah tidak boleh meluruskan kaki semasa tidur kerana akan menindih rakan jemaah yang berada di bawah kaki. Manakala bahu saya bersentuhan dengan jemaah yang berada di kiri kanan saya. 



Teringat semasa kursus haji di mana mutawif menceritakan kesesakan semasa berada di khemah di Arafah dan Mina, tetapi masih tidak terbayang keadaan sebenar yang dimaksudkan. Sekarang ini kami benar-benar merasainya untuk selama 4 hari. Saya memohon kekuatan supaya sentiasa dipermudahkan dan redha dalam kesabaran melalui kesukaran ini. Mudah-mudahan kesukaran yang dilalui berubah menjadi suatu keseronokan dan kenikmatan yang tak dapat dilupakan. 

Kadang-kadang lebih selesa untuk tidur duduk bersandar berbanding baring. Isteri saya juga berkongsi perkara yang sama, malah lebih teruk. Terdapat setengah jemaah perempuan di khemah dia yang terus membaringkan diri setelah mendapat tempat tanpa ada usaha untuk menyusun. Akibatnya terdapat jemaah perempuan yang lain dalam petak tersebut yang hanya tidur duduk, dan tidak boleh berbaring sama sekali. Sikap tolak ansur dan berkongsi kesusahan tidak wujud sama sekali.



Sambil menunggu waktu zohor rakan-rakan di petak saya hanya duduk berbual-bual dan berkongsi keseronokan. Ada juga jemaah yang mula berjalan sekitar khemah meninjau keadaan sekeliling. Kami menikmati buah-buahan yang dibekalkan seperti limau dan epal. Ada juga jemaah yang berkongsi makanan seperti kurma yang dibawa daripada Mekah kelmarin. Sekitar jam 11.30 pagi makanan tengahari mula diedarkan.

Selepas makan tengahari saya pergi ke bilik air untuk menyucikan diri, membasuh muka, menggosok gigi, dan berwudhuk. Untuk mandi mungkin agak terbatas kerana jemaah yang terlalu ramai berbaris. Lebih menambah masalah ialah apabila terdapat jemaah daripada Indonesia yang juga sama-sama berbaris menggunakan bilik air di Maktab kami. Tidak banyak yang boleh dilakukan kerana jumlah jemaah yang ramai memerlukan bilik air serentak dalam masa yang sama, maka barisan yang panjang dan lama mula menjadi keadaan biasa.

Saya sendiri apabila berada dalam keadaan yang tidak selesa ini benar-benar menguji ketahanan diri saya secara fizikal dan juga mental. Penyakit batuk dan selsema yang masih lagi belum sembuh sepenuhnya menjadi semakin berat. Saya sentiasa mengenakan topeng mulut apabila berada bersama dengan jemaah samada di dalam khemah mahupun di luar khemah kerana tidak mahu merebakkan kuman kepada jemaah lain.

Apabila sentiasa bersempit-sempit dan berpanas-panas badan mula berasa mengantuk, letih, malas dan sentiasa berpeluh. Badan rasa nak demam. Saya perhatikan jemaah-jemaah lain pun seperti sedang terpinga-pinga memikirkan keadaan di dalam khemah, di luar khemah terutamanya di bilik air serta kesukaran yang sedang dihadapi. Mungkin masing-masing sedang buntu memikirkan kesukaran yang sememangnya tidak dijangka sama sekali.

Alhamdulillah di dalam khemah di mana saya tidur semua jemaah sentiasa bekerjasama dan bertolak ansur. Kadang-kadang khemah kami dipenuhi dengan gelak ketawa kerana gelagat kami masing-masing. Di setiap sudut khemah kami sediakan plastik sampah untuk jemaah membuang sampah kerana dalam keadaan sesak sebegini, pergerakan keluar masuk menjadi terbatas. 

Wudhuk kami pun perlu dikawal dan dirancang supaya tidak perlu selalu keluar masuk untuk mengambilnya. Sekiranya hanya terkentut kami menggunakan air semburan untuk mengambil wudhuk tanpa perlu keluar khemah. Ini lebih selesa berbanding perlu melangkah-langkah jemaah dan berbaris di luar untuk mengambil wudhuk. Terdapat juga jemaah yang menggunakan air mineral yang dibekalkan untuk mengambil wudhuk di luar khemah menjadikan lorong-lorong antara khemah basah dan berair.

Pada saya penggunaan bilik air mulai kritikal. Sekarang ini dengan pertambahan jemaah daripada luar yang menumpang sama bilik air menambahkan lagi kesesakan jemaah yang menunggu. Sekarang ini tempoh menunggu setengah jam sudah merupakan tempoh yang biasa. Keadaan lebih lama pada jemaah perempuan yang masa menunggu lebih lama. Saya perhatikan barisan mereka lebih panjang seolah-olah tidak berkurangan. Tak pasti mengapa sedemikian.


Lebih simpati lagi ialah kepada jemaah perempuan. Daripada cerita isteri saya, masa menunggu yang lama kerana kebanyakan jemaah perempuan yang masuk ada yang mandi. Mungkin kerana perlu membuka dan memakai semula pakaian lengkap menyebabkan masa yang digunakan semasa menggunakan bilik air lebih lama. Pernah berlaku jemaah wanita semasa menunggu terpaksa buang air kecil di longkang di hadapan bilik air. Mungkin kerana sudah terdesak dan tidak dapat ditahan lagi.

Sekarang ini jemaah lelaki sekarang ini membenarkan 2 bilik air lelaki digunakan juga oleh jemaah perempuan. Ini kerana mengambil kira tempoh menunggu mereka lebih lama berbanding di bilik air lelaki. Manakala jemaah lelaki ada juga disedikan kemudahan tambahan iaitu mangkuk tandas berdiri. Saya sendiri kerap menggunakan mangkuk tandas berdiri kerana tak tahan untuk beratur lama di bawah panas matahari. Kecuali kalau memang perlu ke bilik air untuk membuang air, maka semua kena bersedia untuk berbaris menunggu giliran.

Alhamdulillah sekarang ini jemaah lelaki mulai dapat bertimbang rasa dengan memastikan tempoh menggunakan bilik air tidak lebih daripada 5 minit seorang, kecuali jika tidak dapat dielakkan. Kesediaan ini betul-betul dapat meredakan keresahan jemaah untuk menggunakan bilik air.

Sambil menunggu solat zohor saya berehat-rehat di dalam khemah, berbual-bual dengan jemaah yang baru dikenali sambil makan buah-buahan dan minuman panas. Pelbagai cerita dan pengalaman yang dikongsikan, terutamanya keseronokan semasa berada di Arafah dan Muzdalifah.

Setelah penat berbual saya sambung dengan aktiviti membaca alQuran. Saya menyambung bacaan menggunakan alQuran yang saya sememangnya dibawa ke mana-mana. Setelah keletihan sambil berbaring mengiring berwirid pula. Maktab kami iaitu Maktab 82 telah ditetapkan untuk melakukan Jamrah Qubra pada jam 9.25 malam. Kami akan dilepaskan secara berperingkat-peringkat. Arahan petugas TH telah mengambil kira arahan daripada kerajaan Saudi memaklumkan pembahagian waktu melontar mengikut negara supaya tidak berlaku kesesakan.

Saya dapati ada sebahagian jemaah yang telah keluar melontar sebaik sahaja tiba daripada Muzdalifah pagi tadi. Kebanyakan daripada saya jangka telahpun mempunyai pengalaman dan pengetahuan serta yakin untuk melakukannya. Petugas TH sendiri tidak menghalang sekiranya ada antara jemaah yang berhajat untuk melakukan sendiri tanpa mengikut jadual yang telah ditetapkan. Cuma mereka dinasihatkan untuk benar-benar faham dan tahu waktu melontar yang dibenarkan supaya tidak salah dan sah.

Pada sebelah petang, selain aktiviti membaca alQuran dan berbual-bual dengan jemaah saya sempat meninjau-ninjau sekitar khemah melihat-lihat pemandangan yang menyegarkan di luar khemah. Setelah beberapa ketika, saya masuk semula ke khemah untuk menikmati kopi 3 dalam 1 yang boleh dikatakan semua jemaah membawanya daripada Malaysia. Air panas ada tersedia berhampiran dengan dapur maktab. Jemaah hanya perlu membawa mug atau jug untuk mengambil air panas.

Kumpulan pertama maktab kami mulai berlepas selepas asar. Suasana di jalan menuju ke Jamrah sememangnya sesak dan penuh dengan jemaah. Kami dilepaskan secara berperingkat-peringkat dan kumpulan demi kumpulan. Mudah-mudahan dipermudahkan semuanya.

Sambil menunggu solat maghrib dan giliran untuk melontar kami menikmati makanan yang disediakan. Petang ini pelbagai makan tersedia. Pihak TH menyediakan epal, biskut, jeli buah, air kotak untuk minum petang. Ini tidak termasuk pek makan malam yang disediakan.

Pergerakan jemaah di laluan antara khemah mulai bercelaru. Sudah mulai ada jemaah lelaki yang tidak menjaga etika berihram dengan tidak menutup badan, sedangkan pada masa yang sama jemaah perempuan juga menggunakan laluan yang sama, terutamanya apabila keluar khemah ataupun pergi dan balik dari bilik air. Walaupun aurat lelaki antara pusat dan lutut, adalah lebih baik untuk menutup badan daripada terbuka terutamanya dalam keadaan jemaah perempuan ada bersama sebagai tanda hormat.

Keadaan selsema dan batuk saya masih lagi ada. Sekarang ini malah batuk berkahak yang agak berat. Oleh kerana keadaan yang sesak di dalam khemah, maka semasa duduk di dalam khemah saya menyediakan botol mineral kosong besar untuk dijadikan tempat berludah. Memang betul-betul menguji ketahanan ketika batuk-batuk berat berkahak di tengah-tengah jemaah yang ramai. Justeru itu, sepanjang masa saya mengenakan topeng mulut supaya tidak berjangkit kepada jemaah lain.

Selesai solat berjamaah jamak tamam magrhib dan isyak saya pergi ke klinik terlebih dahulu untuk mendapatkan bekalan ubat demam selesema dan batuk. Sekitar jam 9.25 malam saya dan rakan-rakan dipanggil untuk bersedia. Kami terus bergerak ke pintu utama maktab dan menunggu arahan petugas TH menerangkan tentang bagaimana pergerakan pergi dan balik melontar jamrah akan dilakukan. Sebagaimana biasa saya menggalas beg kuning yang berisi alQuran dan juga bungkusan batu-batu kerikil untuk melakukan lontaran.

Semasa petugas TH memberi taklimat, ada seorang jemaah yang telah mengerjakan ibadah melontar pagi tadi memberikan penerangan sampingan berkenaan ibadah melontar kepada saya dan beberapa rakan-rakan. Dia menerangkan pergerakan pergi dan balik serta apa yang perlu dilakukan dan tak perlu ikut waktu yang ditetapkan oleh TH. Jemaah boleh pergi sendiri sahaja kerana pekerjaan melontar tidaklah sukar. Namun, sebagai jemaah yang tidak ada pengalaman langsung pergi melontar saya lebih selesa untuk mengikut arahan dan bimbingan daripada TH terlebih dahulu. Mungkin setelah melalui sekali pusingan barulah berkeyakinan untuk melakukan sendiri.

Sekitar jam 9.30 malam kami bergerak satu kumpulan dengan dikepalai oleh petugas TH. Akan tetapi kami telah ditaklimatkan, sekiranya berlaku kesesakan dan terputus kumpulan kami hanya perlu meneruskan ibadah melontar tersebut hingga selesai dan berpatah balik ke arah khemah penginapan.

Perjalanan pergi lebih kurang sejauh 3.75 kilometer untuk sampai di tempat melontar Jamrah Qubra. Kami hanya mengikut arus pergerakan jemaah-jemaah, melalui terowong, sambil berwirid apa sahaja doa yang diingati. Untuk membaca doa daripada buku yang dibekalkan agak sukar kerana sambil berjalan. Namun perjalanan kami lancar dan tidak terdapat sebarang masalah.


Syukur alhamdulillah kerana kami dibenarkan untuk melontar pada waktu malam yang suhunya agak rendah dan tiada matahari. Walaupun begitu bahang panas padang pasir tetap terasa. Berjalan sejauh 3.75 kilometer menyebabkan kami berpeluh dan kain ihram yang kami pakai basah. Akan tetapi apabila berjalan bersama-sama dengan ribuan jemaah, walaupun jauh tetapi menyeronokkan. Alhamdulillah sepanjang perjalanan ada sahaja sukarelawan termasuk polis yang bertugas menyemburkan air ke arah jemaah untuk menyejukkan badan.

Tiba di tempat lontaran, kami terus melontar di Jamrah Qubro sebanyak 7 lontaran. Di tempat lontaran tidaklah terlalu sesak, cuma cara jemaah-jemaah melontar yang menyebabkan keadaan menjadi sesak. Ada jemaah yang melontar dari jauh. Ada pula yang menolak-nolak untuk ke hadapan, dan macam-macam gaya untuk melontar. Melontar hanya sebanyak 7 lontaran, dan jika setiap jemaah tertib menunggu giliran saya rasa ketenangan untuk menghayati tujuan lontaran mungkin lebih dirasai.


Selesai sahaja melontar kami terus berdoa dan melakukan Tahallul Awwal. Dengan itu maka kami telah melepaskan larangan ihram kecuali tiga perkara iaitu perilaku pra hubungan suami isteri, bersetubuh dan menikahkan. Kami juga sudah boleh menanggalkan pakaian ihram dan mengenakan pakaian biasa.


Perjalanan melontar daripada khemah kami tidaklah terlalu sukar kerana arah laluan jemaah memang telah diatur hanya satu arah sahaja. Arah perjalanan seperti satu pusingan besar. Berjalan satu arah, tiba di Jamrah dan melontar, berjalan terus mengikut arah papan tanda dan terus mengarah balik ke khemah penginapan. Dengan berjalan kaki dengan kelajuan sederhana kami mengambil masa lebih kurang 1 jam 20 minit untuk sampai semula ke khemah. Alhamdulillah, walaupun perjalanan pergi balik sekitar 7.5 kilometer, kepenatan tersebut tidak terasa kerana kami telah berjaya menyelesaikan sebahagian daripada kerja-kerja haji. Pemandangan perkhemahan jemaah di Mina yang cantik pun sudah memberikan kepuasan kepada saya dan isteri apabila melihatnya daripada laluan balik ke khemah.


Bagi jemaah yang tidak berkeupayaan untuk berjalan kaki, sentiasa ada disediakan perkhidmatan kerusi roda. Biasanya kalau diuruskan lebih awal dengan petugas TH adalah lebih mudah. Bayaran perkhidmatan sekitar SR400 – SR600, bergantung kepada daripada mana, jarak perkhidmatan dan juga perundingan dengan penolak berkenaan.

Ibadah melontar Jamrah Qubro ini adalah sebagai simbolis kepada peristiwa Nabi Ibrahim yang diperintahkan oleh Allah untuk ‘menyembelih’ anaknya Ismail. Ini merupakan cabaran kepada Nabi Ibrahim dan isterinya Hajar yang baru memperoleh anak ketika usia 80 tahun, tetapi diperintahkan untuk disembelih.

Dalam perjalanan ke tempat untuk menyembelih Nabi Ibrahim bertemu dengan syaitan yang berupa manusia yang menghasut Nabi Ibrahim sebanyak 3 kali supaya tidak melaksanakan perintah Allah tersebut. Nabi Ibrahim yang taat kepada Allah telah melontar Syaitan dengan batu-batu kecil dan tetap melaksanakan perintah tersebut. Peristiwa ini menjadi asas kepada ibadah melontar dan diteruskan oleh Nabi SAW beserta wajib dan sunat-sunat yang perlu diikuti semasa melontar hinggalah sekarang.

Tiba di khemah saya terus ke bilik air dan mandi kerbau untuk berkemas diri. saya perhatikan ramai juga jemaah lelaki yang mencukur rambut. Saya hanya memotong beberapa helai rambut dan telah saya selesaikan sebaik sahaja habis melontar. Jika ingin mencukur hingga botak, jemaah perlu melakukannya sebaik sahaja tiba di khemah di mana perkhidmatan mencukur disedikan. Kalau telah melakukan gunting selepas jamrah maka kerja mencukur botak tidak mendapat fadhilat menggunting.

Setelah itu saya berehat, berbaring sambil menaikkan kaki ke dinding untuk mengurangkan kepenatan. Saya sapu minyak yokoyoko yang saya bawa daripada Malaysia. Pelbagai bau minyak urat boleh saya hidu kerana kebanyakan jemaah menyapukannya untuk menghilangkan kepenatan terutamanya kaki.

Alhamdulillah sekitar jam 12.30 malam semua jemaah mulai melelapkan mata. Maka selesailah Hari 15 saya mengerjakan haji di Mina.

Mudah-mudahan hari-hari seterusnya lebih menyeronokkan, Insha Allah.


12 Ogos 2019

No comments:

Post a Comment