Alhamdulillah walaupun lambat bangun masih lagi terjaga jam 4.45 pagi. Pertama kali
sepanjang berada di Mekah saya terjaga lambat sedemikian. Rasa demam selsema
dan batuk-batuk memang menjejaskan kekuatan dan tenaga. Lebih-lebih lagi
terpaksa mengambil ubat sepanjang masa, lebih meletihkan. Redha dan bersyukur dengan
nikmat sakit yang Allah berikan.
Saya bangun terus mandi
untuk menyegarkan badan. Solat hanya di surau hotel sahaja. Seperti biasa,
solat subuh di surau tidaklah ramai jemaah kerana kebanyakannya bersolat di
Masjidil Haram. Saya pun tak pasti samada isteri saya bersolat di Masjidil
Haram ataupun tidak. Biasanya kalau dalam keadaan macam ini isteri saya akan ke
Masjidil Haram dengan rakan sebiliknya Hajjah Majah.
Selepas solat subuh saya
terus masuk ke bilik semula untuk merehatkan badan. Rasa demam selsema dan
batuk masih ada tetapi sudah mula stabil. Saya tersedar sekitar jam 6.30 pagi
ketika dikejutkan oleh rakan sebilik. Isteri saya dah sediakan roti sandwich
dengan teh O panas. Alhamdulillah segar sedikit badan.
Selesai sarapan terus
sidai pakaian dan bersiap-siap untuk makan di pasaraya Abraz di Bangunan Menara
Jam bersama Haji Sarjan dan isteri, Haji Azhar dan isteri, dan Haji Wan.
Walaupun masih belum segar sepenuhnya saya kuatkan juga tenaga untuk sama-sama
berjalan menikmati udara di Abraz. Pelbagai makanan dipesan untuk sama-sama
makan. Saya hanya menjamah sedikit kerana tekak masih perit dan terasa pahit.
Selepas itu kami terus berjalan-jalan
melihat kedai-kedai jualan. Sekarang ini harga jualan agak murah kerana jemaah
sudah ramai yang bergerak ke Madinah. Kurta yang saya beli minggu lepas dengan
harga SR60, sekarang ini ada kedai menjual hanya SR30 sahaja. Membeli belah di
sini hanya perlu menggunakan Bahasa Malaysia sahaja. Ia menjadi bahasa
perbualan jual beli di Mekah dan juga Madinah, dan mungkin juga tempat-tempat
lain yang sentiasa menjadi kunjungan jemaah.
Perbualan yang biasa ditanyakan
oleh penjual lelaki yang mesra pelanggan ialah berkenaan kahwin lebih daripada
satu. Kadang-kadang mereka bertanya kenapa hanya berkahwin seorang. Adakalanya
mereka mencadangkan supaya menambah isteri. Malah ada yang boleh membantu untuk
berkahwin lagi jika berminat.
Selesai berjalan-jalan kami
terus balik ke hotel. Ada rakan yang terus ke Masjidil Haram untuk menunggu
zohor. Kali ini perjalanan balik terasa jauh kerana kepanasan matahari yang
mulai menegak di atas kepala dan juga demam panas yang semakin berat.
Perlahan-lahan saya dan isteri berjalan sambil sekali sekala berludah kahak di
tong sampah di tepi-tepi jalan.
Sampai di hotel saya dan isteri
terus makan tengahari. Sambil menunggu zohor saya tertidur sebentar. Mungkin
kerana keletihan berjalan, ditambah dengan demam selsema dan batuk-batuk. Saya
hanya sempat bersolat zohor di lobi hotel sahaja kerana sudah terlambat bangun
dan surau hotel juga telah penuh.
Di sebelah saya ada jemaah
yang juga lewat. Sering berjumpa tetapi tak pernah berbual-bual. Mungkin kerana
sama-sama sibuk beribadah. Selesai solat zohor kami solat sunat ba’da, tetapi
dia bersolat dengan cara duduk walaupun dia kelihatannya sihat dan tidak ada
kecacatan fizikal. Cara dia bersolat duduk mengingatkan saya kepada jemaah di
tempat saya yang juga kerap bersolat sunat ba’da secara duduk. Semasa
bersekolah dulupun ada diajar cara-cara solat duduk sekiranya kita tidak mampu
untuk berdiri. Mungkin banyak lagi ilmu yang belum saya pelajari, Wallahuaklam.
Selepas zohor terus masuk
bilik merehatkan badan. Badan mula terasa ringan sedikit tetapi tekak masih
perit dan terasa pahit. Sama seperti waktu zohor tadi, solat asar pun terlambat
kerana tertidur. Saya solat asar berjamaah di lobi lagi kerana surau telah
penuh. Selesai solat asar saya berehat sebentar di lobi hotel.
Semasa berehat di lobi hotel, saya
perhatikan ada beberapa orang jemaah sedang menghisap rokok di depan hotel. Kepada
sesiapa yang benar-benar ingin berhenti merokok, mereka sebenarnya boleh
mengambil peluang untuk berhenti ketika mengerjakan haji. Tempoh menetap di
Mekah dan Madinah lebih kurang 40 hari semasa mengerjakan haji. Oleh itu,
mereka boleh memulakan proses berhenti merokok sejak mula mendaftar di TH pada
hari penerbangan. Seterusnya sehinggalah kembali semula ke Malaysia selepas
mengerjakan haji. Dengan tempoh masa 40 hari dan berkat doa di tanah haram,
Insha Allah akan dimakbulkan segala usaha dan permintaan tersebut.
Ramai juga jemaah yang duduk-duduk
di lobi sambil menunggu maghrib. Masih ada jemaah yang mengepos barang ke
Malaysia. Mungkin perbelanjaan terakhir sebelum ke Madinah. Kebanyakannya hanya
duduk berbual-bual mungkin melepaskan kebosanan duduk dalam bilik hotel sahaja.
Hari ini solat maghrib di surau
hotel sahaja. Demam selsema dan batuk masih belum sembuh. Badan masih terasa
panas dan kepala terasa berat. Pek makan malam yang saya ambil selepas maghrib
tadipun belum saya makan kerana kurang selera. Sebelum berehat saya sempat
mengangkat pakaian yang telah kering di tempat sidaian di atas bumbung.
Selepas makan malam saya makan
panadol ‘actifast’ pula yang diberikan oleh rakan sebilik saya. Mudah-mudahan
boleh memberi kesan.
Solat isyakpun hanya di surau
hotel. Beberapa hari yang lepas walaupun demam tetapi saya masih berupaya untuk
ke Masjidil Haram pada waktu maghrib, isyak dan subuh. Dan kadang-kadang dengan
rasa badan menggigil, berbaring di karpet hijau di dalam masjid, tetapi masih
mampu untuk pergi. Sekarang ini terasa demam selsema dan batuk saya seolah-olah
semakin berat.
Sekarang baru rasa terkilan kerana
tak dapat bersolat di Masjidil Haram kerana kesihatan yang tak mengizinkan.
Selama ini pergi bersolat waktu maghrib, isyak dan subuh bersama isteri
merupakan suatu keseronokan, tetapi sekarang ini dah tak mampu pula nak pergi.
Saya benarkan sahaja isteri pergi dengan rakan-rakan sebilik dia, dan tak perlu
menunggu saya.
Selepas isyak saya pergi ke klinik
TH untuk pemeriksaan kenapa sakit demam selsema dan batuk saya agak lama untuk
sembuh. Doktor menyatakan bahawa tonsil saya bengkak mungkin kerana jangkitan kuman.
Doktor memberikan ubat demam selsema dan juga antibiotik untuk mematikan kuman.
Setelah itu terus naik ke bilik dan terus memakan antibiotik yang dberikan oleh
doktor TH.
Bersiap-siap untuk tidur. Mudah-mudahan esok berasa lebih segar, Insha
Allah. Selesai Hari 32 di Mekah Al Mukarramah, Alhamdulillah.
29 Ogos 2019
No comments:
Post a Comment