Pergerakan kami dari lapangan terbang Jeddah berlalu dalam keadaan tenang. Semasa di
dalam perjalanan kami dimaklumkan bahawa kerja umrah haji ditangguhkan ke malam
dan tidak dibuat apabila sampai di Mekah. Ini kerana mengambil kira
jemaah-jemaah yang keletihan kerana perjalanan yang jauh. Semasa tiba di pintu
gerbang memasuki kota Mekah (tak pasti daerah mana, tetapi masih di lebuh raya
ke arah Mekah), kami dihadiahkan sekotak makanan yang mengandungi air kotak,
biskut dan buah setiap orang secara percuma. Saya yakin sumbangan daripada
individu atau syarikat yang bersedekah, sambil mengalu-alukan kedatangan jemaah
haji ke Mekah.
Kami sampai
di Hotel Amjad al Bait sekitar jam 1.00 pagi waktu Mekah. Semua jemaah dalam keadaan
keletihan kerana bergerak dari KLIA sejak dari pagi lagi. Setelah mendapatkan kunci
bilik hotel kami terus masuk ke bilik untuk berehat. Saya diberikan bilik yang
menempatkan 4 orang jemaah (seorang dari Bangi, 2 orang dari Kuantan). Zairi
dari Bangi dan masih muda berusia sekitar awal 40an. Mistam daripada Kuantan
dan muda sedikit daripada saya. Manakala Abg Wan juga dari Kuantan telah 2
tahun berpencen. Sambil memilih katil yang mana kami berbual-bual untuk
berkenalan. Perbualan, pemilihan posisi katil, penyimpanan bagasi berjalan
dengan ringkas dan mesra kerana semua boleh menerima dan saling memahami.
Bagasi besar masih belum sampai lagi.
Oleh kerana
kerja Umrah Haji ditunda ke malam, maka kami berehat membaringkan badan
menghilangkan penat sementara menunggu subuh yang dah tak lama lagi. Sungguhpun
demikian ada juga jemaah yang terus mengerjakan Umrah Haji selepas sahaja
‘check-in’ di hotel. Mereka biasanya jemaah yang pernah atau sudah biasa datang
ke Mekah dan masih bertenaga, walaupun setelah melalui perjalanan yang jauh. Sekitar
jam 4 pagi kami mulai bersiap-siap untuk mengerjakan subuh. Dengan masih
berpakaian ihram saya turun ke surau hotel yang berada di tingkat 1. Ada juga
jemaah yang terus bersolat subuh di Masjidi Haram. Para jemaah yang bersolat
subuh di surau hotel sambil menunggu subuh melakukan aktiviti biasa seperti
membaca al Quran, berkenal-kenalan dan solat-solat sunat.
Jam 4.30
pagi waktu subuh di Mekah. Ruangan surau hotel kecil dan hanya mampu memuatkan
sekitar 150 jemaah lelaki dan perempuan dalam satu-satu masa. Maka solat subuh
dibuat 2 kali bagi membolehkan jemaah bersolat jamaah. Perlahan-perlahan Allah
tunjukkan badan kecil macam saya ada kelebihannya. Dalam keadaan yang sempit
dan berhimpit semasa bersolat subuh saya masih dapat berdiri, rukuk dan sujud
dengan mudah dan sempurna. Ada juga yang hanya bersolat di dalam bilik, mungkin
kerana kepenatan.
Pengalaman
hidup pertama mengerjakan haji bermula. Selesai solat subuh semua jemaah
berbaris menunggu untuk menaiki lif. Hotel 12 tingkat yang menempatkan lebih
kurang 800 jemaah ini mempunyai 4 lif. Apabila digunakan oleh semua jemaah
dalam masa yang sama telah menimbulkan kesesakan. Ada jemaah saya perhatikan
telah memotong barisan untuk masuk dahulu. Yang menariknya tingkah laku
tersebut tidak mengira jemaah lelaki atau perempuan, sama sahaja. Saya sendiri
telah ‘dibahasakan’ oleh seorang jemaah kerana bergurau. Mungkin gurauan
tersebut tidak sesuai dan tidak kena pada tempat. Seharusnya saya perlu menjaga
tutur kata dan tidak berprasangka dengan jemaah lain, apatah lagi berprasangka
dengan Allah !!! Pagi itu masa menunggu lif untuk naik ke bilik memakan masa
sekitar 10 minit. Ada jemaah yang di tingkat berdekatan menggunakan tangga.
Pagi
pertama itu sarapan pagi dihantar ke tingkat-tingkat penginapan. Tak lama
selepas bersarapan bagasi besar kami sampai. Semua bagasi besar dihantar terus
ke tingkat di mana jemaah berada. Masing-masing saling membantu memilih bagasi.
Kami sebilik mulalah menyusun dan mengemas barang-barang yang dibawa. Oleh
kerana ruangan yang kecil dan terhad maka bagasi kami masukkan di bawah katil,
dan alhamdulillah beg besar yang saya bawa muat untuk ditolak masuk bawah
katil. Semua pakaian kekal dalam beg, dan akan diambil apabila diperlukan. Alhamdulillah
plug di Saudi sama seperti di Malaysia, 3 pin. Jadi ‘plug converter’ tak perlu.
Bezanya Cuma tidak ada suis untuk hidupkan atau matikan. Hanya cucuk pada plug
terus hidup.
Sekitar jam
8.30 pagi selepas sarapan dan mengemas bagasi saya dan isteri turun ke lobi
untuk melihat sekitar hotel. Kami perhatikan jemaah sibuk membeli sim kad dan
ada yang mula bertanya berkenaan dengan perkhidmatan pos barang, bayaran dam,
urusan dobi dan juga ‘bilik berkat’. Saya dapati ada 2 jenis perkhidmatan kad
telefon, pertama perkhidmatan yang diuruskan oleh TM Malaysia (Lebara) dan
kedua, sistem telekomunikasi Saudi (Zain dan lain-lain). Semasa di KLIA ada
juga kad sim yang dibekalkan oleh TH (Mobily) secara percuma, tetapi apabila
sampai di Mekah kita perlu daftar dan topup sebelum boleh digunakan.
Masing-masing perkhidmatan ada kelebihan dan kekurangan. Saya dan isteri
memilih yang ditawarkan oleh TM Malaysia kerana hanya perlukan perkhidmatan
internet untuk whatsap.
Perkhidmatan
telekomunikasi saya kira penting kerana apabila jemaah berjauhan mereka
memerlukan perkhidmatan yang menghubungkan mereka dengan sanak saudara di
Malaysia. Sebagai manusia biasa, paling tidak kami dapat memaklumkan kepada
anak-anak dan saudara semua bahawa kami telah selamat sampai dan juga dapat
mengetahui semua yang ditinggalkan di Malaysia berada dalam keadaan yang sihat.
Selepas itu
kami berlegar-legar di sekitar hotel untuk merasa suasana padang pasir yang
ketika ini panas hingga mencecah 45 darjah celcius. Kami perhatikan sudah ada jemaah
yang memasuki kedai-kedai jualan untuk meninjau-ninjau barangan seperti jubah,
kurma, sejadah, dan lain-lain cenderahati.
Sekitar jam
12 tengah hari kami naik semula ke bilik untuk bersiap-siap solat zohor. Saya
datang 15 minit awal tetapi surau hotel telah penuh dan mula terfikir untuk
pusingan kedua. Akan tetapi ada juga jemaah yang walaupun lebih lambat daripada
saya dapat masuk ke saf dengan pantas. Saya hanya memerhatikan sahaja dengan
penuh sabar. Alhamdulillah berkat kesabaran menunggu dapat juga saya masuk ke
saf berjamaah.
Selepas
selesai solat zohor saya dan isteri terus ke kafe hotel untuk mengambil makanan
tengah hari. Setiap jemaah perlu ‘scan’ name tag haji masing-masing sebagai
rekod pengambilan makanan. Oleh kerana ruang makan kafe juga kecil maka kami
makan di dalam bilik masing-masing.
Makanan
yang dibungkus dalam bekas aluminium dihidangkan panas dan keluar langsung
daripada ‘heater’. TH menyediakan dua kali makan iaitu makan tengah hari dan
makan malam. Menu yang disediakan tidak pedas, tidak berminyak, kurang masin,
dan kurang rempah. Oleh kerana tidak terbiasa dengan menu sedemikian maka
sambal-sambal kering yang dibawa dari Malaysia jadi penambah selera makan.
Seronoknya Zairi bawa sambal kering gaya Selangor, Mistam dan Abg Wan bawa
sambal hitam gaya Kuantan. Sambil makan tengah hari kami berbual-bual untuk
lebih mengenal antara satu sama lain. Selesai makan tengah hari kami
berehat-rehat sambil menunggu waktu asar.
Selain
daripada untuk bersolat waktu, ketika berehat di bilik saya mengenakan kain
ihram ‘alternatif’ kerana takut mengotorkan kain ihram putih. Kain ihram
alternatif yang saya maksudkan adalah 2 helai kain pelikat yang tidak berjahit.
1 untuk bahagian atas dan 1 untuk bahagian bawah. Dengan cara ini kain ihram
putih yang saya gunakan masih kekal bersih. Cuma saya tidak dapat menggunakan 2
helai kain pelikat yang sama corak. Mungkin untuk lain kali saya akan beli 2
helai kain pelikat yang sama corak supaya nampak lebih cantik dan kemas.
Saya masih
lagi bersolat asar jamaah di surau hotel. Saya datang 10 minit lebih awal, dan
seperti dijangka surau telah sesak. Kali ini terpaksa menunggu solat jamaah
pusingan dua. Selepas solat asar macam biasa menunggu di lif untuk ke bilik.
Masuk bilik rehat lagi berbual-bual dengan Zairi, Mistam dan Abang Wan sambil
menunggu maghrib.
Saya masih
lagi bersolat di surau hotel. Saya turun awal sedikit untuk solat maghrib dan
kali ini dapat saf dalam pusingan jamaah pertama. Selepas solat terus ke kafe
untuk mengambil makan malam. Oleh kerana masa maghrib dengan isyak tidak
panjang maka saya selesaikan makan malam seberapa segera yang mungkin.
Saya masih
lagi bersolat isyak di surau hotel. Selepas selesai solat isyak semua jemaah
bersiap-siap untuk ke Masjidil Haram untuk menyelesaikan umrah haji, kecuali
yang telah menyelesaikannya sebaik sahaja sampai ke Mekah semalam.
Kami turun
ke lobi untuk mendengar taklimat daripada pegawai TH berkenaan dengan pekerjaan
umrah haji yang akan diselesaikan. Dalam taklimat tersebut dimaklumkan berkenaan
dengan pergerakan pergi dan balik. Disarankan supaya suami isteri pergi
bersama-sama untuk memudahkan urusan.
Setelah itu
kami bergerak perlahan-lahan ke Masjidil Haram. Saya bergerak bersama dengan
isteri. Sepanjang perjalanan kami bertalbiah dan membaca doa dengan hati yang
berbunga-bunga kerana dapat melihat Kaabah semula dan supaya dipermudahkan
semua urusan. Sesekali saya berbincang dengan isteri urusan semasa mengerjakan
umrah haji tersebut, bermula daripada urusan menyimpan selipar, pergerakan
semasa tawaf, saei dan bergunting dan seterusnya balik ke hotel.
Semasa kami
tiba di dataran jam berhadapan dengan pintu masuk masjid suasana biasa sudah
terasa, iaitu kepadatan manusia untuk mengerjakan ibadah. Kami masuk melalui
pintu Ismail untuk ke dataran Kaabah. Kami menyimpan kasut di bawah tangga di
tempat penyimpanan kasut bernombor yang disediakan. Kami catat nombor rak kasut
berkenaan supaya mudah untuk diambil semula. Ada juga jemaah yang membawa
selipar di dalam plastik dan dibawa bersama semasa bertawaf. Kami telah
dinasihatkan untuk menyimpannya di rak yang disediakan kerana ditakuti terlekat
najis pada selipar berkenaan. Setelah itu kami terus bergerak perlahan-lahan
mengikut arus pergerakan ke dataran Kaabah.
Memasuki
dataran Kaabah dapat kami rasakan kepadatan musim haji, jemaah yang sibuk
bertawaf, bersolat, membaca alQuran dan berwirid tanpa henti. Kami memulakan
tawaf dari Rukun Hajar Aswad, di celah-celah kepadatan jemaah daripada seluruh
dunia untuk sebanyak 7 pusingan. Sepanjang bertawaf kami membaca doa dan tasbih
apa sahaja yang kami ingati kerana membaca doa daripada buku panduan yang
dibekalkan oleh TH agak sukar kerana berhimpit-himpit dengan jemaah lainnya.
Tambahan pula kami perlu memakai cermin mata untuk membaca menambah sukar untuk
membaca buku yang dibekalkan oleh TH.
Ada juga
yang membaca doa melalui telefon bimbit. Ada yang membaca perlahan dan ada yang
kuat, terutamanya jemaah yang bertawaf secara berkumpulan. Kadang-kadang agak
mengganggu jugak tumpuan kita bila dengar mereka membaca kuat. Terdapat jugak
jemaah yang sambil bertawaf sibuk membaca doa dan tasbih daripada buku. Ada
jugak terdapat jemaah yang sibuk merakam pekerjaan tawaf mereka dan ada juga
yang berselfie sehingga kadang-kadang menyebabkan pusingan tawaf mereka tidak
konsisten, sekejap ke tengah sekejap ke tepi.
Gaya
bertawaf pula pelbagai. Ada yang bersama isteri. Ada yang bersendiri. Dan ada
yang berkumpulan. Yang berkumpulan pula saya perhatikan kadang-kadang boleh
mengganggu jemaah lain yang sedang bertawaf. Untuk mengekalkan pergerakan
kumpulan mereka maka ada ketikanya mereka terpaksa menolak dan melanggar jemaah
di depan mereka.
Oleh itu
pengalaman ditolak, dilanggar merupakan perkara biasa semasa bertawaf.
Kadang-kadang oleh jemaah daripada belakang. Kadang-kadang oleh jemaah yang
datang dari kiri atau kanan. Kalau dari kanan maknanya mereka cuba bergerak
menghampiri Kaabah. Manakala kalau dari kiri biasanya jemaah yang ingin keluar
daripada pusingan tawaf. Dan jangan terperanjat kalau berjumpa dengan jemaah
yang bergerak melawan arus tawaf. Kepelbagaian tingkah laku ini sebenarnya
berkaitan dengan kepelbagaian tujuan dan matlamat jemaah yang masuk ke dataran
Kaabah.
Keadaan
tawaf pada malam itu sangat sesak dengan jemaah bersentuhan badan dan sukar
untuk bergerak bersendirian. Kami lebih kepada mengikut arus pergerakan tawaf
sahaja. Kesesakan lebih padat terutamanya pada garisan Rukun Hajar Aswad.
Disitulah permulaan tawaf dilakukan dan diakhiri. Cuma yang kami perhatikan ada
jemaah apabila tiba di situ berhenti sambil menghadap ke arah Hajar Aswad dan
berdoa. Apabila berhenti maka jemaah lain terpaksa juga berhenti. Sebab itu
kami diajar TH supaya hanya melambai tanpa perlu berhenti dan menghadap ke arah
Hajar Aswad. Malah kalau menghadap maknanya bahu kita akan terpusing tidak
menghadap Kaabah dengan sengaja.
Setelah
selesai bertawaf 7 pusingan kami keluar perlahan-lahan mengikut arus pergerakan
terus ke lingkaran luar dataran tawaf untuk bersolat sunat. Kawasan lingkaran
luar dataran tawaf berkenaan sentiasa sesak dengan jemaah bersolat dan munajat
sebelum bergerak untuk mengerjakan saei.
Seperti
disunatkan semasa menuju ke dataran saei kami minum air zamzam terlebih dahulu
dihentian air zamzam yang tersedia dengan banyaknya. Memang menyegarkan sebelum
bergerak mengerjakan saei. Setelah hilang dahaga kami terus ke arah Bukit Safa
untuk memulakan saei umrah haji sebanyak 7 pusingan. Pada ketika ini tidak ada
ruang yang tidak sesak dengan jemaah, tetapi semua aktiviti ibadah dapat dilaksanakan
tanpa banyak masalah. Allah mempermudahkan semua urusan dengan memberikan rasa
tolak ansur dan saling memahami dalam diri setiap jemaah.
Semasa
memulakan saei saya terpaksa menahan rasa nak buang air kecil kerana kesesakan
jemaah. Walaupun makruh menahan kencing tetapi saya masih mampu menahan
sehinggalah selesai kerja umrah haji. Ini kerana mengambil kira tandas yang
terletak di luar Masjidil Haram. Saya dan isteri meneruskan ibadah saei
sebanyak 7 pusingan daripada Bukit Safa Ke Marwah.
Memang agak
letih juga bersaei setelah bersesak-sesak semasa bertawaf, maka saya sarankan
kepada isteri untuk berjalan dengan mengutamakan bahagian keseluruhan tapak
kaki supaya tidak terlalu letih. Kalau terlalu menggunakan bahagian hadapan
atau belakang tapak kaki ia cepat meletihkan betis kita. Di tengah-tengah
perjalanan saei kami berhenti seketika berehat. Kami juga sekali-sekala
berhenti di tepi laluan saei untuk menikmati kesegaran air zamzam yang
disediakan. Alhamdulillah akhirnya kami selesai bersaei pada waktu tengah
malam.
Setelah
selesai berdoa dan bergunting maka selesailah umrah haji kami dan kami boleh
melepaskan ihram dan pantang larang berihram. Kami bergerak perlahan-lahan
balik ke hotel dan sampai dalam jam 1.30 pagi. Sampai di hotel kami terus masuk
bilik dan tidur supaya kami dapat bangun semula jam 4.30 pagi untuk bersolat
subuh di Masjidil Haram.
Alhamdulillah selesai sudah Hari 2
kami mengerjakan haji.
30 Julai 2019
No comments:
Post a Comment