Tuesday, 21 April 2020

HARI 13 WUKUF DI ARAFAH


Alhamdulillah masih diberi kesihatan untuk bangun pagi sekitar jam 3 pagi. Pertama kali tidur berhimpit-himpit di atas karpet dan alas plastik TH dan berbantalkan beg merah juga yang dibekalkan TH. Selepas itu terus bangun dan ke bilik air untuk bersuci.

Pagi ini walaupun sudah ada jemaah yang berbaris menunggu di bilik air, akan tetapi tempoh menunggu tidaklah lama. Setelah selesai saya terus menukar kain ihram kepada yang putih dan mula melakukan iktikaf di dalam khemah dengan solat-solat sunat tahajjud dan taubat dan membaca alQuran sambil menunggu solat subuh.

Namun begitu sekitar jam 3.45 pagi bekalan elektrik telah diputuskan dan suasana agak gelap. Jemaah-jemaah terpaksa menggunakan lampu telefon bimbit untuk membaca alQuran. Mungkin kalau ada lampu picit yang kecil, atau lampu LED kecil yang menggunakan bateri kering lebih baik. Sekarang ini sudah ada dijual lampu-lampu baca LED yang menggunakan bateri sel kering ataupun boleh menggunakan sumber daripada ‘power bank.’

      Selain itu jemaah pula perlu bersedia untuk bersolat dalam ruangan yang sempit dan tidak rata, bergantung kepada di mana kita mendapat ruang untuk tidur dan beriktikaf di dalam khemah. Dengan menggunakan sejadah yang saya bawa maka saya perlu menyesuaikan diri dengan permukaan lantai yang kadang-kadang tidak rata. Alhamdulillah, lantai saya walaupun agak lekuk sedikit tetapi tidaklah sukar untuk berdiri dan bersolat. Apabila semua jemaah telah bersedia maka saf-saf akan dibentuk di dalam khemah seperti biasa untuk bersolat subuh.   
     
      Solat subuh seperti biasa, hanya di dalam khemah masing-masing berimamkan imam di surau khemah. Selepas solat kami mendengar tazkirah subuh yang disampaikan oleh imam. Memang tidak ada masa untuk tidur semula selepas solat, kerana semua sibuk beriktikaf dan bermunajat. Lebih-lebih lagi hari ini adalah kemuncak haji iaitu khutbah Arafah. Selepas tazkirah masing-masing dengan urusan masing-masing.

      Sambil berehat menunggu sarapan pagi saya terfikir tentang wukuf di Arafah ini yang sebenarnya mengajar saya banyak perkara. Sedikit sebanyak memberikan gambaran semasa di akhirat nanti di mana manusia dikumpulkan untuk dihisab segala amalan. Di Arafah ini juga dikatakan tempat-tempat paling mustajab dalam beribadah, terutamanya selepas waktu zohor sehinggalah masa bergerak ke Muzdalifah. Ruangan tidur yang sempit dan terhad dari sebarang pergerakan pula memberikan gambaran suasana di dalam kubur yang sempit dan gelap. Masyaallah…

      Selepas sarapan pagi saya mengambil kesempatan untuk berehat sebentar sebelum bangun memperkemaskan diri untuk berwukuf tengahari nanti. Saya perhatikan jemaah yang lain pun kelihatan sibuk mempersiapkan diri. Alhamdulillah, dapatlah saya lelap sekejap untuk menghilangkan keletihan. Tidur sebentar kadang-kadang lebih baik daripada duduk bersembang kosong dengan jemaah, kerana kerap juga kita ‘tergelincir’ bercerita tentang orang lain. Apatah lagi kalau cerita yang dibualkan merupakan aib orang lain…Masyaallah…

      Saya sentiasa berdoa dan berharap supaya fokus ibadah saya kekal tidak terganggu demi memperoleh keredhaanNya. Larangan ihram yang sedang saya kita lalui juga menambah fokus hanya kepada Allah. Selain itu juga, kalau fokus saya terganggu kemungkinan untuk saya melakukan kesalahan-kesalahan seperti memetik bunga, mencabut atau mematahkan pokok-pokok kecil, mencabut daun, ataupun membunuh serangga terutamanya semut atau lalat adalah besar. Semua ini merupakan larangan-larangan dalam berihram yang menyebabkan kita dikenakan dam. 

      Sekitar jam 10 pagi, makan tengahari telahpun tersedia. Tetapi saya terus ke bilik air untuk mensucikan diri dan berwudhuk. Pada ketika ini agak lengang sedikit jemaah yang menunggu di bilik air mungkin kerana suasana panas terik matahari menyebabkan jemaah tidak sanggup untuk berbaris. Alhamdulillah saya dapat menggunakan bilik air tanpa perlu menunggu terlalu lama. Saya dapat juga ‘mandi kerbau’ iaitu istilah mandi ringkas dalam kalangan jemaah untuk menyegarkan badan. Jangan terperanjat air paip di Arab adalah suam-suam dan tidak sejuk seperti air paip di Malaysia.

Menu makan tengahari yang disediakan lebih kurang sama dengan yang dihidangkan semasa di Mekah tempohari. Saya rasa menu tidak pedas dan tidak berminyak yang dihidangkan oleh TH merupakan menu yang bijak dan tepat kerana boleh menjaga sistem penghadaman jemaah. Selain itu, hidangan biasa lain seperti limau dan epal juga dibekalkan untuk membantu jemaah mengekalkan kecergasan dan juga sistem penghadaman.

Selepas makan kami berehat lagi sambil menunggu waktu wukuf yang ditandai dengan dibacakannya Khutbah Arafah. Sambil berbaring-baring ada beberapa jemaah sedang bercerita pasal penghawa dingin. Ada seorang jemaah berdekatan dengan saya memusingkan bilah penghawa dingin ke arah lain kerana berasa terlalu sejuk. Maka saya dan jemaah yang bersebelahan dengan dia mula berasa panas.

Akan tetapi selang beberapa ketika jemaah yang memusingkan bilah penghawa dingin tadi pula berasa panas dan ingin memusingkan kembali bilah tersebut. Kami hanya memerhatikan sahaja gelagat jemaah tersebut. Dalam hati saya berkata-kata bahawa jemaah tersebut hanya mementingkan diri sendiri. Pusing bilah arah lain bila sejuk, dan pusingkan semula bilah arah dirinya bila panas, seolah-olah di dalam khemah tersebut hanya dia seorang sahaja yang ada. Saya sendiri dari tadi terpaksa menahan panas kerana bilah penghawa dingin dipusingkan ke arah lain.

Entahlah, kadang-kadang saya rasa bersalah kerana terbit dalam hati perasaan macam itu kepada jemaah berkenaan. Sebagai manusia biasa rasa geram tetap sahaja timbul dalam hati, cuma alhamdulillah tidak sampai menegur jemaah tersebut secara lisan langsung. “Ya Allah…Bimbinglah aku…”

Tak lama kemudian imam surau melaung iqamah untuk mengajak semua jemaah bersolat dhuha. Alhamdulillah hampir semua jemaah terus bergegas bersiap untuk solat dhuha berjamaah. Setelah itu masing-masing sibuk meneruskan aktiviti ibadah sambil menunggu waktu zohor. Saya teruskan pengisian tempoh masa yang ada dengan berwirid dan mengaji alQuran. Solat-solat sunat agak terhad kerana ruangan yang sangat sempit dan terhad. Saya dapati ada tanda-tanda cepat letih apabila berterus-terusan berwirid atau membaca alQuran. Subhanallah…jauhnya kualiti saya dengan para alim ulamak.


Tepat jam 12.26 tengahari Khutbah Arafah dibacakan dalam BM oleh Imam. Khutbah yang sangat menyentuh hati saya berkenaan dengan kesusahan Nabi SAW melengkapkan risalah Islam untuk kegunaan umat manusia. Perkara yang paling menyentuh perasaan saya ialah berkenaan dengan pesanan-pesanan terakhir Nabi SAW yang paling utama iaitu mengingatkan umat manusia supaya berpegang kepada alQuran dan Sunnah yang mana manusia tidak akan sesat selama-lamanya.

Allah telah menyatakan dengan jelas pada hari itu telah disempurnakan Agama Islam sebagai agama yang diredhai. Diceritakan juga bagaimana Saidina Abu Bakar As Siddiq menangis apabila mendengar pesanan-pesanan terakhir tersebut kerana beliau menyedari bahawa tugas Nabi SAW telah sempurna dan akan pergi buat selama-lamanya. Perkara yang akan sentiasa ditangisi setiap kali mengingatkan sejarah berkenaan. Subhanallah…kekalkanlah aku supaya sentiasa merasai kesedihan tersebut setiap kali mendengar peristiwa ini diceritakan…Mudah-mudahan dengan air mata yang mengalir mendekatkan aku denganMu dan juga rasa rindu kepada RasulMu…

Selesai khutbah semua jemaah bersolat jamaah tamam zohor dan asar di khemah masing-masing dengan diimamkan imam di surau. Selepas itu selesailah waktu wukuf yang disyaratkan. Masing-masing jemaah meneruskan ibadah masing-masing dengan berdoa, bermunajat, dan mengaji alQuran. Pada ketika ini masing-masing sibuk dengan urusan masing-masing, suara esakan tangis kedengaran di segenap ruangan khemah.

Masa tinggal di Arafah semakin singkat kerana sekejap lagi kami semua mula bergerak untuk singgah sebentar di Muzdalifah sebelum bergerak ke Mina. Namun di tengah kesibukan jemaah bermunajat, terdapat juga sebahagian jemaah yang hanya berbual-bual, berbaringan, makan dan lain-lain sambil menunggu masa untuk bergerak ke Muzdalifah.

Sekitar jam 2.55 petang angin kencang dengan hujan dan guruh melanda di perkhemahan jemaah di Arafah. Semua khemah bergegar ditiup angin dan ditimpa hujan. Bekalan elektrik dihentikan seketika. Masing-masing tinggal di dalam khemah. Air mulai masuk ke dalam khemah pada bahagian-bahagian yang agak rendah termasuklah di khemah saya. Mana-mana celah yang terbuka antara khemah juga tempias dengan air hujan. Alhamdulillah, sebagai mana biasa, hujan di padang pasir biasanya tidak lama. Cuma beberapa khemah sahaja yang terjejas terus dimasuki air dan debu.

Hujan mulai berhenti tetapi khemah mulai terasa bahang kerana bekalan elektrik masih belum disambung, dan penghawa dingin masih belum berfungsi. Namun kami berbahagia kerana diuji sedemikian rupa, dan menjadikan suasana kesukaran tersebut sebagai suatu nikmat. Subhanallah…

Sekarang ini jam menunjukkan pukul 4.18 petang. Hujan dan angin telahpun reda. Makan malam juga telah diedarkan dan jemaah terus menikmati makan malam kerana akan mula bergerak menaiki bas untuk ke Muzdalifah. Kain ihram saya agak kotor sedikit kerana percikan air hujan, debu dan habuk yang masuk ke dalam khemah semasa hujan tadi.

Setelah itu jemaah mulai sibuk mengemas barang-barang untuk bergerak menaiki bas ke Muzdalifah. Bas pertama maktab kami dijangkakan akan bergerak 6.10 petang. Oleh kerana di dalam khemah masih tiada elektrik dan agak panas ramai jemaah berada di luar khemah termasuklah saya, untuk menikmati angin Arafah. Di jalan-jalan keadaan semakin sibuk dengan bas-bas dan jemaah yang mula bergerak ke Muzdalifah. Sehinggalah masuk waktu maghrib, khemah kami masih belum bergerak. Kami bersolat jamak tamam maghrib dan isyak terlebih dahulu.


Bas yang datang bukan seperti bas yang kami naiki semasa di Mekah untuk ke Arafah. Ia merupakan bas yang disediakan secara terbuka dan tidak bernombor. Mana-mana jemaah yang berada di hadapan barisan boleh terus menaiki bas sekiranya masih kosong. Alhamdulillah, semasa menunggu giliran ada pek makanan yang diedarkan oleh penyumbang-penyumbang sedekah. Dapatlah kami menghilangkan dahaga dan rasa lapar.

Keadaan semasa menaiki bas agak kelam kabut tetapi masih terkawal. Ini kerana terdapat segelintir jemaah yang berebut menaiki bas, walaupun belum merupakan giliran mereka. Ada pula yang cuba menaiki bas secara berkelompok, mungkin sanak saudara mereka, hingga menyebabkan pergerakan jemaah menaiki bas terganggu. Aktiviti memotong barisan pun semakin sukar dikenalpasti kerana kebanyakan jemaah sudah tidak mengikuti arahan TH yang mengarahkan pergerakan menaiki bas mengikut khemah ke khemah.

Beginilah keadaannya bila sudah terlalu ramai dan tidak mengambil peduli arahan yang dikeluarkan oleh TH. Karakter peribadi yang tidak sabar, tidak mendengar arahan dan mementingkan diri sendiri mulai kelihatan. Malah sudah ada kedengaran rungutan dan rasa tidak puas hati. Namun saya masih bersyukur kerana kebanyakan jemaah masih bersabar dan mengikut giliran untuk menaiki bas.


Sekitar jam 7.54 malam barulah kumpulan kami dapat menaiki bas. Perjalanan ke Muzdalifah hanyalah sekitar 15 minit sahaja. Sampai sahaja di Muzdalifah kami turun bas dan terus mendengar arahan daripada petugas TH. Kawasan lapang di Muzdalifah untuk jemaah daripada Malaysia telahpun ditetapkan dan ditandakan dengan tali. Kami hanya mengikuti arahan petugas untuk duduk ke tempat yang telah ditetapkan. Ia merupakan tanah lapang yang tidak ada pokok-pokok tetapi terdapat batu-batu kecil yang dikutip oleh jemaah untuk digunakan semasa ibadah melontar di Mina nanti. Karpet plastik hijau yang dibekalkan oleh TH kami gunakan sebagai pengalas untuk duduk dan baring.


Suasana malam itu agak tenang, walaupun suara-suara jemaah Iran yang berjalan kaki di tepi-tepi jalan raya sesekali kedengaran melaungkan talbiah dengan suara yang lantang. Saya dan isteri hanya berbaring dan sesekali berdiri untuk menghilangkan keletihan. Oleh kerana bilik air tidak berapa jauh dari tempat saya duduk maka saya boleh memerhatikan pergerakan jemaah di bilik air. Apabila kosong barulah saya pergi.

Di luar bilik air pula disediakan paip untuk mengambil wudhuk. Sepanjang saya berhenti sebentar di Muzdalifah sempat 2 kali saya menggunakan bilik air. Aktiviti yang dilakukan termasuklah membaca alQuran dan berwirid. Sambil itu kami juga mengutip sedikit batu-batu kecil dan dicampurkan dengan bungkusan batu kerikil yang telah dibekalkan oleh TH sebagai mendapatkan sunat mengutip batu di Muzdalifah.

Saya sempat melelapkan mata untuk beberapa ketika menghilangkan keletihan. Sekitar jam 12.30 malam kami diarahkan untuk berkemas dan bersiap-siap untuk mula bergerak menaiki bas ke Mina.

Alhamdulillah selesai Hari 13, ibadah bermalam di Muzdalifah.
Mudah-mudahan ibadah seterusnya dipermudahkan dan dapat dilaksanakan dengan sempurna.


10 Ogos 2019

No comments:

Post a Comment