Tuesday, 21 April 2020

HARI 8 MEKAH AL MUKARRAMAH


Pagi ini terjaga macam biasa sekitar jam 2.30 pagi. Bilik saya mulai sibuk kerana semua bersiap-siap untuk ke Masjidil Haram. Badan masih terasa demam, tetapi agak ringan sedikit walaupun tekak masih perit. Kejutkan isteri untuk siap-siap ke Masjidil Haram. Sebelum gerak saya mengambil 2 biji lagi panadol ‘soluble’, mudah-mudahan sembuh daripada demam.

            Jam 3 pagi terus gerak perlahan-lahan dengan isteri ke Masjidil Haram. Kami terus masuk melalui pintu biasa, pintu Ajyad. Sebelum berpecah, kami singgah dulu di hentian air zamzam untuk minum sambil mengisi sebotol kecil dan juga botol semburan muka. Minum dan mengisi air zamzam semasa datang lebih mudah kerana jemaah tidak terlalu ramai yang berhenti. Kalau selepas solat jemaah lebih ramai yang berhenti minum ataupun mengisi air zamzam dalam botol-botol.

Seperti biasa saya akan bergerak ke arah kiri dan isteri ke arah kanan. Dah beberapa waktu di sini sedikit demi sedikit mula faham cara untuk mencari tempat bersolat dan beriktikaf. Biasanya kami akan terus berjalan mengikut arus jemaah sambil memerhatikan saf-saf yang masih kosong sehinggalah kami dapat. Alhamdulillah, macam hari-hari sebelumnya kami tidak terlalu sukar untuk mendapat tempat.

Rezeki mendapat tempat beriktikaf dan bersolat berbeza-beza setiap masa. Ada ketikanya saya dapat tempat yang benar-benar menghadap Kaabah, dan kerap juga saya terpaksa beriktikaf dan bersolat tanpa dapat melihat Kaabah kerana terlindung tiang atau dinding masjid. Namun, walaupun terlindung, arah kiblat tidak sukar. Samada mengikut arah saf jemaah ataupun dengan mengikut arah jubin lantai masjid atau garisan. Saf jemaah kadang-kadang ada yang kurang tepat kerana mungkin bersesak. Tetapi jubin lantai dan garisan arah Kiblat lebih tepat kerana memang dibuat mengarah ke Kiblat. Oleh itu, sesiapa yang terlindung oleh dinding atau tiang, ikut sahaja arah jubin lantai dan garisan yang ada.

Setelah mendapat tempat saya meneruskan aktiviti biasa, beriktikaf dengan bersolat-solat sunat dan membaca alQuran sehinggalah iqamah. Aktiviti membaca alQuran sekarang ini lebih mudah kerana selain daripada alQuran yang sedia ada di dalam rak masjid, kita boleh bawa sendiri ataupun membacanya melalui telefon pintar, ikut mana-mana yang selesa dan mudah. Bagi saya memang sentiasa membawa alQuran yang saya beli semasa mengerjakan Umrah pada 2016. Saya memang sengaja membawanya dan membacanya sepanjang masa supaya saya dapat menghabiskan 30 juzuk seberapa banyak yang boleh. Kali ini lebih mudah kerana sentiasa bersama isteri, dan kalau antara kami memerlukan bilik air maka salah seorang boleh memegang beg dan menunggu di luar.

Saya perhatikan antara aktiviti biasa jemaah ialah berselfie. Pada saya tidak menjadi kesalahan untuk merekod dan mengambil gambar sebagai kenang-kenangan. Mengerjakan haji seolah-olah yang pertama dan yang terakhir. Maka dengan merekodkan video atau gambar boleh mengekalkan ingatan kita kepada kehidupan di Mekah. Namun jemaah juga perlu sedar 2 perkara semasa melakukan aktiviti berkenaan.  Pertama, aktiviti merekod dan mengambil gambar supaya tidak mengganggu dan menghalang jemaah lain daripada beribadah. Kedua, supaya kegiatan tersebut tidak menjejaskan tumpuan dan perhatian kita kepada ibadah. Kalau mampu mengambil kira 2 perkara penting ini maka video dan gambar yang diambil boleh memberi manfaat kepada kita apabila balik nanti, dan juga boleh merangsang rakan-rakan di Malaysia supaya tertarik sama untuk datang mengerjakan haji.

Semakin hampir ke subuh keadaan saf jemaah semakin padat dan banyak laluan masuk ke masjid ditutup. Jemaah yang berada di laluan utama tawaf kebanyakannya hanya berdiri kerana masih ada lagi jemaah yang sedang bertawaf.

Solat subuh sentiasa syahdu dan mengujakan. Di Masjidil Haram imam tidak membaca qunut, hanya tomakninah seperti biasa. Selesai solat subuh dan jenazah saya terus gerak keluar perlahan-lahan. Pagi ini dah janji dengan kawan sekampung masa kecil, Japit yang kebetulan sama mengerjakan haji tetapi berlainan hotel,  dulu untuk bersarapan di restoran zamzam pekena kari kambing dan roti.


Oleh kerana jemaah yang terlalu ramai, maka kami tetapkan tempat berjumpa di WC 2, nombor bilik air di sekitar masjid. Di sini, nombor bilik air juga merupakan salah satu tempat untuk bertemu. Nombor bilik air tersebut ditulis dengan nombor yang besar dan boleh dilihat daripada jauh.


Kami bersarapan bersama sambil sembang-sembang bertanya khabar dan berkongsi pengalaman semasa berada di Mekah. Sambil menunggu ada jemaah yang meminta sedekah. Selepas selesai saya dan isteri terus bali ke hotel.

Dalam perjalanan balik kerap kali juga kami memungut botol air mineral yang dibuang di atas jalan untuk dimasukkan ke dalam tong sampah. Sangat mudah untuk mendapat pahala. Dengan niat untuk menjaga kebersihan kota suci Allah daripada kekotoran mudah-mudahan diberi ganjaran yang berganda-ganda, insya Allah. Sampai bilik rehat sekejap sambil menunggu waktu zohor pula.

Hari ini solat zohor hanya di Masjid Bukit sahaja. Badan dah mula rasa segar sedikit daripada demam. Cuaca sudah sememangnya panas. Semakin dekat dengan hari Wukuf jemaah semakin padat. Solat di Masjid Bukit inipun padat dan jemaah kena belajar ‘mengecilkan’ badan dan tidak mengambil terlalu banyak ruang semasa beriktikaf dan bersolat supaya dapat sama-sama berjamaah tanpa banyak masalah.

Selesai solat zohor terus balik hotel. Pemandangan biasa di seluruh kota Mekah yang boleh diperhatikan iaitu pemberian sedekah syarikat dan individu berupa air mineral dan buah-buahan di sepanjang laluan jemaah berjalan kaki. Cuma masih ada segelintir jemaah yang membuang bekas botol air mineral dan kulit buah-buahan yang dimakan di tepi-tepi jalan. Suatu contoh perlakuan yang tak sepatutnya dilakukan kerana tidak sesuai dengan agama Islamyang dianuti.

Sampai di hotel terus ambil pek makan tengahari dan makan di bilik sahaja dengan rakan-rakan sebilik. Lepas makan hanya berehat dan bersembang dengan rakan sebilik kerana masih kurang tenaga dan kepanasan cuaca untuk melihat sekitar hotel sambil menunggu asar.

Solat asar hari ini pun masih di surau hotel. Badan masih lagi baru nak segar daripada demam. Masih lagi mengambil panadol ‘soluble’ untuk menghilangkan demam. Selesai solat asar terus balik ke bilik untuk berehat lagi supaya cepat sembuh.

Hari ini juga saya hanya bersolat maghrib dan isyak di surau hotel. Badan masih terasa demam dan tekak pun masih perit. Saya datang awal sedikit ke surau supaya dapat tempat bersolat sambil melakukan solat-solat sunat dan membaca alQuran. Sambil beriktikaf terfikir dalam hati bagaimana liarnya hati untuk dijinakkan. Teringat macam main ‘galah panjang’ dulu ketika menjaga pelari yang sentiasa lepas dan sukar ditangkap. Begitulah saya rasa bagaimana sukarnya menundukkan hati yang sentiasa ‘liar’ dan sukar untuk mendekatkan diri kepada Allah. Namun begitu saya terus-terusan berdoa:

“Ya Allah, ampunilah dosaku dan berilah aku kekuatan membentuk dan  mendidik hati supaya sentiasa tunduk dan patuh kepadaMu sentiasa“

Selesai solat maghrib dan isyak saya terus mengambil pek makan malam untuk saya dan juga isteri. Kadang-kadang giliran mengambil makanan bergantung kepada sesiapa yang sempat, samada rakan sebilik saya ataupun isteri saya supaya mudah.

Makanan yang disediakan oleh TH memang sesuai untuk jemaah semua. Tidak berminyak dan tidak pedas serta agak kering. Jenis makanan ini sesuai untuk menjaga perut supaya tidak ada masalah. Kalau disediakan makanan seperti yang kita makan di Malaysia, saya tak pasti apa akan berlaku kepada jemaah. Kekerapan ke bilik air pasti meningkat, dan mungkin ada yang sakit perut. Dengan keadaan bilik air di Masjidil Haram yang terletak jauh di luar masjid, keadaan akan menjadi sukar kepada jemaah jika perlu kerap keluar untuk ke bilik air.

Alhamdulillah para jemaah biasanya membawa makanan kering sebagai penambah rasa. Ada yang bawa sambal hitam, sambal ikan bilis, serunding daging dan seumpamanya sebagai penambah rasa. Dan alhamdulillah juga dengan tinggal bersama 4 orang jemaah daripada negeri-negeri lain memberi peluang kami untuk merasa pelbagai jenis ‘penambah rasa’ sambal-sambal. Namun stok sambal ikan bilis yang saya dan isteri bawa hanya boleh bertahan selama seminggu sahaja.

Setelah selesai makan malam semua bersiap-siap untuk tidur awal supaya dapat bangun awal dan solat berjamaan di Masjidil Haram. Diam tak diam bila saya semak jarak berjalan kaki pada telefon bimbit saya dapati untuk selama 8 hari di Mekah saya telahpun berjalan kaki sejauh 52 kilometer.

Alhamdulillah, selesai Hari 8 saya di Mekah al Mukarramah. Walaupun badan masih demam sedikit-sedikit saya masih lagi berupaya untuk meneruskan rutin harian solat berjamaah samada di Masjidil Haram atau Masjid Bukit ataupun di surau hotel, makan, mencuci pakaian dan tidur. Mudah-mudahan diberi kesembuhan dan kesihatan yang berterusan. Insha Allah.

5 Ogos 2019

No comments:

Post a Comment