Alhamdulillah selesai pengembaraan haji saya dan isteri di bumi Mekah dan Madinah. Masih
dalam penerbangan balik ke Malaysia.
Sepanjang penerbangan kami
sempat diberi makan sebanyak 2 kali. Apabila masuk waktu solat fardhu petugas
penerbangan memaklumkan kepada jemaah melalui pembesar suara pesawat sambil
mengingatkan untuk tidak membasahkan lantai bilik air kerana boleh membahayakan
sistem pesawat.
Memang dimaklumi, perkara
yang sama juga berlaku semasa penerbangan pergi dahulu di mana petugas
penerbangan berkali-kali mengingatkan supaya menjaga penggunaan bilik air dan
tidak membasahkan lantainya, terutamanya semasa mengambil wudhuk. Kali ini
perkara yang sama berlaku lagi. Ramai jemaah yang mengambil wudhuk di bilik air
tetapi dalam masa yang sama menyebabkan lantai bilik air basah dengan air.
Telah diajar berulang kali
semasa kursus haji berkenaan kaedah mengambil wudhuk dengan menggunakan botol
semburan. Mungkin sudah tiba masanya pengajaran mengambil wudhuk menggunakan
botol semburan diajarkan secara khusus, terutamanya semasa berada di dalam
pesawat dan juga ketika berada di dalam masjid yang padat dengan jemaah. Ini
terutamanya penting kepada jemaah yang telah berusia.
Saya perhatikan lantai bilik air
digenangi air. Tak pasti bagaimana mereka mengambil wudhuk dalam ruangan yang
sempit seperti itu. Sepatutnya jemaah hanya perlu menggunakan bilik air untuk
membuang air dan mengambil wudhuk dengan menggunakan botol semburan di tempat
duduk pesawat sahaja.
Seperkara lagi ialah cara solat
duduk di kerusi pesawat. Terdapat juga jemaah yang bersolat berdiri di ruang
kosong dalam pesawat. Bersolat berdiri seperti ini sebenarnya tidak dibolehkan
atas faktor-faktor keselamatan. Semasa penerbangan apa-apa sahaja boleh berlaku
seperti ‘pocket air’ ataupun gegaran, dan apabila berlaku ianya sangat
merbahaya kepada jemaah yang sedang solat berdiri. Justeru itu memang diajarkan
secara spesifik bagaimana solat sambil duduk di kerusi pesawat dengan sentiasa
mengenakan tali pinggang keselamatan.
Menjelang tengah hari kami hampir
sampai ke KLIA. Mana-mana jemaah yang sentiasa bersembang, berbual-bual, atau
tinggal dalam khemah yang sama atau bilik yang sama mulai berselfie dan
bermaaf-maafan. Alhamdulillah juga, kumpulan whatsap yang dibentuk semasa di
Mekah dapat memastikan banyak nombor jemaah dapat dikumpulkan. Sekiranya
diperlukan atau ingin melawat rakan-rakan boleh juga digunakan. Masing-masing
sibuk bermaaf-maafan kerana apabila sampai di KLIA masing-masing sudah sibuk dengan
urusan masing-masing.
Alhamdulillah kami selamat sampai
sekitar jam 3 petang di KLIA. Pergerakan keluar daripada pesawat hinggalah ke
tempat berjumpa dengan ahli keluarga telah diatur oleh petugas TH. Sebaik
sahaja keluar daripada pesawat kami semua dibimbing menuju kearah imigresyen
untuk urusan pasport dan seterusnya ke tempat mengambil beg-beg. Sepanjang
perjalanan ada sahaja petugas TH yang mengalu-alukan kepulangan semua jemaah
dengan senyuman dan muka ceria siap dengan papan tanda.
Selepas mengambil beg-beg dan
sebotol air zamzam setiap jemaah kami mengucapkan selamat berpisah kepada
mana-mana jemaah yang ditemui, terutamanya jemaah yang sering bersama seperti
Haji Mistam dan isteri, Haji Sairi dan isteri, Haji Wan dan isteri, Haji Sarjan
dan isteri, Haji Azhar dan isteri, Haji Wan dan ibunya, Haji Palit dan isteri
dan beberapa orang lain yang tak berapa ingat namanya. Masing-masing
mengucapkan selamat jalan dengan doa mudah-mudahan berjumpa lagi.
Agak lewat petang juga urusan kami
di KLIA untuk selesai. Alhamdulillah setelah selesai urusan mengambil barang
dan ucap selamat jalan kepada rakan-rakan jemaah kami terus bertemu dengan
anak-anak, kecuali yang perempuan masih di UK bekerja. Terbit rasa gembira dan
puas hati setelah bertemu dengan mereka.
Keluar dari KLIA kami ke KL dulu
untuk menghantar anak bongsu kami balik ke KL. Dia bercuti setengah hari untuk
datang ke KLIA untuk menjemput kami. Kami singgah di restoran tomyam berhampiran
dengan rumah sewa anak kami di KL untuk makan malam. Sejak daripada KLIA lagi,
isteri sudah mencadangkan macam-macam makanan untuk malam ini. Kami makan ikan
siakap masak 3 rasa, kailan ikan masin, nasi goreng kampung dan tomyam. Terubat
sedikit rasa teringin masakan Malaysia.
Selepas menghantar anak ke rumah sewanya
kami terus bergerak balik ke JB. Kami hanya berhenti sekali di hentian Ayer
Keroh untuk menghilangkan penat dan dahaga. Selepas itu kami terus balik
sehinggalah sampai rumah di JB sekitar jam 1.30 pagi. Tiba di rumah kami
memunggah beg-beg masuk ke rumah dan terus bersujud syukur kerana telah selamat
sampai di rumah daripada mengerjakan haji. Setelah itu kami terus tidur kerana
keletihan sehingga terlepas solat subuh di masjid.
Selepas solat subuh berjamaah di
rumah kami terus berkemas barang-barang yang dibawa supaya keadaan rumah
kembali seperti sedia kala. Terutamanya pek buah tangan seperti kurma,
kacang-kacang, air zamzam dan pakaian kotor, termasuk pek minyak wangi. Kotak
yang kami pos semasa di Mekah dahulu telahpun sampai beberapa hari yang lepas.
Justeru, pagi itu dipenuhi dengan aktiviti mengemas semua barang-barang yang
dbawa daripada Mekah dan Madinah. Maklumlah, isteri saya memang sentiasa mahu
rumah dia kelihatan kemas dan tidak bersepah.
Alhamdulillah selesai satu lagi
episod perjalanan hidup kami iaitu menyempurnakan salah satu Rukun Islam iaitu Mengerjakan
Haji. Mudah-mudahan pengalaman mengerjakan haji kami menjadi suatu ibadah yang
diterima dan membuka lembaran baru dalam hidup kami seterusnya. Dan
mudah-mudahan juga perjalanan kami ini bukanlah merupakan perjalan yang pertama
dan terakhir. Akhir kata, kami berdoa supaya sentiasa istiqamah dalam menjaga
kesucian Islam dalam kehidupan sehari-hari. Suatu tugas yang lebih sukar
berbanding mengerjakan haji itu sendiri, Insha Allah.
Aamin…aamiin…yarobbal alamin…
6 September 2019
No comments:
Post a Comment