Hari ini 25
September 2019, iaitu dua hari sebelum tarikh keberangkatan kami sibuk menyemak
semula semua perlengkapan dan barang-barang keperluan untuk dibawa untuk
memastikan mencukupi. Barang-barang keperluan utama seperti kain ihram untuk
saya dan telekong untuk isteri telah disiapkan. Untuk kain ihram, saya membawa
2 set kerana mengambil kira kalau kotor, maka ada ruang untuk saya mencuci. Selain
itu saya juga membawa 1 set kain ihram tambahan yang dibuat daripada kain
pelikat. 2 helai kain pelikat saya koyakkan untuk dijadikan sebagai kain ihram.
Kain ihram pelikat ini saya gunakan semasa untuk tidur, bergerak sekitar khemah
penginapan dan ke bilik air. Cuma penggunaan kain pelikat ini tidak dirancang
sejak awal, menyebabkan kain pelikat yang digunakan berbeza warna dan corak.
Mungkin untuk lain kali saya akan membeli 2 helai kain pelikat yang sama corak
atau warna. Manakala isteri pula telah menyiapkan 4 set telekong supaya
penggunaan telekong boleh ditukar-tukar dan bersih sentiasa.
Saya juga membawa
selipar ‘fipper’ 2 pasang untuk dipakai sepanjang saya berada di Mekah dan
Madinah. Selipar ini diperbuat daripada getah dan saya rasa selesa, lembut dan
memenuhi kriteria untuk mengerjakan Haji dan Umrah, iaitu tidak menutup jari-jari
kaki. Isteri pula memakai kasut kulit yang dibeli khusus untuk digunakan
sepanjang berada di sana, terutamanya yang melibatkan pergerakan dari hotel ke
Masjidil Haram ataupun Masjid Nabawi semasa di Madinah.
Kami
masing-masing membawa 2 beg, 1 begi besar untuk mengisi semua keperluan seperti
pakaian, makanan, dan lain-lain keperluan dan 1 beg kecil yang dibawa masuk ke
kabin kapal terbang seperti yang diarahkan oleh TH. Beg kecil itu berisi
pakaian dan keperluan ringkas untuk 1 – 2 hari keperluan sekiranya berlaku
perkara-perkara tidak dirancang seperti kelewatan penerbangan atau sebagainya.
Manakala beg kuning yang dibekalkan oleh TH kami gunakan untuk mengisi
perkara-perkara penting lain seperti pasport, begi duit, termasuklah botol
‘spray’ untuk mengambil wudhuk dan al Quran kecil untuk dibaca sepanjang masa.
Setelah
selesai semua persiapan disiapkan barulah kami tidur dengan berdoa supaya
‘dibangunkan’ awal untuk bergerak ke KLIA. Alhamdulillah kami dapat tidur awal
kerana tetamu yang berkunjung juga memahami dan mereka pulang awal untuk
membolehkan kami tidur awal.
Alhamdulillah,
kami dapat bangun awal sebelum subuh dalam keadaan segar. Setelah selesai
mengerjakan subuh kami sekali lagi menyemak semua barang keperluan dan beg-beg
supaya tidak ada yang ketinggalan. Kami bergerak menaiki kereta bersama anak
dan ibu mertua daripada Johor Bahru pada pagi 26 September 2019 jam 9 pagi.
Sepanjang perjalanan ke hotel penginapan saya dan isteri banyak melayani
perasaan teruja sambil berbual-bual dengan ibu mertua dan anak lelaki kami.
Kami
bergerak sehari awal untuk mengelakkan sebarang masalah terutamanya masalah
yang tidak dijangka. Maha Suci Allah yang memuliakan ‘tetamunya’, perjalanan
kami daripada Johor Bahru lancar dan selesa. Sempat berhenti di hentian Ayer
Keroh untuk menghilangkan penat dan dahaga. Tengah hari kami sampai di hotel
penginapan ‘Nilai Time’ di Nilai, dan selepas ‘check-in’ kami terus ke restoran
berhampiran untuk makan tengah hari. Ditakdirkan Allah, kami berjumpa dengan
rakan lama semasa belajar di Bandung, Indonesia Cikgu Zuhairi dan isteri Cikgu
Azlina. Sempat kami bersembang sambil makan tengah hari bersama.
Selepas
makan tengah hari kami pergi ke pasaraya Aeon Nilai yang berhadapan dengan
hotel penginapan kami untuk ‘melihat-lihat’ kalau-kalau ada lagi barang
keperluan yang perlu dibeli. Alhamdulillah, saya sempat membeli selipar
‘casual’ untuk dipakai semasa perjalanan ke Mekah dan Madinah. Selesai membeli
barang-barang dan persiapan kami balik ke hotel.
Sebelah malamnya kami sempat juga
berjumpa dengan kawan lama Cikgu Haji Azhar dan Cikgu Hajjah Zarina yang
menetap di Seremban. Kami makan Satay Willy di Nilai sambil sembang-sembang.
Mereka pun berkongsi pengalaman semasa mengerjakan haji dan alhamdulillah,
bertambah lagi pengetahuan kami berkenaan kehidupan jemaah haji di Mekah dan
Madinah.
Setelah balik ke hotel, kami menyemak
lagi persiapan semua barang-barang keperluan, termasuk bagasi supaya tidak ada
yang ketinggalan. Sebelum tidur semua persiapan telah sedia dan sebagai
memudahkan semua beg dan keperluan telah dimasukkan ke dalam kereta. Beg duit
dan al Quran, telah kami siapkan dan dimasukkan ke dalam ‘beg kuning’ yang
telah dibekalkan oleh Tabung Haji. Kami tidur awal supaya dapat bangun awal dan
bergerak ke KLIA lebih awal. Pakaian yang dipakai semasa tidur akan kami minta
dibawa balik oleh anak saya dan tak perlu dibawa.
Saya juga telah menyiapkan dan
mengasingkan kain ihram untuk dipakai apabila berada di Movenpick esok pagi
semasa pendaftaran. Manakala isteri menyiapkan kain telekong. Setelah kami
pasti semua telah sedia baharulah kami tidur sambil berdoa untuk dibangunkan
esok hari lebih awal.
Alhamdulillah kami sudah siap sedia
sebelum subuh. Selesai solat subuh kami menyimak dan memeriksa sekali lagi
keperluan khusus, terutamanya dokumen perjalanan dan buku kesihatan. Selepas
sarapan kami terus bergerak ke Movenpick dengan harapan akan sampai jam 11 pagi
untuk pendaftaran. Kami sampai Movenpick sekitar jam 12 tengahari dan merupakan
antara jemaah yang lewat sampai. Suasana di kawasan penurunan jemaah dan beg
penuh sesak dengan jemaah dan juga keluarga yang menghantar. Semasa menurunkan
beg nama saya dan isteri dipanggil oleh urusetia untuk membuat pendaftaran
segera.
Kami terus sahaja ke kaunter
pendaftaran yang telah disediakan untuk mendapatkan passport, tanda nama dan
gelang nama. Setelah itu kami diminta terus ke dewan pemeriksaan bagasi. Dengan
agak tergesa-gesa saya terus menukar pakaian ke pakaian ihram dan mendapatkan
anak dan mertua saya untuk mengucapkan selamat tinggal. Setelah berpisah kami
terus masuk ke dewan pemeriksaan bagasi, dan berjanji akan jumpa sekali lagi di
KLIA, terutamanya anak bongsu kami yang masih dalam perjalanan menaiki motor
dari Kuala Lumpur untuk mengucapkan selamat jalan.
Di dalam dewan telah ada petugas TH
yang sentiasa membantu menguruskan urusan pemeriksaan. Pemeriksaan bagasi besar
dan kecil telah dilaksanakan dengan lancar dan tidak banyak masalah.
Setelah itu kami berwudhuk dan
bersiap untuk solat sunat ihram di surau yang disediakan. Keadaan agak kelam
kabut sedikit kerana ruangan solat yang kecil untuk memuatkan sekitar hampir
400 orang. Setelah selesai solat kami berdoa dan menetapkan hati untuk
melakukan haji tamattuk. Pemilihan Haji Tamattuk sememangnya perancangan Allah
yang Maha Mengetahui berkenaan dengan kekuatan saya dan isteri untuk
mengerjakan haji. Bukan kerana memilih kerana antara yang termudah, tetapi
lebih berdasarkan kepada kemampuan dan kesanggupan kami sahaja. TH pula hanya
menyarankan tetapi pilihan terakhir adalah di tangan jemaah itu sendiri.
Keadaan agak kelam kabut kerana ada
jemaah yang menunggu di surau untuk bersolat zohor jamak takdim dengan asar. TH
telah memaklumkan hanya solat sunat ihram sahaja dan terus kembali ke dewan
untuk mendengar taklimat akhir. Solat jamak ta’khir akan dilakukan di KLIA
nanti. Akan tetapi ada jemaah yang tidak yakin dengan arahan TH dan tetap
bersolat zohor. Jemaah seharusnya yakin dan patuh arahan TH sepanjang masa
kerana TH telah berpengalaman menguruskan jemaah haji sejak bertahun-tahun. Justeru
itu pergerakan jemaah untuk masuk semula ke dewan untuk mendengar taklimat
akhir agak tidak tersusun. Namun taklimat diteruskan juga mengikut jadual masa
yang telah ditetapkan.
Taklimat akhir daripada petugas TH tersebut
sangat penting kerana menerangkan tentang perkara-perkara penting yang perlu
diperhatikan sepanjang mengerjakan haji. Ada juga jemaah yang tidak menumpukan
perhatian kerana mencari samada isteri, suami ataupun barang, terutamanya beg
kuning. Mungkin sahaja kerana semua jemaah sedang teruja kerana dapat pergi
haji, ataupun agak kelam kabut sedikit kerana belum pernah mengurus perjalanan
seperti ini.
Setelah selesai taklimat, tepat jam
2.30 petang kami semua mulai menaiki bas. Bas-bas telah diberi tanda nama, dan
kumpulan berkenaan akan juga menaiki bas yang sama apabila tiba di Mekah dan
Madinah nanti. Pergerakan bas jemaah tergendala sebentar kerana ada isteri
mencari suami yang belum menaiki bas. Selepas itu tergendala sekali lagi kerana
ada jemaah yang kehilangan beg kuning. Semua bas diperiksa, termasuklah di
dewan Movenpick tadi. Akhirnya beg kuning tersebut ditemui terjatuh di dalam
bas saya dan tertindih dengan beg jemaah yang lain.
Selepas semua bersedia, konvoi bas
jemaah bergerak perlahan-lahan menuju KLIA dengan diiringi oleh sepasukan polis
trafik. Pergerakan kami seperti orang kenamaan, kerana lebuhraya KLIA ditutup
untuk memberi laluan kepada konvoi bas jemaah haji. Pergerakan konvoi terus
memasuki lapangan terbang melalui pintu khas menuju ke balai berlepas. Agak
sedih juga kerana tidak dapat lagi berjumpa dengan anak-anak, ibu mertua,
terutamanya anak bongsu kami yang datang menaiki motorsikal dari Kuala Lumpur.
Kami hanya berwhatsap sambil mengucapkan selamat jalan dan selamat tinggal.
لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ
لَبَّيْكَ، إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَ شَرِيْكَ لَك
Semasa di ruangan berlepas kami
dihidangkan makan tengah hari berupa nasi bungkus, buah-buahan dan minuman
panas dan sejuk. Setelah masuk waktu asar kami bersolat jamak takkhir Asar dan
Zohor di ruangan berlepas secara berjamaah. Semasa mengambil wudhuk saya
berpeluang membantu jemaah lelaki yang berkerusi roda untuk ke tandas dan
mengambil wudhuk. Saya meminta izin membantu kerana agak sukar kalau ditolak
oleh isterinya. Ya Allah…mudahnya mendapat pahala sekiranya kita sentiasa peka
dengan keadaan sekeliling. Oleh kerana ramai maka solat berjamaah dilakukan
berulang kali.
Setelah selesai masing-masing
bersiap sedia untuk kali terakhir menyemak dokumen perjalanan dan juga bekalan.
Sambil menunggu panggilan terakhir kami hanya duduk sambil membaca dan
mengingat doa-doa dan membaca al Quran. Ada ketikanya kami sempat berbual-bual
dengan jemaah yang duduk bersebelahan dengan kami berkenaan dengan perjalanan
mengerjakan haji.
Tepat jam 6.00 petang semua jemaah
dipanggil untuk bersedia memasuki pesawat. Kami memastikan semua barang, beg
dan keperluan yang ada terutamanya pasport supaya sedia. Jemaah yang lain pun
masing-masing sibuk mengemas barangan yang dibawa. Setelah itu kaunter
‘check-in’ dibuka. Semua para jemaah beratur dengan selesa kerana banyak
kaunter dibuka. Ada juga jemaah yang tergesa-gesa memasuki barisan.
Kaunter yang disediakan merupakan
kaunter yang dikendalikan oleh kerajaan Saudi dan semua petugas adalah pekerja imigresyen
daripada Saudi. Suasana di Arab Saudi mulai terasa. Proses pengesahan pasport
berjalan dengan lancar dan petugas Saudi yang bertugas pula sentiasa senyum dan
mendoakan perjalanan mengerjakan haji kami merupakan haji yang mabrur.
Perjalanan memasuki kapal terbang
agak sibuk juga kerana setiap jemaah membawa beg masing-masing. Kami saling
membantu menaikkan bagasi ke dalam tempat letak bagasi di atas kepala. Kapal
terbang MAS ni disewa khas oleh TH untuk membawa jemaah ke tanah suci. Kesemua
krew kapal terbang merupakan krew yang senior dan berpengalaman menguruskan
keperluan dan kerenah jemaah. Tepat jam 6.30 petang kami berlepas dari KLIA
menuju ke Jeddah.
Sepanjang perjalanan jemaah haji
sibuk dengan urusan masing-masing. Ada yang berbual-bual kosong, ada yang
membaca al Quran, ada yang berzikir, dan ada juga yang tidur keletihan. Saya
dan isteri hanya berbual ringkas dan masa kami banyak diisi dengan berdoa dan
membaca al Quran. Tiba waktu solat krew kapal terbang akan memaklumkan melalui
pembesar suara kabin untuk perhatian semua jemaah. Perkara menarik yang
sentiasa berlaku ialah urusan bilik air semasa membuang air dan juga mengambil
wudhuk. Walaupun telah dimaklumkan sentiasa supaya tidak membasahkan lantai
bilik air tetapi lantai bilik air tetap sahaja basah dengan air.
Ruangan bilik air yang kecil,
memerlukan kemahiran jemaah untuk menggunakannya, terutamanya semasa
menggunakan air. Terutamanya dengan berpakaian ihram, kemahiran menggunakan
bilik air yang kecil dan sempit lebih penting. Kerap kedengaran suara krew
kapalterbang yang memohon jemaah supaya tidak membasahkan lantai bilik air.
Suasana bersolat agak sibuk di dalam kapalterbang. Ada jemaah yang bersolat
berdiri di ruangan kabin yang kosong bersebelahan dengan bilik air dan ada pula
yang bersolat di tempat duduk. Dalam keadaan ini saya dan isteri hanya solat
duduk kerana mengambil kira keselamatan. Sekiranya berlaku sesuatu jemaah yang
sedang solat berdiri akan lebih berisiko, manakala jemaah yang solat duduk
sentiasa mengenakan tali pinggang keselamatan. Justeru itu TH telah
menasihatkan jemaah untuk solat duduk semasa dalam penerbangan.
Beberapa jam sebelum sampai ke
Jeddah, kami sekali lagi dimaklumkan berkenaan dengan lintasan di Miqat Makani.
Mana-mana jemaah yang belum berniat atau masih mengenakan pakaian berjahit
perlu memastikan semuanya diikuti untuk mengerjakan haji. Perjalanan memakan
masa 8 jam 5 minit untuk sampai ke Jeddah. Kami tiba di lapangan terbang Jeddah
pada jam 9.10 malam waktu Saudi. Setelah pesawat masuk ‘dock’ kami masih
tertahan di dalam pesawat kerana ada masalah teknikal.
Selepas keluar dari pesawat kami
terus di bawa ke bas lapangan terbang yang sudah sedia menunggu. Kami tidak
melalui prosedur biasa untuk check out. Kami hanya menyerahkan pasport kepada
petugas selepas keluar dari pesawat. Bagasi besar pula diuruskan oleh agen TH
dan akan dibawa terus ke hotel penginapan. Selepas itu, tepat jam 11.16 malam
kami menaiki bas yang membawa kami terus ke hotel. Perjalanan ke hotel penginapan
agak jauh juga dan kami tiba di hotel Amjad Al Bait, Mekah sekitar jam 1.00
pagi.
Alhamdulillah, selesailah
perjalanan mengerjakan haji Hari 1 saya. Suatu perjalanan yang jauh dan
meletihkan tetapi tidak membosankan.
29 Julai 2019
No comments:
Post a Comment