Wednesday, 22 April 2020

HARI 34 HARI TERAKHIR DI MEKAH AL MUKARRAMAH


Alhamdulillah dapat terjaga jam 3 pagi. Terus kejutkan isteri untuk bersiap-siap ke Masjidil Haram. Hari ini solat subuh terakhir di masjid sebelum bergerak ke Madinah.

            Suasana agak sibuk di hotel kerana semua jemaah perlu bersolat subuh di Masjidil Haram dan seterusnya melakukan tawaf perpisahan (wada’) dengan Baitullah untuk meneruskan perjalanan ke Madinah. Dalam perjalanan pergi sudah terasa sebak dalam dada kerana tahu ini merupakan perjalanan yang terakhir di Mekah ke Masjidil Haram. Belum pasti akan diberi rezeki untuk datang lagi.

Jemaah penuh di jalan-jalan menuju ke masjid. Perangai biasa masih lagi dilakukan oleh segelintir jemaah seperti berludah di atas jalan. Malah pagi ini saya perhatikan ada juga jemaah Malaysia yang berludah dan membuang sampah di atas jalan, walaupun ada disediakan tong-tong sampah di sepanjang perjalanan pergi dan balik. Kota suci yang sepatutnya sentiasa dipelihara tetapi diperlakukan sedemikian rupa tanpa rasa malu atau rasa bersalah.

Alhamdulillah saya dan isteri dapat masuk ikut pintu biasa Ajyad. Terus buat perkara rutin, minum air zamzam, dan iktikaf dengan solat-solat sunat dan membaca alQuran. Subuh pagi ini diimamkan oleh Imam Bandar, imam kegemaran saya selain Imam Sudaish. Lebih mengharukan ialah pagi ini adalah hari terakhir saya akan mendengar suaranya secara ‘live’ di dalam Masjidil Haram.

Pagi ini Surah Sajadah yang dibaca terasa sangat pendek tetapi menyeronokkan dan menyejukkan. Alunan bacaan Imam Bandar sangat sejuk dirasakan. Sampai ke tempat sajadah kami sujud tilawah sedalam-dalamnya mengakui keagunganNya.

Ketika itu saya perhatikan jemaah di sebelah saya kekal berdiri dan tidak turun untuk sujud sajadah. Saya teringat semasa saya masih jahil yang tidak maklum langsung berkenaan keperluan sujud apabila bertemu dengan ayat yang memerlukan kita sujud sajadah. Mungkin itu andaian saya saja, wallahuaklam.

Selesai solat subuh dan solat jenazah terasa malas pula nak melakukan tawaf perpisahan (wada’). Mungkin kerana perasaan tak mahu berpisah dengan Baitullah, dengan Masjidil Haram, dengan kota suci Mekah. Dengan rasa sayu dan sedih saya berdoa di dalam hati:

“Ya Allah…Jadikanlah aku supaya sentiasa merindui rumahMu ini dan janganlah kedatanganku ini sebagai kedatangan yang terakhir…Maha Suci Engkau yang Maha Penyayang”

Tawaf wada’ ini benar-benar menyentuh hati. Sepanjang bertawaf air mata sentiasa mengalir mengenangkan perkataan terpaksa berpisah. Semakin sampai penghujung pusingan semakin dalam rasa sedih, seolah-olah tak mahu pusingan tawaf itu habis. Namun apakan daya terpaksa juga diakhiri tawaf perpisahan tersebut. Aku menangis sepuas-puasnya semasa berdoa supaya diizinkan lagi untuk datang dan menikmati keindahan kota suci ini berkali-kali lagi. Dan sebelum bergerak balik saya sempat mengisi air zamzam ke dalam botol 5 liter sebagai bekalan untuk perjalanan ke Madinah.

Semasa berjalan balik air mata terus mengalir tanpa henti. Semakin dekat ke hotel terasa semakin jauh pula Masjidil Haram di belakang. Saya terus berjalan tanpa menoleh ke Masjidil Haram lagi untuk balik ke hotel bersiap-siap untuk bergerak ke Madinah. Jemaah memang tidak dibolehkan untuk membeli belah kecuali hanya barang keperluan perjalanan sahaja. Hanya satu yang boleh menggembirakan kesedihan saya pada ketika itu ialah saya akan dapat berjumpa kekasih Allah, keluarganya dan sahabat-sahabatnya di Madinah nanti. Subhanallah.

Sampai di hotel kami terus bersarapan dan bersiap-siap. Kawasan hotel terutamanya di lobi dan lif semakin sibuk dengan jemaah keluar masuk. Jam 9.30 pagi semua jemaah dikehendaki berada di lobi untuk mula menaiki bas. Saya dan isteri telahpun ada di dalam bas nombor 5. Masih lagi menunggu beberapa jemaah untuk turun. Ada yang baru balik dari melakukan tawaf wada’ dan ada yang masih lagi sedang bersiap di bilik. Alhamdulillah, sekitar jam 10.10 pagi bas kami mula bergerak meninggalkan Mekah ke Madinah.

Jam 12.30 tengahari kami berhenti di hentian. Kami bersolat jumaat di situ. Masjidnya kecil sahaja tetapi alhamdulillah dapat solat jumaat di dalam masjid. Ramai juga yang bersolat di luar masjid. Kekurangan bersolat di luar masjid ialah kerana di bawah matahari. Oleh itu, jemaah hanya mendengar khutbah di bawah-bawah pokok atau tempat yang teduh. Apabila solat dimulakan barulah dibentuk saf di luar masjid. Jemaah perempuan pula bersolat zohor selepas kami selesai bersolat jumaat.

Keadaan di hentian sama seperti di Mekah iaitu sampah merata-rata di buang. Penjagaan kebersihan seolah-olah tidak diutamakan. Penggunaan hentian sebagai tempat rehat, makan, solat dan bilik air seolah-olah hanya untuk diri sendiri sahaja tanpa mengambil kira menjaga kebersihan seperti kepunyaan diri sendiri.

Selepas solat jumaat kami makan tengahari di situ. Setelah selesai makan tengahari sekitar jam 1.45 tengahari kami meneruskan perjalanan.

Sepanjang perjalanan tidak banyak kawasan hijau, hanya tanah lapang gersang berbatuan yang dapat dilihat. Sesekali dapat dilihat kawasan perkampungan yang biasanya banyak terdapat pokok menghijau terutamanya pokok kurma.


Alhamdulillah kami sampai di Hotel Al Saha, Madinah sekitar jam 5.15 petang. Kami mengambil beg merah yang di bawa bersama beg galas kuning terus masuk ke bilik yang telah disediakan. Saya terus mengemaskan beg dan tempat tidur dan solat asar. Rakan sebilik kali ini ialah Haji Sarjan, Haji Azhar dan Haji Wan. Selepas itu kami mula bersiap-siap untuk ke Masjid Nawawi untuk solat maghrib dan isyak.


Bergerak awal ke Masjid Nabawi. Jarak antara masjid dengan hotel lebih kurang 200 meter sahaja, 100 meter ke pagar masjid dan 100 meter lagi untuk masuk ke dalam masjid. Indahnya Masjid Nabawi, teratur kemas berkarpet merah yang disusun cantik untuk keselesaan jemaah beribadah. Jemaah perempuan pula diasingkan ke bahagian sayap kiri dan kanan masjid. Di bahagian luar masjidpun jemaah lelaki dan perempuan sentiasa dipisahkan. Kalau semasa umrah dahulu pintu masuk utama ke masjid adalah pintu 17, sekarang ini saya melalui pintu 22.

“Alhamdulillah…aku datang dan berziarah ke masjidmu yang Nabi Allah.”

 Selesai solat maghrib saya dan Haji Sarjan terus duduk iktikaf sambil menunggu isyak. Di setengah-setengah sudut akan ada tazkirah yang disampaikan oleh syeikh-syeikh tertentu dalam bahasa Arab. Ada ketikanya juga tazkirah dilakukan oleh syeikh dalam bahasa Urdu. Terbuka kepada semua jemaah untuk sama-sama mendengar. Bagi sesiapa yang boleh memahami bahasa Arab adalah sangat menguntungkan.
  

Saya meneruskan aktiviti rutin seperti di Mekah dengan membaca alQuran. Sesekali pergi ke hentian zamzam untuk minum dan mengisi botol kecil sebagai bekalan ketika haus. Di Masjid Nabawi, hentian zamzam disedikan di sepanjang laluan masuk. Jemaah tidak mempunyai masalah untuk meminum atau mengisi botol-botol kecil kerana jumlah hentian yang banyak di setiap sudut masjid.

Selesai solat isyak dan solat jenazah saya dan Haji Sarjan terus balik hotel untuk makan malam dan berehat. Badan terasa agak letih kerana perjalanan jauh dari Mekah siang tadi. Malam ini TH menyajikan makan malam lauk sotong. Kami makan di dalam bilik bersama dengan teh O panas. Selepas itu terus siap-siap untuk tidur.

Alhamdulillah selesai Hari 34 saya di Mekah dan Madinah.
Mudah-mudahan hari-hari seterusnya merupakan hari yang indah di Masjid Nabawi, Insha Allah.



31 Ogos 2019

No comments:

Post a Comment