Sunday, 19 April 2020

HARI 2 MEKAH ALMUKARRAMAH


Hari ini hari ketiga kami berada di Mekah Al Mukarramah. Mungkin kerana keletihan setelah selesai mengerjakan umrah haji awal pagi tadi kami lambat bangun dan hanya tersedar sekitar jam 5.30 pagi. Kami terlepas solat berjamaah di Masjidil Haram, dan hanya turun ke surau hotel untuk mengerjakan subuh bersama-sama dengan jemaah lain yang juga lewat bangun.

Selepas solat subuh saya berhenti sejenak di surau untuk membaca alQuran dan solat sunat taubat. Pagi ni terasa hati agak keras dan macam susah nak ‘dijinakkan’ walaupun kerap berusaha dengan menyibukkan diri dengan ibadah, terutamanya membaca alQuran. Kelebihan di sini ialah kebebasan dan ruang yang masa yang banyak untuk melakukan apa sahaja solat selain solat 5 waktu, terutamanya solat sunat taubat.

Setidak-tidaknya saya berpeluang mendekatkan diri dengan Allah seberapa ‘dekat’ yang boleh. Bila dalam keadaan sebegini baru terasa bahawa selama ini saya sentiasa jauh dengan Allah kerana disibukkan dengan urusan dunia di Malaysia. Saya berdoa mudah-mudahan dilembutkan hati supaya sentiasa mendekatkan diri dan berserah kepada Allah.

Selepas selesai urusan di surau hotel, dalam jam 7.30 pagi saya terus ke restoran berhampiran hotel untuk membeli sarapan untuk saya dan isteri. TH tidak menyediakan sarapan pagi kepada jemaah kerana mengambil kira urusan mereka yang pelbagai di Masjidil Haram yang menyebabkan ada yang lambat atau awal balik ke hotel. Namun, di sekitar hotel memang banyak restoran makanan arab dijual, yang kebanyakannya diusahakan oleh individu daripada negara luar terutamanya dari Pakistan, Bangladesh, ataupun Afrika Utara.

Selepas bersarapan saya berbual-bual dengan rakan sebilik sambil menunggu taklimat haji daripada pegawai TH pada jam 9.00 pagi di surau hotel. Selepas taklimat kami terus ke dewan makan untuk mendapatkan pek makanan tengahari. Biasanya saya dan isteri akan berganti-ganti untuk mengambil pek makanan, bergantung kepada siapa yang berkesempatan. Malah kerap jugak saya dan rakan sebilik berganti-ganti mengambil makanan.

Saya masih lagi bersolat zohor di surau hotel kerana pada ketika itu suasana matahari sangat panas. Selepas zohor saya dan isteri menghantar kain ihram untuk dicuci di dobi di hotel bersebelahan. Saya tidak menghantar di hotel tempat saya menginap kerana hotel di sebelah lebih murah. Di hotel saya mereka caj SR15, manakala di hotel sebelah hanya SR10.

Semasa menghantar kain ihram ke dobi di situ saya bertemu dengan Cikgu Khalid dari Johor Bahru, kawan saya semasa belajar sarjana muda di Indonesia dulu. Saya juga dapat berjumpa dengan PM Dr Ahmad Johari Sihes, kawan kerja sama pejabat di UTM Johor. Kadang-kadang berjumpa dengan kawan-kawan ni memang tidak dijangka sama sekali. Selepas itu balik semula ke hotel untuk siap-siap solat asar.



Kali ini saya mula bersolat di Masjid berhampiran dengan Amjad al Bait, saya panggil Masjid Bukit (bukan nama sebenar), kerana kedudukannya memang di atas bukit. Saya pergi bersendirian kerana isteri bersolat di dalam bilik sahaja. Selesai sahaja solat asar saya terus balik ke hotel untuk bersiap-siap pula untuk solat maghrib. Kali ini saya bersolat di Masjidil Haram.

Tepat jam 5.00 petang saya dan isteri bergerak ke Masjidil Haram untuk bersolat maghrib dan isyak. Oleh kerana jemaah yang ramai kami bergerak awal, walaupun waktu maghrib adalah jam 7.00 malam. Perjalanan kaki selama 15 minit tidak terasa kerana kami berjalan bersama-sama dengan ribuan jemaah.

Kami masuk melalui pintu Ismail, pintu yang sama ketika kami mengerjakan umrah haji semalam. Kami letakkan selipar di rak kasut di depan pintu masuk tersebut dan terus berjalan memasuki masjid. Oleh kerana jemaah sudah padat maka kami diarahkan untuk naik ke tingkat atas menggunakan tangga escalator dan terus ke bahagian bumbung. Di mana-mana ruangan di Masjidil Haram penuh dengan jemaah.

Setelah mendapat tempat bersolat kami terus bersolat sunat dan membaca alQuran sambil menunggu masuk waktu maghrib. Kedudukan jemaah lelaki dan perempuan agak bercampur-campur, walaupun di larang untuk solat secara bersebelahan lelaki dan perempuan, sekalipun suami isteri.

Suatu yang unik di sini ialah saf antara lelaki dan perempuan tidak terlalu ‘rigid’ kerana mengambil kira urusan ibadah setiap jemaah adalah pelbagai dan tiada sekatan. Cuma biasanya kalau kedapatan oleh petugas keselamatan masjid suami isteri bersolat bersebelahan mereka akan diarahkan untuk pergi bersolat dalam kumpulan jemaah lelaki atau perempuan. Panggilan yang biasa di dengar… Hajji…Hajji…Hajji…Hajjah…Hajjah…Hajjah.

Sambil menunggu waktu solat maghrib jemaah sibuk dengan urusan masing-masing, bersolat sunat, membaca alQuran, bertasbih, berwirid dan sebagainya. Kesempatan yang ada memang dimanfaatkan sepenuhnya dengan beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah.

Setelah selesai solat maghrib dan solat jenazah kami tetap di tempat duduk masing-masing untuk mengunggu waktu isyak pula. Rasa dahaga dan lapar kami isi dengan meminum air zamzam. Kami terus membaca alQuran dan bertasbih.

Setelah selesai solat isyak dan solat jenazah kami mula bergerak perlahan-lahan keluar masjid untuk balik ke hotel. Pergerakan keluar masjid agak perlahan kerana jemaah yang ramai. Pada ketika ini kami mulai belajar erti tolak ansur dan bertimbang rasa dengan jemaah lain, terutamanya ketika berasak-asak untuk keluar dan masuk masjid. Walaupun terdapat segelintir jemaah yang agak kasar dan tidak menghormati jemaah yang lain, ini menguji kami untuk terus sabar dan bertimbang rasa.



Sampai di hotel kami terus mengambil pek makan malam dan makan di bilik sahaja. Sambil makan saya bersembang-sembang dengan rakan sebilik berkenaan dengan pengalaman hari ini. Selepas selesai makan, saya bersiap-siap untuk tidur awal supaya dapat bangun awal pagi untuk bersolat subuh di Masjidil Haram.

Alhamdulillah selesai Hari 3 saya di Mekah Al Mukarramah.



31 Julai 2019


No comments:

Post a Comment